Thursday, November 3, 2016

BENTENG RUMAH-TANGGA




Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa antara jalan-jalan manusia dapat mencapai kebahgiaan itu ialah melalui perkahwinan. Tidak ada siapa juga dapat menafikan ramai orang yang sangat tercabar dalam kehidupan rumah-tangga.
 
Kehidupan rumah-tangga bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita lalui. Kalaulah perkara itu mudah takkanlah Rasulullah SAW menganggap perkahwinan itu pahalanya umpama berjihad dan mendapat mati syahid di jalan Allah SWT. 

Apabila seorang wanita datang mengadu berkata, “Ya Rasulullah! Kami orang perempuan ini rugi, orang lelaki seronoklah berperang dan mati dapat pahala syahid dan kalau menang mendapat harta rampasan, kami orang perempuan mendapat apa”

Rasulullah SAW menjawab, “Khabarkan kepada semua teman kamu, bukan untuk kamu seorang sahaja; seorang wanita jika dia menjaga rumahnya, dia menjaga benteng rumah- tangganya dengan baik itu sudah sama dengan berjihad di jalan Allah, sama dengan keluar berperang”.

Sekarang sudah tidak ada perang sebab itu jihad kepada seorang perempuan dan jihad seorang lelaki pun ialah menjaga dan memastikan supaya benteng-rumah tangga ini kukuh.
Kahwin memanglah senang tetapi bagaimana hendak membenteng rumah-tangga selepas kahwin supaya rumah-tangga kukuh.

Ada benteng-benteng yang perlu kita bina:

1. Aqidah yang sihat dan murni.

Akidah berkait dengan hati. Orang beriman yakin kepada Allah, beriman kepada Rasul, kitab, malaikat, hari kiamat dan kadar baik dan jahat adalah dari Allah.

Jika kurang yakin dengan rukun iman itu maka aqidah kita tidak sihat. Kita mesti percaya adanya malaikat yang menulis semua amalan kita di dunia, dan percaya bahawa jika kita abaikan tanggungajawab rumah-tangga adalah berdosa. Jika akidah tidak sihat rumah tangga goyng.

Jadi aqidah amat penting dalam membina benteng rumah-tangga.

2. Ibadah.

Ibadah yang benar, ibadah yang bersih daripada segala bidaah dan tahyul, daripada segala kurafat merupakan benteng kedua. Mana-mana rumah-tangga yang mengalami masalah kita semak, satu soalan sahaja kita tanya, “sembahyang atau tidak keluarga ini”
Jawab mereka, “Ya sembahyang, tetapi kadang sembahyang kadang-kadang tidak”.
Ada juga rumah-tangga yang mengalami masalah, mereka jaga sembahyang tetapi zakat tidak dijaga, kadang-kadang tidak ditunaikan. 

Puasa kadang-kadang tidak dipatuhi dengan sepenuhnya. Puasa Ramadan tidak boleh bersama dengan suami waktu siang hari. Mereka menjawab, “Tidak mengapa kita membuka puasa dahulu baru bersama”. Hendak berhelah dengan tuhan.

3. Persaudaraan. 

Kita rasa yang pasangan kita itu macam saudara kandung kita yang kita sanggup menolongnya bila berlaku kesusahan. Sesama adik mesti ada perasaan saudara. Ini tidak. Kalau si abang itu buat kepada adik biasalah bergaduh, emak pula lebih-lebih. Pegang abang dan menyuruh adik membalasnya. Kadang-kadang bila adik tidak sempat membalasnya emak pula tolong membalasnya.

Kita tidak mengajar anak-anak kita ini supaya bersabar, dia adalah saudara kamu. Maknanya kita tidak membena benteng. Jika kita membena benteng cukuplah seorang yang kena pukul janganlah pula kita membalasnya. Biarlah seorang sahaja yang kena, jangan dua-dua pula kena.

Perlu membina benteng dengan menanam dalam hati anak-anak kita sifat bertolak ansur dan bersabar. 

4. Jalan hidup yang Rabbani.

Mengikut hadis jalan hidup yang Rabbani itu ialah liku-liku hidup pada dasarnya yang ditentukan oleh Allah SWT. 

5. Kepimpinan yang bijaksana.

Jika persaudaraan dibina dengan elok tetapi kepimpinan tidak bijaksana hancur juga rumah tangga. Suami mesti menjadi pemimpin yang baik barulah rumah tangga ada benteng
6. Kesanggupan berkurban, berjuang dan redha.

Suami balik rumah penat dan hendak rehat. Isteri pun balik kerja penat dan hendak rehat. Masing-masing tidak sanggup berkurban maka goyanglah rumah tangga.

Pokok perbincangan kita ialah berkahwin memang senang tetapi hendak membina benteng rumah-tangga bukan suatu perkara yang mudah. Sebab itu kita dapati dalam rumah-tangga berlaku pergaduhan dan penderaan. 

Apa puncanya?

Ada jawapan dalam al-Quran. Dalam suratun Nisya Allah SWT berfirman memberitahu mengapa orang menjadi bengis, orang menjadi kasar dan bergaduh. Salah sikit bergaduh
“Tidakkah kamu melihat kepada orang-orang suka bergaduh dan bila al-Quran menyuruh mereka berhenti bergaduh dengan mendirikan sembahyang dan tunaikan zakat”.

Jika berhenti bergaduh tetapi tidak diikuti dengan dua benteng ini iaitu sembahyang dan tunaikan zakat, hari ini berhenti bergaduh, esok bergaduh pula. Anak-anak kita bergaduh walaupun sudah sembahyang, mengapa. Mungkin tidak kisah bab zakat. Ayat itu serangkai, dirikan sembahyang dan tunaikanlah zakat. Mesti dipenuhi kedua-duanya. Jika satu daripadanya tidak dilaksanakan maka ianya tidak diterima oleh Allah SWT.

Hujung tahun ada tawaran murah mungkin duit dibelanjakan di situ dan lupa menunaikan zakat. Cuba semak diri kita. Muhasabah diri kita.

Benteng dalam rumah-tangga, Allah sebut dirikan sembayang dan tunaikan zakat. Oleh itu pastikan ahli keluarga kita mengerjakan solat dan membayar zakat. Insya Allah yang lain-lain serahlah kepada Allah.

Mengapa pula orang berkahwin sama banyak dengan orang bercerai. Lagi banyak kahwin lagi banyak bercerai. Kahwin dua tiga tahun bercerai dan ada yang bercerai dalam tahun yang sama. Hutang perkahwinan belum habis bayar dah bercerai. 

Kenapa jadi begitu? Kerana kita tidak membina benteng. 

Jangan fikir lepas kahwin kita fikir kita sudah selamat. Kita belum lagi duduk dalam zun yang selamat. 

Selepas kahwin kita perlu ada pemantapan. Pemantapan rumah-tangga penting dan apa benda pemantapan rumah-tangga. Banyak rumah-tangga yang lalai. Apa yang mereka fikir ialah mencari duit sahaja. Balik rumah rehat, anak-anak hantar pergi tuisyen.
Ada atau tidak pemantapan dari segi ilmu yang kita curahkan dalam rumah-tangga. Ada atau tidak ahli keluarga menghadiri majlis ilmu. Atau adakah kita memanggil orang yang berilmu ke rumah kita untuk memberi makanan ruhani kepada ruh kita.
Apa dia ruh?

“Orang bertanya apa dia ruh; katakanlah ruh ialah urusan tuhan dan kamu tidak diberi ilmu mengenai ruh kecuali sedikit”. 

Oleh kerana ruh urusan tuhan, hendak membaiki ruh perlu balik kepada tuhan. Jadi ilmu ini penting, jangan kita lalai. Rutin hari-hari begitulah pagi-pagi bangkit pergi kerja dan petang balik kerja tetapi tentang ilmu kita tidak prihatin. Rumah-tangga akan diuji dan bagaimana kita hendak sabar dengan ujian Allah jika tidak ada kekuatan dalaman.

Sentiasa melahirkan ruang bicara atau syura dalam rumah-tangga. Rumah-tangga menjadi masalah kalau tidak ada tempat hendak bercakap. Bila hendak becakap? Hendak bercakap malam, saya letihlah besok sahajalah bercakap. Esok pagi hendak bercakap; waktu sibuk inilah hendak bercakap. Saya hendak pergi kerja ini. Ini penting bila hendak bercakap. Jadi tiada ruang syura.

Maha kaya Allah menyebut dalam Quran Allah menyuruh kita berbincang daripada sekecil-kecil perkara sampai sebesar-besar perkara. Pernahkah kita duduk bersama untuk membincang bagaimana hendak membesarkan anak. Apa kaedah yang kita hendak gunakan. Kita tidak pernah serius membincangnya. Kita tidak bincang bagaimana cara hendak kita terapkan untuk membesar anak-anak.

Allah sentuh sedikit sahaja dalam al-Quran iaitu bincang tentang susuan anak. Allah menyebut dalam suratul Baqarah, “Tidak menjadi masalah bagi kamu jika kamu hendak memberhentikan susuan anak kamu dengan syarat syura antara suami isteri “. 

Ya Allah! Tidak pernah dengar suami-isteri berbincang masalah hendak melepas susuan anak. Isteri tidak pernah menanya sepatah pun pada suami. Suami pun tidak pernah menanya sebab suami pun tidak membaca Quran. Mana hendak tahu kalau tidak baca Quran. 

Masing-masing kena faham. Quran menyatakan soal hendak melepas susuan anak pun perlu syura. Isteri kena memberitahu suami, “Bang saya hendak menyusu anak selama dua tahun”.

Suami pun berkata, “Setahun setengah cukuplah”. Itulah dia syura.

Apa yang terjadi dalam masyarakat hari ini, suami terpinggir dan bila isteri beranak dalam pantang suami membuat hal. Kenapa? Kerana waktu hendak mengandung pun tidak pernah berbincang. 

Jadi macam mana kita ini. Kita tidak membina benteng dalam rumah-tangga.
Mesti ada ruang untuk kita buat syura, ruang untuk menegur, ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati. Kalau ada apa-apa yang tidak kena, “Malas aku bercakaplah”.
Bagi isteri pula ‘diam’. Paling tidak merajuk. Silap sikit tarik muka empat puluh empat. Lepas empat puluh hari meletup volcano. 

Suami pula malas bercakap, start kereta keluar. 

Itukah cara kita menyelesaikan masalah rumah-tangga. Tidak adakah ruang bicara untuk kita memikir di mana tempat yang tidak kena. Ada tempat yang tidak seronok. Malas hendak fikir, malas hendak bercakap, diam sahajalah. 

Kita menyorok masalah kita di bawah katil atau di bawah permaidani tidak boleh menyelesaikan masalah. Kita kena ada ruang bicara. Kena ada syura.

Berjemaah dalam setiap perkara. Adakah kita menghidupkan jemaah dalam rumah tangga. Jemaah makan dan jemaah solat. Jemaah solat sepatutnyalah, atau solat masing-masing. Apa tidaknya suami masuk bilik air dekat setengah jam, isteri pun tidak boleh tunggu apa lagi sebab hendak masak dekat dapur. Isteri pun sembahyang dulu. Suami pun tengak-tengak anak pun sudah sembahyang, tiada jemaah.

Makan pun, isteri masak-masak dia makan dulu. Anak jika sempat makan dengan ibu. Suami ambil sendirilah makanan. Apa hendak jadi, mana jemaah keluarga kita. Kita tidak serius, kita tidak pandang perkara ini sebagai serius. Jika kita serius kita ambil berat tentang ini. Dakwah yang berterusan dalam rumah tangga diperlukan, ada atau tidak dalam rumah-tangga kita.

Bila menyebut dakwah janganlah ingat ceramah sahaja. Janganlah ingat khutbah Jumaat sahaja. Janganlah fikir Forum Perdana sahaja. Dakwah dalam rumah-tangga ialah tegur menegur. Itulah dakwah. Jika ada mungkar kita melarang, ada ma’ruf yang tidak dibuat hendaklah disuruh. Itu makna dakwah. 

Jika tidak ada dakwah dalam rumah tangga bermakna tidak serius. Ini bermakna rumah tangga kita tidak berkubu. Tidak ada kubu, tidak ada pertahanan. Rumah tangga yang tidak berkubu, jika diserang bila-bila masa boleh tumbang.

Penilaian dari masa ke semasa perlu dilakukan. Adakah kita membuat post mortem. Jangan tunggu orang mati baru hendak post mortem. Post mortem ini maknanya tahun-tahun kita muhasabah itu pun post mortem. 

Bagi syarikat tiap-tiap tahun mengaudit akaunnya, itu pun post mortem. Kita dalam hidup kita perlu ada muhasabah, perlu ada kira-kira. Kita sepuluh tahun dah bersama, duit dah ada dan harta dah banyak bila lagi hendak ke Mekah untuk mencukupkan rukun. Alhamdulillah kita sudah banyak membuat benda baik, tetapi boleh membuat lagi baik. Kita sudah mencukupi, marilah kita menolong orang lain yang memerlukan.

Muhasabah ini penting. Jika tidak ada muhasabah, kita sebut perkahwinan macam company (syarikat)  juga. Perjanjian perkahwinan kuat kerana disaksikan oleh Allah SWT. Jadi ada atau tidak kita membuat penilaian dari masa ke semasa ?.  

Adakah kita sanggup untuk berubah. Benteng terakhir rumah-tangga ialah kesanggupan untuk membuat perubahan dari masa ke semasa. Manusia ini perlu berubah. Sepuluh tahun kahwin tidak sama, tiga puluh tahun kahwin tidak sama. Maknanya dari tahun ke tahun perlu ada perubahan. Macam mana perubahan? Bertambah jadi baiklah.

Dulu belum mendapat anak caranya berlainan. Sebelum ada anak ada banyak masa kosong untuk bersama. Isteri boleh melayan dengan baik dan suami banyak masa dengan kawan-kawan. Bila ada anak sampai enam orang takkan mampu isteri melayan seperti dulu masa tiada anak. 

Jadi kita perlu sanggup berubahlah. Dulu tidak ada anak layanan isteri lain, sekarang dah ada anak perlu bertolak ansurlah. Janganlah pula timbul dulu you melayan I bukan main baik. Dulu pakai minyak wangi sekarang minyak angin. Macam mana hendak buat, sekarang kena pakai minyak anginlah sebab sakit lutut.

Bila anak sudah dewasa, anak sudah kahwin, tinggal berdua sahaja berubah pula caranya. Ini perlu kuatkan balik kehidupan dan sanggup berubah. Kita kena menerimalah hakikatnya. Kita kena peka kepada perubahan. Ada orang sehingga sampai ke anak cucu tidak berubah, macam itulah caranya. 

Selera orang warga emas sudah berlainan. Dulu suka mendengar lagu rancak, sekarang hendak mendengar lagu nasyid, bacaan al-Quran dan sebagainya. 

Sama-samalah kita renungkan ada atau tidak ruang-ruang untuk kita perbaiki semoga rumah- tangga kita bahagia dan diredhai Allah SWT.

- KULIAH YT


No comments:

Post a Comment