“Dan sesiapa
yang Allah takdirkan dia menjadi sesat maka tiada penolong baginya selain
Allah. Barangsiapa dikecewakan oleh Allah kerana sombong tidak mahu beriman
kepada Allah dan tidak mahu bergantung dengan Allah Ta’ala maka Tuhan biarkan
mereka lalu dia menjadi sesat.”
Orang
sombong macam iblis dan mereka yang sama dengannya tuhan biarkan mereka menjadi
sesat. Bila sesat tidak ada siapa yang boleh menolongnya dan tidak ada siapa
yang boleh memberi perlindungan kepadanya.
Antaranya
ialah mereka yang tidak beriman kepada nabi Muhamad SAW apabila diajak mereka
kepada iman padahal mereka yang mempunyai hubungan keluarga yang rapat dengan
nabi SAW.
Mereka
sebangsa dengan nabi, melihat perangai dan akhlaknya yang baik dan mereka puji
pada awalnya. Tetapi apabila Rasulullah SAW mengajak mereka masuk Islam, mereka
menolak dengan sebab kepentingan dunia yang mereka kejar.
Begitu
jugalah mereka yang dikecewa oleh Allah di kalangan umat manusia yang kemudian.
Mereka tidak mahu ikut Islam kerana tidak mahu susah. Ataupun ikut Islam
separuh-separuh sahaja. Jangan ikut semua sekali baharulah jadi senang.
Mereka
seperti ini tidak layak mendapat hidayah daripa Allah Ta’ala untuk menjadi
orang-orang beriman.
“Dan engkau
melihat orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri kerana mereka tidak
beriman serta menzalimi orang lain, tatkala mereka melihat azab.”
Ada ulamak
mengatakan azab itu ialah azab neraka pada hari kiamat kelak. Ulamak lain pula
mengatakan azab kubur menimpa mereka baharulah mereka sedar dan percaya pada
masa itu.
“Mereka
berkata adakah kami boleh dikembalikan semula supaya beriman dan beramal
salih?”
Mereka
berharap dihidupkan semula di dunia supaya dapat beriman dan beramal.
Pertanyaan yang tidak terjawab dan tidak diterima olah Allah Ta’ala.
“Dan
engkau melihat mereka dibentangkan ke atas neraka dan mereka melihat sebahagian
daripada azab, di masa itu mereka berada dalam keadaan khusyuk.”
Khusyuk
yang tidak memberi apa-apa makna. Masa atas dunia tidak mahu khusyuk. Bila mati
baharu hendak khusyuk. Mereka menjadi hina pada masa itu.
“Mereka
melihat neraka dengan mengerling sahaja kerana takut.”
Tidak berani
tengak neraka, gerun dan takut.
Ibni Mas’ud
mengatakan ayat ini menceritakan mengenai Firaun dan pengikut-pengikutnya. Ruh mereka dimasukkan ke dalam temolot burung berwarna hitam
lalu dibentang neraka jahanam.
Sesetengah
ulamak pula mengatakan mereka ialah orang-orang musyrikin seluruhnya. Apabila dibentangkan dosa-dosa mereka di dalam kubur dan
dipamerkan kepada mereka akan azab neraka baharulah mereka berasa gerun dan
takut.
“Dan
berkatalah pula orang-orang beriman sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah
mereka yang merugikan diri mereka dan keluarga mereka sendiri pada hari
kiamat.”
Sekiranya
keluarga mereka masuk neraka, mereka tidak boleh tolong. Jika keluarga masuk
syurga Allah Ta’ala dindingkan mereka dengan keluarga mereka. Jadi mereka tidak
boleh tolong-menolong antara satu sama lain. Mereka tidak ada harapan hendak
bersama dengan keluarga mereka.
Mengikut
tafsiran lain, Allah Ta’ala menyediakan setiap manusia dengan ahli-ahli dan
keluarga dia di kalangan bidadari di dalam syurga. Setiap orang sama ada Islam
atau kafir disediakan bidadari. Adapun orang kafir yang masuk neraka maka
keluarga yang disedia oleh Allah dalam syurga dipindah ke orang lain.
Bila
tidak layak masuk syurga segala isteri, bidadari dan pelayan yang diuntukkan
kepadanya diberi kepada orang lain.
Jadi rugi kerana
tidak mendapat keluarga dalam syurga. Ini berdasarkan kepada hadis nabi
bermaksud:
“Tiada
seseorang di kalangan kamu melainkan disediakan kepadanya dua tempat, satu
tempat dalam syurga dan satu tempat lagi dalam neraka.
Apabila
dia mati masuk neraka maka ahli-ahli syurga mewarisi tempat yang disediakan
untuk mereka dalam syurga kerana tuannya tidak layak. Bila tidak layak tempat
diberi kepada orang lain.”
Allah Ta’ala
berfirman: “Ingatlah sesungguhnya orang-orang yang zalim lagi kafir berada
dalam azab dalam keadaan kekal selama-lamanya. Dan tiadalah bagi mereka
penolong-penolong yang boleh menolong mereka daripada azab Allah Ta’ala.”
Mereka yang
duduk dalam neraka tidak dapat penolong untuk menyelamatkan mereka daripada
neraka. Duduk dalam nerakalah selama-lamanya.
“Dan sesiapa
yang Allah Ta’ala jadi dia sesat kerana memilih sesat maka tidak ada jalan
baginya untuk menyelamatkan diri.”
Ada
orang mudah-mudah bercakap: “Sesat ke sesatlah, ambil kepada kamu perkara yang
elok.” Ini ayatnya terserahlah.
“Sebelum
tiba kepada kamu hari kiamat yang kamu tidak boleh menolak daripada Allah
Ta’ala, tiada tempat selamat bagi kamu daripada azab dan tidak ada penolong
yang boleh menolong kamu daripada azab Allah SWT.
Sahutlah
seruan Allah dengan beriman dan taat untuk bersedia menghadapi hari kiamat,
hari yang mesti berlaku.”
Hari
kiamat tiada penolong melainkan Allah, tiada pelindung melainkan Allah dan tidak
boleh melepas diri daripada Allah. Kalau hendak selamat sahut seruan Allah
Ta’ala supaya beriman dan taat dengan mengerjakan taat.
“Maka
sekiranya mereka berpaling (tidak mahu beriman) wahai Muhamad SAW maka tidaklah
Kami utuskan engkau menjadi pengawas kepada mereka wahai Muhamad.”
Jika
mereka tidak beriman nabi Muhamad SAW tidak disuruh cek apa yang mereka lakukan
kerana nabi SAW bukanlah pengawas. Biarlah mereka dengan kejahatannya.
“Tidak ada
kebajikan kepada kamu melainkan menyampai sahaja wahai Muhamad.”
Tugas
nabi SAW ialah menyampai sahaja agama Allah kepada manusia bukannya menyemak
kerja jahat mereka.
“Dan
sesungguhnya apabila Kami rasakan kepada manusia yang kafir itu rahmat daripada
kami diantara rahmat itu sihat, itu adalah pemberian daripada Allah Ta’ala sama
ada mereka sedar ataupun tidak sedar.”
Bila Tuhan
memberi rahmat, mereka dalam keadaan sihat
“Bergembiralah
dengannya.”
Bila mereka
sihat, berniaga mendapat banyak untung, naik pangkat, mendapat hasil daripada
tanaman dan ternakan, maka mereka bergembira dengan nikmat itu.
“Dan jika
mereka ditimpa oleh keburukan sesungguhnya manusia itu kufur akan nikmat
Tuhannya.”
Bila datang
pula bala bencana mereka kufur dengan nikmat yang Tuhan beri kepada mereka.
Oleh kerana itulah Allah Ta’ala tunjuk kepada kita contoh nabi Ayub AS yang
sihat 70 tahun kemudian diberi sakit beberapa tahun.
Bila
isterinya menyuruh dia meminta doa kepad Allah supaya dia sihat nabi Ayub kata:
“Aku
malu kepada Tuhan. Tuhan memberi aku sihat berpuluh-puluh tahun tetapi sakit
beberapa tahun sahaja.”
Ini nabi
yang menjadi satu contoh kepada orang-orang beriman. Bagi mereka yang tidak
beriman dan sihat berpuluh-puluh tahun tiba-tiba datang sakit marah selalu
kepada Tuhan. Mereka kufur akan nikmat yang diberi dalam masa yang begitu lama.
Ada juga
manusia pada masa sihat lupa kepada Allah Ta’ala.
“Bagi Allah
milik segala langit dan bumi serta isi-isinya, bumi dan isi-isinya adalah milik
bagi Allah sama ada kita tahu isinya ataupun kita tidak tahu.”
Terlalu
banyak makhluk Allah Ta’ala di bumi dan di langit. Ada yang kita tahu dan ada
yang kita tidak tahu. Kita mesti beriman kepada kekuasaan dan kebesaran Allah
Ta’ala.
“Dia
mencipta apa yang Dia kehendaki, Dia mengurniakan kepada sesiapa yang Dia
kehendaki termasuk di kalangan rasul-rasul-Nya akan anak-anak lelaki (nabi
Yaakub), akan anak-anak perempuan (nabi Lut)
dan Dia
mengurniakan kepada sesiapa yang dia kehendaki anak-anak lelaki diantaranya
nabi Ibrahim AS ataupun Tuhan jadikan ada belaka anak lelaki dan anak perempuan
diantaranya nabi Muhamad SAW.”
Nabi Muhamad
SAW ada 7 orang anak, 3 lelaki dan 4 perempuan.
Allah Ta’ala
berfirman lagi: “Dan Allah Ta’ala jadikan sesiapa yang Dia kehendaki mandul
(tidak ada anak langsung) iaitu nabi Zakaria dan nabi Isa ASTS.”
Nabi
Yahya tidak ada anak dan nabi Isa pun tidak ada anak. Begitulah Tuhan jadikan
manusia. Jika Tuhan jadikan nabi dan rasul begitu maka kita yang bukan nabi dan
rasul tidak perlu sedihlah.
Itu semua
mengikut susunan dan aturan Allah Ta’ala yang Maha Bijaksana.
“Sesungguhnya
Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.”
Allah
Ta’ala Maha Mengetahui apa tujuan Dia buat dan semua yang dibuat oleh Allah
Ta’ala adalah baik.
Allah Ta’ala
Maha Berkuasa, sebarang apa yang Dia mahu semuanya jadi, tidak ada siapa yang
boleh halang.
Itu adalah
sifat Allah Ta’ala yang Maha Suci daripada segala kekurangan yang wajib kita
beriman kepada-Nya.
KULIAH
TAFSIR YT
No comments:
Post a Comment