Surah Al-
Buruj ayat 10 -22
Firman Allah
Ta’ala surah al-Buruj ayat 10 -22 maksudnya:
Al-Burūj:10 - Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan
bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang
perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan
beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan
beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).
Al-Burūj:11 - Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan
beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.
Al-Burūj:12 - Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap
orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat.
Al-Burūj:13 - Sesungguhnya Dia lah yang menciptakan
(sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikannya (hidup semula
sesudah mati).
Al-Burūj:14 - Dan Dia lah yang Maha Pengampun, lagi Maha
Pengasih.
Al-Burūj:15 - Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi
kemuliaannya,
Al-Burūj:16 - Yang berkuasa melakukan segala yang
dikehendakinya.
Al-Burūj:17 - Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad)
perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul
yang diutuskan kepada mereka)?
Al-Burūj:18 - (Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud
(kaum Nabi Soleh).
Al-Burūj:19 - (Kaummu wahai Muhammad, bukan sahaja menolak
ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan
mendustakan kebenaran;
Al-Burūj:20 - Sedang Allah, dari belakang mereka,
melingkungi mereka (dengan kekuasaan-Nya)!
Al-Burūj:21 - (Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada
mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi
kemuliaannya;
Al-Burūj:22 - (Lagi yang terpelihara dengan
sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.
Setelah dinyatakan kezaliman yang dilakukan oleh
orang-orang kafir terhadap orang beriman dalam ayat-ayat yang terdahulu
sehingga mereka menggali parit, meletak kayu api sebanyak-banyaknya dan
dinyalakan api itu di dalam parit dengan sebesar-besarnya. Setiap orang beriman
lelaki dan perempuan dicampak di dalam api yang membakar.
Disebut dalam hadis, bila sampai giliran seorang perempuan
bersama anak yang masih menyusu ketika ditahan di tepi parit itu sama ada
memilih beriman dicampak ke dalam api sekali dengan anaknya yang masih kecil
ataupun bercakap dengan kalimah kufur. Ini menyebabkan perempuan itu dalam
keadaan serba salah.
Tiba-tiba Allah jadikan
kanak-kanak yang masih menyusu itu bercakap:
“Wahai ibu terjun segera, jangan tunggu.”
Lalu perempuan itu
dicampak ke dalam api bersama dengan anaknya.
Di sini terdapat kekhilafan di kalangan ulamak mengenai ruksah dan azimah kerana firman Allah
Aa’ala:
“Melainkan orang dipaksa dalam keadaan hatinya tetap
beriman.”
Ayat ini diturunkan oleh Allah memberi ruksah kepada Amar
bin Yasir RA apabila ayahnya Yasir dasn ibunya Sumaiyah diseksa bersama
dengannya, ayah dan ibunya dibunuh kerana memilih mati syahid. Tetapi Amar yang
tidak tahan dengan penyeksaan terus bercakap dengan kalimah kufur lalu dia
dibebaskan.
Sebaik-baik dibebaskan di menemui nabi SAW lalu Allah
turunkan ayat itu.
“Melainkan orang dipaksa
dalam keadaan hatinya tetap beriman.”
Di sini ulamak mengatakan ada dua pilihan. Sama ada
memilih azimah (memilih mati) atau memilih ruksah (iaitu kemudahan, bercakap
dengan kalimah kufur sedangkan hati tidak redha) lari dan selamatkan diri.
Berdasar kepada ayat itu dua-dua boleh dalam syariat kita
nabi Muhamad SAW. Tetapi
memilih azimah lebih afdal daripada memilih hidup (ruksah).
Ada pula ulamak mengatakan memilih ruksah lebih baik
daripada azimah sekiranya dia boleh menyelamatkan orang lain daripada fitnah.
Kadang-kadang dia mati boleh meneguhkan iman orang lain. Jadi bergantung kepada
keadaan.
Ini berlaku kepada dua
orang sahabat nabi. Bila nabi menerima surat Musailamah al-Kazzab daripada bani
Hanifah yang mengaku menjadi nabi. Dia bertemu dengan nabi meminta jawatan.
Nabi tidak memberi jawatan kepadanya dan nabi berkata:
“Jika meminta pelepah
tamar ini pun aku tidak akan beri.”
Dia pun balik ke negerinya dan dia mempunyai puluhan ribu
pengikut, menulis surat kepada nabi mengatakan:
“Dia Rasulullah dan Muhamad pun Rasulullah. Kita bahagi
dua bumi ini, separuh untuk aku dan separuh lagi untuk kamu.”
Nabi menjawab surat itu:
“Daripada Muhamad Rasulullah kepada Musailamah pembohong.”
Nabi menyuruh dua orang sahabat pergi mengirim surat kepada Musailamah.
Musailamah bertanya salah seorang sahabat:
“Kamu percaya Muhamad itu Rasulullah.”
Sahabat itu jawab:
“Percaya.”
Dia bertanya lagi:
“Kamu percaya atau tidak aku ini Rasulullah.”
“Telinga aku pekak, tidak
dengar.” Kata sahabat itu.
Lalu Musailamah membunuh
sahabat itu.
Kemudian dia bertanya kepada sahabat seorang lagi:
“Kamu percaya atau tidak Muhamad itu Rasullah.”
Jawab sahabat itu:
“Percaya.”
Dia bertanya lagi:
“Kamu percaya atau tidak aku ini Rasulullah.”
Jawab sahabat itu:
“Percaya.”
Dia percaya belaka dan
dia dibebaskan. Dia pun balik ke Madinah.
Yang pertama mati syahid (memilih azimah) dan yang kedua
memilih ruksah.
Jadi dua keadaan. Boleh memilih mati syahid ataupun
memilih kemudahan yang diizinkan oleh Allah Ta’ala.
Ayat yang kita baca ini menunjukkan bahawa Allah Ta’ala
memberi fadilat kepada mereka yang memilih mati syahid. Allah memberi amaran
kepada orang yang menggoda orang-orang beriman lelaki dan perempuan sama ada
menggoda, menyeksa atau membunuh supaya orang tidak ikut Islam.
“Sesungguhnya orang-orang yang menyeksa orang-orang
beriman lelaki dan orang-orang beriman perempuan” kerana dia ikut Islam, ikut
perjuangan Islam dan hendak ajaran Allah, “kemudian mereka tidak bertaubat,
bagi mereka azab neraka jahnam dan bagi mereka azab yang membakar.”
Ini berlaku dalam peristiwa Ahzab yang disebut dalam
Quran.
Zaman sekarang pun
berlaku juga godaan. Jika ikut Islam susah naik pangkat dan jika tidak ikut
perjuangan Islam mudah naik pangkat. Termasuklah kerja-kerja menyeksa
orang-orang beriman lelaki dan perempuan. Kalau ikut syariat Allah bantuan
tidak diberi dan sebaliknya jika tidak mengikut syariat Allah diberi bantuan.
Allah memberi amaran kepada mereka yang menyeksa
orang-orang beriman sama ada membunuh, menahan kehidupannya, menahan
pangkatnya, menahan kebolehannya atau menahan apa sahaja kerana ikut perjuangan
Islam dan tidak bertaubat
“bagi mereka azab neraka jahnam dan bagi mereka azab yang
membakar.”
Jika bertaubat diampun oleh Allah Ta’ala.
Disebut dalam hadis:
“Allah Ta’ala ketawa (ketawa bagi yang layak dengan Allah
Ta’ala) kerana orang yang membunuh dan orang yang dibunuh kedua-dua masuk
syurga.”
Orang pertama berperang fi sabilillah dibunuh oleh orang
kafir. Orang kafir ini masuk Islam, berjihad dan mati syahid. Mereka ini ialah
Saidina Hamzah dan Wahsyi.
Saidina Hamzah bapa saudara nabi yang mati dalam
peperangan Uhud apabila Hindun binti Utbah (mertua nabi) mengupah Wahsyi
(seorang hamba daripada Afrika yang pakar dalam melancar lembing) supaya
membunuh Hamzah. Jika Wahsyi dapat membunuh Hamzah dia akan dimerdehkakan.
Dalam perang Uhud Wahsyi berpeluang melancar lembing tepat
terkena Hamzah dan mati. Mayat Saidina Hamzah dicincang, dipotong hidungnya,
dibelah dadanya dan dipotong kemaluannya dan dimamah hatinya.
Nabi tersangat sedih
melihat bapa saudaranya mati dalam keadaan demikian dan mengutuk sekeras-keras
perbuatan itu. Allah Ta’ala menyuruh nabi sabar dengan takdir Allah Ta’ala.
Wahsyi yang membunuh Saidina Hamzah masuk Islam dan dia
berperang zaman Saidina Abu Bakar menentang Musailamatul Kahzab. Musailamah
yang mengaku menjadi nabi terkenal dengan ganas dan tenteranya juga ganas
sehingga Ikrimah bin Abu Jahal RA yang memimpin bala tentera Islam menyerang
tentera Musailamah tetapi gagal.
Ramai tentera mendapat luka-luka lalu Saidina Abu Bakar
mengarahkan Khalid al-Walid RA membantu menyerang tentera Musailamatul Kahzab
dengan mengepung kotanya. Dalam
masa beberapa lama mereka dapat masuk dalam kota dan ditakdirkan Wahsyi yang
membunuh Saidina Hamzah dapat membunuh Musailamah dan syahid dalam pertempuran
ini.
Ini menunjukkan bahawa
mereka yang bertaubat, menebus kesalahannya dengan berjihad sehingga dia mati
dan mendapat kelebihan mati syahid.
Suhir bin Amar yang
berunding dengan nabi dalam perjanjian Hudaibiyah. Nabi suruh Saidina Ali tulis
Bismillah dia kata tidak pernah dengar dan dia suruh tulis Bismikallahumma.
Saidina Ali menulis Muhamad Rasulullah. Suhir berkata dia tidak mahu terima
Muhamad Rasulullah dan menyuruh tulis Muhamad bin Abdullah. Jadi berlaku
perbalahan dalam perundingan Hudaibiyah. Suhir bin Amar masuk Islam.
Ini menunjukkan ada
orang-orang yang bertaubat. Mereka yang membuat zalim kepada orang-orang
beriman bertaubat kepada Allah Ta’ala dan taubat mereka diterima oleh Allah
Ta’ala.
Jika tidak bertaubat dan mati dalam keadaan kafir jawabnya
azab neraka jahnam
“dan bagi mereka azab yang sangat membakar”
Api neraka ini memakan besi dan memakan batu apa lagi
manusia dan tidak mati pula.
“Sesungguhnya orang-orang beriman dan mengerjakan amal
solih, bagi mereka syurga-syurga yang mangalir di bawahnya sungai-sungai dan
itulah dia kemenangan yang paling besar.”
Allah Ta’ala mengatakan bahawa mereka yang dibakar dalam
api yang nyala sehingga menjadi abu mendapat kemenangan yang besar. Macam mana
pula menjadi abu mendapat kemenangan yang besar.
Mereka yang dibakar jadi abu ini menunjukkan mereka berada
di dalam alam yang lain. Ruh mereka dimasukkan ke dalam syurga kerana mereka
mati syahid mendapat kelebihan daripada Allah SWT. Sebaik sahaja dicabut nyawa
daripada jasadnya terus masuk ke syurga.
“Itulah kemenangan yang paling besar”
Disebut pula dalam banyak
hadis bahawa diampun segala dosa-dosa mereka dan boleh memberi syafaat kepada
keluarganya yang masuk neraka. Tujuh puluh orang keluarga yang masuk nereka
boleh dibebaskan oleh mereka yang mati syahid ini. Ini satu kemenangan yang
sangat besar.
Apa yang berlaku di Razzah Palastin hari ini masing-masing
keluarga berbangga dengan anak-anak, suami dan keluarga mereka mati syahid
berperang dengan orang Yahudi. Bangga kerana kemenangan yang besar.
Kepercayaan kita adanya alam barzakh dan alam akhirat
bukan alam dunia ini sahaja. Walaupun tubuhnya hancur-lebur dan tubuhnya
dibakar menjadi abu tetapi ruhnya mendapat nikmat di alam syurga yang mengalir
di bawahnya sungai-sungai penuh dengan nikmat yang tidak terhingga dan itulah
kemenangan yang paling besar iaitulah kemenangan selama-lamanya.
Kemenangan di atas dunia ini sekejap sahaja. Kemenangan di
hari akhirat ialah kemenangan yang paling besar dan inilah yang patut dicari
oleh orang-orang beriman kerana kehidupan orang beriman dunia sampai ke
akhirat.
Nabi bersabda:
“Aku mahu berjuang untuk
menegak agama Allah, lalu aku dibunuh dengan sebab itu, kemudian aku dihidupkan
semula, aku berjuang lagi dan aku dibunuh sebab itu dan aku dihidupkan semula
lalu aku dibunuh dengan sebab itu.”
Ini adalah kerana mengetahui kemenangan yang besar yang
dijanjikan Allah SWT.
Al-Konsat RA, seorang perempuan dan seorang penyair Arab
(ayahnya dan adik-beradiknya penyair) masuk Islam sempat dengan nabi SAW. Dia
mengiringi anaknya dalam peperangan menentang Farsi di zaman Saidina Umar bin
Khattab RA. Diberitahu bahawa anaknya yang pertama mati dia suka dan diberitahu
anaknya yang kedua mati, dia suka juga dan bila diberitahu anaknya yang ketiga
mati, dia menangis.
.
Orang bertanya mengapa bila diberitahu anak pertama dan
kedua mati dia suka dan bila diberitahu anak ketiga mati dia menangis?
Dia menjawab:
“Aku ketawa bila diberitahu anak pertama dan kedua mati kerana
mereka berada di alam berzakh dan mendapat kemenangan besar di hari akhirat.
Tetapi aku menangis bila diberitahu anak ketiga mati kerana aku tidak ada lagi
anak untuk berjihad dan aku harap berada bersama dengan mereka di akhirat.”
Ini adalah sifat orang-orang beriman yang percaya kepada janji
Allah SWT.
“Itulah kemenangan yang paling besar.”
Iaitulah kemenangan di alam barzakh dan di hari akhirat.
Kemenangan buat selama-lamanya bukan kemenangan buat sementara waktu sahaja.
Kemenangan sementara waktu, ditinggalkan di alam dunia dan habis begitu sahaja.
Allah Ta’la jadikan kesan nabi Sulaiman, nabi Daud dan
kesan Zulkurnain serta serta kesan nabi kita Muhamad SAW dihilangkan, ada
pembangunan tetapi dihapuskan untuk diberi pahala kepada mereka di hari
akhirat.
Pembangunan yang dikekalkan ialah pembangunan Namrud,
Firaun, kaum ‘Ad dan Samud supaya dilihat dan menjadi pengiktibaran oleh
generasi seterusnya.
Kemenangan yang paling besar ialah kemenangan akhirat.
KULIAH TAFSIR YT
No comments:
Post a Comment