Para suami perlu juga mengetahui
tajuk ini kerana suami perlu juga menadah telinga untuk mendengar rungutan dan
keluhan hati para isteri. Jika suami tidak mendengar takkanlah isteri hendak
bercakap seorag diri.
Celik sahaja mata di pagi hari,
doa yang kita bacakan ialah ALHAMDULILLAHI LLAZI AHYANA BA’DAMA AMATANA
WAILAIHIN NUSYUR, yang bermaksud, “Terima kasih ya Allah, syukur kepada-Mu ya
Allah, tuhan yang telah menghidupkan kami, setelah mematikan kami dan kepada-Mu
jualah kami akan dikembalikan”.
Jadi apabila celik mata di pagi
hari ucapannya ialah terima kasih ya Allah, syukur kepada-Mu ya Allah kerana
telah menghidupkan kami setelah mematikan kami.
Kenapa tidak membaca doa terus pergi
berjuang, kenapa tidak membaca doa supaya kita diberi semangat yang kentar,
tetapi ayat yang pertama bila kita celik mata nabi ajar kita untuk mengucap
syukur kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman banyak ayat di
dalam al-Quran supaya kita bersyukur dan salah satu ayat bermaksud, “Kalau
engkau bersyukur, Aku akan tambah nikmat-Ku, tetapi kalau engkau kufur tidak
bersyukur kepada-Ku, sesungguhnya azab-Ku amat pedih”
Ini menunjukkan betapa pentingnya
kita bersyukur kepada Allah. Bersyukur menandakan kita berterima kasih kepada
Khalid iaitu pencipta kita Allahu Rabbul ‘Alamin.
Dalam surah al-Fatihah ayat 2,
“Segala puji bagi Allah tuhan yang mencipta alam”.
Kadang-kadang kita lupa untuk
memahatkan rasa cinta kita kepada Allah SWT.
Sesungguhnya banyak nikmat Allah
SWT kepada kita yang kita tidak mampu tuliskan satu persatu.
Cuba kita senaraikan nikmat Allah
kepada kita:
1. Allah sediakan sepasang mata.
Ada orang dapat melihat dengan satu mata dan ada orang kedua-dua matanya tidak
dapat melihat.
2. Allah bagi kita hidung yang
sempurna.
3. Allah bagi kita mulut dan
lidah dan kita boleh bercakap dengan sempurna. Ada orang mempunyai mulut dan
lidah tetapi tidak boleh bercakap dengan sempurna.
4. Kita diberi telinga dan boleh
mendengar dengan baik.
Kita tidak mampu menulis semua
nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.
Jadi apa salahnya kita hitung
nikmat iman yang Allah SWT anugerah kepada kita.
Iman adalah satu nikmat yang
paling besar nilainya yang kadang-kadang kita lupa mengucapkan syukur kepada
Allah.
Apakah iman?
Iman ialah percaya dengan hati,
diucapkan dengan lidah, ditasdik dengan hati, dilakukan dengan amalan bahawa
Allahu Rabbuna. Bila kita beriman lantas kita mengucapkan ASYHADU ALLA
ILAHAILLAH WAASYHADU ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH.
Itulah iman dan kita yakin kepada
Allah SWT dan kita bersyukur.
Kita lihat Asiah, isteri Firaun,
yang hidup mewah dalam istana. Begitu megah piramid yang dibina oleh Firaun dan
kemegahannya hingga sampai ke saat ini. Beliau dikalungkan dengan perhiasan
yang paling mahal ketika itu.
Ketika hendak pergi ke kolam
mandi dan ke taman bunga beliau diiringi dan diikuti oleh berpuluh-puluh dayang
sebagai tanda pengikut yang setia. Itulah yang telah dikecapi dan dinikmati
oleh Asiah, isteri Firaun.
Apa yang tidak ada pada Asiah?
Semua kelengkapan dunia ada
padanya. Tetapi Asiah seorang wanita yang hebat, Asiah seorang wanita yang
sangat gah jiwa dan hatinya. Beliau tidak nampak kemegahan di dunia boleh
dibawa ke akhirat. Beliau tidak nampak kemegahan mahkota permaisuri Firaun ini
boleh membawanya ke syurga.
Lantas Asiah berdoa kepada Allah
SWT, “Wahai Allah kurniakanlah kepadaku sebuah rumah di sisi-Mu di syurga
nanti”
Itu doa Asiah isteri kepada
Firaun. Beginilah seorang wanita yang dapat menilai dan mensyukuri nikmat iman
yang Allah kurniakan kepadanya walaupun beliau mampu memiliki sekilo gram emas daripada
Firaun, suaminya. Andainya beliau meminta seguni emas pun Firaun sanggup
memberinya. Tetapi Asiah tidak membuat begitu kerana beliau tahu erti syukur
nikmat iman.
Mari kita sama-sama bertanya diri
kita adakah selama ini kita pernah bersyukur YA ALLAH RABBITUBILLAHI RABBA
WABIL ISLAM MADINA, “Ya Allah aku redha untuk mengambil-Mu sebagai tuhanku dan
Islam sebagai agamaku”
Marilah sama-sama mengajak
keluarga kita, anak-anak kita terutamanya yang wanita supaya bersyukur dengan
nikmat iman yang dikurniakan kepada kita.
Dengan iman kita gerun untuk
melakukan dosa, dengan iman kita hendak membuat kebaikan, dengan iman kita
terus merasakan bahawa kehidupan di dunia ini sangat sementara WALAA KHIRATUL
KHAIRUL WAABKHA, “dan sesunggunya akhiratlah sebaik-sebaik tempat dan tempat
yang paling kekal abadi”.
Kita imbas
kembali kegemilangan iman Asiah, isteri Firaun. Beliau pernah berdoa dan
disebut namanya di dalam al-Quran sebagai isteri Firaun dan di antara doanya
ialah, “Wahai Allah kurniakanlah kepadaku di sisi Engkau wahai Allah sebuah
rumah di syurga nanti”.
Itulah
seorang wanita yang berdoa sesuatu wawasan yang jauh, yang mendoakan sesuatu
yang hebat. Beliau tidak berdoa untuk meminta rumah yang besar, beliau tidak
berdoa untuk mendapat emas yang banyak tetapi beliau berdoa kepada Allah untuk
mendapat sebuah rumah di syurga nanti agar beliau boleh dekat dengan Allah SWT.
Itulah bukti
dan tanda wanita yang bersyukur nikmat Allah SWT.
Pernahkah
kita bersyukur kerana kita telah dikurniakan keluarga yang bahagia, suami yang
solih, anak-anak yang solih, rumah yang aman, kereta yang cukup untuk keperluan
kita.
Pernah kita
ungkapkan ya Allah, aku mendapat suami yang baik, ya Allah, aku mendapat
anak-anak yang baik ya Allah. Celik mata ada suami, celik mata ada anak-anak di
depan kita.
Kita sedih
mendengar saudara kita di sana yang ada gempa bumi. Duduk di muka bumi ini di
bawah mata hari yang sama ada insan yang mengorek-ngorek tanah mencari
anak-anak yang tertimbus dalam tanah, mencari isteri-isteri yang hilang dan mencari
suami-suami yang hilang dalam tanah.
Jadi kita
perlu bersyukur kepada Allah kerana suami ada di sebelah kita dan anak-anak ada
di hadapan mata kita.
Pernahkan
kita ucapkan ‘terima kasih ya Allah, sesungguhnya aku bersyukur ada keluarga di
hadapan mataku’.
Kadang-kadang
nikmat ini baharu kita terasa bila nikmat hilang di hadapan mata kita ataupun
di kampung sana. Ibu bapa contohnya yang ada di kampung sana, kadang-kadang
kita lupa, hendak menelifon ibu bapa pun kita lupa, sayang duit, sayang kredit.
Apa salahnya kita menelifon bonda, ayahanda, bertanya ‘apa khabar emak!’
Peruntukkanlah
sedikit wang menelifon bertanya khabar keadaan ibu dan bapa kita di kampung.
Bila ibu bapa sudah tidak ada baharulah menyesal, terhegih-hegih hendak
menelifon. Hendak menelifon macam mana ibu bapa sudah masuk kubur tidak ada
talian pun. Konfirm tidak dapat.
Ini
bermaksud bila nikmat hilang di hadapan mata baharu berasa hendak bersyukur, “Ya
Allah ruginya tidak berkhidmat kepada ibu bapaku ya Allah”.
Wahai wanita
bersyukurlah dengan nikmat yang ada, nikmat keluarga dan nikmat ibu bapa. Ada
ibu kita bersyukur, tanya ibu, apa keperluan ibu lagi. Tanya suami apa yang
terbaik kita lakukan untuk suami. Tanya anak-anak, amalan anak-anak, solatkah
anak-anak. Itupun tanda syukur juga.
Kita cuba
melatih anak-anak kita menjadi insan yang solih. Kita risau bila anak-anak kita
tidak bagus dalam pelajaran. Tetapi kita tidak risau kalau anak-anak kita tidak
solat dan tidak mengaji al-Quran. Ini sebagai satu tanda kita tidak syukur
dengan nikmat zuriat yang Allah kurniakan kepada kita.
Nanti bila
anak-anak sudah besar, anak kita tidak menjadi anak solih, sudah menjadi anak
tanggang, sudah menjadi anak tungging baharulah kita menyesal.
Kita rasa
tidak bersyukur, “Ya Allah menyesalnya aku kerana aku tidak mensyukuri nikmat
Engkau. Aku diberi zuriat tetapi aku tidak melatih mereka dengan latihan yang
baik, aku tidak mendidik anakku dengan amalan agama, aku tidak mendidik
anak-anakku dengan solat, aku tidak risau pun anak aku tidak membaca al-Quran,
aku tidak risau pun anakku tidak pandai mengaji”.
Tanda
bersyukur juga ialah dengan mengamalkan apa yang diperintah oleh Allah
SWT. Bersyukur dengan ibu bapa maka
khidmatlah kepada mereka banyak-banyak. Bersyukur dengan zuriat yang Allah
berikan kepada kita maka didiklah anak-anak dengan cara yang sebaik-baiknya
mengikut landasan yang diajar oleh Islam.
Berdoalah
semoga kita tergolong di kalangan orang-orang mensyukuri nikmat Allah SWT. Ini
kerana Allah SWT menyebut di dalam al-Quran kalau engkau syukur Aku tambah
nikmat, kalau tidak syukur sesungguhnya azab-Ku amat pedih.
Mudah-mudahan
bukan kita tergolong di kalangan orang yang menerima azab kerana semata-mata
tidak bersyukur kepada Allah SWT.
Nabi SAW
mengajar kita membaca doa, LAILAHA ILLALLAH ‘ALAIHI TAWAKKAL TU WAHUA RAABUL
ARSYIL AZIM. Doa ini kita menyebut aras Allah, “Tiada tuhan yang disembah
melainkan Allah, kepada-Mu jualah kita bertawakkal, menyerah diri kepada-Nya,
dan Dialah Allah tuhan yang mempunyai aras yang tinggi”.
Doa ini
adalah satu doa sebagai tanda kita cukup dengan keperluan kita, sebagai satu
doa semoga Allah cukupkan keperluan-keperluan kita. Ini kerana keperluan itu
sentiasa kita rasa tidak cukup.
Sifat
manusia itu tamak, sifat manusia itu hendak lagi, dapat lagi, lagi, dan lagi.
Hendak lagi. Itulah sifat dan fitrah manusia. Atas sebab itulah kita perlu
bersyukur sebagai satu tanda bahawa kita berterima kasih kepada Allah SWT
dengan bersyukur apa yang ada. Ini kerana dengan sifat yang tamak itu
kadang-kadang kita hendak sesuatu yang hebat, yang lebih cantik, yang lebih
bagus, tetapi apa yang ada kita tidak pernah bersyukur.
Oleh sebab
itulah kita perlu berdoa. “Wahai Allah cukupkanlah keperluan-keperluanku.
Hanyalah Allah sahajalah yang mampu untuk mencukupkan keperluan kita”. Ikut
nafsu memang tidak pernah cukup, hatta sampai kiamat pun kita terus akan berasa
hendak lagi, lagi dan lagi.
Selain dari melihat
kurniaan Allah SWT kepada kita yang pasti tidak mampu kita senaraikan satu-persatu
kita boleh melihat apa kekurangan yang ada kepada orang lain maka kita akan
bersyukur. Bukan bermaksud bila melihat rumah orang buruk tetapi rumah aku
besar.
Bila kita
melihat kekurangan orang maka kita bersyukurlah, “Ya Allah, orang itu susah
tetapi Engkau memberi aku rezeki yang bagus ya Allah”.
Apa salahnya
kita hulur-hulurkan apa yang mampu kita berikan kepada mereka yang susah.
Itulah teori dan praktikal syukur
.
Bila kita
melihat orang datang dengan meminta-minta kita bersyukur, “Ya Allah aku dapat
makan tanpa meminta-minta kepada orang ya Allah”. Hulurkanlah sedikit bantuan
tanpa memikirkan dia ini menipu atau tidak.
Kadang-kadang
kita terlalu berburuk sangka kepada orang lain sampai hati kita terhenti untuk
membuat kebajikan. Jadi untuk mendapat syukur kena lagi dan lagi untuk kita
bersihkan hati kita. Ini kerana hati manusia ibarat wadah, kita tidak boleh
mengisi dengan buruk sangka, kita tidak boleh mengisi dengan hasad dengki.
Ini kerana
hati kita itu kosong kalau kita mengisi dengan perkara yang baik maka baiklah hati
kita. Kalau kita mengisi dengan al-Quran, maka bersyukurlah jadinya kita.
Jadi atas
sebab itu marilah kita sama-sama melatih tubi diri kita untuk bersyukur.
Bersyukur pun perlu dilatih. Jika tidak dilatih maka lidah susah untuk
mengucapkan terima kasih. Hatta di dalam rumah pun kita susah hendak mengucap
terima kasih kepada isteri kita yang sudah memasak makanan.
Kalau di
rumah pun kita susah hendak mengucap terima kasih kepada suami kita. “Terima
kasih abang kerana menghantar saya ke sana dan ke sini”. Jadi ucapan terima
kasih perlu kita latih dalam rumah supaya berlaku budaya syukur menyukuri
nikmat Allah. Kita membudayakan syukur di dalam rumah kita sendiri.
Jadi kita
kena faham, kita kena mengerti sesungguhnya syukur ini adalah satu perintah daripad
Allah SWT. Jika tidak, tidakkanlah Allah SWT berfirman yang mengatakan barang
siapa yang tidak bersyukur maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.
Lantas di
dalam syurga nanti ada satu tempat khas bagi mereka yang rajin bersyukur dengan
nikmat Allah SWT.
Mari
sama-sama kita berdoa semoga Allah golongkan kita, suami kita dan anak-anak
kita di kalangan orang sentiasa bersyukur akan nikmat Allah SWT.
Apa
akibatnya orang tidak bersyukur?
Apabila kita
tidak bersyukur dengan nikmat Allah:
1. Kita akan
sering merungut-rungut, kenapalah cincin aku tidak tukar-tukar lagi, raya sudah
dekat. Perabut pun belum tukar lagi. Jadi merungutlah yang akan keluar.
2. Bila
tidak bersyukur, kita akan murung dan ini menunjukkan bahawa hati kita
bermasalah. Kesannya kita akan malas beribadat kepada Allah SWT. Kita bersolat,
tetapi mungkin jasad sahaja yang rukuk dan sujud. Hati kita tidak sujud kepada
Allah SWT. Sama-samalah kita melatih diri kita untuk sujud kepada Allah dengan
melapazkan lidah kita supaya syukur kepada Allah SWT.
Wahai
wanita, sama-samalah kita letakkan diri kita di kalangan orang yang bersyukur
mudah-mudahan kita tidak tergolong di dalam golongan wanita yang sentiasa
merungut, wanita yang kuat berleter, wanita yang suka mengungkit-ngungkit, dan
semua sifat-sifat buruk ini adalah lahir daripada hati yang tidak bersyukur.
Jadi
sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar kita menjadi wanita sehebat Asiah
yang bersyukur dengan iman dan agar kita menjadi wanita sehebat Maryam yang
bersyukur dengan nikmat syahadah mudah-mudahan kita terus bersyukur lagi dan
lagi, Insya Allah.
KULIAH
YT
No comments:
Post a Comment