Dalam Islam bukan sahaja soal-soal pembalasan yang diceritakan. Dalam Quran diceritakan Allah kalau azab, azab itu amat pedih dan azab itu selama-lamanya.
Allah
menceritakan juga kalau ganjaran, ganjaran itu sangat hebat. Ganjarannya pada
yang baik walaupun manusia mungkin melakukan kebaikan itu hanya sebesar biji
zahrah. Hanya sekecil-kecil kebaikan dilakukan namun Allah SWT Maha Kaya, Maha
Adil akan tetap memberi ganjaran tersebut kepada manusia.
Salah satu
cerita-cerita tentang ganjaran ini ialah ganjaran
syurga. Banyak sekali diceritakan dalam Quran bagaimana syurga yang akan
diberikan kepada mereka yang taat kepada Allah SWT dan juga beriman.
Walaupun
sebenarnya hakikat syurga itu tidak dapat kita bayangkan. Kita tidak tahu macam
mana yang dikatakan nikmat itu berkekalan, dikatakan ada sungai-sungai yang
mengalir dalamnya. Dalam syurga ada sungai madu, ada sungai arak dan ada sungai
susu. Tetapi kita tidak boleh menggambarkan keadaan tersebut.
Rasulullah SAW
telah menyatakan dalam sebuah hadis segala pembalasan hari akhirat ini ialah;
telinga yang tidak pernah mendengar, mata yang tidak boleh membayangkan dan
hati yang tidak pernah tergambar tentang pembalasan tersebut.
Namun begitu
Allah SWT menceritakan juga sedikit sebanyak gambaran yang boleh kita agak
secara simbolik itu ada di dunia supaya kita tertarik. Jadi bila diceritakan
tentang gambaran syurga kita terasa teringin hendak pergi macam dalam Quran ada
menyebut:
“Apabila
kamu melihat ke syurga nescaya kamu akan melihat berbaga-bagai kenikmatan di
dalam syurga dan kesenangan itu tidak terhingga dan kerajaan yang sangat
besar.”
Jadi
walaupun tidak terjangkau oleh akal manusia, tidak terbayang oleh hati manusia,
namun al-Quran menceritakan juga pertama-tamanya al-Quran menceritakan kepada
kita bahawa niat hendak ke syurga ini kalau dibandingkan dengan nikmat dunia;
ya Allah nikmat dunia ini sedikit sangat.
Ertinya jika
kita rasa seronok dekat dunia ini di syurga itu lebih hebat lagi. Allah SWT
memberi gambaran:
“Buat satu
perumpamaan bagaimana gambaran dunia. Dunia ini tidak lebih bagaimana air hujan
turun kemudian menumbuhkan nikmat, kemudian datang angin yang kuat dan
menghapuskan nikmat tersebut.”
Jadi Allah
memberi gambaran dunia ini tidak kekal. Dapat banyak mana pun akhirnya hilang.
Usaha-usaha bila dapat sakit pula lalu tidak dapat makan atau mati pula dan
tidak sempat hendak merasa. Tetapi yang dikatakan nikmat syurga ialah nikmat
yang berterusan, nikmat yang sangat-sangat dijanjikan Allah Ta’ala berkekalan.
Allah
SWT menceritakan bahawa hendak masuk syurga bukan senang. Syurga dan neraka,
kedua-dua makhluk Allah. Tetapi kedua-dua ini ada syarat bagaimana kamu hendak
masuk.
“Kamu
hendak masuk syurga banyak benda-benda susah terpaksa kamu lalui. Tetapi kalau
kamu hendak masuk neraka banyak benda-benda yang menarik syahwat kamu untuk
melakukan perkara-perkara tersebut.”
Gambaran
syurga yang dinyatakan dalam sebuah hadis:
“Syurga
ada lapan pintu; yang dipanggil melalaui pintu jihad, yang dipanggil melalaui
pintu solat, yang dipanggil melalaui pintu puasa dan berbagai-bagai pintu.”
Apabila Abu
Bakar as-Siddiq mendengar penjelasan Rasulullah SAW tentang nikmat syurga yang
dipanggil daripada bermacam-macam pintu Abu Bakar bertanya:
“Ya
Rasulullah ada atau tidak seseorang itu namanya dipanggil daripada ke semua
pintu?”
“Ya Abu
Bakar ada kemungkinan.” Jawab Rasulullah SAW.
Bila
datang Ramadan kita diingatkan bahawa pintu syurga itu dibuka seluas-luasnya.
Syurga berlenggang-lenggok ingin menyiap dan menghiaskan diri untuk menerima
kedatangan dan neraka juga mempersiapkan diri memanaskan dirinya untuk menerima
azab.
Jadi
maknanya syurga dan neraka memang sudah ada. Cuma tidak tergambar, jangan ada
orang yang menggambarkan kalau ramai sangat, muat ke syurga itu. Jangan
berfikir macam itu. Kapasiti syurga dan neraka itu tidak tergambar oleh akal
kita. Jangan cakap kalau semua baik siapa pula hendak ke neraka.
Jika kita baca
gambaran hadis mengenai rasanya kita tidak mahu hidup di dunia ini lama-lama.
Kita hendak cari nikmat ini. Allah SWT menceritakan bahawa ahli syurga ini
kekal. Maknanya hidup selama-lamanya.
Penghuni
syurga sentiasa sihat, tidak terbatas kepada usia, tidak tua selama-lamanya,
tidak akan menghadapi kesusahan selama-lamanya. Tidak ada perasaan jemu dan
muda selama-lamanya. Hidup mereka gembira berterusan.
Itu adalah
nikmat yang sentiasa dicita-citakan oleh semua manusia. Itulah yang dimaksudkan
dalam Quran nikmat syurga itu berkekalan.
Diceritakan
dalam sebuah hadis bagaimana penghuni syurga akan sentiasa diseru oleh para
malaikat:
“Kamu
akan hidup selama-lamanya, tidak mati. Kamu akan sihat selama-lamanya, tidak
sakit. Kamu akan muda selama-lamanya, tidak tua. Kamu akan rasa nikmat
selama-lamanya, tidak gusar.”
Begitu juga
orang duduk dalam syurga apa yang dia buat. Mereka tiap-tiap hari Jumaat pergi
pasar, bukan shopping buat balik barang-barang. Diceritakan dalam sebuah hadis:
“Dalam
syurga itu ada satu pasar dan penghuni pergi pasar pada hari Jumaat. Apabila
pergi pasar ada angin daripada sebelah utara yang akan meniup muka mereka dan
setiap kali bertiup muka mereka, mereka bertambah cantik dan bertambah muda.
Bila balik
ke rumah isteri-isteri bertanya kenapa kamu menjadi bertambah muda. Tiupan
angin di pasar menjadikan penghuni syurga bertambah muda dan cantik.”
Syurga
dikatakan baunya dapat dicium dari jarak beribu-ribu tahun. Tetapi ada orang
yang Allah SWT haramkan pada mereka untuk mencium bau syurga. Antara lain ialah
mereka yang derhaka kepada kedua ibu-bapa atau pun suami-suami yang dayus
kepada isterinya.
Bagaimana
pula sifat-sifat ahli syurga. Diceritakan dalam al-Quran:
“Muka-muka
mereka berseri-seri. Mereka dapat semua yang mereka inginkan. Dalam syurga
mereka tidak bercakap benda-benda yang tidak elok. Mereka bercakap
perkara-perkara yang menyeronokkan.
Mereka
tidak ada rasa sedih, tidak susah hati. Semuanya seronok dan bahagia.”
Mereka
makan banyak buah-buahan dan dalam hadis menceritakan makanlah banyak mana
sekalipun mereka tidak membuang air besar. Mereka minumlah macam mana pun
mereka tidak membuang air kecil. Itu bukan kerana sembelit dan bukan kerana
batu karang tetapi kerana nikmat Allah SWT.
Atas dunia
makan banyak sakit perut, sembelit dan kena pergi tandas. Kencing dedas dan
batu karang. Tetapi dalam syurga tidak buang air besar dan tidak buang air
kecil.
Disebut
dalam hadis apabila masuk syurga hati penghuni syurga seperti hati burung iaitu
hati yang penuh kasih sayang dan tidak ada hasad dengki.
Dalam Quran
ada menyebut:
Mereka masuk
dalam syurga semuanya sejahtera kerana Allah sudah basuh hati penghuninya
daripada dendam kesumat. Orang masuk syurga tidak lemah tetapi kuat.”
Hadis ada
menceritakan:
“Kalau
kamu masuk dalam syurga kamu akan dapat pasangan. Lelaki mendapat bidadarinya
dan kalau wanita mendapat bidadaranya.”
Mereka
diberi bidadari seratus orang. Sahabat bertanya Rasulullah boleh ke tidur
seratus orang satu hari.
Baginda
Rasulullah menjawab: “Kamu akan diberi kekuatan seorang daripada kamu dalam
syurga umpama macam seratus orang lelaki.”
Syurga ada
banyak tingkat macam rumah pangsa. Pihak atas boleh melihat yang bawah dan yang
bawah nampak yang atas.
Para
sahabat bertanya Rasulullah darjat syurga paling tendah sekali macam mana.
Rasulullah
berkata minimum syurga ialah apa yang kamu hendak kamu akan dapat dengan
berlipat ganda daripada apa yang diminta. Terbayang sahaja dapat, terasa di
hati terus dapat. Bukankah itu satu nikmat yang sangat hebat yang boleh
memberangsangkan kita mencari jalan untuk masuk syurga.
Allah SWT
meceritakan lagi:
“Kami
jadikan mereka ini balik kembali semula muda dan merupakan gadis-gadis yang
belum disentuh. Dalam syurga memang tidak tua.”
Macam mana
caranya hendak masuk ke syurga?
Nabi SAW
pernah menceritakan dalam sebuah hadis:
“Aku
pernah diberi peluang untuk masuk ke dalam syurga dan aku nampak kebanyakan
orang di dalam syurga ialah orang-orang yang miskin dan aku juga diberi peluang
untuk menjengak sekejap di dalam neraka dan aku melihat ramainya orang
perempuan dalam neraka.”
Apakah
simbolik hadis ini?
Baginda
Rasulullah SAW hendak menceritakan bahawa syurga didiami oleh orang fakir bukan
bermakna orang tidak berduit. Tetapi orang tidak berminta-minta daripada orang
lain, orang yang berusaha untuk dirinya sendiri, orang yang hisabnya cepat.
Janganlah
kita fikir tidak payahlah cari harta atas dunia. Nabi SAW bersabda:
“Kalau kerja
di atas dunia kerja seolah-olah kita tidak akan hidup selama-lamanya dan bila
kita beribadat seolah-olah esok kita hendak mati.”
Jadi ahli
syurga ialah orang yang tidak minta-minta pada orang lain.
Bila
mendengar orang perempuan ramai dalam neraka janganlah sedih orang perempuan.
Itu satu hadis dan hadis lain kena baca juga. Nabi SAW bersabda:
“Seorang
perempuan apabila dia sembahyang lima waktu dan menjaga sembahyangnya dengan
baik, dan dia taat kepada suaminya, dia menjaga penghormatan dirinya dan dia
menjaga puasa elok-elok maka dia boleh syurga.”
Orang
perempuan ramai dalam neraka kerana tidak menjaga mulutnya dan kamu tidak
menjaga suami kamu dengan baik.
Sebenarnya
tiket untuk ke syurga bagi orang perempuan lebih mudah. Walaupun mudah
kadang-kadang orang perempuan tidak mengambilnya.
Empat
tawaran itu hanya kepada wanita sahaja. Rasulullah memberi tawaran itu kepada
wanita sahaja. Jika menyambut dan membuat tawaran itu insya Allah orang
perempuan menjadi penghuni syurga.
Allah
menceritakan hendak mendapat nikmat syurga ini bukan mudah. Nikmat syurga mahal
dan memerlukan kepada satu pengorbanan dan perjuangan, memerlukan iman dan amal
soleh.
Orang Yahudi
berkata masuk neraka sekejap sahaja. Akhirnya masuk syurga pula. Itu pendapat
karut.
Mulai pada
hari ini mari sama-sama kita cari apa perkara yang kita perlu buat untuk
mendapat tiket ke syurga dengan bertaqwa kepada Allah dan mengerjakan amal
soleh.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment