Alam ialah selain daripada Allah. Apa yang dicipta oleh Allah adalah alam.
Manusia, malaikat, jin, pohon kayu, binatang, langit, bumi dan lain-lain adalah
alam.
“Alhamdulillahi Rabbil’alamin”, segala kepujian bagi Allah, tuhan
sekalian alam.
Allah bukan sahaja menjadikan seluruh alam tetapi Allah juga
mentadbir dan mengurus sekalian alam. Seluruh alam ditadbir oleh Allah SWT.
Allah mentadbir sekalian alam dengan peraturan dan undang-undang masing-masing.
Makhluk di langit ada undang-undang, makhluk di bumi ada
undang-undang, malaikat ada undang-undang, awan yang berarak di udara ada
undang-undang dan peraturannya. Semua makhluk tunduk kepada peraturan dan
undang-undang yang dibuat oleh tuhan secara Islam.
Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Dan kepada-Nya (kepada tuhan)
islah segala yang ada di langit dan di bumi”.
Islam bermakna menyerah diri.
Friman Allah Ta’ala bermaksud, “Malaikat tidak sekali-kali
derhakakan Allah dan mereka membuat apa sahaja yang diperintah supaya
melakukannya, dan awan-awan yang diarah, terlalu banyak tidak sekali-kali
berlaga antara satu sama lain, masing-masing mengikut jalan masing-masing.
Matahari beredar dan bergerak mengikut tempat yang ditetapkan, dan
bulan Kami tetapkan kepadanya tempat turunnya sehingga kembali menjadi bulan
sabit laksana seludang yang lama (yang kering)”, surah Yaasin.
Bulan tunduk kepada Allah Ta’ala. Bintang-bintang di langit tunduk
kepada Allah Ta’ala.
Beberapa orang ahli sains yang mengkaji angkasa lepas bila membaca
Quran akhirnya masuk Islam. Mereka yang mengkaji lautan bila membaca Quran
terus masuk Islam. Bila membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa masing-masing
akhirnya mereka masuk Islam.
Percaya kepada Rabbil ‘alamin, tuhan yang memiliki dan mentadbir
sekalian alam. Seluruh alam mesti tunduk kepada Allah Ta’ala. Manusia juga
sebahagian daripada makhluk Allah Ta’ala. Bila kita berdepan dengan tuhan di
dalam sembahyang, ALHAMDU LILLAHI RABBIL ‘ALAMIN, segala puji bagi Allah Rabbil
‘alamin, yang mentadbir, yang mengurus seluruh alam ini, dalam masa yang sama
kita perlu sedar bahawa kita adalah juga alam yang mesti tunduk kepada
undang-undang Allah Ta’ala.
Sebagaimana pohon kayu dan binatang ada undang-undang maka manusia
juga ada undang-undang. Semua makhluk mesti patuh kepada undang-undang yang
ditetapkan kepada mereka oleh Allah Ta’ala.
Manusia yang diberi akal, Allah Ta’ala membuat peraturan khusus
untuk manusia.
Ada perkara yang Allah Ta’ala izin dan manusia boleh berfikir
dengan akal bagaimana hendak membuat jalan raya, buat satu lorong atau dua
lorong, memakai trafik light atau tidak. Itu manusia boleh memikir sendiri dan
tidak perlu melihat Quran.
Dalam perkara halal dan haram manusia kena iku Allah Ta’ala.
Bagaimana hendak beribadat kepada tuhan, dalam perkara yang manusia tidak mampu
memikir, dalam hukum qisas dan hudud yang dinaskan dalam Quran manusia wajib
ikut apa yang ditetapkan oleh Allah Ta’ala. Jika manusia membuat peraturan
sendiri maka menjadi rusak binasa.
Oleh kerana Allah Ta’ala yang menjadi manusia maka Allah Ta’ala
tahu apa yang layak bagi manusia. Itu hikmat kita menyebut Rabbil ‘alamin.
Mengapa kita tidak menyebut Alhamdulillahi rabbi, segala puji Allah tuhanku
atau Alahamdulillahi rabbina, segala puji bagi Allah tuhan manusia. Tetapi kita
menyebut Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, segala puji bagi Allah tuhan yang
menjadi, yang mentadbir dan mengurus sekalian alam.
Kita bukan sahaja dijadikan oleh Allah Ta’ala tetapi diurus dan
ditadbir oleh Allah Ta’ala. Oleh itu apa yang Allah Ta’ala kata halal kita kena
kata halal dan apa yang Allah Ta’ala kata haram kita kena kata haram. Apa yang
Allah Ta’ala tetapkan kita tidak boleh ubah. Allah Ta’ala kata sembahyang lima
waktu sehari semalam, jangan kita ubah menjadi empat waktu sahaja atau
sembahyang hanya memakai niat sahaja.
Tuhan mengizinkan jamak dan qasar sembahyang. Jamak dan
qasar pun dalam keadaan yang diizinkan oleh Allah Ta’ala. Boleh jamak
sembahyang Zohor dengan Asyar dan Maghrib dengan Isya. Subuh tidak ada jamak.
Jangan pula kita pandai-pandai jamak Subuh dengan Zohor.
Sesungguhnya sembahyang itu satu kewajipan yang ditetapkan kepada
orang-orang beriman dengan mengikut waktunya. Ini adalah keputusan Allah
Ta’ala.
Dalam perkara yang diharamkan, diharamkan berzina, diharamkan
meminum arak, diharamkan makan riba dan sebagainya hendaklah kita patuh.
Dalam perkara yang Allah Ta’ala tetapkan seperti hukum hudud,
hukum qisas yang dinaskan dalam Quran, jangan kita membuat main-main.
Di sini kita perlu sedar bahawa begitu besarnya maknanya bila
menyebut Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, segala puji bagi Allah tuhan yang
rabbil ‘alamin. Dan di sinilah juga hikmatnya mengapa dalam fitnah kubur
malaikat menyoal orang dalam kubur dengan Maarrabbuk, siapa tuhan, siapa Rabb.
Tidak ditanya Manilahuk.
Perkataan Rabb dengan makna tuhan dan perkataan Ila juga bermakna
tuhan. Tetapi malaikat menyoal dengan Marrabbuk, memakai perkataan Rabb. Ini
disebut oleh hadis nabi SAW.
Walaupun soalan malaikat sudah bocor dan boleh menghafalnya tetapi
ramai orang tidak boleh menjawab. Bila malaikat bertanya Marrabbuk ramai orang
tidak boleh hendak menjawab kerana kehidupannya di atas dunia sudah tidak
betul. Masa sembahyang Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, selesai sembahyang Rabb
lain pula, memilih Rabb yang lain daripada Allah Ta’ala dan memakai peraturan
dan undang-undang yang tidak diizin oleh Allah SWT.
KJULIAH YT