Monday, November 28, 2016

MEMBERI TEMPAT KEPADA BUKAN ISLAM


Ada ulamak mengatakan tidak boleh memberi tempat kepada orang bukan Islam dalam pemerintahan.

Namun demikian ada juga ulamak mengizinkan memberi tempat kepada orang bukan Islam di dalam pemerintahan dan masyarakat Islam berpandukan kepada ayat yang lain.

Antaranya ialah ayat surah al-Mumtahana.

Firman Allah Ta’ala surah al-Mumtahana ayat 8 bermaksud:

( 8 )   Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Terdapat dua golongan di kalangan ulamak dalam mazhab Syafie dan mazhab lain.

Dalam mazhab Syafie ada dua pendapat.

Pendapat pertama membolehkan kita memberi kedudukan termasuk jawatan menteri dalam pemerintahaha Islam. Antaranya ialah imam al-Mawardi dan mereka yang sependapat dengannya.

Kedua mengatakan tidak boleh memberi tempat sekali-kali kepada orang bukan Islam. Antara yang berpendapat begini ialah imamul Haramin.

Kedua-dua ulamak itu ialah dalam mazhab Syafie. Masing-masing ada hujah dan alasan-alasan tersendiri.

Mereka yang keras berpegang kepada ayat-ayat yang memberi amaran supaya jangan sekali-kali memberi kepercayaan kepada orang bukan Islam.

Mereka berhujah bahawa nabi SAW apabila diminta oleh seorang musyrik untuk membantunya dalam peperangan Badar. Nabi berkata dia tidak perlu pertolongan daripada orang musyrik.

Dia datang kali kedua dan nabi berkata dia tidak perlu bantuan orang musyrik. Dia datang menemui nabi kali ketiga mengatakan dia sudah masuk Islam, baru nabi SAW mengizinkannya.

Saidina Omar al-Khattab RA telah melarang pemimpinnya meletakkan orang bukan Islam di tempat yang penting di dalam pemerintahan.

Itu adalah hujah mereka yang melarang dengan sekeras-kerasnya.

Ada pun hujah mereka yang tidak melarang dengan sekeras-kerasnya ialah berpandukan surah al-Mutahana ayat 8.

Allah Ta’ala tidak melarang kita berhubung dan berlaku baik dengan orang bukan Islam yang tidak memerangi dan menghalau dari tanah air kita.

Mereka berdalil juga dengan nabi SAW mendapat perlindungan daripada Abu Talib yang belum Islam ketika di Mekah.

Nabi SAW juga mendapat perlindungan daripada al-Abas, bapa saudaranya, dan keluarganya lain yang belum masuk Islam.

Saidina Abu Bakar mendapat HIMAYAH (perlindungan) daripada Ibnu Darinah, jiran dan rakannya yang bukan Islam semasa di Mekah.

Nabi SAW juga ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah bersama dengan Saidina Abu Bakar mengguna pemandu seorang musyrik bernama Abdullah bin Huraikit.

Antara hujahnya lagi ialah nabi SAW meminjam senjata daripada seorang pemimpin musyrik di Mekah dalam peperangan Hunain.

Pemimpin itu ikut sama dalam peperangan itu dan dia merupakan salah seorang bersama nabi SAW yang tidak lari semasa dikepung dan serangan panah bertalu-talu daripada pihak musuh yang berselindung di sebalik bukit mengelilingi lembah Hunain. Pemimpin itu masuk Islam akhirnya.

Di sini menunjukkan bahawa kadang-kadang mengadakan hubungan dengan orang bukan Islam membolehkan orang bukan Islam itu melihat kebaikan yang ada dalam Islam lalu dia masuk Islam.

Ini hikmat kepada mereka yang berpendapat bahawa kita boleh mengadakan kerjasama dan hubungan dengan orang bukan Islam.

Imam al-Mawardi mengatakan dibolehkan melantik orang bukan Islam memegang jawatan-jawatan yang tidak bersifat membuat dasar kepada kerajaan seperti menteri yang tidak membuat dasar.

Adapun dalam perkara yang membuat dasar tidak boleh sekali-kali diberi kepada orang bukan Islam.

Pendapat ini menjadi perbincangan di kalangan ulamak-ulamak politik Islam sama ada boleh atau tidak boleh.

Agama Islam adalah agama yang perlu mengadakan hubungan dengan orang dan menunjukkan kebaikan kepada orang bukan Islam bukan sahaja dengan cara perang bahkan dengan cara mereka melihat sendiri bersama dengan kita maka hujah mengatakan bahawa kita boleh mengadakan hubungan dengan bukan Islam yang menunjukkan sikap tidak bermusuh dengan kita.

Apa lagi bila melihat ada tanda-tanda harapan dia masuk Islam. Jika ada tanda-tanda orang bukan Islam bersikap permusuhan maka kita hendak berhati-hati dengan mereka.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment