Pasti ada yang terkejut dengan
pendekatan terbaru PAS terhadap kerajaan bukan? Kalau dulu PAS lebih mengambil
sikap konfrantasi dan membantah kerajaan pimpinan Umno BN, kini PAS melangkah
setapak lagi merapati kerajaan dengan kaedah menasihat dan mencadang
penyelesaian.
Perubahan memang sesuatu yang
sukar diterima masyarakat. Tidak kira samada adat kebiasaan yang diamalkan
mereka sebelum ini betul atau salah, memang pantang kalau ada orang bawa
perubahan. Mencarik adat adalah jenayah besar terutama di kalangan masyarakat
melayu.
Perangai ini terbawa-bawa dalam
dunia politik. Walaupun sifat politik itu sangat anjal dan dinamik, tetapi
sebarang perubahan pada pendekatan politik sukar untuk diterima ramai pihak.
Sejarah menunjukkan apabila corak politik Islam tanahair telah berubah, pasti
ada yang tidak bersetuju dan meninggalkan wadah Islan. Tetapi sehingga ke hari
ini, wadah tersebut yang kini bergelar PAS tetap utuh di persada politik
sedangkan mereka yang mufaraqah telah lenyap ditelan arus.
SEJARAH
Tatkala Sarekat Islam tidak
dapat lagi beroperasi di tanah melayu, para Ulama mengambil inisiatif
menubuhkan Hizbul Muslimin. Ramai yang tidak bersama Hizbul Muslimin. Mereka
memilih berbagai wadah lain termasuk menyertai gerila komunis.
Apabila diharamkan Hizbul
Muslimin, ulama berijtihad untuk menyertai Umno dengan harapan mampu
menjadikannya platform perjuangan Islam. Masih terdapat beberapa ulama tidak
bersetuju dan memilih untuk bersendirian, jauh dari ijtihad syura.
Setelah lama berhempas pulas
dalam Umno, Ulama sekali lagi bersidang dan berijtihad untuk menubuhkan PAS
yang lebih jelas matlamatnya. Seperti biasa, perubahan ini tidak akan memuaskan
hati semua pihak. Ada yang masih kekal di dalam Umno walaupun tahu tiada tempat
untuk agama bertapak di dalamnya.
PAS menjadi satu-satunya wadah
politik Islam yang profesional dan progresif. Dengan prinsip dan matlamat Islam
yang terus dikekalkan, banyak ijtihad dan perubahan pendekatan yang diambil
dari semasa ke semasa. Daripada bersendirian, bertahaluf dengan Parti Negara,
bersama Perikatan, menjadi kerajaan campuran, menubuhkan APU, BA, PR hinggalah
yang terbaru memilih jalan sebagai penyelesai bukan lagi sekadar membangkang
semata-mata.
Sepanjang pendekatan-pendekatan
yang disebut di atas, telah ramai yang tidak boleh menerima perubahan tersebut
lalu bertindak keluar dari PAS menubuhkan wadah-wadah perjuangan yang lain.
Muncullah nama-nama seperti Hamim, Berjasa, Akim, Islah, Jati dan terbaru Pan.
Walau terpaksa menghadapi karenah ahli yang keras kepala ini, PAS tetap
meluncur maju ke hadapan.
NASIKH MANSUKH
Sebagai sebuah gerakan Islam,
pastinya ciri-ciri yang ada pada PAS selaras dengan ciri-ciri agama Islam itu
sendiri. Islam adalah agama yang berciri progresif dan mendepani zaman. Antara yang
istimewa menggambarkan ciri progresif syariah Islam adalah konsep nasakh dan
mansukh.
Nasakh bererti
'membatalkan/menghazafkan'. Ia bermaksud terdapat beberapa hukum dalam Islam
yang sebelum ini wajib, berubah jadi haram, ataupun sebelum ini turun ayat
haram, kemudian turun ayat terbaru menghalalkan pula.
Keistimewaan konsep nasakh
mansukh ada dinyatakan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
مَا نَنْسَخْ مِنْ آيَةٍ أَوْ نُنْسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِنْهَا أَوْ مِثْلِهَا ۗ أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami
tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya,
atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
Ayat ini turun untuk membalas
kritikan orang-orang munafiq dan yahudi, yang mempertikaikan peristiwa pertukaran
kiblat daripada Masjidil Aqsa ke arah Masjidil Haram. Mereka menuduh jemaah
Islam kluk-klek, tidak konsisten dan lemah kerana selalu berubah hukumnya.
Allah menyatakan, konsep nasakh
sebenarnya adalah keistimewaan Islam yang menetapkan hukum selari dengan
peredaran masa. Jika sebelum ini haram, maka ia adalah cara terbaik dengan
keadaan zaman tersebut. Dan sekiranya ia halal kini, maka itu kerana keadaan
dahulu telah berubah kini.
Sebelum ini, orang-orang arab
jahiliah memang menjadikan Kaabah sebagai kiblat ibadah mereka kerana
mengekalkan syariat asal Nabi Ibrahim AS. Akan tetapi apabila datangnya risalah
Nabi Muhammad, Allah memerintah kiblat dihadap ke Masjidil Aqsa. Ini kerana
Kaabah kala itu dipenuhi khurafat dan kesesatan apabila ibadah haji yang dilakukan
sekeliling Kaabah sudah menyeleweng dari ajaran Nabi Ibrahim yang sebenar.
Kaabah telah dijadikan tempat penyimpanan 360 ekor berhala yang disembah para
musyrikin.
Oleh itu, Allah mahu supaya
umat Islam menjauhkan semua kaitan dengan jahiliah yang dicipta nenek moyang
mereka. Supaya dalam hati mereka tidak ada sedikitpun kepercayaan terhadap
berhala-berhala di Kaabah seandainya umat Islam sujud di kaki Kaabah. Umat
Islam perlu suci dari sebarang pengaruh jahiliah.
Malangnya ramai orang beriman
yang gagal memahami perkara ini. Mereka tidak mampu berpisah dari Kaabah yang
telah menjadi budaya dan kebanggaan arab sekalian lama. Perintah pengalihan
kiblat telah menyebabkan ramai orang yang beriman meninggalkan Islam kerana
sukar menerima perubahan.
Tetapi setelah berhijrah ke
Madinah, timbul pula dakyah Yahudi yang menyatakan Islam adalah agama yang
palsu dan meniru Yahudi kerana berkiblatkan Masjidil Aqsa. Masjidil Aqsa adalah
tempat tinggal Yahudi dan Kristian dan juga rumah ibadah mereka, kerana mendakwa
mewarisi ajaran asal yang dibawa Nabi Isa dan Nabi-nabi Bani Israel.
Tidak lama selepas hijrah,
Allah memerintahkan kiblat dialih kembali ke Masjidil Haram. Ini kerana iman
umat Islam telah cukup kukuh daripada dipengaruhi anasir khurafat pada Kaabah.
Islam juga mahu mematikan dakwaan yahudi yag amat mengelirukan itu. Lebih dari
itu, sememangnya Kaabah berlipat kali ganda terlebih mulia dari Masjidil Aqsa.
Tetapi ramai juga yang
melenting apabila kiblat berubah. Bukan sahaja orang Yahudi dan Kristian, orang
Islam yang dirasuk dakyah mereka juga marah dengan perubahan ini. Mereka sudah
terbiasa dengan adat. Mereka mula mempertikai jemaah Islam dengan tidak
konsisten, tiada pendirian dan sebagainya. Dan ada yang meninggalkan Islam
hanya kerana perubahan kiblat ini.
TAPISAN
Ternyata perubahan telah
menyebabkan ramai umat Islam sepanjang zaman yang terpelanting dari kelompok
Islam. Hanya kerana memiliki daya pemikiran yang statik, mereka tidak mampu
membaca politik dunia dan perubahan semasa sebagaimana perspektif Islam yang
sebenar.
Perkara ini disebut secara
jelas didalam al-Quran:
ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ
Dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai
Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami
tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa
pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal
peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada
orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. [Al-Baqarah:144]
Kita dapati bahawa sebenarnya
antara hikmah perubahan hukum-hukum dalam Islam, adalah untuk menapis keimanan
umatnya. Tuhan nyatakan, perubahan kiblat hanyalah untuk menunjukkan dan
membezakan, siapa sebenarnya betul-betul taat kepada Rasulullah SAW dan siapa
yang membelakanginya.
Seperti yang dinyatakan, ada
juga yang melenting bila PAS merubah pendekatan untuk merapati kerajaan (perlu
dibezakan antara kerajaan dan parti pemerintah). Ada yang termakan sudah dakyah
ala-ala yahudi menyatakan perjuangan Islam kluk klek, tidak konsisten dan ingin
bergabung dengan Umno kembali.
Sekiranya kita menghayati sirah
perubahan kiblat, kita tidak akan terkeliru. Allah mengalih kiblat ke Masjidil
Aqsa kerana mentaliti orang beriman masih terkesan dengan jahiliah. Allah alih
kembali ke Masjidil Haram pula kerana mahu mematikan dakwaan Yahudi yang
songsang.
Apakah sekiranya Rasulullah
kembali menghadap Kaabah dalam keadaan 360 ekor berhala masih di dalamnya, ia
bermaksud dakwah Rasulullah kluk-klek dan ingin kembali kepada ajaran jahiliah?
PAS juga pada awalnya mengambil
sikap konfrantasi dengan kerajaan. Walaupun faham keadaan itu tidak
menguntungkan dengan kekuatan yang ada, tetapi ia tetap dibuat atas dasar
mengubah mentaliti masyarakat supaya memahami demokrasi dan hak mereka.
Setelah rakyat kini faham kuasa
sebenar mereka, PAS mengambil langkah lebih matang untuk merapati kakitangan
dan pegawai kerajaan, dan memperkenalkan berbagai solusi dan pandangan dari
acuan Islam, bukan lagi berbalah dan membantah.
Adakah dengan memberi nasihat
kepada pentadbiran negara, bermaksud sokong Umno dan mahu bergabung? Jangan
jadi seperti Yahudi!
Justeru apa yang perlu bagi
kita adalah mengekalkan ketaatan terhadap jemaah Islam. Perubahan-perubahan
yang berlaku selain dari tanda progresif, ia juga adalah ujian iman, sekaligus
tapisan dari Allah untuk mengekalkan hanya yang benar-benar mampu taat sahaja
yang boleh bersama jemaah Islam.
(Alang Ibn Shukrimun)
No comments:
Post a Comment