Firman Allah
Ta’ala Surah al-Waqiah ayat 15-40:
( 15 )
(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang
bertatahkan permata;
( 16 )
Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.
( 17 )
Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam
keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, -
( 18 )
Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau
gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
( 19 )
Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab
menikmatinya.
( 20 )
Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang
mereka pilih,
( 21 )
Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
( 22 )
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
( 23 )
Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
( 24 )
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah
kerjakan.
( 25 )
Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan
tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -
( 26 )
Mereka hanya mendengar ucapan: " Selamat! Selamat! " (dari
satu kepada yang lain).
( 27 )
Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?
( 28 )
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
( 29 )
Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,
( 30 )
Dan naungan yang tetap terbentang,
( 31 )
Dan air yang sentiasa mengalir,
( 32 )
Serta buah-buahan yang banyak,
( 33 )
Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,
( 34 )
Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.
( 35 )
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan
istimewa,
( 36 )
Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
( 37 )
Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
( 38 )
(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;
( 39 )
Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,
( 40 )
Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.
Ayat-ayat
yang kita baca ini menyatakan mengenai penghuni syurga.
Mereka yang beriman dan mengerjakan amal salih diantaranya
golongan MUKARRABIN (sangat hampir di sisi Allah Ta’ala) dan ASYHABUL YAMIN
(golongan kanan) yang dijanjikan nikmat oleh Allah SWT.
Antara
nikmat yang diberi kepada golongan kanan yang mukarrabin ialah mereka berada di
atas takhta yang dihiasi dengan hiasan-hiasan sangat menarik.
Mengikut
Ibni Abas takhta (tempat duduk) dihiasi dengan emas dan mengikut Ikrimah
dihiasi dengan permata-permata berbagai jenis. Itu adalah diantara nikmat yang
ada dalam syurga.
“Tempat
duduk yang sangat indah.”
“Mereka
berada di atas tempat itu dalam keadaan berhadap diantara satu sama lain,
berdepan dengan isteri-isteri dan kaum keluarga mereka serta berkasih sayang
diantara satu sama lain.”
“Sentiasa
datang mengunjungi mereka secara bertalu-talu bila diminta khidmat menjalankan
tugas.”
“Anak-anak
muda yang tidak mati selama-lamanya.”
Mengikut
sesetengah ulamak anak muda terdiri daripada mereka yang tidak dilahirkan ke
dunia.
Mengikut
riwayat Ali bin Abi Talib dan al-Hasan al-Basri mereka ialah anak-anak orang
yang beriman yang mati kecil.
Mengikut
Salmanul Farisi mereka ialah kanak-kanak orang musyrikin yang mati. Mereka
tidak dimasukkan ke dalam neraka dan menjadi pelayan-pelayan di dalam syurga.
Allah
Ta’ala menyebut dalam syurga ada pelayan-pelayan lelaki yang muda
selama-lamanya dan tidak mati sekali-kali.
“Dengan
piala-piala yang diisi minuman, teko-teko dan gelas-gelas yang diletakkan di
dalamnya arak (air buah-buahan) yang dialirkan daripada sungai-sungai yang
tidak mabuk, tidak ada penyakit dan tidak menghilangkan akal.”
Arak
dalam syurga bila diminum tidak hilang akal.
“Dan
buah-buahan daripada apa yang mereka pilih.”
Berbagai-bagai
buah-buahan dalam syurga. Apa yang kita lihat atas dunia ada dalam syurga. Rupa
sahaja sama, rasanya tidak sama. Dan buah-buahan yang tidak pernah dilihat.
“Dan daging
burung daripada apa yang mereka ingini.”
Ada
macam-macam jenis burung dalam syurga. Daging-daging burung yang sedap rasanya.
Disebut dalam hadis israk dan mikraj nabi SAW menyebut, dalam syurga ada
burung-burung yang besar macam unta.
Lalu Saidina
Abu Bakar bertanya: “Sedap ke makan?”
Mengikut
riwayat lain Saidina Umar bertanya: “Sedap ke makan.”
Nabi
menjawab: “Aku makan. Dijamukan kepada aku dan sangat lazat rasanya. Moga-moga
engkau termasuk di dalam kalangan orang yang merasainya di dalam syurga itu.”
Disebut di
dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh as-Syaklabi daripada Abi Dardat RA
bahawa nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya
dalam syurga itu ada burung-burung laksana tengkak-tengkak unta menghulurkan
lehernya, berkisar-kisar mengelilingi wali Allah,
lalu
burung itu berkata wahai wali Allah aku dipelihara di bawah arasy, aku minum
daripada air-air tasnim (air dalam syurga), makanlah aku ini kata burung itu,
maka
sentiasalah dia berbangga kerana berada di hadapan orang yang baik, orang yang taat
kepada Allah Ta’ala.
Lalu
dimakan dan setelah dimakan tulang-tulangnya berkilauan sangat cantik.
Tulang-tulang itu dikumpul dan dihidupkan semula, dan mencari makan di dalam
syurga untuk dimakan lagi.”
Lalu Saidina
Umar kata: “Wahai nabi Allah! Sedap ke burung itu?”
Nabi
berkata: “Aku pernah makan dan memang lazat.”
Itulah
nikmat dalam syurga dan banyak hadis mengenai syurga.
“Dan
bidadari-bidadari yang cantik rupawan yang menjadi isteri ahli-ahli syurga
disamping isteri-isteri mereka yang ada di atas dunia (kalau masuk syurga)”
Mengikut
satu riwayat isteri di dunia dijadikan lebih cantik daripada bidadari lagi
kerana bidadari tidak diuji dengan iman dan amal. Sedangkan perempuan atas
dunia diuji dengan iman dan amal. Oleh itu murtabat mereka mengatasi bidadari
dalam syurga.
“Seperti
mutiara-mutiara yang diatur.”
Mutiara
diatur yang kelihatan indah.
“Balasan
terhadap apa yang mereka amalkan dalam kehidupan dunia dahulu.”
Itu semua
ialah balasan yang Tuhan beri kepada ahli syurga kerana iman dan amal kebajikan
yang dilakukan atas dunia. Balasan ini lebih besar daripada amalan yang kita
lakukan.
Amalan yang
kita lakukan tidak berpadanan dengan balasan yang diberi oleh Allah Ta’ala.
Kita hendak membeli satu batu-bata mahligai dalam syurga dengan amalan kita sepanjang
hayat pun tidak mampu.
Batu-bata
mahligai dalam syurga adalah emas dan perak yang tidak boleh dinilai harganya.
Tidak cukup hendak dibayar dengan amalan kebajikan kita atas dunia.
Syurga
adalah kurnia Allah Ta’ala. Sabda nabi SAW:
“Perbetullah
amal kamu dan hampirkanlah diri kamu kepada Allah. Sesungguhnya seseorang itu
tidak selamat dengan jasa amalnya sahaja.”
Lalu
sahabat bertanya: “Termasuk juga Rasulullah tidak dapat bayar dengan amal?”
Rasulullah
menjawab: “Termasuk juga aku sendiri melainkan Allah Ta’ala mengurniakan rahmat
dan pemberian daripadanya.”
Syurga
adalah pemberian daripada Allah Ta’ala. Walaupun disebut balasan tetapi bukan
bayaran.
Inilah
sebabnya mereka yang hampir dengan Allah – nabi-nabi dan wali-walinya berasa
terlalu sedikit amalan mereka di hadapan Allah yang kurnianya terlalu besar.
“Mereka
tidak mendengar di dalam syurga itu perkara sia-sia dan perkara yang berdosa.”
Tidak
ada yang sia-sia dan tidak ada yang bohong dalam syurga. Semuanya benar dan
baik.
“Melainkan
ucapan SALAMA SALAMA”
Salama
salama ditafsirkan
oleh ulamak ialah ucapan-ucapan yang baik, perkataan yang baik dan selamat
sejahtera.
Ada ulamak
mengatakan salama salama ialah mereka memberi salam diantara satu sama lain.
ASSALAMU’ALAIKUM (selamat sejahtera ke atas kamu)
Umat zaman
dahulu menyebut SALAM dan orang Yahudi menyebut SALUM.
Kita kata AMIN dia kata AMIN juga tetapi iman mereka ditolak kerana melawan
nabi Muhamad SAW. Ini menunjukkan ada persamaan diantara ajaran agama-agama
samawi (agama langit).
Sesetengah
ulamak mengatakan ‘salama salama’ ialah ucapan para malaikat di langit. Para
malaikat berucap ‘salama salama’ (selamat sejahteralah kamu wahai
penduduk-penduduk syurga).
KULIAH TAFSIR
YT
No comments:
Post a Comment