Saturday, December 17, 2016

MENYIMBAH PETROL MEMBUNUH DIRI (LANGKAH SELAMATKAN ISRAEL)



12 PETIKAN ISI PENTING
TULISAN AYAH CHIK

1. Sejarah merakamkan apabila Negara Haram Israel diisytiharkan mengikut jadual perjanjian Sykes-Picot, berikutnya ditubuhkan negara-negara arab yang dibahagikan kepada pemimpin yang menyokong kuasa besar menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah di atas semangat masing-masing. Samaada nasionalisme Arab atau Sunnah Wahabi Salafi yang menentang Sunni yang tidak semazhab termasuk Turki Uthmaniyyah, begitu juga Shah, Iran bermazhab Syiah dan Raja Yaman bermazhab Zaidiyyah.

Maka kini kalangan negara itu manyambut hari kebangsaan masing-masing kerana berjaya menghalau Turki Uthmaniyyah yang dianggap penjajah dengan sokongan Kuasa Besar Timur dan Barat yang dianggap sahabat karib, berbeza dengan hari kebangsaan kita disini kerana bersempana keluarnya penjajah British dan Belanda.

2. Di tengah kegembiraan mendapat takhta dan kuasa dengan perlindungan pengkalan tentera negara besar yang bertapak di negeri masing-masing sehingga hari ini, tiba-tiba Negara Israel diisytiharkan tahun 1948 secara haram dan ganas. Kumpulan Islam dan beberapa kumpulan nasionalis bangkit berperang menentang penubuhan Negara Israel dimasa itu di atas nama Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab, melaksanakan hasil pertemuan bersejarah di antara Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh di awal abad yang lalu dan di antara Imam Hasan Al-Banna dan Imam Khumaini yang masih muda ditahun 1938.

Hasilnya tercetus kesedaran menentang penubuhan Negara Israel, walau pun hilangnya Khilafah, namun kebangkitan ini dikecewakan oleh negara arab dan Islam yang bersekongkol dengan kuasa besar. Banyak pemimpin menentang penubuhan Israel ditahan di negeri masing-masing kerana bersama perjuangan Palastin bahkan ada yang dibunuh, seperti Hasan Al-Banna daripada gerakan Ikhwan Muslimin Mesir (1949) dan Nawwab Safawi daripada gerakan Fidayyan Islam di Iran (1955) dan lain-lain, namun perjuangan Palastin gagal dipadamkan walaun pun memakan zaman beberapa dekad dan bersenjatakan batu dan tangan.

3. Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat dibimbangi oleh semua kuasa besar dunia yang terus bermusuh terhadap Islam yang mendaulatkan negara, bersamanya berlaku Intifadah di Palestin yang gagal dipadamkan. Revolusi Islam di Iran yang tidak dijangka, kejayaan Mujahidin Afghanistan menghalau Tentera Soviet, serta kemaraan parti berteraskan Islam di beberapa negara yang agak bebas. Kuasa Besar yang semuanya bersekongkol menubuhkan Negara haram Israel tidak senang dengan semua perubahan kepada Islam tanpa mengira mazhabnya, termasuk yang bersikap menentang Israel tanpa mengira ideologinya.

4. Islam telah berjaya memerintah masyarakat majmuk dengan aman lebih daripada seribu tahun. Pemerintah yang adil dan penyelesaian perbezaan mazhab dengan ilmu dan kebijaksanaan oleh para ulamak telah berjaya menyatukan umat. Mazhab Salaf dan Khalaf sudah wujud dalam aspek aqidah, juga Mazhab Fiqh Sunni, Syiah dan Khawarij kerana politik dalaman umat juga sudah lama bertapak, di samping Tareqat Sufi berbagai nama. Kezaliman dan krisis dalaman umat diselesaikan di atas konsep kesatuan umat, dengan sabar dan ilmu tanpa campur tangan asing.

5. Pihak kuasa besar di zaman kini tiba-tiba berjaya melagakan umat Islam dengan mencetuskan peperangan secara wakalah (proksi) dengan mengambil peluang daripada pemerintahan kuku besi yang zalim di negeri-negeri yang menindas dengan perlindungan mereka juga, dengan mengumpan golongan yang menentang kerajaan termasuk bantuan senjata bagi melahirkan kalangan pelampau di atas nama Islam dan jihad tanpa feqah dan siyasah syariyyah.

6. Saya tetap berpegang dengan Mazhab Ahli Al-Sunni Wa Al Jamaah dengan keimanan, ilmu dan keyakinan, namun kita diajar tidak mudah mentakfirkan dan menyesatkan mana-mana ahli kiblat yang satu yang berlainan mazhab, walau pun qaulnya terlalu lemah dan ditolak oleh Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun dasar dan rukunnya masih bersamaan.

7. Majmak Fiqh OIC di Jeddah dan Majmak Buhus Al-Azhar Mesir telah menyenaraikan lapan Mazhab dan beberapa yang lain adalah golongan Ahli Al-Qiblah, sehingga semuanya datang ke-Makkah tanpa halangan. Majmak Buhus Islamiyyah di Mesir mengeluarkan Enseklopedia Fiqh lapan mazhab Ahli Al-Qiblah.   Maka sangat malang kalau fatwanya terkini mengikut arus kuasa besar Timur dan Barat yang mempermainkan para ulamak kita, kerana dipergunakan oleh kerajaan yang bertawakkal kepada perlindungan Nato bukannya pertolongan Allah.

8. Saya menyaksikan dalam hidup saya di negara arab, bagaimana para Jamaah haji bermazhab Syiah daripada Iran, Lubnan, Yamen dan yang lain, di zaman Shah berkuasa di Iran, ketika berhubungan diplomatik yang kukuh dengan negara Israel, di masa itu Iran yang penuh dengan pelacuran, judi, arak dan segala maksiat yang bebas juga bagi jiran arabnya, para jamaah hajinya pula bersembahyang berasingan tanpa mengikut Imam Masjid Makkah dan Madinah, betapa ulamak di masa itu tetap menerima Zaidiyyah dan Imamiyyah, Wahabiyyah dan tidak Wahabiyyah adalah kalangan umat Islam.

Tetapi selepas Revolusi yang dipimpin oleh Imam Khumaini kerana mazhabnya Syiah, bersikap berani terus memutuskan hubungan dengan Negara Israel dan mengisytiharkannya negara haram, negaranya mengharamkan segala kelucahan, sehingga pelancung wanita barat diwajibkan berpakaian sopan, judi, arak dan pelacurannya dimusnahkan, perkara yang tidak khilaf daripada semua mazhab.  Para jamaah hajinya diarahkan sembahayang bersama satu imam sahaja, tiba-tiba fatwa-fatwa mengikut arahan kenyataan Bush, Obama dan John Kerry, mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, di arah supaya sunni menyerang  syiah habis-habisan dan syiah menyerang sunni, atau sesama mazhab kerana berbeza kebangsaannya, tanpa hujah ilmu yang bijak dengan meletakkan semuanya dalam satu bakul.

9. Isu Takfir dan menyesat dalam satu umat menjadi sumbu fitnah. Tanpa dinafikan adanya kelakuan murtad di kalangan umat, tetapi Islam menyelesaikannya secara keluarga dalam satu umat dan ilmu dengan konsep menyelamat aqidah secara bijak, termasuk yang murtad kerana kejahilan sendiri dan tipu daya musuh. Lebih malang lagi berdakwah mazhab dalam satu umat, apabila dihidupkan paksaan sunnah mazhab Wahabi di kalangan sunni yang lain atau bertempur syiah dan sunni dalam satu umat, padahal kita tidak diizinkan memaksa orang bukan Islam menganut Islam, tidak dibenarkan memusnahkan gereja dan membunuh paderi dan sami, kerana konsep tiada paksaan dalam agama, mengapa berperang kerana mazhab dan kaum?

10. Percayalah bahawa Israel dan sekutunya tetap berperang dengan sesiapa sahaja yang tidak mengiktirafnya tanpa mengira mazhab Sunni atau Syiah dan Wahabiyyah atau Asyairah/Maturidiyyah tanpa mengira ideologi kanan atau kiri. Mereka akan mengekalkan Negara Islam dan Parti Islam tanpa cita-cita pelaksanaan Islamnya dan berpolisi mengiktiraf Israel atau bermujamalah dengannya.

11. Perkara-perkara yang menakjubkan ialah negara serantau khususnya negara-negara Arab sedang menggali kubur sendiri mengikut pelan yang dilakar dan diatur oleh kuasa bekas penjajah, menghidup atau menyuburkan semula krisis mazhab, kaum, kabilah dan ideologi asing. Tujuannya, menubuhkan negara baru mengikut pecahan mazhab Sunni dan Syiah, Arab, Kurdis dan Turkuman, mengikut pengaruh Timur dan Barat tanpa Islamnya.

12. Sangat tidak patut menerima jaminan Naib Presiden Amerika Syarikat John Baiden bahawa Amerika akan membatu Turki dan Arab bagi menentang Syiah.

Maka sepatutnya Arab, Iran dan Turki bersatu bersama Islam menjadi barisan hadapan kepada seluruh umat Islam, menghadapi Israel dan semua kuasa besar dibelakangnya. Malangnya dilagakan untuk menghancur diri sendiri, sehingga perjuangan Palestin dibiarkan bersendirian.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

22 Februari 2016
13 Jamadil Awal 1
Susunan
(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment