Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Ingatlah
ketika dua puak daripada kamu pada hari peperangan Uhud berasa lemah semangat
untuk meneruskan perjuangan kerana takut, pada hal Allah penolong dan pelindung
mereka dan jika sudah demikian kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang
beriman itu bertawakal, berserah bulat-bulat”.
Ada dua golongan daripada dua
kabilah iaitulah Bani Harisah dan Bani Salamah. Bila melihat Abdullah bin Ubai
bersama dengan tiga ratus anak buahnya melarikan diri dari peperangan Uhud, dan
dalam masa yang sama melihat musuh lebih banyak, orang Islam tujuh ratus
asalnya seribu dan orang kafir tiga ribu orang.
Tentera Islam ada sedikit kuda,
tentera kafir banyak kuda menyebabkan mereka daripada Bani Harisah dan Bani
Salamah merasa takut. Memang orang yang lemah iman ditipu oleh orang munafik. Semangat tentera Islam lebih lemah lagi
apabila tersebar berita oleh kaum kafir bahawa Rasulullah SAW sudah gugur
syahid, tetapi Allah menyelamatkan mereka oleh kerana iman masih ada dalam diri
mereka.
Ada pula yang semangatnya tinggi
berkata, “Kalau Rasulullah sudah mati, mari kita mati bersama-sama dengan
Rasulullah”, menyebabkan semangat naik balik.
Ada kalangan yang lemah semangat
lari balik ke Madinah. Bila tiba di Madinah mereka bertembung dengan muslimat
yang ingin tahu berita mengenai peperangan Uhud sama ada Rasulullah wafat atau
tidak.
Bila diberitahu Rasulullah sudah
gugur syahid muslimat merejam mereka dengan anak batu dan berkata, “Kalau
Rasulullah wafat kenapa kamu lari balik, pergi kamu mati bersama-sama
Rasulullah’. Mereka pun balik semula ke Uhud dan berdepan dengan musuh.
Mengikut riwayat yang sahih para
sahabat telah mengelilingi nabi SAW daripada serangan musuh. Mereka meletakkan
Rasulullah di tengah dan mereka memagar Rasulullah dengan tubuh mereka supaya
panah musuh tidak mengenai Rasulullah. Jadi Rasulullah SAW dapat diselamatkan.
Musuh lari setelah bukit kecil ditawan semula oleh tentera Islam. Orang Islam
amat sedih dengan peristiwa ini.
KULIAH TAFSIR YT
No comments:
Post a Comment