Nabi Musa adalah
satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah s.w.t. Setiap kali dia
hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah
dia akan bercakap dengan Allah s.w.t.
Nabi Musa sering
bertanya dan Allah s.w.t. akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah
kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi
Musa telah bertanya kepada Allah s.w.t. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti
yang akan berjiran dengan aku?"
Allah s.w.t pun
menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya.
Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan
mengikut tempat yang diberitahu.
Setelah beberapa
hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan
beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah
memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu
tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di
dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang
besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.
"Apa hal ini? kata Nabi Musa
berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Babi itu
dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai
kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik.
Tidak lama
kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang
lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga
kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya
dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya
barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?"
"Aku agama
Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
"Habis,
mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi
Musa.
"Wahai tuan
hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa
kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah s.w.t.
telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka
dengan Allah s.w.t. itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah s.w.t. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan
kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu-bapaku
sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi
babi, aku tetap melaksanakan tugasku."sambungnya.
"Setiap hari
aku berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya
Allah s.w.t. menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah
s.w.t. masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu
juga Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah
orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang
sangat tinggi kepada kedua ibu-bapanya. Ibu-bapanya yang sudah buruk dengan
rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak
soleh di sisi Kami."
Allah s.w.t. juga
berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam
anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu-bapanya
yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."
Itulah berkat anak
yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu-bapa yang akan masuk ke
dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti
kepada ibu-bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti
babi. Mudah-mudahan ibu-bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana
buruk sekalipun perangai kedua ibu-bapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita
ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita
sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekalipun dosa yang mereka
lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada
Allah s.w.t. supaya kedua ibu-bapa kita diampuni Allah s.w.t .
Doa anak yang
soleh akan membantu kedua ibu-bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat.
Inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu-bapa
yang berada di alam kubur
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment