Firman Allah
Ta’ala surah al-Baqarah ayat 255 bermaksud,
“Allah tiada tuhan melainkan Dia yang hidup kekal lagi terus menerus
mengurus makhluk, tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang ada
di langit dan di bumi”
Ayat ini
menyatakan tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah. Dan Allah itu bersifat
maha hidup dengan makna hidup selama-lamanya dan tidak menerima mati
sekali-kali. Dan Allah itu berdiri dengan sendiri-Nya, memerintah segala
makhluk-Nya, tidak ada siapa yang boleh memaksa dan menguasai-Nya. Dan Allah
itu sentiasa jaga, tidak ada tidur dan tidak mengantuk bagi Allah SWT. Seluruh
langit, seluruh bumi dan segala isinya adalah milik bagi Allah Ta’ala setelah
Dia mengadakannya.
Firman Allah
Ta’ala surah al-Imran ayat 1-4 bermaksud, “Allah tidak ada tuhan melainkan Dia,
yang hidup kekal lagi sentiasa berdiri sendiri. Dia menurunkan al-Kitab
kepadamu dengan sebenarnya, membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya
dan menurunkan Taurah dan Injil sebelum al-Quran menjadi petunjuk bagi manusia
dan menurunkan al-Furqan”.
Ayat ini
menyatakan tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah. Allah itu bersifat hidup,
berdiri dengan sendiri dan Dialah yang menurunkan kitab yakni al-Quranul Karim,
penutup kitab, kitab mukjizat yang diberi kepada nabi Muhamad SAW. Kitab ini
membenarkan kitab-kitab yang terdahulu daripadanya yang diturunkan kepada
rasul-rasul AHTS.
Antaranya
ialah kitab Taurah, kitab Injil yang juga memberi petunjuk kepada manusia dan
Allah yang menurunkan al-Furqan yakni kitab yang membezakan antara perkara yang
betul dan perkara yang salah.
Firman Allah
Ta’ala surah al-Mukmin ayat 64-65 bermaksud, “Allah yang menjadikan bumi bagi
kamu tempat menetap dan langit sebagai atap dan membentuk kamu lalu membaguskan
rupa kamu serta memberi kamu rezeki dengan sebahagian yang baik-baik, yang
demikian itu adalah Allah tuhan kamu yang Maha Agong, tuhan semesta alam.
Dialah yang Maha Hidup yang tidak ada tuhan melainkan Dia maka berdoalah
kepada-Nya dengan ikhlas bagi-Nya urusan agama, segala puji bagi Allah tuhan
semesta alam”
Ayat ini
memberi huraian tambahan terhadap ayat-ayat terdahulu menyatakan bahawa antara
dalil adanya Allah ialah Dia menjadikan langit dan bumi. Bumi tempat kamu
menetap, kamu tinggal dan berada di atasnya, mencari rezeki, melakukan
kehidupan dan dijadikan langit di atas kepala kamu laksana binaan bangunan dan
Dialah yang menjadikan diri kamu sendiri sebagai seorang manusia dengan rupa
bentuk yang baik, merupakan kamu dengan kehendak-Nya dan memberi rezeki kepada
kamu dengan perkara-perkara yang baik, dinyatakan halal dan haramnya. Itulah
Dia tuhan kamu, tuhan yang menjadikan seluruh alam.
Sifat-Nya
Maha hidup, tidak mati sekali-kali, tidak ada tuhan melainkan Dia sahaja maka
kamu hendaklah berdoa kepada-Nya apabila ada apa-apa hajat ataupun tidak ada
apa-apa hajat kerana bagi-Nya sahaja urusan kehidupan kamu. Kamu hendaklah
bedoa dengan ikhlas kepada-Nya dengan hati yang lurus kepada-Nya, jangan
bercabang dengan tujuan-tujuan yang lain.
Kamu
hendaklah memuji dan memuja-Nya, Dialah tuhan yang menjadi dan mentadbir
seluruh alam ini
Ayat-ayat
tersebut menunjukkan bahawa Allah Ta’ala itu bersifat hidup yakni al-hayat yang
Maha Sempurna , hidup yang sempurna, yang cukup lengkap yang tidak ada
bandingan dan tidak ada tandingan, hidup yang tidak sama dengan hidup makhluk,
hidup yang berbeza, hidup kita ini ada mati, hidup yang berhajat kepada nyawa,
berhajat kepada makan minum.
Tetapi hidup
Allah Ta’ala tidak berhajat kepada apa-apa, hidup yang kekal abadi, hidup yang
penuh sempurna yang tidak ada bandingan dan tidak ada tandingan.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment