Muqaddimah
1. Kian
hari pendirian PAS dalam sesuatu isu yang melanda negara terus menggamit
perhatian umum. Sebahagiannya ikhlas dan mengambil sikap yang jernih untuk
memahami mahupun mencari pencerahan dari sumber yang betul. Sementara
sebahagian yang lain terus mengesahkan bahawa masih wujud segelintir pengamal
politik emosi yang mentah dan politik persepsi yang dangkal.
2. Satu
aspek, saya melihat seperti terdapat "escape plan" yang sedang
dipersembahkan oleh pihak tertentu ke pentas politik negara setelah
mereka sendiri terperangkap dalam amalan politik purba yang akhirnya
mereka malu sendiri setelah menyedari bahawa era kini telah beranjak jauh
meninggalkan pencapaian dan standard perkiraan politik mereka.
Politik
Matang dan Sejahtera
3. Suhu
politik negara masih kekal tinggi apabila kenyataan Yb Dato' Seri Tuan Guru Hj
Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS kelmarin menegaskan bahawa PAS tidak akan
menghadiri himpunan Anti Najib pada 27 Mac akan datang. Penegasan Tuan Guru
Presiden tersebut telah didebatkan oleh pelbagai pihak yang pro dan kontra.
4.
Sewajarnya saya nyatakan di sini bahawa pendirian yang diambil oleh Yb Dato'
Seri Tuan Guru Presiden PAS adalah menepati kriteria budaya politik matang dan
sejahtera yang sedang diterajui oleh PAS dewasa kini. Kriteria yang dimaksudkan
itu ialah, orientasi politik berasaskan prinsip dan politik berteraskan dakwah.
Sekaligus ia bermakna PAS menolak politik kebencian dan politik emosi.
Sementelah PAS sejak awal memilih kaedah demokrasi untuk menaik dan menurunkan
seseorang pemimpin. PAS menolak budaya anarki.
PAS
Bahtera Penyelamat.
5. Perlu
disedari oleh semua, bahawa politik PAS adalah untuk menyelamatkan ummah dengan
Islam yang dijulang dan syariat yang diperjuangkan. Justeru itu, PAS tidak
memusuhi individu sebaliknya apa yang dimusuhi oleh PAS ialah ideologi, dasar
dan sistem yang bertentangan dengan syariat Islam.
6.
Kehadhiran PAS di persada politik tanahair adalah membawa agenda perubahan
total. Generasi telah menyaksikan kerosakan yang parah berlaku dalam negara
kita dan ia adalah bermula dengan ideologi, sistem dan dasar yang tidak patuh
syariat. Sistem dan dasar ini pula melahirkan aktor yang berani dan tergamak
melanggar batas syara'.
7. Namun
PAS bagaikan tuan doktor yang menerima dan merawat pesakit kronik, biarpun
busuk dan luka bernanah ia tetap menjadi patient kepada doktor itu. Lantaran
doktor hanya memerangi penyakit bukan pesakit walau bagaimana keadaan
penyakit tersebut.
Pendekatan
PAS
8. Jika
akar umbinya telah rosak, tidak ada erti perubahan sekadar mematahkan
rantingnya. Jika enjinnya telah rosak, tidak ada erti perubahan sekadar
menggantikan pemandunya. Jika sistem dan dasarnya yang rosak, tidak ada erti
perubahan sekadar menukar aktornya.
9. Tiada
siapa yang menafikan bahawa negara sedang dilanda pelbagai kemelut dan polemik.
Sama ada sektor politik mahupun ekonomi dan sosial. Bermula dari rasuah, riba,
pecah amanah, perkauman, jenayah dan sebagainya yang semakin getir dan bakal
meruntuhkan peradaban ummah, segalanya adalah manifestasi dari kegagalan
ideologi, dasar dan sistem negara.
10.
Destinasi masih jauh. Kenderaan alami kerosakan pada enjin. Tapi kenapa kelam
kabut syarikat mahu tukar pemandunya? Telah tiga orang pemandu ditukar ganti.
Kenderaan masih gagal berfungsi kerana langkah yang diambil oleh syarikat tidak
betul dan membuang masa. Sebaliknya, sekadar memberi harapan baru kepada
penumpang dan orang ramai kononnya kenderaan itu akan kembali berfungsi dengan
baik.
Usahlah
Terpedaya
11. Tidak
lama selepas ini, semua akan sedar bahawa pertukaran pemandu baru juga tidak
membuatkan kenderaan itu pulih. Apakah selepas itu, pemandu akan ditukar lagi?
Lantas sekali lagi menggamit harapan baru para penumpang dan orang ramai bahawa
kenderaan akan pulih kembal?
12. Rupa
- rupanya pihak syarikat hanya sekadar memperdayakan penumpang dan orang ramai
agar tidak memilih kenderaan lain, justeru itu harapan demi harapan dijanjikan
terutama dengan menampilkan pemandu yang baru.
13. PAS
sejak awal telah menawarkan kenderaan yang baik dan pemandu yang berhemah
kepada publik untuk menuju destinasi yang masih jauh. Marilah sertai PAS dengan
kenderaan dan pemandunya yang baik. Usah terpedaya dengan piket yang dianjurkan
kononnya mereka memerlukan pemandu yang baru, walhal kenderaan itu mengalami
kerosakan enjin yang teruk.
14. Sudah
berapa ramai pemandu bertukar ganti, kenderaan masih gagal berfungsi,
apakah masih mahu tukar pemandu lagi? Enjin rosak, tukar pemandu? Jelas
bahawa piket untuk menukar pemandu itu sebenarnya mempunyai agenda untuk
mempertahankan kenderaan yang rosak, persoalannya kenapa harus kita
terpedaya?
15. Saya
kira pendirian PAS sangat jelas. Tidak selayaknya masih ada yang keliru dan
tidak yakin. PAS konsisten tidak bersetuju dengan tindakan menjatuhkan
pemimpin secara tidak demokratik. Samada melibatkan Tan Sri Khalid Ibrahim,
Dato Mukhriz mahupun Dato Seri Najib. Bahkan persoalan yang perlu diteliti
juga, apakah pengganti Najib akan membawa pembaharuan dan kebaikan kepada
negara, kalau beliau tetap datang dari sistem dan acuan yang sama. Bahkan PAS
tidak mahu mengambil risiko menyeret negara ke arah anarki yang hanya
merosakkan kestabilan politik, menjahanamkan ekonomi serta mengsengsarakan
rakyat yang sedia susah.
Sekian.
Nasrudin bin Hasan
No comments:
Post a Comment