Firman Allah Ta’ala suratul Fatihah ayat 2, “Alhamdulillah Rabbil
‘Alamin”
Maksudnya, “segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam.” Alhamdu
segala kepujian, segala perkara yang baik khas bagi Allah Ta’ala sahaja. Tidak
ada kekurangan, tidak ada cacat dan tidak ada cela bagi Allah SWT.
Perkataan Alhamdu memberi makna yang sangat besar, memberi pahala
yang sangat besar, memberi fadilat yang sangat besar. Oleh yang demikian bila
kita hendak bersyukur kepada nikmat yang diberi oleh Allah Ta’ala, kita disuruh
menyebut Alhamdulillah.
Selepas makan Alhamdulillah, selepas apa sahaja kita menerima
nikmat daripada Allah Ta’ala untuk menyatakan syukur kepada Allah Ta’ala kita
menyebut Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT.
Besarnya kelebihan perkataan Alhamdu ini sehingga disebut di dalam
satu hadis yang diriwayatkan oleh ulamak hadis antaranya Ibnu Majah di dalam
sunannya dari Ibni Umar RA, “Nabi kita Muhamad SAW menceritakan apabila
seseorang hamba itu menyebut YA RABBI LAKAL HAMDU, wahai tuhan bagi-Mu segala
kepujian sebagaimana saigia kebesaran bagi wajah-Mu dan zat-Mu yang Maha Besar
dan Kekuasaan-Mu yang Maha Agong.
Bila seseorang itu menyebut YA RABBI LAKAL HAMDU KAMA YANBARI
LIJALA LIKA WAL’AZIMI SULTANIK, dua malaikat yang ditugaskan untuk menulis
amalan tidak mampu hendak menulis kerana kehebatan perkataan ALHAMDU”.
Perkataan ALHAMDU ini terlalu besar pahalanya. Dua malaikat tidak mampu hendak menulis
berapa banyak pahala untuk diberi kepada orang yang menyebut perkataan itu.
Kedua-dua malaikat itu terpaksa naik ke langit mengadap Allah SWT dan berkata,
“Ya Rabbana, wahai tuhan kami, hamba-Mu telah menyebut perkataan yang kami
tidak mampu menulis berapa banyak pahalanya”.
Lalu tuhan yang Maha Mengetahui berkata, “Apa dia yang hamba-Ku
sebut?”
“Wahai tuhanku hamba-Mu menyebut YA RABBI LAKAL HAMDU KAMA YANBARI
LIJALA LIKA WAL’AZIMI SULTANIK”, jawab dua malaikat itu.
Tuhan berfirman, “Tulis apa yang disebut itu, Aku tahu apa yang
Aku hendak balas, Aku hendak memberi kepadanya pada hari kiamat nanti”.
Ini menunjukkan betapa besarnya pahala perkataan ALHAMDU yang
disebut dalam suratul Fatihah, “Alhamdulillah”, segala puji bagi Allah. “Rabbil
‘Alamin”, tuhan sekalian alam.
“Alhamdulillah”, maknanya
segala puji bagi Allah. “Rabbil ‘Alamin”, maknanya tuhan sekalian alam.
Perkataan Rab asal maknanya ialah yang memiliki, yang mencipta,
yang mentadbir.
Bila kita menyebut Alhamdulillahirabbil ‘Alamin di dalam
sembahyang, yang pertama kita sedar bahawa kita berhadapan dengan kebesaran
tuhan yang memiliki seluruh alam. Alam ialah segala yang lain daripada Allah
Ta’ala. Semua yang dijadikan oleh Allah Ta’ala ialah alam belaka.
Dalam masa yang sama kita menyedari kita memuji dan memuja Allah
Ta’ala bersama-sama makhluk-makhluk yang lain yang juga memuji dan memuja Allah
SWT.
Dalam masa yang sama kita menegakkan tauhid yang disebut dengan
tauhid rububiyah.
Tauhid, ada tauhid rububiyah, tauhid uluhiyah, tauhid asmat dan
tauhid sifat. Kita banyak
belajar tauhid sifat sahaja. Tauhid asmat sekadar tahu 99 nama sahaja yang
disebut dalam hadis. Pada hal bagi Allah Ta’ala itu lebih daripada 99 nama. 99
adalah sebahagian daripadanya. Tiap-tiap satu nama itu hanya menjadi milik bagi
Allah sahaja.
Tauhid rububiyah dengan makna kita mengesakan Allah. Allah yang
menjadi, mencipta, mentadbir semesta alam. Tauhid rububiyah ini menjadi fitrah
manusia, menjadi sifat semula jadi manusia. Manusia pada umumnya percaya kepada
adanya tuhan.
Sebagaimana dinyatakan oleh firman Allah Ta’ala bermaksud, “Dan
jika engkau tanya mereka siapakah yang menjadikan langit dan bumi, nescaya
semua mereka menjawab Allah”. Jawapan ini termasuklah daripada orang islam dan
bukan Islam.
Sifat semula jadi manusia ialah percaya kepada Rabbil’alamin,
tuhan semesta alam.
KULIAH
TAFSIR YT
No comments:
Post a Comment