Setelah Allah SWT menceritakan
dalam ayat-ayat yang lalu mengenai pemimpin-pemimpin musyrikin yang menentang
nabi SAW seperti Abu Jahal dan lain-lain lagi. Ada kalangan mereka disembamkan
muka dan hidung mereka dalam perang Badar dan mati terbunuh. Ada pula yang
hidup, balik semula ke Mekah meratap menangis dan berdendam untuk membalas balik.
Sebelum peperangan Badar mereka
telah menerima bencana alam bila Mekah dilanda kemarau sehingga berasap selepas
mereka mencabar nabi SAW. Selepas Allah SWT menghilangkan bala itu mereka
melawan pula nabi SAW. Inilah perangai orang kafir, tidak mengambil kesedaran
dan keinsafan.
Walaupun mereka mencabar supaya
diturunkan azab, tetapi apabila azab dihilangkan mereka tidak percaya pula.
Itulah perangai mereka yang tidak diberi hidayah oleh Allah SWT. Dan Allah
Ta’ala minta mereka mengambil pengajaran daripada sebuah kampung di negeri
Yaman.
Kisah kampung ini yang disebut
dalam al-Quran ada seorang kaya yang mempunyai kebun yang luas dan subur yang
mengeluarkan buah yang banyak. Pemiliknya seorang yang pemurah. Orang-orang
miskin dibenarkan mengambil buahnya.
Bila pemiliknya mati anak-anak
mewarisi kebun ini. Tetapi anak-anak itu bakhil. Buah-buah itu tidak mahu
diberi kepada orang miskin. Dia bermuafakat hendak mengambil buah-buah waktu
malam supaya tidak diketahui oleh orang-orang miskin. Lalu Allah SWT menurunkan
bencana membakar hangus kebun itu.
Ayat ini mengisahkan bahawa
pemimpin Mekah yang pergi berniaga ke Yaman dapat melihat kampung itu, melihat
kawasan terbakar bahkan dikatakan masih ada lagi bekas-bekas berarang untuk
menjadi pengajaran dan iktibar kepada mereka yang beriman.
Sesungguhnya kami telah menguji
mereka dengan bencana sebagaimana kami menguji tuan-tuan punya kebun yang
berada di negeri Yaman.
Apabila tuan-tuan kebun itu
bersumpah kerana marah kepada orang miskin yang meminta buahnya. Mereka
bersumpah dan bermuafakat di kalangan mereka untuk memungut buah awal pagi,
ketika orang masih tidur supaya tidak sibuk dengan orang miskin. Anak-anak ini
berlainan dengan ayahnya yang pemurah dan bersyukur kepada Allah SWT. Ayahnya
membahagi-bahagikan buah itu kepada orang miskin.
Mereka lupa kepada Allah SWT,
tidak menyebut nama Allah. Mereka tidak sedar bahawa buah itu adalah rezeki
daripada Allah SWT. Sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah SWT.
Sesetengah ulama mengatakan sebahagian
daripada hartanya patut dibahagikan kepada orang miskin. Tetapi mereka tidak meberikan kepada orang
miskin. Masa ini belum diwajibkan zakat.
Lalu turun malaikat Jibrail yang
ditugaskan menurunkan bala bencana kepada mereka yang ingkar. Para ulama
mengatakan kisah ini berlaku sebelum lahir nabi Muhamad SAW dan selepas itu
diangkat nabi Isa ke langit.
Ini bermakna mereka adalah umat
nabi Isa yang beriman dan ayah mereka juga beriman. Tetapi niat mereka tidak mahu
memberi kepada fakir miskin, satu niat yang tidak baik.
Walaupun disebut dalam hadis,
barang siapa yang berniat hendak membuat jahat malaikat tidak menulis lagi
dosanya, bila dilakukan kejahatan itu baharulah ditulis satu dosa.
Tetapi ada juga orang yang tuhan
hukum dengan sebab niat jahatnya untuk memberi kesedaran kepadanya. Ada juga
orang yang tuhan hukum niatnya dengan sebab perbuatannya.
Disebut dalam hadis, “Bila dua
orang Islam bertetak dengan pedang masing-masing, yang membunuh dan yang kena
bunuh kedua-dua masuk neraka”.
Lalu sabahabat bertanya, “Ya
Rasulullah bagaiman pula yang kena bunuh pun masuk neraka?”
“Yang kena bunuh memang berniat
hendak membunuh lawannya juga”, jawab Rasulullah SAW.
Mereka sama-sama niat hendak
membunuh lawannya, tetapi sempat dibunuh oleh salah seorang daripada mereka
berdua. Oleh kerana itu nabi kata kedua-dua masuk neraka.
Ini membuktikan seseorang itu masuk
neraka dengan sebab niatnya walaupun dia dibunuh. Dia seorang yang jahat yang
niat hendak membunuh lalu I ia dibunuh maka dia masuk neraka juga.
Begitulah bandingan apabila satu
kumpulan anak orang yang solih yang berniat tidak hendak memberi buah kepada
orang miskin. Lalu kebun mereka di kelilingi oleh malaikat yang ditugaskan
untuk menurunkan bala iaitulah malaikat Jibril untuk menghanguskan kebun
mereka.
Mengikut satu riwayat diangkat
kebun mereka dibawa ke Taif dan Taif menjadi subur di tengah padang pasir. Kenapa
tapak asal kebun itu tidak menjadi dalam seperti Laut Mati.
Itulah adalah riwayat para ulama.
Tiba-tiba kebun itu menjadi
laksana malam yang gelap gelita. Kebun yang buahnya sedang masak dan tuannya
bermuafakat, mengikut riwayat ada tiga beradik, untuk memetik buah di awal pagi
sebelum orang miskin bangun dari tidur. Mereka berniat tidak hendak memberi
kepada orang miskin. Mereka panggil memanggil antara satu sama lain.
Lalu mereka bertolak pergi ke
kebun dalam keadaan senyap-senyap supaya tidak masuk seorang miskin pun dalam
kebunnya. Kalau orang miskin masuk rugilah kerana terpaksa diberi kepada orang
miskin pada hal kebun mereka luas. Tuhan dedahkan apa yang ada dalam hati
mereka dan apa yang mereka bisik-bisikan.
Mereka bergerak dalam waktu pagi
dengan niat yang tidak baik iaitu tidak hendak memberi kepada orang miskin. Allah
Ta’ala mengetahui niat mereka. Apabila mereka sampai dikebun mereka lihat kebun
licin (kosong) atau semuanya hangus.
Ada antara mereka berkata kita mungkin
sesat jalan, tidak sampai ke kebun kita. Satu riwayat lain mengatakan kita
sesat kerana kita berdosa kerana niat tidak baik. Bahkan kita diharamkan oleh
Allah dengan sebab niat kita tidak baik terhadap orang miskin.
Lalu berkatalah antara yang
berakal di kalangan mereka, mengapa kita tidak bertasbih, memuji dan memuja
Allah SWT. “Aku sudah menyebutnya tetapi kamu lupa”, kata salah seorang di
kalangan mereka.
Apabila mereka sedar dan insaf
lalu berkata, “Maha suci tuhan kami, sesungguhnya kami telah melakukan
kezaliman, wahai tuhan kami”.
Ada ulama mentafsirkan mereka
minta ampun kepada Allah SWT dan tasbih juga termasuk dalam istighfar. Macam
nabi Yunus beristighfar dengan menyebut tasbih, “Maha suci tuhan kami
sesungguhnya kami telah melakukan kezaliman”.
Mereka marah memarahi antara satu
sama lain. Ada yang berkata, “Ini sebab kamulah”. “Dengan sebab kamulah dan kalau
ikut aku tidak jadi begini”, kata yang lain pula.
Lalu mereka berkata, “Binasalah
kita, rusaklah kita dan habislah kita. Kita telah melakukan perkara yang
berdosa jika kita melanggar batas. Moga-moga tuhan kita menggantikan kita
dengan yang lebih daripadanya, sesungguhnya kita kembali kepada tuhan”
Mereka sedar, mereka insaf dan
mereka balik kepada tuhan dan ta’at kepada Allah SWT. Mengikut riwayatnya Allah
SWT gantikan mereka dengan kebun yang lain yang lebih baik daripada itu setelah
mereka sedar dan insaf.
Jadi tuhan turunkan bala bencana
untuk mereka insaf.
Kisah ini ialah kisah yang benar
yang disebut dalam Quran, bukannya cerita dogeng. Orang-orang kafir Qarish yang
berniaga ke Yaman melihat kebun ini. Sampai sekarang kesan-kesannya seperti
pasir hangus dapat dilihat.
Begitulah azab iaitu azab dunia
yang kamu lihat dan sesungguhnya azab di hari akhirat itu lebih besar kalau
sekiranya kamu tahu. Kalau kamu tahu dengan ilmu yang baik kamu tidak akan
membuat maksiat dan menjadi kafir. Tetapi mereka yang degil tetap juga degil.
Turunlah bala beberapa kali pun macam iblis sampai mati tidak beriman. Nau
zubillahi minzalik.
KULIAH TAFSIR YT
No comments:
Post a Comment