Firman Allah Ta’ala bermaksud,
“Telah hampirlah berlakunya kiamat dan terbelahnya bulan”
Berlaku satu peristiwa di zaman
nabi Muhamad SAW apabila pemimpin-pemimpin kafir Mekah mencabar nabi Muhamad
SAW menunjukkan mukjizat. Al-Quran sebagai mukjizat tidak memadai, mereka mahu
mukjizat yang dapat dilihat dengan mata sebagaimana mukjizat nabi-nabi zaman
dahulu.
Lalu nabi Muhamad SAW memohon
kepada Allah SWT supaya menunjukkan mukjizat yang benar yang dapat dilihat oleh
mereka.
Pada suatu malam ketika bulan penuh
purnama, sebaik-baik sahaja nabi Muhamad SAW berdoa kepada Allah SWT, tiba-tiba
bulan terbelah dua. Separuh berada di atas bukit Sofa dan separuh lagi berada
di atas bukit Khaikan.
Setelah melihat bulan terbelah dua
itu dengan matanya sendiri mereka ingkar dan berkata, “Ini adalah sehir
Muhamad”.
Kata Abu Jahal pula, “Sabar
dahulu. Kita tanya penduduk-penduduk luar Mekah sama ada mereka melihat bulan
terbelah atau pun tidak. Boleh jadi kita sahaja nampak tetapi penduduk luar
Mekah tidak nampak”.
Apabila mereka mendapat maklumat yang
betul bahawa penduduk-penduduk luar Mekah juga mengatakan bulan terbelah dua, mereka
berkata, “Ini sehir besar yang berpanjangan”.
Sejarah ilmu falak mendedahkan
bahawa peristiwa bulan terbelah dua dilihat oleh ahli-ahli falak di negeri
China, Farsi dan di negeri-negeri lain.
Ahli-ahli falak Islam hari ini
dengan menggunakan alat-alat moden, melihat ada tanda-tanda bekas terbelah pada
bulan itu. Dengan menggunakan alat-alat canggih dapat dilihat tanda-tanda
keretakan pada bulan itu.
Ini membuktikan bahawa al-Quran
adalah mukjizat sehingga hari kiamat. Ada ulama tafsir mengatakan peristiwa itu
berlaku ketika berlakunya kiamat dan bukan di zaman nabi SAW. Ini adalah
pendapat yang lemah kerana peristiwa bulan terbelah berlaku di zaman nabi
Muhamad SAW adalah riwayat yang mutawatir daripada para sahabat, para ulama
sahabat dan ulama tabiin.
Walaupun menyaksikan peristiwa
bulan terbelah dengan mata sendiri, orang kafir Mekah tetap mengatakan itu
adalah sehir nabi Muhamad SAW. Sesungguhnya hati-hati mereka telah dimetrikan
oleh Allah SWT. Mereka tidak akan beriman walaupun melihat mukjizat dengan mata
kepalanya sendiri.
Nauzubillahi minzalik
KULIAH TAFSIR YT
No comments:
Post a Comment