Sunday, December 11, 2016

SIFAT GOLONGAN ISLAM



Sepanjang zaman wujud golongan atau kumpulan yang memelihara agama Islam. Kumpulan pertama dibuktikan oleh para sahabat RA dan diikuti oleh kumpulan-kumpulan lain. Cahaya agama Islam tidak boleh dipadamkan kerana agama Islam dipelihara oleh Allah.

Barang siapa yang lari daripada kumpulan ini maka rugilah dia di dunia dan di hari akhirat.

Allah SAW menyatakan sifat kepada kumpulan ini:

YUHIBBUHUM WAYUHIBBU NAH (Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah)

Apa makna mengasihi Allah?

Firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Katakanlah kiranya kamu mengasihi Allah ikutlah nabi Muhamad SAW nescaya kamu dikasihi oleh Allah, Dia mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang.”

Inilah yang dikatakan oleh ulamak tafsir bahawa Quran yang menafsirkan ayat ini. Ada ayat Quran yang ditafsirkan oleh ayat Quran sendiri, ada ayat Quran yang ditafsirkan oleh nabi SAW, ada ayat Quran yang ditafsirkan oleh para ulamak sahabat dan ayat Quran yang ditafsirkan oleh para ulamak kemudian sehingga hari ini.

Allah Ta’ala menafsirkan YUHIBBUHUM WAYUHIBBU NAH (Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah). Maknanya mereka mestilah mengikut nabi Muhamad SAW. Mengikut semua ajaran yang dibawa oleh nabi Muhamad SAW yang dinamakan ajaran Islam.

Bermula daripada mengucap dua kalimah syahadat, mengaku menjadi orang Islam, mengerjakan ibadat, menyembah Allah Ta’ala, berumah tangga secara Islam, berjiran secara Islam, bermasyarakat secara Islam, bermuamalat dan bercocok tanam secara Islam sehinggalah mendirikan kerajaan secara Islam.

Sebagaimana perjalanan nabi Muhamad SAW dalam masa 23 tahun bermula daripada mengajak orang masuk Islam sehingga mengajak mendirikan kerajaan Islam. Nabi SAW tidak diterima oleh Mekah tetapi diterima oleh orang Madinah.

Nabi berhijrah ke Madinah dan mendirikan kerajaan Islam di Madinah. Sebuah kerajaan yang memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukun mengikut ilmu politik. Ini menggambarkan bahawa nabi SAW beramal dengan amalan politik untuk mendirikan sebuah kerajaan.

Nabi SAW berjuang mengorbankan para sahabat yang gugur syahid sehingga jasadnya sendiri menerima luka-luka di medan perjuangan dan menghadapi kesusahan. Dalam masa yang sama mengajak orang masuk Islam dan mengajak kerajaan-kerajaan diseluruh dunia masuk Islam.

Nabi SAW mengirim surat kepada kerajaan Rome dan Farsi, kerajaan Mesir, kerajaan Bahrain, kerajaan Oman dan kerajaan-kerajaan lain mengajak kerajaan-kerajaan itu dan rakyatnya masuk Islam.

Orang-orang tidak boleh dipaksa masuk Islam, tetapi Islam mestilah memerintah dan mereka yang tidak masuk Islam mesti tunduk kepada pemerintahan Islam.

Bukanlah Islam menjadi agama yang diam, cukup dengan diri masing-masing, beramal untuk diri dan puak masing-masing dan tidak ada negara memerintah secara Islam. Itu bukan cara Islam yang diturunkan oleh Allah semenjak nabi Adam sehingga nabi Muhamad SAW.

Islam adalah agama yang sempurna. Sebelum nabi SAW wafat ketika perjalanan melakukan haji wadak (selamat tinggal) Allah mengistiharkan agama Islam agama yang sempurna dalam firmannya:

“Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa daripada agama kamu maka jangan kamu takut kepada mereka, takutlah kepada Allah, pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan untuk kamu nikmat Ku dan Aku redha Islam menjadi agama kamu.”

Apa makna orang-orang kafir berputus asa daripada agama Islam?

Mereka tidak boleh melawan agama Islam sama ada lawan dengan hujah atau lawan dengan peperangan. Mereka kalah lawan dengan hujah. Allah Ta’ala tunjukkan pada hari ini kegagalan politik, ekonomi, banyak jenayah kerana beramal dengan cara yang lain daripada Islam.

Hanya Islam sahaja yang boleh menyelamatkan manusia dalam semua urusan.

Peperangan juga tidak boleh menghapuskan agama Islam. Mereka menyerang Islam semenjak ribuan tahun, semenjak zaman nabi Muhamad SAW. Allah Ta’ala menjadikan agama Islam ini dalam keadaan timbul tenggelam dan umatnya dalam keadaan pasang dan surut. Kadang-kadang Islam menang dan kadang-kadang kalah.

Negeri Islam ada yang dijajah dan dibunuh ulamak-ulamak serta masjid dibakar. Di negara komunis masjid ditukar menjadi tempat pelihara babi, ada dijadikan panggung wayang dan berbagai-bagai tempat lagi.

Bila komunis tumbang orang Islam masih ada di negara komunis dan mereka bangkit semula. Walaupun kerajaan Islam jatuh mereka tidak boleh memadamkan cahayanya. Allah Ta’ala berjanji Islam tetap dipelihara dan Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menyempurnakan agama Islam.

Agama Islam adalah agama yang sempurna. Agama yang mengajar semua urusan hidup manusia.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment