Thursday, November 24, 2016

Berhenti wujudkan 'mahkamah umum' isu baiah talak

Saya menyokong penuh kenyataan dan gesaan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Guaman Syarie Malaysia, Saudara Musa Awang yang mengesyorkan pihak berkenaan dengan isu baiah taklik PAS supaya merujuk status perkahwinan mereka dengan segera ke Mahkamah Syariah.

Konflik baiah taklik yang diutarakan kebelakangan ini bukan sahaja menimbulkan konflik dan polemik di kalangan pimpinan dan ahli PAS serta pimpinan dan penyokong Amanah bahkan sudah melarat dan berjangkit kepada masyarakat umum hasil kenyataan yang pelbagai daripada kelompok-kelompok yang pelbagai.

Pimpinan politik, alim-ulama bahkan pegawai mahkamah melahirkan pelbagai reaksi dan respons dalam isu ini yang tidak perlu saya ulas lagi.

Kepelbagaian respon dan kenyataan ini – berkisar tentang kewajaran baiah taklik tersebut, kesahihan baiah taklik tersebut, kesan dan akibat baiah taklik tersebut – bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malahan lebih memburukkan keadaan memandangkan  masyarakat umum yang tidak mempunyai ilmu dan kemahiran dalam isu ini sudah mula masuk ke gelanggang dan meluahkan ‘pandangan’, ‘keyakinan’ dan ‘persoalan’ melalui saluran media sosial yang pelbagai.

Walhal isu yang pelbagai ini seharusnya diselesaikan oleh ahli ilmunya dan bukan semudahnya dicampak sebagai perdebatan umum memandangkan ianya merupakan isu-isu yang bersangkutan dengan persoalan hukum-hakam syarak yang akan mempengaruhi aspek personaliti seorang Muslim.

Dalam hal ini, sama-sama kita, khususnya masyarakat awam, mengambil pedoman daripada perintah Allah s.w.t yang menganjurkan kita merujuk kepada mereka yang berkeahlian yang memahami usul dan furuk permasalahan ini sebagaimana disebut dalam Surah An-Nahl ayat 43yang bermaksud: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” Tinggalkan perbahasan yang tidak seharusnya kita perbincangkan melalui ‘mahkamah umum’ ini.

Begitu juga dalam menangani konflik dan kepelbagaian pendapat dalam isu baiah taklik – samada sah taklik ataupun tidak, jatuh taklik ataupun tidak, berapa jumlah talaq yang jatuh jika taklik sah dan efektif – pihak-pihak berkenaan seharusnya merujuk kepada mereka yang berkelayakan dan berkuasa untuk memutuskan berdasarkan kepada  Al-Quran dan Sunnah.

Ini secara jelas adalah tuntutan dan suruhan Allah s.w.t dalam Suran An-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Dalam konteks pemakaian dalil ini, Mahkamah Syariah adalah pihak berautoriti (ulil-amri) dan berkelayakan memutuskan dan menghuraikan isu-isu yang dibangkitkan dalam ‘mahkamah umum’ yang diwujudkan masyarakat awam. Adalah wajib pihak-pihak yang berkenaan supaya segera merujuk dan meletakkan kepercayaan kepada keadilan mahkamah bagi memutuskan status dan penyelesaian kekusutan seputar baiah taklik ini.

Perbahasan dan pembuktian dalil serta hujah di luar mahkamah tidak akan menyelesaikan masalah memandangkan legitimasi dan keboleh pakaian fatwa atau pandangan seseorang ulama, hatta sealim manapun, tidak boleh melangkaui kekuasaan dan kelayakan Mahkamah Syariah untuk memutuskan urusan dan status seseorang Muslim berkaitan pernikahan dan perceraian – dalam konteks ini baiah taklik – khususnya di Malaysia.

Ini adalah jelas lagi bersuluh termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri.

Justeru, bawalah segala hujah, dalil, saksi dan keterangan bagi membolehkan mahkamah menyelesaikan kemelut ini sesegera mungkin daripada dibiarkan ianya dihakimi oleh ‘mahkamah umum’ yang tidak berautoriti.

Apa yang paling penting, jujurlah pada diri sendiri dan berpeganglah kepada keadilan walaupun pahit untuk dihadapi sebagaimana dinyatakan Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa ayat 135 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.”|

Muhammad Nor Abdurrahim
Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia


- HARAKAHDAILY 5/9/2015

No comments:

Post a Comment