Friday, December 2, 2016

NASIONALISMA SENJATA MENENTANG ISLAM



Setelah musuh-musuh Islam melalui penjajahan berjaya menanamkan semangat nasionalisma ataupun aliran fahaman kebangsaan dalam diri orang Islam maka fahaman ini dijadikan senjata untuk menentang Islam.

Musuh-musuh Islam telah berjaya menggunakan fahaman ini untuk memecahkan perpaduan umat Islam melalui saluran politik dengan menggalakkan kewujudan negara-negara yang berasaskan fahaman ini di kalangan umat Islam sehingga mereka dipisahkan diantara satu sama lain dengan semangat bangsa masing-masing dan oleh sempadan negeri masing-masing sehingga orang-orang Islam yang bukan berbangsa Turki membantu penjajah untuk menjatuhkan khilafah Uthmaniah dan bangsa Turki pula merendahkan saudara-saudara seagama yang bukan bangsa Turki.

Akhirnya mereka berjaya memecahkan orang Islam melalui semangat kebangsaan. Sebelumnya orang Islam mempunyai kuasa besar dunia iaitulah kerajaan Uthmaniah yang berpusat di Istanbul apabila keluarga Uthman iaitulah Uthman bin Razi bin Urtuhun, pemipin bangsa Turki yang telah berjaya mendirikan kerajaan Uthmaniah yang berpusat di Bursha, Tanah besar Turki.

Daripada Uthman bin Razi ini digelar kerajaan Uthmaniah. Kerajaan Uthmaniah menjadi benteng yang melindung negeri-negeri Islam daripada serangan kuasa-kuasa besar barat seperti Inggeris, Perancis, Belanda, Rusia dan lain-lain. Laut-laut yang berhubung antara benua dikuasai oleh Armada Uthmaniah, kapal perang Uthmaniah dan bala tenteranya.

Laut hitam, laut Medeteraniam, laut Merah yang merupakan penghubung masa itu dikuasai oleh kerajaan Uthmaniah. Termasuklah Hijaz, Mekah, Madinah itu di bawah kerajaan Uthmaniah yang dipimpin oleh bangsa Turki.

Penjajah telah berusaha pada awalnya untuk memecah orang Islam melalui mazhab di kalangan Sunni dan Syiah. Di Iran ditubuh kerajaan Syiah Imamiah dan di Yaman kerajaan dikuasai oleh Syiah Zaidiah. Kedua-dua kerajaan ini berperang dengan Uthmaniah dengan mendapat sokongan daripada barat.

Tetapi mereka tidak berjaya menjatuhkan kerajaan Uthmaniah. Mereka tidak berjaya memecahkan umat Islam walaupun kerajaan-kerajaan mazhab ini wujud tetapi orang Islam masih bersemangat Islam.

Di Iraq orang Sunni dan Syiah berkahwin antara satu sama lain. Di Yaman ulamak-ulamak Zaidiah mengarang kitab dan kitab Syiah Zaidiah menjadi rujukan kepada ulamak ahli Sunnah. Yang berperang ialah kerajaan-kerajaan mereka dan cuba hendak menjatuhkan kerajaan Uthmaniah. Tetapi mereka tidak berjaya.

Akhirnya mereka meniupkan semangat kebangsaan, semangat bangsa masing-masing. Orang Turki dengan bangsa Turki dan orang berbangsa Arab sehingga orang Turki yang menjadi kuasa besar dunia merendahkan orang Islam yang bukan bangsa Turki.

Orang Islam bangsa Arab pula menganggap Turki sebagai penjajah mereka padahal mereka adalah satu agama sahaja disatukan oleh agama Islam dibawa oleh nabi Muhamad SAW.

Penjajah telah berjaya memecahkan orang Islam melalui semangat kebangsaan. Walaupun di masa itu muncul mujaddid Islam iaitulah para ulamak yang membaharui semangat orang Islam bagi menghidupkan cahaya agama Islam.

Muncul Jamaludin al-Afgani, seorang alim daripada Afganistan dan muncul muridnya Syeikh Muhamad Abduh yang menjadi Syeikh Azha pada masa itu berjuang untuk menyelamatkan orang Islam kembali kepada ajaran Islam. Mengajak mereka supaya menyatukan orang Islam.

Jamaludin al-Afgani, seorang bangsa Afganistan yang fasih berbahasa Arab dan seorang ahli pidato yang boleh membangkitkan semangat kepada orang Islam. Beliau telah dihalau daripada Afganistan pergi ke Iran. Daripada Iran dihalau ke India dan masa itu India ditakluk oleh British.

Beliau telah berjaya mengapi-apikan semangat orang Islam dengan ucapannya yang bernas menyedarkan orang Islam. Masa itu orang India berbalah mengenai Hanafi, Maliki, Hambali, berbalah sama-sama mazhab.

Ucapan Jamaludin al-Afgani antara lain mengatakan bahawa kamu orang Islam di India sekiranya kamu bersatu Allah Ta’ala jadikan kamu kura-kura dengan jumlah kamu yang banyak kamu pergi ke England beramai-ramai kamu berenang dengan jumlah kamu yang ramai kamu boleh menenggelamkan pulau England.

Sekiranya kamu dijadikan lalat dengan jumlah kamu yang ramai dengan suara kamu sahaja kamu boleh menuli dan memekakkan Inggeris.

Ini ucapan yang sangat hebat memberi semangat kepada orang Islam. Lalu British telah menangkap Jamaludin al-Afgani dan dibuang ke Mesir.

Di Mesir dia berjumpa dengan muridnya Muhamad Abduh, orang Mesir dan telah berjaya melahirkan seorang murid daripada orang Mesir yang menyatukan orang Islam. Daripada Muhamad Abduh ada murid Rashid Ridha dari Syria.

Pada masa itu ramai anak-anak orang Islam belajar di Mesir dan di Mekah dan mereka ditiup dengan semangat Islam yang dibawa oleh Jamaludin al-Afgani dan dibawa oleh Muhamad Abduh. Kemudian Muhamad Abduh dan Jamaludin al-Afgani dibuang ke Peranchis.

Anak murid yang balik ke Tanah Melayu, balik ke Indonesia dan balik ke India menyebarkan fahaman untuk menentang penjajah. Maka lahirlah semangat orang Islam untuk menentang penjajah. Tetapi raja-raja dan pemimpin-pemimpin telah berjaya dibeli oleh penjajah.

Dalam masa yang sama ada ulamak-ulamak yang dibeli oleh penjajah maka berlaku perlawanan ini dan agama Islam hidup berkembang tetapi kuasa pemerintahan Islam makin lemah.

Jamaludin al-Afgani yang dibuang ke Peranchis pada akhirnya telah mengeluarkan surat khabar ataupun majalah yang bernama al-Rarratu Wuska. Akhbar ini disebarkan terutamanya kepada jamaah haji yang menguasai bahasa Arab. Akhbar ini diharamkan oleh penjajah dan Jamaludin al-Afgani akhirnya dibenarkan pergi ke Turki.

Di Turki Jamaludin al-Afgani telah berjaya berkawan dengan Sultan Abdul Hamid yang merupakan khalifah Uthmaniah yang akhir. Berkawan dengan Sultan Abdul Hamid dan telah menganjurkan satu fahaman yang dinamakan al-Jamaatul Islamiah.

Al-Jamaatul Islamiah ialah program atau agenda untuk menyatukan semula dunia Islam. Diantaranya disamping menyebarkan ilmu termasuklah juga menyebar jalan kereta api daripada Turki ke Madinah dan ke Mekah. Daripada Mekah ke Iraq, ke Afganistan, Iran dan ke India.

Mengikut caranya orang-orang haji daripada Turki naik kereta api pergi ke Mekah, orang haji daripada Tanah Melayu, daripada IndonesIa dan daripada Thailand naik kapal ke India sahaja, tidak perlu pergi ke Jedah. Di sana mereka naik kereta api dan dengan sendiri akan bertemu dengan orang Islam di tengah-tengah jalan.

Projek kereta api yang besar itu dijalankan dengan derma orang ramai. Dilancarkan perjalanan kereta api daripada Syria ke Hijaz dan itu sudah berjaya dan railnya masih ada lagi di Madinah hingga sekarang.

Dalam masa yang sama penjajah telah menghantar agen-agen mereka. Diantaranya ialah seorang prisip British bernama Laurens. Laurens boleh bercakap Arab tetapi kafir. Beliau telah berjaya berkawan dengan raja-raja Arab, berkawan dengan kabilah-kabilah Arab dan menawarkan bantuan kewangan kepada orang Arab untuk menentang kerajaan Turki yang dianggap sebagai bangsa asing.

Maka senjata diseludup, diberi kepada pemimpin-pemimpin Arab untuk menentang kerajaan Turki. Akibatnya projek kereta api diletup oleh orang Arab supaya projek al-Jamiatul Islamiah gagal.

Akhirnya Turki terpaksa bergabung dengan Jerman dan terlibat dengan Perang Dunia I. Dalam peperangan ini Turki terpaksa berdepan dengan kuasa-kuasa barat. Dalam masa yang sama mereka menentang Turki dari dalam dengan menonjolkan Mustafa Kamal Atartuk, seorang general yang berketurunan Yahudi yang berpura-pura masuk Islam.

Beliau duduk dalam askar Turki dan pada peringkat awal dia berjihad melawan Rusia dan menang.

Akibatnya semua orang Islam puji Kamal Atartuk menyebut mujahid Kamal Atartuk padahal dia seorang kafir yang menghancurkan Islam pada akhirnya.

Walaupun Turki berjaya melawan Rusia tetapi Turki jatuh di negeri-negeri Arab kerana orang Arab bangkit memberontak menentang kerajaan Uthmaniah. Kerajaan Uthmaniah tumbang dengan senjata yang diberi oleh penjajah Inggeris dan Peranchis.

Kemudian orang Arab kononnya hendak mengambil alih khilafah daripada bangsa Turki. Apa yang berlaku ialah penjajah yang telah membantu raja-raja Arab ini telah membahagi negeri-negeri Arab di kalangan raja-raja seperti yang ada pada hari ini.

Negeri-negeri itu ialah Saudi, Qatar, Quet, Bahrain, Imarak dan Imarak pula ada Dubai dan Syarjah. Ini semua mereka yang menolong penjajah dan diberi negeri oleh penjajah barat.

Bila kerajaan Uthmaniah jatuh maka orang Inggeris dan Peranchis, dua kuasa besar dunia masa itu telah mengadakan satu perjanjian dinamakan Sykes-Picot mengambil sempena menteri luar British dan menteri luar Peranchis.

Mengikut perjanjian ini mereka membahagi pusaka kerajaan Uthmaniah di kalangan kuasa-kuasa penjajah. Ada negeri dijaga oleh Peranchis dan ada negeri dijaga oleh British.

Dalam masa yang sama di negeri kita senyap-senyap diadakan Perjanjian Bangkok diantara British dengan Siam. Ada negeri diserah kepada Siam dan ada negeri dijaga oleh British. Ada juga negeri dijaga oleh Belanda.

Dibahagi-bahagikan negeri-negeri Islam di kalangan kuasa penjajah. Orang Islam pada awalnya suka sangat bila menjadi pemimpin. Tambah pula orang Putih beri kereta buruk sebuah yang dibawa dari England. Rakyat pula diajar tidak boleh derhaka kepada raja. Ini penjajah Inggeris yang memain peranan.

Begitu juga apa yang berlaku di negeri-negeri Arab dan berlaku di mana-mana. Dalam masa yang sama Inggeris tidak memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri Arab. Hanya memberi jawatan kepada pemimpin-pemimpin ini tetapi negeri penjajah yang berkuasa. Jadi negeri orang Islam ditakluk dan dijajah.

Selepas Khilafah Uthmaniah dijatuhkan, tiada lagi khilafah, tiada lagi pemerintahan Islam. Tetapi anak-anak murid Jamaludin al-Afgani dan Muhamad Abduh yang duduk di negeri-negeri orang Islam meneruskan perjuangan menentang penjajah ini bagi mengembalikan semula pemerintahan Islam.

Walaupun negara umat Islam hancur lebur cahaya agama Islam tidak boleh dipadamkan kerana tetap dipelihara oleh Allah SWT.

Melalui saluran pendidikan mula dihidupkan kembali zaman sejarah jahiliah bangsa masing-masing dengan menenggelamkan sejarah Islam dan kegemilangan seperti menghidupkan semula sejarah Firaun di kalangan rakyat Mesir, sejarah Majusi di Iran, sejarah Hindu dan Budha di India dan di alam Melayu.

Sejarah ini dihidupkan sama ada diajar di sekolah-sekolah atau melalui alat-alat sebaran am atau pasukan pengkaji sejarah untuk menggali semula barang-barang lama simpanan orang-orang jahiliah untuk disimpan semula, dipuja dan dibanggakan.

Aktiviti ini kadang-kadang dibiayai oleh badan-badan antarabangsa dengan perbelanjaan yang besar yang lebih diutamakan daripada membantu mangsa-mangsa kebuluran di beberapa daerah di dunia ini.
 
Sepatutnya kita bertanya mengapa projek-projek ini lebih banyak ditumpukan di negeri-negeri umat Islam. Mungkin ada orang yang menjawab kerana di negeri kita banyak tamadun tetapi sebenarnya ialah untuk memesongkan kita daripada sumber kekuatan umat yang sebenarnya iaitu Islam.

Mereka menghidupkan tamadun-tamadun jahiliah dengan diajar di sekolah-sekolah. Sejarah Islam diajar juga di sekolah-sekolah. Sejarah Islam diajar iaitu nabi Muhamad memelihara kambing, berkahwin dengan Khadijah dan kemudian pergi ke Madinah. Setakat itu sahaja. Tidak diajar bagaimana tamadun Islam menguasai dunia.

Nama-nama besar dalam Islam seperti Ibni Khaldum, Ibni Sinai dan lain-lain yang mencipta tamadun moden tidak diajar.

Apa yang diajar ialah nama-nama seperti Marco Polo, Vasco da Gama, Columbus, Adam Smith, Darwin dan lain-lain. Buku-bukunya disebarkan supaya kita lupa kepada sejarah Islam, lupa kepada perjuangan Islam dan lupa kepada jasa Islam.

Dibuka sekolah-sekolah dewasa untuk belajar tulisan rumi meninggalkan tulisan jawi. Budaya Islam ditinggalkan supaya orang Islam tidak kuat sangat dalam bab agama kerana jika kuat agama negeri tidak maju. Jika hendak maju macam orang putih kena ikut orang putih.

Ikut apa?

Ikut judinya, ikut araknya dan ikut perangai buruk mereka. Dengan ini ajaran Islam dilupakan.

Kemudian dibuat pejabat urusan agama untuk jaga agama.

Jaga apa? 

Jaga jangan menyebar luas, Jangan ajar lebih daripada yang ditetapkan. Boleh mengajar bab sembahyang, puasa, sembahyang tarawikh, qunut, talqim, kenduri arwah dan membaca doa.

Bila hendak pergi ke Mekah belajar bab haji dan sikit-sikit bab pusaka. Bab zakat hanya zakat fitrah sahaja. Zakat lain tidak perlu diajar.

Jika ada ulamak yang cuba hendak mengajar lebih daripada itu ulamak-ulamak akan ditangkap dan dipenjara atau dibuang negeri.

Oleh itu tinggal tok lebai dan tok guru yang lemah mengajar kepada orang Islam. Kerja pejabat agama masa itu untuk jaga agama supaya agama Islam diajar ikut kehendak penjajah iaitu untuk memenjarakan agama. Perkara-perkara lain agama Islam tiada kuasa.

Ketika penjajah hendak meninggalkan negeri umat Islam kuasa pemerintahan diserah kepada golongan nasionalis walaupun yang berjuang untuk menentang penjajah, yang menjadi korban gugur syahid, merengkak dalam tahanan penjara dan dibuang negari ialah golongan Islam dan para ulamak.

Golongan nasionalis adalah anak-anak negeri yang menjadi pegawai-pegawai kerajaan kepada penjajah. Golongan ini menjadi pemimpin selepas negeri mencapai kemerdekaan.

Mereka bukan pejuang kemerdekaan. Mereka ini menjadi pegawai kepada jabatan penjajah. Orang yang menentang penjajah sama ada dibunuh atau dipenjara atau dibuang negeri. Dibuang ke Afrika Selatan, ke Pulau Sisir, ke Sri Lanka dan lain-lain.

Orang menjadi alat penjajah dilantik menjadi pegawai bila penjajah balik ke negeri mereka. Ini suatu perancangan yang diatur oleh penjajah dan ditulis oleh tokoh-tokoh ilmu antaranya Uxrangi dalam bukunya berbahasa Belanda dan diterjemahkan dalam bahasa Arab dan bahasa Indonesia. Uxrangi mengatakan ulamak-ulamak yang ada agenda politik tidak boleh ditonjolkan dan perlu dihapuskan.

Lord Crawmore, gobenor Inggeris di Mesir dan Sudan mengatakan kita kena beri kemerdekaan kepada orang Islam. Sebelum kita beri kemerdekaan kita kena rancang supaya pemimpin-pemimpin mestilah anak-anak negeri yang meneruskan ajaran kita, fahaman kita dan undang-undang kita. Jangan sekali-kali beri kepada kumpulan Islam.

Yaman Selatan bila Inggeris hendak memberi kemerdekaan, diberi kepada mereka yang menganut fahaman komunis kerana tiada pemimpin yang mengikut dasar Inggeris. Mereka lebih baik beri kepada komunis daripad golongan Islam. Inggeris tidak mahu Islam berkuasa.

Nabi sebut dalam hadis di akhir zaman:

“Penyeru-penyeru ke arah neraka jahnam, barangsiapa yang ikut mereka akan masuk sama dalam neraka jahnam.”

Lalu Khuzaifah bertanya:

“Sifatkan mereka kepada kami wahai Rasulullah!”

Jawab Rasulullah SAW:

“Merek bercakap dengan bahasa kita, kulitnya macam kita juga, inilah penyeru-penyeru ke arah neraka jahnam”

Pemerintah negeri-negeri Islam pada hari ini ialah anak-anak orang Islam yang dididik dan diajar oleh penjajah. Jika ada percubaan untuk balik ke Islam mesti dijatuhkan.
 
Hamas di Palastin, Hizbullah di Selatan Lubnan dan di Sudan pemerintahnya mirip kepada Islam maka dikepung habis-habisan supaya negeri Islam tidak diperintah dengan Islam. Maka mereka melantik orang-orang yang boleh meneruskan dasar mereka.

Ini adalah hasil daripada fahaman nasionalisma (fahaman kebangsaan) yang secara tidak disedari masuk dalam kepala kita. Ada kalangan orang tua bila orang China masuk Islam mereka kata masuk Melayu. Orang-orang kerana tidak faham, menganggap Melayu seolah-olah Islam dan Islam seolah-olah Melayu.

Islam dan Melayu sama sekali berbeza. Arab, Arab dan Islam, Islam. Abu Jahal ialah orang Arab dan Abu Jahal bapa saudara nabi, beranak di Mekah dan mati pun di Mekah tetapi lawan nabi SAW.

Jadi Islam lain dan bangsa lain. Yang menyelamatkan kita ialah Islam bukannya bangsa. Yang menyelamatkan Melayu ialah Islam bukan bangsa.

Jika Melayu tinggal Islam macam Arab, Arab menjadi celaka kerana tinggal Islam. Melayu pun celaka juga jika tinggal Islam. Jika hendak selamat mestilah dengan Islam.

Oleh itu fahaman nasionalis ini telah berjaya meminggirkan Islam. Jadi kita bawa semula Islam ini untuk menyelamatkan orang Melayu, menyelamatkan orang Arab dan semua orang Islam.

Hari ini penjajah telah melancarkan perang Solib baru terhadap dunia Islam. Bukan sahaja perang di Palastin, di Iraq dan di Afganistan mereka melancarkan serangan politik untuk mempertahankan pemimpin-pemimpin yang menjadi alat penjajah di negeri orang Islam.

Mereka mempertahan habis-habisan supaya orang Islam jangan balik semula kepada Islam, berkuasa dan memerintah dengan Islam.

Kita perlu sedar perkara hari kiamat termasuk juga hal-hal pemerintahan negara. Pada hari kiamat kita aka dikumpulkan dengan pemimpin yang memerintah di atas dunia.

Jadi kita perlu beza antara kasih kepada anak-beranak, bangsa atau puak dengan kasih kepada Islam. Bangsa dan Islam adalah dua perkara yang amat berbeza. Jika kita mahu selamatkan Melayu kita perlu tarik Melayu kepada Islam yang berdaulat.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment