Dan berpeganglah kamu semua
dengan tali Allah jangan kamu berpecah belah,
ingatlah kamu akan nikmat yang tuhan berikan kepada kamu, dahulu kamu
berpecah-belah di antara satu sama lain dengan bermusuh-musuhan diantara satu
sama lain.
Lalu dengan nikmat agama Islam
Allah menjinakkan hati-hati kamu. Kamu dahulu berada di tepi gaung neraka
kerana dalam kesesatan, lalu Allah menyelamatkan kamu daripada bahaya api
neraka itu.
Demikianlah Allah nyatakan kepada
kamu akan ayat-ayat-Nya supaya kamu mendapat petunjuk daripada-Nya.”
Hari ini pelbagi media
mengeluarkan kenyataan supaya golongan bertelagah, terutama golongan Melayu
bersatu. Bagi pihak yang memperjuangkan Islam yang menjadikan Quran, hadis,
ijmak ulamak dan qias adalah hukum tertinggi, semua perkara yang hendak
dilakukan mestilah dirujukkan kepada Quran, hadis, ijmak ulamak dan qias.
Puak Islam ada caranya tersendiri
untuk bersatu padu. Perkara bersatu padu adalah perkara diucapkan oleh semua
pihak dalam dunia. Ia diucapkan oleh orang Islam dan bukan Islam.
Dalam amalan politik
yang menjadi sebahagian daripada ajaran Islam maka Islam ada ajarannya sendiri
bagaimana hendak bersatu padu. Fahaman-fahaman lain ada juga cara bersatu padu.
Seorang ahli politik Perancis
yang terkenal di barat bernama John Jack Rausul, salah seorang daripada ahli
falsafah politik barat yang mengilhamkan Revolusi Perancis yang menjadi
kebanggaan orang-orang Eropah, menyatakan bahawa untuk menyatukan manusia
dengan beberapa cara.
1. Disatukan di atas nama bangsa
dan keturunan
2. Disatukan di atas sempadan
negeri. Berada dalam satu negeri seperti 1 Malaysia.
3. Disatukan di atas kepentingan
ekonomi, untuk mencari harta kekayaan maka bersatu dan bersyarikat.
Inilah cara bersatu dan perpaduan
yang diajar oleh politik barat.
Tetapi dalam Islam Allah Ta’ala
mengajar kita perpaduan mestilah di atas acuan yang ditunjukkan oleh Allah SWT.
Inilah yang akan dilaksanakan oleh golongan yang memperjuangkan Islam.
Allah Ta’ala memerintah supaya
disatukan di atas aqidah Islam dan di atas sifat kemanusiaan.
Firman Allah Ta’ala:
“Sesungguhnya orang-orang beriman
itu bersaudara dan perdamaikanlah di kalangan saudara kamu jika bertelingkah
dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu diberi rahmat.”
Ada pun perpaduan kemanusiaan
dinyatakan oleh Allah Ta’ala dalam Quran:
“Wahai manusia sesungguhnya kami
telah menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan Adam dan
Hawa, suami dan isteri berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan
diantara satu sama lain, dan yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah
ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya di sisi Allah itu sangat mengetahui
segala-galanya.”
Nabi kita Muhamad SAW membawa
Islam dan kita mesti ikut cara yang ditunjuk dan diajar olehnya. Nabi Muhamad
sayang kepada bangsanya, bangsa Arab, sayang kepada keluarganya, Bani Hashim
dan Bani Muttalib. Semua nabi sayang kepada bangsanya.
Allah Ta’ala berfirman kepada
nabi Muhamad SAW:
‘Dan berilah peringatan kepada
kaum keluarga mu yang paling hampir.”
Semua nabi dan rasul bersyarah
kepada kaumnya:
“Wahai kaum bangsa ku yang aku
sayang, abdikan diri kepada Allah, tiada tuhan yang lain daripada-Nya lagi.”
Ini menunjukkan bahawa
semua nabi sayang kepada kaum dan bangsanya. Islam mewajibkan kita
menghubungkan silatur rahim, hubungan keluarga dan memutuskan silatur rahim
hukumnya haram dan dosa besar.
Dalam masa yang sama Islam
mengajar bahawa untuk menyatukan manusia tidak sama dengan menyatukan kayu yang
boleh diiakat dengan tali atau dipakukan. Tidak sama dengan batu-bata yang
boleh disusun dan diikat dengan simen kerana manusia adalah makhluk yang ada
akal dan perasaan.
Bagi menyatukan manusia
tidak cukup dengan mengambil kira tubuh badannya sahaja, mesti mengambil kira
perasaannya. Maka Islam mengajar untuk mengikatkan hati manusia, pertama dengan
iman dan kedua dengan adil.
Untuk mengikat dengan iman
mestilah sama-sama beriman dan Allah Ta’ala ikat iman itu dengan agama Allah,
dengan kitab Allah, dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Di atas dasar inilah
nabi Muhamad SAW memulakan perjuangannya dengan persaudaraan Islam, bukan
dengan persaudaraan bangsa. Walaupun pada masa itu Semenanjung Tanah Arab dijajah oleh dua
kuasa besar dunia, Farsi di sebelah timor dan Rome di sebelah barat, nabi
Muhamad SAW tidak memulakan perjuangannya di atas semangat kebangsaan Arab.
Tetapi memulakan perjuangannya dengan persaudaraan Islam.
Memupuk persaudaraan Islam bukan
mudah. Semasa di Mekah nabi SAW menempuh berbagai-bagai halangan dan ujian
daripada bangsa dan kaum keluarga sendiri.
Mereka sanggup memberi kepada
nabi harta kekayaan dan sanggup melantik nabi pemimpin dan raja jika nabi SAW
mengambil Islam untuk diri sahaja, tidak menyentuh perkara mungkar dan maksiat
yang mereka lakukan zaman berzaman.
Semua tawaran itu ditolak oleh
nabi SAW. Sebaliknya meneruskan dakwah dengan bertemu kabilah-kabilah Arab yang
datang mengerjakan haji di Mekah. Kabilah Arab Mekah menolak ajakan nabi kerana
takut dan mahu tawaran kebendaan dan jawatan.
Kabilah Arab dari Madinah, Aus
dan Khazraj yang pernah mendengar berita kelahiran akhir zaman daripada ahli
kitab di Madinah menerima tawaran nabi SAW. Kabilah ini berbaiah dengan nabi
dan akhirnya nabi SAW dan para sahabat yang masuk Islam berhijrah ke Madinah.
Golongan dari Mekah dinamakan
ansar ini bersatu dengan golongan aus dan khazraj di Madinah. Mereka bersatu di
atas persaudaraan Islam. Kemudian nabi SAW menggabungkan Salmanul Farisi yang
berasal daripada Farsi, Suhi bin Romi yang dinisbahkan kepada Rome dan Bilal
bin Habsi berasal dari Afrika.
Mereka digabungkan di atas
persaudaraan Islam dengan Quran, dengan tali Allah SWT. Dalam masa yang sama
nabi mengajak orang-orang bukan Islam di kalangan Yahudi, Bani Khainukah, Bani
Nathir, Bani Kharaizah dan lain-lain masuk Islam.
Mereka tidak dipaksa masuk Islam.
Mereka yang tidak masuk Islam nabi mengajak bersatu mendirikan sebuah kerajaan
Islam yang adil dengan menjalankan syariat Allah. Orang-orang Kristian,
orang-orang Yahudi dan orang musyrikin walaupun tidak masuk Islam tetapi mereka
benci dengan kezaliman. Mereka benci dengan pemimpin-pemimpin mereka yang
jahat.
Mereka ingin melihat nabi Muhamad
SAW memimpin. Lalu mereka mengadakan tahaluh (persefahaman) dengan nabi Muhamad
SAW berada dalam kerajaan di Madinah yang didirikan di atas perpaduan orang
Islam dan perpaduan kemanusiaan.
Kemudian nabi Muhamad SAW
menggerakkan orang Islam menghadapi kabilah-kabilah Arab, bangsa sendiri yang
melawan kerajaan Islam dan mereka dikalahkan.
Seterusnya nabi SAW menggerakkan
bala tentera Islam untuk membebaskan Mekah. Pembukaan Mekah dan pembebasannya
bukan kerana dijajah oleh China, India, Inggeris, Perachis dan sebagainya,
tetapi Mekah diperintah oleh pemimpin-pemimpin jahiliah Arab daripada keluarga
dan anak-beranak nabi SAW sendiri.
Bukan salah sayang kepada bangsa,
sayang kepada kaum, tetapi sayang kepada bangsa dan kaum tidak boleh dijdikan
aqidah.
Allah Ta’ala menurunkan ayat:
“Wahai orang-orang beriman
jadilah kamu orang yang bangun berdiri menegakkan yang benar daripada Allah,
yang berlaku adil terhadap semua manusia, jangan dengan sebab kamu bermusuh
dengan sesuatu kaum lalu kamu zalim terhadap kaum itu.
Sesungguhnya adil lebih hampir
kepada taqwa, bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui apa
yang kamu kerjakan.”
Firman Allah Ta’ala:
“Sesungguhnya Allah memerintah
kamu supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya yang berhak dan apabila kamu
menghukum di kalangan manusia hendaklah berlaku adil.”
Sabda Rasulullah SAW:
“Bukan dari kalangan kita orang
yang mengajak kepada jalan asabiah, bukan dari kalangan kita orang yang
berjuang di atas dasar asabiah, bukan dari kalangan kita orang yang mati di
atas dasar asabiah.”
Mengikut satu riwayat ada yang
bertanya:
“Apakah asabiah itu wahai
Rasulullah”
Rasulullah SAW menjawab: “Asabiah
itu kamu menolong kaum kamu walaupun dia zalim.”
Nabi Muhamad SAW menjalankan
pemerintahan dengan adil
Disebut dalam sebuah hadis:
”Jika anak aku Fatimah
binti Muhamad mencuri nescaya aku potong tangannya.”
Orang Islam diberi
kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Jika bangsa Arab beramal dengan Islam
mulialah mereka. Jika bangsa Arab meninggal Islam hina bangsa Arab. Jika Melayu
ikut Islam Melayu mulia dan selamat. Kalau Melayu tidak ikut Islam jawabnya
jahanam Melayu.
Jika hendak bersatu
bukan atas dasar bangsa tetapi atas dasar Islam. Jika Melayu sahaja dan Islam
tidak berdaulat maka tidak selamat kerana Islam sahaja yang boleh menyelamat.
Apabila Saidina Umar melawat
Baitul Maqdis menyaksikan kemenangan tentera Islam mengalahkan Rome Bizanti
kuasa besar dunia beliau menyampaiakan ucapan:
“Kita adalah umat yang
diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Kalau kita mencari kemuliaan lain
daripada Islam kita akan menerima penghinaan daripada Allah.”
Allah Ta’ala berfirman:
“Jika sekiranya kamu berpaling
Tuhan tukar kaum lain daripada kamu.”
Bila orang Arab leka dengan
kemenangan dan kemewahan di zaman Amawiah dan Abasiah Allah Ta’ala menukarkan
kepimpinan orang Islam kepada bangsa Kuldi yang melahirkan pemimpin Solahudin
al-Ayubi yang telah berjaya membebaskan Baitul Maqdis daripada penaklukan
Solib.
Setelah kerajaan Ayubiah lemah
naik kerajaan Mamalik. Bila kerajaan Mamalik lemah naik kerajaan Uthmaniah,
orang Turki bukan orang Arab.
Islam memuliakan umat bukan
bangsa. Kalau berjuang atas bangsa sahaja keadaan akan menjadi sempit.
Mula-mula bangsa, kemudian anak-anak dan akhirnya puak. Kebangsaan tidak boleh
mengawal perasaan. Hanya iman sahaja boleh mengawal perasaan.
Jadi penyatuan dan perpaduan
mestilah atas dasar Islam dan iman.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment