"Sesungguhnya orang-orang yang membeli perjanjian mereka dengan Allah dan
sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat
bahagian di Hari Akhirat, Allah tidak berkata-kata Rahmat terhadap mereka,
tidak juga menilik secara Kasihan kepada mereka, tidak juga memandang untuk
memberi kesayangan terhadap mereka pada Hari Qiamat nanti dan tidak
membersihkan mereka daripada dosa dan bagi mereka azab yang pedih.
"Dan sesungguhnya ada kalangan (ulamak ahli kitab itu) mereka yang mempermainkan lidah-lidah mereka dengan kitab (Allah) supaya menganggapnya hukum daripada kitab Allah, pada hal bukan daripada kitab Allah, dan mereka berkata lagi ini daripada Allah, pada hal bukan daripada Allah. Sebenarnya mereka berbohong terhadap Allah dalam keadaan mereka mengetahuinya."
(Surah Ali-Imran, ayat 77 - 78)
"Dan sesungguhnya ada kalangan (ulamak ahli kitab itu) mereka yang mempermainkan lidah-lidah mereka dengan kitab (Allah) supaya menganggapnya hukum daripada kitab Allah, pada hal bukan daripada kitab Allah, dan mereka berkata lagi ini daripada Allah, pada hal bukan daripada Allah. Sebenarnya mereka berbohong terhadap Allah dalam keadaan mereka mengetahuinya."
(Surah Ali-Imran, ayat 77 - 78)
Ayat ini ditafsirkan oleh para ulama salaf dan
khalaf, yang perlu diketahui mafhumnya oleh ahli PAS yang istiqamah bersama
Islam, supaya mengerti tujuan bai'ah dan sumpah.
Ayat ini menggabungkan kedua-duanya, walaupun
perkara baiah dan sumpah pada asalnya berbeza dan berasingan dan dilakukan
dalam keadaan yang tidak sama.
Namun, boleh dilakukan kedua-duannya bagi menambah
keteguhannya dalam perkara yang besar dan mencabar, seperti perkara jihad dan
amanah ummat.
Bahkan, kadang-kadang dimasukkan pula laknat supaya
tidak memandang mudah dalam perjuangan dan amanah itu, seterusnya supaya
menjaga istiqamah apabila menghadapi cabaran yang besar.
Walaupun ayat ini sebabnya berkait dengan kisah
golongan ahli kitab dengan nabi-nabi mereka yang meminta supaya mereka beriman
dengan Nabi akhir zaman dan berjanji untuk berjuang bersamanya, namun
pengajarannya wajib diikuti oleh kumpulan Islam yang berjuang menegakkan Islam.
Maka baiah diamalkan sejak zaman Rasulullah bagi
pengukuhan seseorang yang berada dalam saf perjuangan atau ditugaskan jadi
pemimpin atau memegang jawatan penting.
Di zamannya berlaku beberapa kali baiah yang
berbeza keadaan dan mereka yang terlibat. Di antaranya ada Baiah ‘Aqabah, Baiah
Nisaa dan Baiah Riduan (Hudaibiyyah) dan diteruskan selepasnya pula di zaman
para sahabat dan tabiin.
Ada juga ditambah dengan sumpah, bahkan digabungkan
lagi di zaman mutaakhir dengan nazar, tolak dan laknat kerana dirasakan
generasi kemudian lemah imannya dalam perkara yang ghaib saperti perhitungan
dosa dan pahala atau berkat dan celaka.
Maka diikat lagi dengan perkara yang nyata di alam
dunia seperti taklik, talak isteri dan sebagainya.
Maksud perjanjian dalam ayat tersebut ialah bai'ah
yang berasal daripada perkataan bahasa arab "باع" (bermaksud
menjual), kerana
Allah membandingkan perjuangan menegakkan agamanya seperti membeli janji yang dijual oleh Allah dengan pahala yang besar.
Allah membandingkan perjuangan menegakkan agamanya seperti membeli janji yang dijual oleh Allah dengan pahala yang besar.
Laksana sesuatu yang dijual oleh Allah dengan
bayaran pahala yang besar kerana besar pengorbanannya, sehingga Allah
mengukuhkan janjinya saperti perjanjian menjual dan berhutang yang wajib
dibayar, dengan janji pada hari kiamat yang merupakan ujian beriman kepada
Allah, perkara ghaib dan urusan akhirat.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah
membeli daripada orang-orang yang beriman itu diri mereka dan harta
mereka."
(Surah At-Taubah, ayat 111)
Tujuannya, supaya dikorbankan bagi menegakkan
Islam. Seterusnya Allah berfirman lagi:
"Barangsiapa yang
menunaikan bai'ah (perjanjian jual belinya daripada Allah, maka bergembiralah
dengan bai'ah yang kamu meteraikan itu. Itulah kemenangan yang sangat
besar."
(Surah At-Taubah, ayat 111)
Allah juga berfirman dalam ayat yang lain berkaitan
dengan perjuangan Islam juga laksana berhutang :
"Siapakah yang bersedia
memberi hutang (pinjaman ) kepada Allah, pinjaman paling baik. Maka Allah
berjanji membayarnya dengan berlipat kali ganda yang sangat banyak. Dan Allah
boleh memegang dan membuka seluasnya dan kepadanya kamu dipanggil kembali
(mengadapnya pada Hari Kiamat)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 245)
Di atas perjanjian inilah maka diadakan bai'ah yang
bermaksud perjanjin dengan Allah dalam perkara yang berkait dengan perjuangan
Islam, di mana Allah yang menjual dan seseorang yang berjuang itu membelinya,
seterusnya Allah membeli semula dengan keuntungan yang berlipat kali gandanya.
Ada pun sumpah yang disebut (Aiman atau Yamin )
daripada makna tangan kanan bermaksud mengukuhkan janji seperti memegang dengan
tangan kanan yang terkuat, mengikut hukum Syarak dengan menyebut nama Allah
(Demi Allah).
Kebiasaannya dalam perkara kehakiman, sehingga
diluaskan dalam perkara pergaulan hidup bermasyarakat yang wujudnya
perselisihan biasa, sehinggalah bagi menegaskan janji membuat sesuatu atau
meninggalkannya dilafazkan sumpah, sehingga akhirnya dimudah-mudahkan dalam
perbualan dan gurauan, lalu Allah memberi amaran:
"Dan janganlah kamu
jadikan Allah dipergunakan untuk bersumpah bagi menghalang kamu melakukan
perkara kebajikan dan bertaqwa dan melakukan islah dikalangan manusia, dan
Allah itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 224)
Maka Allah memberi kelonggaran supaya melanggar
sumpah sekiranya lebih berkebajikan. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu
mengharamkan perkara-perkara yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah kepada
kamu dan janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi
orang-orang yang melampau.
"Dan makanlah daripada apa-apa yang Allah
halalkan kepada kamu daripada yang baik-baik dan bertaqwalah kepada Allah yang
kamu beriman kepadanya. Allah tidak menjadikan dosa dalam sumpah yang songsang
(yang tidak berniat sumpah dalam perbualan biasa).
"Namun Allah mempertanggungjawabkan ke atas
kamu dalam sumpah yang kamu ucapkan bagi penegasan (niat sumpah). Maka
kaffarahnya (dendanya) ialah memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan
yang sederhana yang menjadi kebiasaan kamu, atau memberi pakaian kepada mereka
atau memerdekakan hamba sahaya.
"Barang siapa yang tidak
mampu hendaklah berpuasa tiga hari. Itulah kaffarah terhadap sumpah yang kamu
lakukan . Begitulah Allah menerangkan kepada kamu akan ayat-ayatnya supaya kamu
bersyukur." (Surah Al-Maidah, ayat 87-89)
Ayat-ayat ini sebab nuzulnya, berkaitan dengan
adanya kalangan para sahabat yang bersumpah untuk jadi seperti paderi dan sami,
beribadat selama-lamanya, bersembahayang, berpuasa dan lain-lain sehingga tidak
mahu berkahwin, meninggalkan makanan yang baik dan lain-lain yang dihalalkan
oleh Allah.
Bahkan teguran Allah terhadap Rasulullah SAW di
dalam Al-Quran :
"Wahai Nabi. Mengapa kamu
haramkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah kepadamu kerana semata-mata mahu
merelakan hati isteri-isteri mu. Padahal Allah maha pengampun lagi maha
penyayang. Sesungguhnya Allah telah menyatakan kepadakamu cara melepaskan diri
daripada sumpah itu (menunaikan kaffarah). Allah sahaja Tuhan yang memelihara
kamu. Dialah yang maha mengetahui lagi maha bijaksana."
(Surah At-Tahrim, ayat 1-2)
Apabila digabungkan semuanya, yakni bai'ah, sumpah
dan laknat, menjadikan berbeza dengan tujuan bersumpah sahaja, kerana bertujuan
menguat bai'ah dan bertanggungjawab berkait di antara satu sama lain yang tidak
boleh dipisahkan dan disamakan hukumnya secara bersumpah sahaja. Asasnya ialah
baiah yang bertujuan perjanjian dengan Allah yang tidak boleh selesai dengan
sumpah yang dibayar kaffarahnya.
Imam Ibnu Kathir menyebut dalam kitab karangannya
'Al-Bidayah Wan Nihayah' dan Imam At-Tobari dalam kitabnya 'At-Tarikh',
"Bahawa bai'ah, sumpah, cerai taklik dan nazar, digabungkan semuanya,
pernah dilakukan di zaman kerajaan Abbassiyah dengan pengesahan para ulama
dizamannya".
Para Fuqaha Mazhab Hanafi pula menyebut perkara
sumpah yang dimasukkan taklik talak, tetapi dalam perkara sumpah yang tidak ada
kaitan dengan baiah. Begitu juga Imam Ibnu Taimiyyah dan Imam Ibnu Qayyim serta
juga ulamak mutaakhir saperti Mahmud Shaltut, Sayed Sabiq dan Al-Qardawi
menyatakan hukum khilaf dalam perkara sumpah sahaja yang berasingan dengan
baiah.
PAS telah mensyaratkan baiah yang dimasukkan di
dalamnya sumpah dan laknat dengan penegasan lafaz Allah menjadi saksinya. Ada
negeri yang memasukkan tolak taklik, bukan bermakna merendahkan isteri,
sebaliknya meninggikan kedudukannya sehingga dimasukkan bersama kecintaan
kepada Allah, walaupun tidak menyamainya.
Bahkan para Sahabat RA bersumpah dengan menyebut
"Demi ayah dan ibu" (kecintaan terhadap kedua-duanya tidak melebihi
dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul). Merupakan seni sastera arab bagi
mengukuhkan ucapan dan ikrar.
Maka lafaz baiah dalam parti yang berjuang
menegakkan Islam seperti PAS adalah beramal dengan Al-Quran, as-sunnah dan
ijtihad para ulama muktabar yang disahkan oleh ahli majlis syura ulama yang
sangat dihormati oleh semua pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang istiqamah.
Ada pihak lain yang tidak berminat bukan sahaja
baiahnya bahkan dasar Islamnya juga, sehingga ada pula yang meletakkan talak
taklik mencerai isteri lebih utama daripada berjanji dengan Allah.
Maka tahaluf siyasi dengan pihak lain yang temasuk
dalam perkara strategi, tidak boleh mengatasi baiah kesetiaan kepada aqidah,
dasar dan matlamat perjuangan Islam.
Walaupun PAS berkali-kali menerima kekalahan
pilihan raya, kerana kemenangan akidah dan matlamat Islam memimpin negara,
syariat Allah didaulatkan (supaya) tidak boleh tunduk kepada hala tuju yang
dikehendaki oleh semua pihak walaupun rakan paling akrab. Firman Allah di dalam
Al-Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah
kamu jadikan bapa-bapa kamu, saudara-saudara dan rakan-rakan kamu, wali-wali
yang diberi kepercayaan (sehingga tidak berbelah bahagi dan tidak boleh
dirungkai hubungannya), jika mereka meletakkan kecintaan terhadap kekufuran
lebih daripada keimanan.
"Maka sesiapa yang
berwalikan mereka di kalangan kamu, merekalah orang-orang yang zalim.
Katakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), jika sekiranya ayah-ayah kamu,
anak-anak kamu, saudara mara dan sahabat handai, isteri-isteri dan keluarga
kamu, harta benda yang kamu cari, perniagaan yang kamu bimbang akan meleset dan
rumah kediaman yang kamu sayang, kamu anggap lebih penting daripada Allah dan
Rasul dan jihad (perjuangan dengan pengorbanan) menegakkan agama Allah, maka
tunggulah sehingga Allah menentukan perintah (hukumannya) dan Allah tidak
memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik." (Surah At-Taubah, ayat 23 - 24)
Ahli-ahli PAS yang ditarbiah dan menerima hakikat
tasawwurnya daripada ayat-ayat tersebut tetap beristiqamah di atas landasan
yang ditetapkan kepada mereka.
Baiah lebih mewajibkan PAS tidak menukar akidah
perjuangan Islamnya atau membenarkan kedudukan Islam yang wajib memimpin negara
dicabar, pelaksanaan syariat dihalang atau dipertikai sewenang-wenang, atau
jati diri umat Islam dicalarkan. Walaupun beberapa pelaksanaannya berkait
dengan perkara cabang syariat, ia memerlukan masa dan jadual yang panjang.
PAS memahami semuanya tidak terpisah daripada
akidah, dasar dan matlamat Islam yang menyeluruh. Maka semua hubungan dan
kerjasama PAS dengan semua pihak haram menjual perkara asas tersebut dengan
segala harga di alam dunia ini, kerana kita percaya semuanya tidak laku di alam
akhirat kelak.
Dari sudut sejarah, PAS mencipta Dr Burhanudin
Al-Helmy yang mencerai isterinya daripada Singapura kerana tidak bersedia
datang ke semenanjung bersamanya. PAS juga mencipta Profesor Ahmad Ibrahim yang
meninggalkan jawatan besar di Singapura, datang berkhidmat di semenanjung dan
pemimpin lain. PAS menunjukkan pegangan mereka kepada baiah, yang tidak wujud
di kalangan golongan yang berwawasan dunia tanpa akhirat, atau yang berpegang
kepada konsep "political animal".
Ahli PAS yang terdahulu melihat semua akibat di
alam dunia sebelum akhirat, sesiapa yang mengkhianati baiah yang lebih penting
atau melanggar sumpah yang dianggap kecil tidak penting. Semuanya menjadi
peristiwa yang menjadikan ahli PAS lebih beristiqamah di atas landasan
perjuangan Islam dan matlamatnya.
Kepada mereka yang niatnya sekadar bersama PAS
untuk bermalam di hotel atau untuk menyeberangi jambatan pendek demi mengejar
cita-cita dunianya atau sekadar menjadi penonton, diucapkan selamat tinggal.
Jangan beratkan bahtera kami dan membazirkan tenaga
ahli PAS yang besar dan kecil dan bekalan kami yang dibekalkan oleh kalangan
yang termiskin. Bagi golongan yang berpura-pura dengan baiahnya itu, ketahuilah
bahawa kami beriman kepada kalam Allah:
"Sesungguhnya mereka yang berbaiah denganmu
(wahai Muhammad), sebenarnya mereka berbaiah dengan Allah, tangan Allah (yang
tidak sama dengan makhluknya) di atas tangan-tangan mereka (yang melafazkan
bai'ah itu).
"Maka sesiapa yang
mengkhianatinya maka dia menanggung akibat menimpa dirinya, dan sesiapa yang
setia menunaikan janjinya (daripada baiah itu), maka Allah mengurniakan
kepadanya ganjaran yang besar."
(Surah Al-Fath, ayat 10)
Perkara talak taklik sahaja mungkin boleh
diusahakan di Mahkamah Syariah dengan sistem yang memisahkan politik daripada
agama. Hukuman terhadap mereka yang mengkhianati baiah itu terserah kepada
mahkamah Allah yang maha adil lagi bijaksana, sama ada dengan hukuman di dunia
atau akhirat. Bukannya di mahkamah ciptaan manusia yang ramai peguamnya, ada
yang baik dan ada yang buruk.
Akhirnya, marilah bersama kita menghayati satu
hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Ahmad :
"Tiga orang, aku menjadi musuhnya di Hari
Akhirat. Seorang yang membuat perjanjian atas namaku, lalu dia memungkirinya.
Seorang lagi menjual orang merdeka (bukan hambanya), lalu dia memakan harganya
dan seorang lagi mempekerjakan orang lain, lalu tidak membayar gajinya."
04 Zulhijjah 1436 H / 18 September 2015
"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Presiden PAS
04 Zulhijjah 1436 H / 18 September 2015
No comments:
Post a Comment