Friday, December 16, 2016

MENYEMBUNYIKAN ILMU



Di kalangan orang Islam ada juga orang alim yang bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin yang zalim. Mereka menyembunyikan ilmu mereka, menyembunyikan ayat-ayat Quran yang mereka tahu menyebabkan orang ramai menjadi keliru.

Kepada mereka ini Ibni Kathir mengatakan perlu dibaca hadis nabi SAW:    

“Barangsiapa yang menyembunyikan sedikit daripada ilmu yang Tuhan berikan kepadanya, tidak memberitahu kepada orang, Tuhan akan simpalkan mulutnya dengan api neraka pada hari kiamat.”

Ini ditujukan kepada ulamak-ulamak Islam dan orang tahu agama tetapi tidak menyampai dengan sebenar sebagaimana yang ada dalam Quran dan hadis nabi SAW.

Hari ini orang Islam menghadapi ujian yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terdiri daripada kuasa-kuasa besar dunia yang takut dengan kebangkitan Islam yang berlaku dalam dunia Islam pada hari ini.
                 
Oleh kerana mereka merasakan tidak berjaya menyekat kebangkitan Islam yang berlaku hari ini, kerana orang Islam hendak juga kepada Islam, lantas mereka mengemukakan Islam bentuk baru. Islam ini tidak ada amal ma’aruf dan nahi mungkar, Islam yang tidak melaksanakan kukum qisas dan hukum hudud.

Jadi orang murtad mesti dibiarkan kerana jika diganggu bercanggah dengan kebebasan beragama.

“Jika orang Islam murtad diambil tindakan maka bercanggah dengan hak asasi manusia dan hak asasi manusia termasuklah kebebasan beragama”, kata mereka.

Kita dapati kerajaan-kerajaan orang Islam hari ini membiarkan orang murtad kerana mengikut arahan kuasa-kuasa besar dunia. Akibatnya mereka mengambil kesempatan menyebarkan agama Kristian dan agama-agama lain daripada Islam dengan menggunakan wang, perempuan untuk dikahwinkan, rawatan dan menggunakan segala kesenangan dan kemewahan untuk menarik orang Islam masuk agama mereka.

Berita penangkapan pengembang agama Kristian dari Korea oleh golongan Taliban di Afganistan disiarkan seluruh dunia. Taliban telah membunuh dua orang pengembang agama Kristian yang dimasukkan ke Afganistan untuk menyebarkan agama Kristian.

Jika di Afganistan dan di Iraq, negeri yang bergolak masa itu mereka hantar pengembang agama Kristian maka bagaimana negeri orang Islam macam Malaysia yang tidak bergolak. Sudah tentulah mereka hantar lebih ramai lagi untuk menarik orang Islam menjadi murtad.

Menjadi murtad tidak semestinya masuk agama lain. Murtad boleh terjadi dengan mengingkar mana-mana hukum yang ada dalam Quran.

Ulamak-ulamak mestilah berani menerangkan perkara ini kerana ulamak-ulamak ialah pewaris nabi. Mereka adalah penyambung perjuangan nabi-nabi. Jika tidak menerangkan kepada orang ramai bermakna mereka khianat amanah yang diberi kepada mereka sebagai penyambung ajaran yang ditinggalkan oleh nabi-nabi ASTS.

Berbagai-bagai cara dibuat oleh penjajah untuk menipu orang Islam. Setelah gagal memisahkan orang Islam daripada agama Islam, mereka membawa Islam bentuk baru tetapi murtad dan maksiat dibiarkan. Hukum hudud dan hukum qisas tidak dilaksanakan walaupun berlaku banyak jenayah.

“Hukum hudud dan hukum qisas bercanggah dengan hak asasi manusia”, kata mereka. Hukum itu dikatakan keras walaupun jika dilaksanakan dapat mengatasi penjenayah yang menembak dan merompak orang di sana sini.

Ulamak-ulamak pula mendiamkan diri sedangkan mereka mengetahui Islam mesti didaulatkan supaya dapat melaksanakan hukum-hukum itu.

Tujuan Allah Ta’ala menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk kepada orang Islam supaya orang Islam jangan jadi macam ulamak-ulamak Yahudi dan Nasrani.

Sekiranya ulamak-ulamak Islam berperangai menyembunyikan ilmu, menyembunyikan hukum dan tidak berani menerangkan kepada orang ramai perkara sebenar atau mendiamkan diri menjadi syaitan bisu sebagaimana kata Syeikh Ali bin Dakkab:

“Orang yang diam dalam perkara benar adalah syaitan bisu”

Ini satu ajaran yang tidak betul dan Allah Ta’ala melaknat ulamak-ulamak itu. Malaikat-malaikat di langit melaknat, binatang-binatang yang melata dibumi dan yang duduk dalam lubang, ikan-ikan yang duduk di laut dan burung-burung yang terbang di udara melaknat ulamak-ulamak yang menyembunyikan ilmunya.

Mereka dilaknat oleh semua yang melaknat disebut dalam suratul Baqarah:

“Sesunggunya mereka yang menyembunyikan keterangan-keterangan yang Kami nyatakan di dalam kitab lalu dia tidak menerangkan kepada manusia mereka itu ialah orang yang dilaknat, yang dikutuk oleh Allah dan dilaknat oleh semua yang melaknat iaitulah malaikat-malaikat dan makhluk-makhluk yang zahir dan yang ghaib.”

Semua melaknat ulamak-ulamak ini melainkan mereka yang bertaubat, dengan menerangkan dan membaiki semula.

Cara bertaubat ialah mereka tidak boleh duduk di rumah bertahjud, bersembahyang dan beristighfar sahaja tetapi mesti mengadakan ketiga-tiga perkara itu.

Mereka mesti turun di tengah-tengah gelanggang memberitahu orang ramai mereka silap kerana dia diam dalam perkara ini.

“Melainkan mereka yang bertaubat dan mengislahkan dan menerangkan.”

Tiga perkara mesti dilakukan baharulah taubatnya diterima.

“Mereka itulah mereka yang Aku terima taubat mereka dan Aku Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Disebut dalam ayat yang lain dalam surah al-Baqarah:

“sesungguhnya mereka yang menyembunyikan perkara yang ada dalam kitab Allah (tidak menerangkan kepada manusia) tidaklah mereka makan hasil daripada mereka diam itu (mereka boleh banyak wang) tidaklah mereka makan melainkan api neraka

(mereka masukkan api neraka dalm perut mereka, mereka memakai pakaian api neraka, mereka naik kereta, kereta menjadi api neraka) pada hari kiamat kelak yang membakar mereka dan Allah tidak membersihkan mereka.”

Allah Ta’ala tidak membersihkan mereka dan tidak memandangkan mereka dengan pandangan rahmat dan mereka mendapat azab yang pedih pada hari kiamat kelak.

Banyak lagi ayat yang menerangkan tentang perkara tersebut. Bila dibaca dan dipelajari tafsir Quran maka bertemulah dengan ayat-ayat yang menyakitkan hati kepada mereka yang tidak menjalankan kewajipan terhadap agama Allah.
 
Firman Allah Ta’ala maksudnya:

“Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhamad SAW bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang telah mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang tidak mereka lakukan jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa dan sebenarnya mereka akan memperolehi azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Ayat ini berkait dengan mereka yang terdahulu iaitulah di kalangan ulamak-ulamak ahli kitab dan di kalangan ulamak jahat. Sudahlah mereka menyembunyikan ilmu, mereka sangat mengharapkan pujian orang padahal mereka tidak melakukan risalah menyambung amanah nabi-nabi ASTS untuk menegakkan Islam.

Mereka adalah pengkhianat dan tuhan kata kepada nabi SAW:

”Jangan engkau menyangka wahai Muhamad mereka ini berjaya lepas daripada azab neraka pada hari kiamat kelak.”

Walaupun di atas dunia mereka bijak dan boleh menipu, pada hari kiamat mereka tidak boleh menipu kerana mereka akan didedahkan oleh Allah Ta’ala.

Kadang-kadang Allah Ta’ala mendedahkan di atas dunia. Mereka tidak mendapat berkat dan pertolongan daripada Allah.

Mengikut satu kaul lain ayat ini berkait juga dengan golongan munafik. Golongan munafik ialah golongan yang menunjuk-nunjuk dia Islam padahal dia tidak Islam. Golongan ini sangat suka dipuji tetapi dalam masa yang sama dia menghancurkan Islam. Mereka ini tetap dilaknat oleh Allah Ta’ala.

KULIAH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment