Monday, October 31, 2016

IMAN YANG SYUMUL (SEMPURNA DAN LENGKAP)


Iman juga mempunyai sifat syumul, sifat kesempurnaan, lengkap dan cukup pada tiap-tiap rukunnya dengan membenarkan segala ijmal dan tafsirnya yakni percaya secara umum dan percaya satu-satu daripada iman itu.

Beriman dengan Allah SWT adalah terkandung di dalamnya beriman dengan wujud-Nya sifat-sifat-Nya, Asmat-Nya (nama-nama-Nya) dan af’al-Nya (perbuatan-Nya) menurut jalan-Nya yang sebenar sebagaimana Firman Allah SWT  surah Muhamad ayat 19 bermaksud, “Ketahuilah bahawa sesunggunya tiada tuhan melainkan Allah”.

Iman itu mestilah percaya kepada rukun-rukun iman, bukan sahaja tiap-tiap satu daripada rukun iman itu, mestilah juga percaya kepada perkara yang ada pada tiap-tiap satu itu. Antaranya sebagai contoh beriman kepada Allah, mestilah beriman kepada wujud-Nya yakni adanya Allah SWT.

Mesti kita percaya Allah SWT itu ada, Allah SWT wujud. Ada dan ada Allah SWT adalah wajib. Wajib dengan makna tidak menerima tiada sekali-kali. Mesti kita beriman bahawa Allah SWT itu ada. Mesti beriman dengan sifat-sifat Allah SWT. Sifat-sifat yang wajib bagi Allah, sifat-sifat yang harus bagi Allah SWT dan sifat-sifat yang mustahil bagi Allah SWT.

Sifat-sifat yang wajib ialah sifat-sifat yang mesti ada bagi Allah SWT. Sifat-sifat yang mustahil ialah sifat-sifat yang tidak ada bagi Allah SWT. Sifat yang harus ialah yang Allah SWT boleh mengadakan dan boleh mentiadakan.

Sifat-sifat yang wajib itu antaranya ialah secara umum kita mesti beriman dengan semua sifat kesempurnaan.

Sifat kesempurnaan adalah sifat yang wajib bagi Allah SWT. Kekurangan adalah mustahil bagi Allah SWT. Kita mesti beriman kepada tiap-tiap satu daripada sifat-sifat itu. Tiap-tiap satu itu antaranya ialah 20 sifat mengikut mazhab Masuridiyah.

Kita faham bahawa sifat Allah SWT bukannya 20 itu sahaja. 20 itu disebut sebagai contoh sahaja. Semua sifat kesempurnaan adalah sifat bagi Allah SWT yang disebut dalam Quran dan hadis-hadis nabi SAW.  Antaranya ialah sifat adil, murka dan redha disebut dalam Quran dan hadis-hadis nabi SAW.

Allah SWT redha kepada perkara yang baik dan Allah SWT murka kepada perkara-perkara mungkar dan lain-lain lagi sifat. Allah SWT maha adil bukan sahaja maha adil sebagai nama Allah SWT bahkan adil menjadi sifat bagi Allah SWT yang wajib dan zalim mustahil bagi Allah SWT.

Kita wajib beriman kepada sifat-sifat Allah SWT yang disebut dalam Quran dan hadis-hadis nabi SAW. Asmat-Nya (nama-nama Allah SWT) yang disebut dalam Quran dan dalam hadis. Antaranya ialah 99 nama yang disebut dalam hadis riwayat at-Termizi dan ada lagi nama-nama tambahan yang disebut dalam riwayat-riwayat yang lain. Semua nama itu adalah nama-nama yang baik bagi Allah SWT yang wajib kita beriman kepada setiap satu daripada nama-nama itu.

Kalau seseorang itu tidak percaya kepada mana-mana sifat Allah SWT, walaupun satu sahaja tidak percaya maka imannya tidak sah. Kita beriman secara ijmal (secara umum). Semua sifat kesempurnaan adalah sifat bagi Allah SWT.

Tiap-tiap satu nama Allah SWT, ar-Razak yang memberei rezeki, kita wajib percaya Allah SWT memberi rezeki. Kalau Allah SWT tidak memberi rezeki maka tidak dapat rezeki itu. Jangan kita percaya orang memberi rezeki bukan Allah SWT yang memberi rezeki.

Kita mesti beriman  bahawa Allah SWT yang maha memberi petunjuk dan Allah SWT yang maha pemurah lagi maha penyayang.

Walaupun kita tengak hukum-hukum Allah SWT keras seperti pencuri dipotong tangan, penzina direjam dan orang murtad dibunuh, itu adalah hukum yang adil dan yang mengandungi rahmat. Kita hendaklah beriman kepadanya tanpa berbelah bahagi.

Af’al (perbuatan) Allah SWT. Sekelian alam ini Allah SWT yang menciptanya.

Firman Allah SWT surah al-Araf ayat 14 bermaksud, “Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah  itu melihat”. Disebut dalam Quran Allah SWT melihat.

Firman Allah SWT surah al-Araf ayat 180 bermaksud, “Allah mempunyai al-Asama ul-Husna”. Nama-nama yang agong, yang syumul, yang lengkap dengan sifat-Nya maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran dalam menyebut nama-nama-Nya”.

Maknanya kita percaya kepada semua nama-nama yang agong, nama-nama yang paling baik bagi Allah SWT. Apabila hendak berdoa, berdoalah dengan nama-nama itu.  Contoh, Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, ya Zaljala liwal ikram, ya Rahman ya Rahim, ya Kohar ya Jabbar, ya Muttakim, sebut mana-mana Allah SWT. Lepas membaca nama-nama Allah SWT sebut apa hajat kita.

Jika minta tolong dengan pohon kayu, dengan jin laut, dengan kubur dan macam-macam adalah syirik kerana menyengutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain.

Firman Allah SWT surah as-Saafat ayat 96 bermaksud, “Dan Allah menjadikan kamu dan apa yang kamu kerjakan”.

Kita beriman Allah Ta’ala yang menjadikan kita. Sekiranya Allah Ta’ala tidak menjadikan kita maka tiada kita. Kita beriman dengan kerja-kerja kita bahawa yang meluluskan kerja-buat kita ialah Allah Ta’ala. Kita hanya berikhtiar dan yang meluluskannya ialah Allah Ta’ala.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment