Friday, December 2, 2016

NASIONALISMA (FAHAMAN KEBANGSAAN)



Alkaumiah yakni nasionalisma ataupun fahaman kebangsaan ialah antara ajaran yang MENYELEWENG daripada aqidah Islam kerana taksub kepada sesuatu kaum atau bangsa.

Suatu fahaman yang menjadikan ikatan dengan satu golongan dari segi bangsa atau keturunan atau bahasa atau kawasan negeri sebagai satu aqidah perjuangan bagi menegakkan kepentingannya tanpa mengira batas-batas keadilan menurut ajaran Islam sehinggalah fahaman ini dijadikan falsafah politik, ekonomi dan kegiatan-kegiatan lain.

Ini bererti kita jadikan kasih kepada satu golongan sama ada mengikut bangsa (bangsa Melayu, Arab) atau keturunan seperti keturunan Yahudi (mengikut Yahudi selain daripada bangsa Yahudi semuanya tidak berguna). Begitulah jika kita anggap selain daripada Melayu semuanya karut.

Ini fahaman karut kerana semua bangsa dijadikan oleh Allah Ta’ala. Bahasa atau yang bertutur dengan satu-satu bahasa adalah dijadikan oleh Allah. Bahasa Arab, Inggeris, China, Melayu dan lain-lain, atau kawasan negeri iaitu rakyat bagi satu-satu negeri dijadikan sebagai satu aqidah (suatu keyakinan kepada perjuangan) yang menentukan falsafah (ajaran politik negara, ekonomi dan kegiatan) adalah karut.

Dalam politik tidak boleh berkuasa melainkan daripada keturunan itu sahaja. Dalam ekonomi susah macam mana sekalipun, kalau bangsa lain tidak boleh diberi pertolongan. Ini adalah ajaran nasionalisma, fahaman yang dilarang oleh Islam, bercanggah dengan aqidah.

Ajaran ini juga lahir daripada memisahkan agama dengan dunia. Agama tidak dijadikan dasar dan panduan dalam kepentingan ekonomi, politik dan lain-lain. Tetapi kecenderungan kepada bangsa dan puak menjadi ukuran dalam semua perkara sehingga mengatasi aqidah yang dinamakan agama.

Bahkan kecintaan kepada bangsa lebih daripada agama.

Sebagai contoh apabila orang China masuk Islam kita kata masuk Melayu. Inilah dia nasionalisma tanpa disedari yang diajar oleh orang putih. India masuk Islam kita kata masuk Melayu. Kalau China masuk Islam sampai mati mualaf.

Orang Melayu tidak mualaf, padahal ramai orang Melayu mualaf. Orang Arab pun ada mualaf yang dijinakkan kepada Islam. Oleh kerana fahaman Islam tidak betul maka menjadi celaru.

Ini adalah pengaruh nasionalisma yang dilarang oleh nabi SAW.

Di zaman dahulu fahaman ini dinamakan ASABIAH, penafsirannya dalam bidang yang sempit iaitu perjuangan untuk kumpulan yang lebih kecil dinamakan kabilah atau keluarga yang mesti dipertahankan walaupun atas dasar dan tindakan yang zalim. Keluarga tetap dibela walaupun salah.

Sabda nabi SAW:

“Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru ke arah asabiah, bukan dari kalangan kita orang yang berperang atas dasar asabiah dan bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar asabiah.”

Jadi nabi tidak mengaku umat orang yang menyeru atas dasar asabiah, berperang di atas dasar asabiah dan mati di atas dasar asabiah.

Seorang sabahabat RA bertanya: “Apakah dia asabiah itu wahai Rasulullah?”

Sabda Rasulullah SAW:

“Asabiah itu ialah bahawa kamu menolong kaum kamu di atas dasar kezaliman.” Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Wannasai

Zalim menurut Islam ialah meletak sesuatu tidak betul menurut hukum Allah.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment