Kritikan yang saya
terima, mereka menyatakan fakta itu salah. Sebaliknya dakwa mereka Salahudin
memerangi dahulu Syiah di Mesir sebelum membebaskan al-Quds. Lalu mereka
menganggap inilah cara untuk Islam menang; Syiah mesti diperangi habis-habisan!
Yang mendakwa sedemikian
meminta saya rujuk fakta sejarah. Malangnya sehingga hari ini saya masih belum
menjumpai dakwaan tersebut dalam mana-mana tulisan sejarawan Islam. Daripada
apa yang saya belajar dan baca, semuanya mengiyakan fakta yang disebut TGHH.
Oleh itu saya akan ceritakan sedikit berkenaan sejarah gemilang itu.
Sebelum ini, tentera
Salib menguasai Baitul Maqdis setelah menawan daripada umat Islam dalam
beberapa kempen perang Salib. Umat Islam pula berada dalam keadaan yang amat
lemah. Waktu itu bukan tiada khilafah, tetapi khilafah berpecah dengan amat
dahsyat.Tiga khalifah wujud pada satu masa. Khalifah Abasiyah di Baghdad, saki
baki Khalifah Umawiyah di Andalus, dan Khalifah Fatimiyah di Mesir.
Keadaan ini menyebabkan
umat Islam mudah diratah musuh. Sewaktu Andalus diserang oleh pakatan Ratu
Sepanyol Isabella dan Raja Perancis Ferdinand, Abasiyah dan Fatimah membiarkan
sahaja. Sewaktu Tatar menyerang Baghdad, umat Islam lain tidak menghulur
bantuan. Keadaan inilah juga yang memudahkan tentera Salib menawan kota ketiga
teragung umat Islam Al-Quds.
Kebangkitan Islam mula
berlaku di zaman Sultan Imamuddin al-Zinki, seorang raja Kurdis. Akibat
tindakan General Arnold yang menyekat jalan jemaah Haji bahkan membunuh dan
merampas segala kelengkapan mereka, Imamudin berazam untuk mematahkan kemaraan
tentera Salib itu. Beliau memulakan dengan menyatukan kepimpinan wilayah Halab,
Mosil dan Jazirah dan akhirnya berjaya membebaskan wilayah Raha dari genggaman
Salib Biyzanti.
Di zaman Nuruddin Zinki
pula yang merupakan Gabenor Halab, beliau berjaya menggabungkan kembali
kekuatan Islam dari Iraq ke Syam bahkan terus memanjang sehingga ke Mesir. Pada
ketika itu, Mesir di bawah Fatimiyyah telah diserang tentera Salib. Kerajaan
Mesir telah meminta bantuan dari Kesultanan Kurdis dengan ganjaran jawatan
Menteri di Mesir. Lalu Nuruddin mengutuskan Asaduddin Syirkuh memimpin tentera Kurdi.
Namun walaupun berjaya mempertahankan Mesir dan menjawat jawatan menteri, hayat
Asadudin tidak bertahan lama dan mati. Beliau digantikan oleh saudaranya
Salahuddin al-Ayyubi.
Seindah namanya,
Salahudin yang memang Salih itu memimpin kekuasaannya dengan adil dan disukai
rakyat. Di sebalik keluhuran pekertinya, beliau memendam hasrat yang besar,
untuk membebaskan al-Quds suatu hari nanti.
Atas matlamat itu,
Salahudin melancarkan kempen kesatuan Islam sejagat. Tiap-tiap minggu, beliau
memerintah para khatib Jumaat untuk menyampaikan mesej persaudaraan dan
kesatuan. Beliau juga meminta mereka mendoakan khilafah Abasiyyah di Baghdad
dalam khutbah mereka. Hasil dari gerakan aman dan penuh ilmiyah ini, akhirnya
gugurlah khilafah Fatimiyyah dan semua mereka memberikan wala' kepada khilafah
Abbasiyah.
Peristiwa ini berlaku
pada 1171m/567h. Salahudin mendapat gelaran Malik An-Nasr (Raja yang
Memenangkan). Pun begitu, beliau tidak menghapuskan fahaman sesat Syiah dengan
kekerasan. Sebaliknya menjadikan Universiti al-Azhar yang diasaskan Syiah
sebagai lubuk ilmu utama umat Islam, diajarkan Fiqh berbagai mazhab tanpa
taasub kepada mana-mana fahaman.
Saya tidak tahu bagaimana
sukatan al-Azhar terkini. Tetapi sehingga awal kurun sekarang, matapelajaran
Fiqh masih lagi dipelajari menerusi 8 mazhab termasuk mazhab Syiah di samping 5
mazhab Sunni. Ini membuktikan gerakan diplomasi yang dipelopori
Salahudin membuahkan hasil yang amat baik buat Islam merentas generasi.
Walaupun Salahudin
memiliki pengaruh yang besar, beliau tidak menggunakannya demi matlamat
individualnya. Sebaliknya beliau tetap memberi wala' kepada khilafah Abbasiyah
yang ketika itu dipimpin oleh Khalifah Mustadhi' Binurillah.
Melihat kebangkitan ini,
tentera Salib tidak berdiam diri. Mereka berusaha menggagalkan kesatuan yang
kian berpadu ini. Mesir telah diserang berkali-kali. Antaranya di Dimyat tahun
1170 dan Alexandria tahun 1172. Mereka juga menghasut beberapa kumpulan syiah
di utara Mesir untuk memberontak. Tetapi semuanya berjaya dipatahkan sultan
agung ini.
Tahun 1187, peperangan
Hittin pun tercetus. Raja Salib Baitul Maqdis, Lousinian bersama saudara telah
ditawan. Ramai pemimpin Salib ditangkap tetapi atas keluhuran budi
Salahudin, mereka semua dibebaskan kecuali Raja Kirk, Arnold yang telah membunuh
jemaah Haji suatu masa dahulu. Dia telah dibunuh sebagai pengajaran dan balasan
atas ribuan nyawa yang terkorban.
Tanggal hari Jumaat 27
Rejab 583h bersamaan 12 Oktober 1187; kota suci al-Quds berjaya dibebaskan.
Lebih 70 000 orang Kristian ditawan. Walaupun adat peperangan waktu itu,
tawanan perang akan dibunuh beramai-ramai atau dijadikan hamba sebagaimana yang
dihadapi umat Islam, tetapi Salahudin membebaskan kesemua mereka.
Tindakan mulia beliau
menyebabkan dia dikenang hingga ke hari ini. Namanya disanjung sekalian
sejarawan zaman berzaman termasukla daripada barat. Kuburnya di Damascus
diziarahi bukan sahaja oleh orang Islam, malah turut dilawati bukan Islam.
Sejarah agung ini perlu
diulang kembali. Pembebasan al-Quds perlu dijadikan wasilah untuk menyatukan
ummah. Persetankan segala perbezaan mazhab dan sektarian buat seketika. Gerakan
secara ilmiah wajib dipergiatkan sentiasa.
Ini bukan bererti redha
dengan tindakan kejam sesetengah penganut Syiah di Syria, bahkan tidak juga
setuju perangai penganut ahli sunnah wal jamaah ISIS. Menyokong mana-mana
pejuang mengangkat senjata bagi memerangi sesama Islam bukanlah penyelesai bagi
masalah. Lebih buruk lagi, apabila kita yang mendakwa Sunni sanggup menerima
bantuan barat proksi zionis untuk memerangi Syiah.
Inilah fitnah akhir
zaman! Nabi telah menggambarkan fitnah itu bakal membuatkan umat Islam
bercakaran sesama sendiri. Dalam Hadis Riwayat Abu Daud, Rasulullah berpesan
apabila tiba saat itu, jangan mengambil perang sebagai jalan menyelesaikan masalah.
Sabdanya:
فكسّروا قِسِيّكُمْ وقَطِّعُوا أوْتَارَكُمْ واضربُوا سُيُوفَكُمْ بِالحجارة، فإِن دُخِلَ يَعْنِي عَلَى أحَدٍ منكم فَلْيَكنْ كَخَيْرِ ابْنِي آدَمَ".
"Maka patahkanlah panah kamu, potonglah tali busurmu dan pukullah mata pedangmu ke atas batu (sehingga tumpul supaya tidak dapat berperang. Sekiranya mereka datang ke arah kamu, maka bertindaklah seperti salah seorang anak Nabi Adam (Habil)."
Kisah Habil direkodkan
dalam surah al-Maidah:
"(Habil berkata) Demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Qabil) hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;
Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim."
"(Habil berkata) Demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Qabil) hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;
Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim."
Berhati-hatilah teman.
Mengiktiraf sebuah perjuangan sebagai jihad bukanlah semudah yang disangkakan.
Mudah-mudahan yang telah terkorban terselamat dari seksa tuhan.
(Alang Ibn Shukrimun)
No comments:
Post a Comment