Khususnya kepada para isteri dan
puan-puan yang ada suami, tajuk menta’ati suami ini satu tajuk yang sangat
penting. Walaupun kita sering mendengar di mana-mana tetapi ada masanya perlu
diulang kembali supaya benar-benar lekat di dalam pemikiran kita.
Begitu pentingnya kita menta’ati
suami sehingga kata nabi SAW dalam satu hadis riwayat Abi Hurairah RA,
“Kalaulah aku berupaya untuk mengarahkan manusia sembah sesama manusia nescaya
aku akan menyuruh isteri-isteri menyembah suami masing-masing”.
Ini sebagai suatu gambaran awal
tentang bagaimana pentingnya para isteri menta’ati suami masing-masing. Oleh
sebab itu seorang isteri yang benar-benar ta’at kepada suami mereka dan
akhirnya suaminya redha kepada mereka, dijanji oleh nabi suatu janji yang amat
besar sebagaimana dalam hadis riwayat ummu Salamah dan diriwayatkan juga oleh
imam Turmuzi kata nabi, “Mana-mana orang perempuan yakni para isteri yang mati
dalam keadaan suami mereka redha (restu) kepadanya balasannya ialah syurga”
Bagaimanakah dikatakan
isteri-isteri menta’ati suami-suami mereka?
Sebagai jawapannya ialah isteri
tidak boleh nusyuz kepada suami mereka.
Apakah erti nusyuz?
Nusyuz dalam bahasa yang mudah
ertinya derhaka kepada suami. Dalam kontek enekmen Syariah jika seseorang
isteri disabitkan oleh mahkamah atas kesalahan nusyuz implikasinya tersangat
besar. Oleh sebab itu para isteri kena menjauhkan diri daripad menjadi nusyuz
kepada suami.
Ada beberapa perkara seseorang
isteri itu menjadi nusyuz.
1. Seseorang isteri itu tidak
boleh mengingkari perintah suami. Isteri mesti ta’at terhadap apa sahaja
permintaan dan arahan yang diberi oleh suami asalkan tidak bertentangan dengan
hukum syarak. Mana-mana isteri yang tidak mahu menta’ati perintah suaminya termasuklah
ajakan suami untuk tidur maka ia dikira menderhaka.
Seorang isteri yang dipanggil
oleh suaminya dan ingkar atas sebab-sebab yang tidak munasabah, dia bukan
sahaja melakukan kesalahan nusyuz bahkan dia akan dikutuk dan dilaknat oleh
para malaikat.
Ada satu hadis daripada Abi
Hurairah RA bermaksud, “Seorang isteri itu akan dikutuk, dilaknat, dicerca oleh
para malaikat apabila suami mereka tidak bergembira dengan mereka”. Hadis ini
asalnya menceritakan bahawa isteri dipanggil oleh suami untuk sesuatu lalu dia
ingkar menyebabkan ia dilaknat oleh para malaikat.
2. Isteri keluar rumah tanpa
keiizinan suami dan tanpa pengetahuan suami.
Keluar rumah ada yang berjadual
dan ada tidak berjadual. Keluar rumah berjadual sebagai contoh seorang isteri
bekerja di pejabat. Hari-hari pergi ke pejabat untuk bekerja. Keluar rumah
begini tidak perlu mendapat keizinan suami.
Keluar rumah yang tidak berjadual
sebagai contoh isteri terlibat dengan NGO, dengan parti siasah, atau pun keluar
rumah dengan kawan-kawan untuk membeli-belah dan macam-macam lagi. Untuk keluar
cara ini perlu mendapat pengetahuan dan keizinan suami.
3. Isteri mengabaikan
tanggungjawab mereka.
Para isteri adalah pengurus
kepada rumah tangganya. Isterilah yang mengurus makan minum dan pakaian para
suami. Oleh itu isteri janganlah abaikan tanggungjawab terhadap suami.
Ada juga tanggungjawab ini
diswastakan kepada orang lain. Kita hanya boleh mengagihkan tugas kepada orang
lain tetapi bukan tanggungjawab. Tanggungjawab mengurus rumah tangga mesti
diletak di atas bahu para isteri. Tanggung di dunia jawab di akhirat.
Ada isteri yang memegang jawatan
tinggi di pejabat atau di syarikat swasta. Bila balik ke rumah dia terbawa-bawa
pula perangai jawatannya.
Perlu diingatkan, di pejabat dia
mungkin ketua tetapi di rumah dia bukan lagi ketua tetapi isteri orang. Di
rumah dia adalah ibu kepada anak-anaknya. Sebagai seorang isteri dia ada
tanggungjawab terhadap suaminya dan sebagai seorang ibu dia ada tanggungjawab
terhadap anak-anaknya. Jawatan dan pangkat adalah perkara di luar daripada
rumah kita.
Ketiga-tiga perkara itu dari segi
perundangan dan hukum syarak isteri boleh disabitkan dengan nusyuz iaitu
derhaka kepada suami.
Bagi para suami, andai kata isteri
terlibat dengan ketiga-tiga perkara itu atau salah satu daripadanya, apakah
tindakan yang wajar kita lakukan. Adakah kita membiarkan sahaja ianya berlaku
terus menerus? Lalu kita pun menjadi
orang yang tidak bahagia dan lebih seronok di luar berbanding di rumah. Ini
menandakan kegagalan kita menangani situasi tersebut.
Untuk menanganinya kebijaksanaan
suami amat diperlukan ketika menghadapi isteri yang tidak ta’at kepada suami.
Agama Islam memberikan pelbagai panduan untuk diikuti satu persatu sebagaimana
yang diajar oleh nabi SAW.
Mengikut kaedah syarak dan
tergulung dalam undang-undang kita seorang suami haruslah:
1.
Menasihati isterinya terlebih dahulu.
Ini tindakan
pertama, menasihatkan apa yang baik dan buruk. Jika isteri masih tidak mahu
mematuhinya, carilah orang lain yang boleh menjadi jurucakap bagi pihak kita untuk
menasihat isteri yang bermasalah itu. Kita boleh mengambil ayah, bapa mertua,
bapa saudara atau sesiapa sahaja untuk menjadi jurucakap kita.
Ada juga
suami yang berasa ego, tidak mahu menasihati isterinya atau meninggal begitu
sahaja setelah gagal menasihatinya. Ada juga orang yang pakar dalam bidang
kaunseling sebagai contoh tidak mahu mengambil orang lain menjadi jurucakap.
Ada masa kita memerlukan orang lain untuk menyelesaikan masalah kita.
2. Memulaukan isteri kita jika
langkah pertama tidak berjaya.
Kaedah ini ialah memulaukan dari
tempat tidur.
Pertama, pulaukan dia dari bilik
tidur. Suami tidur di luar bilik dan isteri tidur seorang diri di dalam. Atau
pun suami tidur di dalam bilik dengan mengunci pintu dan biarkan isteri tidur
di luar.
Kedua, suami tidur di atas katil
dan biarkan isteri tidur di bawah selama tiga malam berturut-turut. Ini boleh
dilakukan dengan syarat katil milik suami. Atau biarkan isteri tidur di atas
katil dan suami tidur di bawah selama tiga malam berturut-turut.
3. Kalaulah kaedah memulau dari
tempat tidur juga tidak berjaya suami bolehlah memukul isterinya. Pukulan di
sini bukanlah pukul untuk mendera tetapi pukul-pukul sayang. Begitulah caranya
yang diajar oleh agama. Ini untuk menunjukkan kepada isteri, ada masanya kita
perlu bertegas kepada mereka untuk memberi pengajaran kepada mereka.
4. Jika isteri membalas pukulan
suaminya dengan bermacam-macam yang jauh lebih teruk baharulah suami
menggunakan langkah seterusnya iaitu mengadu perkara tersebut kepada Pejabat
Agama Islam. Pihak berkuasa akan membuat keputusan selepas mendengar dan
meneliti aduan suami sama ada perlu membawa kepada kaunseling atau membawa
terus ke mahkamah.
Kalau para suami mengetahui langkah-langkah
untuk menangani masalah isteri yang tidak ta’at, Insya Allah semua masalah
dapat diselesaikan.
Kepada para isteri ingatlah
Redha suami redha Allah.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment