Wednesday, November 30, 2016

GOLONGAN KIRI



Apa yang akan dibincangkan wajib kita beriman kerana ceritanya benar daripada Allah SWT.

“Dan golongan kiri (menerima suratan amal dengan tangan kiri) merupakan amalan-amalan jahat. Mereka adalah orang-orang kafir dan zalim. Adakah kamu tahu siapa dia golongan kiri itu?”

Satu soalan yang sepatutnya menggerun dan menakutkan kita.

“Mereka itu berada di dalam samum (angin yang sangat panas yang masuk ke dalam jasad manusia) dan air-air yang mendidih, air yang dipanaskan dengan kepanasan yang berpuluh-puluh kali ganda daripada api di dunia,

dan naungan daripada asap-asap yang hitam yang memanaskan, itulah dia neraka yang tidak ada sejuk dan tidak ada kesedapan.”

Tidak ada sesuatu yang menarik dalam neraka. Angin, air dan asap panas dan mereka dibakar menjadi macam arang tetapi tidak mati.

Siapa yang duduk dalam neraka itu?

“Sesungguhnya mereka itu sebelum hari kiamat ketika mereka berada dalam dunia, mereka mutrafin (orang diberi kesenangan dan kemewahan) lalu mereka berleka dan berlalai dengan kesenangan dan kemewahan itu.”

Mereka tidak mengira haram atau halal. Tambahan pula banyak kemewahan diperoleh secara haram. Hasil diperoleh daripada rasuah dan hasil-hasil haram yang dilarang oleh Allah Ta’ala sama ada di peringkat atas ataupun di peringkat kampung.

Ahli neraka bukan sahaja orang atas termasuk juga orang-orang kampung. Orang-orang dhaif yang mengikut orang atas (golongan hartawan)

Harta yang diperoleh dengan cara haram itu dikumpul dan dinikmati dengan kesenangan dan kemewahan.

“Dan adalah mereka itu terus menerus dalam keadaan mengerjakan dosa yang sangat besar iaitulah dosa syirik (menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain).

Syirik bukan sahaja menyembah berhala termasuklah beramal dengan undang-undang dan hukum-hukum lain daripada hukum Allah serta menzalimi dengan peraturan-peraturan yang tidak diizin oleh Allah Ta’ala.

“Dan adalah mereka itu bercakap pada masa di dunia dulu, adakah sekiranya kita mati setelah menjadi tulang dan menjadi tanah mungkinkah kita dihidupkan semula?”

Bila diberitahu mengenai hari kiamat mereka mempersenda-sendakan. Mereka bertanya dengan pertanyaan engkar.

“Ataupun begitu juga nenek-moyang kami yang terdahulu macam mana?

Nenek-moyang kita sedah lama mati adakah mereka boleh hidup semula. Mereka mempermain-mainkan dengan soalan untuk mempersenda-sendakan ayat-ayat Allah dan mempersendakan nabi SAW serta mempersendakan orang membawa ajaran nabi SAW.

Sudahlah tidak sedar dan bertaubat sombong pula.

“Katalah kepada mereka wahai Muhamad SAW sesungguhnya orang-orang terdahulu dan orang yang kemudian daripada kamu, semua mereka itu akan dihimpunkan pada satu hari diketahui yang dimaklumkan iaitulah hari kiamat.”

Tidakkah diberitahu akan ada hari kiamat? Hari kiamat pasti berlaku.

Hari ini kajian sain mengaku bahawa dunia akan kiamat kerana paksi perjalanan dunia sudah berubah. Ini mungkin disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri.

Banyak bukit-bukau diratakan, banyak tanah-tanah paya dikambus, banyak hutan dimusnahkan dan ujian-ujian senjata yang besar sehingga berlaku bencana alam.

Perjalanan dunia hari ini sudah lari daripada paksinya. Ini diakui oleh mereka yang mengkaji bumi. Perjalanan bintang juga beralih dan perjalanan matahari dan bulan juga beralih.

Akan tiba masanya cakrawala ini berlaga diantara satu sama lain. Bila berlaga dunia akan menjadi hancur-lebur.

Quran memberitahu bila berlaku kiamat semua hancur-lebur kecuali Allah Ta’ala sahaja. Kemudian Allah Ta’ala bangkitkan semula di alam akhirat

Perkara ini diberitahu oleh semua rasul ASTS termasuklah nabi Muhamad SAW serta para ulamak yang menyampaikan ajaran nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS.

Jadi mereka tahu hari kiamat itu berlaku.

“Selepas berlaku kiamat, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat akan memakan makanan daripada pokok ZAKUM yang mengeluarkan buah-buah berduri dan pahit.

Maka buah itu memenuhi perut-perut ahli-ahli neraka dalam keadaan yang sangat pahit dan menyakitkan, lalu mereka meminum air dari kepanasan api neraka.”

Untuk menghilangkan pahit mereka minum air, Mereka minum laksana unta yang dahaga menerkam air bagi melepaskan kepahitan buah zakum, tetapi bertambah sakit lagi kerana air itu amat panas.

Inilah rezeki yang disediakan untuk mereka pada hari pembalasan.

NAUZUBILLAHI MINZALIK

KULIAH YT


MENGAPA DIBAKAR DALAM NERAKA



Al-Quran memberitahu kepada kita bahawa manusia dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak sembahyang, kerana menyalahgunakan harta, kerana bercakap tidak betul termasuklah politik tidak betul.

Firman Allah Ta’ala: “Lalu ditanya penghuni neraka pada hari kiamat kelak, mengapa dibakar dalam neraka.

Lalu mereka menjawab di dunia dahulu kami tidak sembahyang, kami tidak perduli kepada orang miskin, kami tidak mengeluarkan zakat. Ada menjawab kerana kami bergaul, bercakap, bergurau, berceramah dan berada dalam majlis yang tidak betul dengan Islam

Dan kami membohongi adanya hari kiamat sehingga datang kematian baharulah kami percaya.”

Ini satu golongan.

Dalam ayat lain Tuhan berfirman: “Dan ingatlah di hari kiamat kelak ketika ahli-ahli neraka dibalik-balikkan  muka termasuklah jasad mereka di dalam api neraka sebagaimana dibalik-balikkan ikan yang dipanggang di atas api, berkatalah mereka alangkah baiknya jika di dunia dahulu kami mentaati Allah dan mentaati rasul

Dan mereka berkata lagi wahai tuhan sebenarnya di dunia dulu kami mentaati ketua-ketua dan pemimpin kami, merekalah yang telah menyesatkan kami, wahai tuhan kami seksakan mereka dengan seksa yang pedih dan laknatkan mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya.”

Ini menunjukkan bahawa diantara mereka yang masuk neraka adalah kerana politik tidak mengikut syariat Allah yang ada dalam Quran.

Mereka yang memerintah negara tidak mengikut petunjuk yang diajar oleh nabi Muhamad SAW.

KULIAH YT


SATU GAMBARAN DI AKHIRAT



“Dan sesiapa yang Allah takdirkan dia menjadi sesat maka tiada penolong baginya selain Allah. Barangsiapa dikecewakan oleh Allah kerana sombong tidak mahu beriman kepada Allah dan tidak mahu bergantung dengan Allah Ta’ala maka Tuhan biarkan mereka lalu dia menjadi sesat.”

Orang sombong macam iblis dan mereka yang sama dengannya tuhan biarkan mereka menjadi sesat. Bila sesat tidak ada siapa yang boleh menolongnya dan tidak ada siapa yang boleh memberi perlindungan kepadanya.

Antaranya ialah mereka yang tidak beriman kepada nabi Muhamad SAW apabila diajak mereka kepada iman padahal mereka yang mempunyai hubungan keluarga yang rapat dengan nabi SAW.

Mereka sebangsa dengan nabi, melihat perangai dan akhlaknya yang baik dan mereka puji pada awalnya. Tetapi apabila Rasulullah SAW mengajak mereka masuk Islam, mereka menolak dengan sebab kepentingan dunia yang mereka kejar.

Begitu jugalah mereka yang dikecewa oleh Allah di kalangan umat manusia yang kemudian. Mereka tidak mahu ikut Islam kerana tidak mahu susah. Ataupun ikut Islam separuh-separuh sahaja. Jangan ikut semua sekali baharulah jadi senang.

Mereka seperti ini tidak layak mendapat hidayah daripa Allah Ta’ala untuk menjadi orang-orang beriman.

“Dan engkau melihat orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri kerana mereka tidak beriman serta menzalimi orang lain, tatkala mereka melihat azab.”

Ada ulamak mengatakan azab itu ialah azab neraka pada hari kiamat kelak. Ulamak lain pula mengatakan azab kubur menimpa mereka baharulah mereka sedar dan percaya pada masa itu.

“Mereka berkata adakah kami boleh dikembalikan semula supaya beriman dan beramal salih?”

Mereka berharap dihidupkan semula di dunia supaya dapat beriman dan beramal. Pertanyaan yang tidak terjawab dan tidak diterima olah Allah Ta’ala.

“Dan engkau melihat mereka dibentangkan ke atas neraka dan mereka melihat sebahagian daripada azab, di masa itu mereka berada dalam keadaan khusyuk.”

Khusyuk yang tidak memberi apa-apa makna. Masa atas dunia tidak mahu khusyuk. Bila mati baharu hendak khusyuk. Mereka menjadi hina pada masa itu.

“Mereka melihat neraka dengan mengerling sahaja kerana takut.”

Tidak berani tengak neraka, gerun dan takut.

Ibni Mas’ud mengatakan ayat ini menceritakan mengenai Firaun dan pengikut-pengikutnya. Ruh mereka dimasukkan ke dalam temolot burung berwarna hitam lalu dibentang neraka jahanam.

Sesetengah ulamak pula mengatakan mereka ialah orang-orang musyrikin seluruhnya. Apabila dibentangkan dosa-dosa mereka di dalam kubur dan dipamerkan kepada mereka akan azab neraka baharulah mereka berasa gerun dan takut.
 
“Dan berkatalah pula orang-orang beriman sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah mereka yang merugikan diri mereka dan keluarga mereka sendiri pada hari kiamat.”

Sekiranya keluarga mereka masuk neraka, mereka tidak boleh tolong. Jika keluarga masuk syurga Allah Ta’ala dindingkan mereka dengan keluarga mereka. Jadi mereka tidak boleh tolong-menolong antara satu sama lain. Mereka tidak ada harapan hendak bersama dengan keluarga mereka.

Mengikut tafsiran lain, Allah Ta’ala menyediakan setiap manusia dengan ahli-ahli dan keluarga dia di kalangan bidadari di dalam syurga. Setiap orang sama ada Islam atau kafir disediakan bidadari. Adapun orang kafir yang masuk neraka maka keluarga yang disedia oleh Allah dalam syurga dipindah ke orang lain.

Bila tidak layak masuk syurga segala isteri, bidadari dan pelayan yang diuntukkan kepadanya diberi kepada orang lain.

Jadi rugi kerana tidak mendapat keluarga dalam syurga. Ini berdasarkan kepada hadis nabi bermaksud:

“Tiada seseorang di kalangan kamu melainkan disediakan kepadanya dua tempat, satu tempat dalam syurga dan satu tempat lagi dalam neraka.

Apabila dia mati masuk neraka maka ahli-ahli syurga mewarisi tempat yang disediakan untuk mereka dalam syurga kerana tuannya tidak layak. Bila tidak layak tempat diberi kepada orang lain.”

Allah Ta’ala berfirman: “Ingatlah sesungguhnya orang-orang yang zalim lagi kafir berada dalam azab dalam keadaan kekal selama-lamanya. Dan tiadalah bagi mereka penolong-penolong yang boleh menolong mereka daripada azab Allah Ta’ala.”

Mereka yang duduk dalam neraka tidak dapat penolong untuk menyelamatkan mereka daripada neraka. Duduk dalam nerakalah selama-lamanya.

“Dan sesiapa yang Allah Ta’ala jadi dia sesat kerana memilih sesat maka tidak ada jalan baginya untuk menyelamatkan diri.”

Ada orang mudah-mudah bercakap: “Sesat ke sesatlah, ambil kepada kamu perkara yang elok.” Ini ayatnya terserahlah.

“Sebelum tiba kepada kamu hari kiamat yang kamu tidak boleh menolak daripada Allah Ta’ala, tiada tempat selamat bagi kamu daripada azab dan tidak ada penolong yang boleh menolong kamu daripada azab Allah SWT.

Sahutlah seruan Allah dengan beriman dan taat untuk bersedia menghadapi hari kiamat, hari yang mesti berlaku.”

Hari kiamat tiada penolong melainkan Allah, tiada pelindung melainkan Allah dan tidak boleh melepas diri daripada Allah. Kalau hendak selamat sahut seruan Allah Ta’ala supaya beriman dan taat dengan mengerjakan taat.

“Maka sekiranya mereka berpaling (tidak mahu beriman) wahai Muhamad SAW maka tidaklah Kami utuskan engkau menjadi pengawas kepada mereka wahai Muhamad.”

Jika mereka tidak beriman nabi Muhamad SAW tidak disuruh cek apa yang mereka lakukan kerana nabi SAW bukanlah pengawas. Biarlah mereka dengan kejahatannya.

“Tidak ada kebajikan kepada kamu melainkan menyampai sahaja wahai Muhamad.”

Tugas nabi SAW ialah menyampai sahaja agama Allah kepada manusia bukannya menyemak kerja jahat mereka.

“Dan sesungguhnya apabila Kami rasakan kepada manusia yang kafir itu rahmat daripada kami diantara rahmat itu sihat, itu adalah pemberian daripada Allah Ta’ala sama ada mereka sedar ataupun tidak sedar.”

Bila Tuhan memberi rahmat, mereka dalam keadaan sihat

“Bergembiralah dengannya.”

Bila mereka sihat, berniaga mendapat banyak untung, naik pangkat, mendapat hasil daripada tanaman dan ternakan, maka mereka bergembira dengan nikmat itu.

“Dan jika mereka ditimpa oleh keburukan sesungguhnya manusia itu kufur akan nikmat Tuhannya.”

Bila datang pula bala bencana mereka kufur dengan nikmat yang Tuhan beri kepada mereka. Oleh kerana itulah Allah Ta’ala tunjuk kepada kita contoh nabi Ayub AS yang sihat 70 tahun kemudian diberi sakit beberapa tahun.

Bila isterinya menyuruh dia meminta doa kepad Allah supaya dia sihat nabi Ayub kata:

“Aku malu kepada Tuhan. Tuhan memberi aku sihat berpuluh-puluh tahun tetapi sakit beberapa tahun sahaja.”

Ini nabi yang menjadi satu contoh kepada orang-orang beriman. Bagi mereka yang tidak beriman dan sihat berpuluh-puluh tahun tiba-tiba datang sakit marah selalu kepada Tuhan. Mereka kufur akan nikmat yang diberi dalam masa yang begitu lama.

Ada juga manusia pada masa sihat lupa kepada Allah Ta’ala.

“Bagi Allah milik segala langit dan bumi serta isi-isinya, bumi dan isi-isinya adalah milik bagi Allah sama ada kita tahu isinya ataupun kita tidak tahu.”

Terlalu banyak makhluk Allah Ta’ala di bumi dan di langit. Ada yang kita tahu dan ada yang kita tidak tahu. Kita mesti beriman kepada kekuasaan dan kebesaran Allah Ta’ala.

“Dia mencipta apa yang Dia kehendaki, Dia mengurniakan kepada sesiapa yang Dia kehendaki termasuk di kalangan rasul-rasul-Nya akan anak-anak lelaki (nabi Yaakub), akan anak-anak perempuan (nabi Lut)

dan Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dia kehendaki anak-anak lelaki diantaranya nabi Ibrahim AS ataupun Tuhan jadikan ada belaka anak lelaki dan anak perempuan diantaranya nabi Muhamad SAW.”

Nabi Muhamad SAW ada 7 orang anak, 3 lelaki dan 4 perempuan.

Allah Ta’ala berfirman lagi: “Dan Allah Ta’ala jadikan sesiapa yang Dia kehendaki mandul (tidak ada anak langsung) iaitu nabi Zakaria dan nabi Isa ASTS.”

Nabi Yahya tidak ada anak dan nabi Isa pun tidak ada anak. Begitulah Tuhan jadikan manusia. Jika Tuhan jadikan nabi dan rasul begitu maka kita yang bukan nabi dan rasul tidak perlu sedihlah.

Itu semua mengikut susunan dan aturan Allah Ta’ala yang Maha Bijaksana.

“Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.”

Allah Ta’ala Maha Mengetahui apa tujuan Dia buat dan semua yang dibuat oleh Allah Ta’ala adalah baik.

Allah Ta’ala Maha Berkuasa, sebarang apa yang Dia mahu semuanya jadi, tidak ada siapa yang boleh halang.

Itu adalah sifat Allah Ta’ala yang Maha Suci daripada segala kekurangan yang wajib kita beriman kepada-Nya.

KULIAH TAFSIR YT