Monday, October 31, 2016

BERIMAN KEPADA ALLAH



Beriman kepada Allah menjadi ruh kepada agama Islam, menjadi dasar kepada segala rukun iman dan Islam. Oleh itu pengakuan tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah menjadi bahagian pertama kepada dua kalimah syahadat.

Beriman kepada Allah menjadi rukun iman yang pertama. Dibandingkan kepada tubuh manusia, beriman kepada Allah ini adalah nyawa, ruh kepada agama Islam sebagaimana jasad, jika tiada ruh jasad mati.

Begitulah sekiranya beriman kepada Allah itu tidak ada maka seseorang itu tidak Islamlah dengan sepenuh-penuhnya. Dan menjadi dasar kepada rukun iman dan Islam. Rukun iman dan Islam kalau dibuang beriman kepada Allah maka samalah dengan ruh yang tiada jasad. Oleh itu beriman kepada Allah menjadi ucapan yang pertama daripada kedua kalimah syahadat

ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH WAASYHADU ANNA MUHAMMADAN RASULULLAH

Percaya bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan akuan lidah dan iktiqad di dalam hati, dan percaya kepada Muhamad adalah Rasulullah dengan ikrar lidah dan juga pengakuan dalam hati yang dikenali dua bahagian daripada dua kalimah syahadat. Percaya kepada Allah yang disebut yang pertama.

Begitulah apabila kita membilang rukun iman 6 perkara. Maka yang pertama ialah beriman kepada Allah.
 
Allah berfirman di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 285 bermaksud, “Ertinya Rasul telah beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepadanya daripada tuhannya, demikian juga orang-orang beriman, semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan Rasul-Rasul-Nya.

Rukun iman yang disebut di dalam firman Allah Ta’ala itu yang mengatakan kepercayaan kepada Rasul yakni nabi kita Muhamad SAW dan kepercayaan orang-orang beriman bersama dengannya, yang pertama disebut beriman kepada Allah dan diikuti dengan beriman kepada malaikat-malaikat, kitab-kitab dan Rasul-Rasul.

Firman Allah Ta’ala surah al-Baqrah ayat 177 bermaksud, “Tetapi sesungguhnya kebaktian itu ialah kebaktian orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab dan nabi-nabi”.

Ayat ini menyatakan sifat-sifat amal kebajikan dan sifat-sifat orang bertakwa, disebut yang pertama ialah beriman kepada Allah, kemudian diikuti dengan amalan-amalan yang lain menunjukkan bahawa beriman kepada Allah adalah asas yang pertama kepada agama Islam. Kesemua ayat al-Quran menyebut beriman kepada Allah pada tempat yang pertama.

Begitu juga Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya, “Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari akhirat dan kamu beriman kepada kadar baik dan jahatnya adalah berada dalam ilmu Allah SWT”.

Hadis ini ialah jawapan nabi Muhamad SAW kepada pertanyaan malaikat Jibril AS yang datang menemui nabi SAW di tengah khalayak sahabat dengan merupakan dirinya seperti seorang manusia yang terkenal dalam hadis.

Soalan malaikat ialah “Apa dia iman”.

Nabi SAW menjawab, “Iman itu ialah beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, dan hari akhirat serta beriman kepada kadar baik dan jahat adalah di bawah pengawasan ilmu pengetahuan Allah SWT”.

Dalam hadis itu, beriman kepada Allah disebut mula-mula sekali. Segala rukun iman yang lain dinyatakan di atasnya. Walaupun beriman kepada Allah menjadi fitrah manusia tetapi juga diperlukan untuk menanamkan keseluruhan akidah yang betul terhadap keseluruhan rukun iman dan membatalkan segala yang berlawanan dengannya.

Percaya Allah sahaja tuhan dan tidak ada tuhan lain adalah tonggak kepada iman, teras kepada iman. Menunjukan bahawa beriman kepada Allah adalah perkara pertama dan utama.

Sesungguhnya mengenal Allah itu atau makrifatullah (mengenal Allah) atau tauhid mengesakan Allah mempunyai kedudukan-Nya dan murtabat yang membawa seseorang yang beriman itu ke peringkat kesempurnaan makrifatullah dan menurut kadar makrifatullah itu juga berlaku juga peringkat takwa yang menjadi ukuran nilai manusia dan kecintaan terhadap tuhan.

Mereka yang mengenal Allah adalah mereka yang banyak membuat ibadat, banyak bersedekah dan banyak berjihad untuk meninggikan agama Allah.

Mengenal Allah dan mentauhidkan-Nya menjadi permulaan dakwah Rasul-Rasul ASTS. Mengenal Allah inilah dakwah yang pertama yang dibawa oleh Rasul-Rasul, mendahului sembahyang, puasa, zakat, haji, berzikir dan lain-lain.

Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Kami tidak mengutuskan Rasul sebelum daripadamu melainkan kami wahyukan kepadanya bahawasanya tiada tuhan yang sebenar melainkan Aku (Allah) maka abdikanlah diri kamu kepada Aku (Allah) sahaja”

Dakwah yang pertama ialah mengenal Allah Ta’ala. Mengajak orang percaya kepada Allah, kemudian nabi Muhamad SAW.  Diikuti dengan memberitahu dia sembahyang lima waktu dan memberitahu mengenai zakat.

Jika seseorang itu menolak hukum Allah bermakna dia tidak mengenal Allah dengan sebenar-benarnya.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment