Di zaman Saidina Omar, seorang lelaki datang mengadu Saidina
Omar. “Ya Amirul Mukminin, anak lelaki saya tidak dengar cakap, tolonglah
nasihatkan dia”.
Kata Saidina Omar, “Baiklah esok datang bawa anak jumpa
saya”.
Saidina Omar berkata kepada anak muda itu, “Wahai anak
sepatutnya kamu dengar cakap bapa, tetapi kamu degil, cuba beritahu kenapa kamu
tidak hormat bapa kamu?”.
Anak itu memberi jawapan dengan satu jawapan yang
mengejutkan, satu jawapan berbentuk pertanyaan.
“Tuan sebelum saya jawab pertanyaan tuan, boleh tuan
terangkan, apakah tanggungjawab bapa kepada anak, adakah sekadar membesar dan
memberi makan begitu sahaja”. Jawab anak muda itu terhadap pertanyaan Saidina
Omar.
Saidina Omar kata, “ Kalau kita betul-betul sayang kepada
anak enam perkara mesti ditunaikan, kalau tidak ditunaikan maka kita tidak
dikira sayang kepada anak”
Enam perkara yang disebut oleh Saidina Omar itu ialah:
1. Nama anak:
Namakan anak-anak dengan nama yang baik. Mari kita
bermuhasabah adakah kita telah namakan anak-anak kita dengan nama-nama yang
diredai oleh Allah SWT. Hendaklah namakan anak-anak dengan nama-nama nabi,
isteri-isteri nabi dan ulama-ulama. Mengikut hadis riwayat Abu Daud di akhirat
kelak kamu akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu.
Tanyalah diri kita adakah nama anak kita itu elok. Nabi
pernah menukar nama seorang yang baru
masuk Islam kepada nama yang lebih elok. Tanyalah orang yang mengetahui
bahasa Arab tentang makna anak kita. Perlu diketahui nama adalah doa. Nama
disebut acap kali maka jadi makbul.
2. Sopan santun.
Hendaklah mengajar anak-anak sopan santun. Hari ini timbul
konflik antara sekolah dengan ibu bapa. Sekolah dilihat tidak mampu melahirkan
pelajar dengan akhlak yang baik. Mewujudkan anak-anak dengan akhlak yang baik
tidak mampu dilakukan oleh pihak lain. Ia hanya boleh dilakukan oleh ibu bapa.
Ilmu akhlak bukan ilmu teori. Anak-anak tidak boleh diajar akhlak dengan cara
teori. Mereka hendak diajar dengan contoh dan tauladan.
Kalaulah ibu bapa
selalu bercakap dengan suara yang tinggi anak-anak akan ikut. Kalau ibu selalu
melawan cakap bapanya, maka anaknya akan melawan cakap suaminya nanti.
Guru kerjanya membentuk otak dan ibu bapa kerjanya membentuk
watak. Kalau kedua-dua ini dijalinkan Insya Allah anak akan menuju ke arah
kesempurnaan. Mengajar anak-anak berakhlak mulia adalah tanggungjawab ibu bapa.
Makan dengan tangan kanan, jangan cakap ‘aku’ dan jangan menyampuk cakap orang.
Apabila bercakap jangan tinggikan suara, menghormati orang yang lebih tua,
jangan panggil orang lebih tua dengan namanya, gunalah perkataan pak cik, kak
dan seumpamanya.
Quran mengajar kita
memanggil nabi RASULULLAH bukannya MUHAMAD. Apabila pergi rumah orang
hendaklah duduk diam-diam. Jangan tinggal sembahyang dan hendaklah sembahyang pada
awal waktu. Itu antara yang perlu diberitahu dan diajar kepada anak-anak.
3. Ajar anak menulis.
Menulis adalah budaya ilmu. Islam amat menitikberatkan
tentang ilmu. Iqra’ adalah wahyu pertama. Wahyu pertama bukan tentang
sembahyang, bukan puasa, bukan tentang haji tetapi adalah tentang ilmu.
Mengikut hadis,
“Setiap anak lahir daripada fitrah, macam kain putih, ibu bapalah yang
menentukan anak itu menjadi Nasrani, Majusi atau Yahudi”. Mendidik anak adalah
tanggungjawab ibu bapa bukan orang lain. Kita gagal mendidik anak kerana kita
serah seratus peratus kepada pihak lain. Mendidik anak bukannya semenjak umur
tujuh tahun, tetapi sebelum dia dilahirkan lagi.
Ayah Abu Hanifah pernah ditanya, “Kenapa anak kamu ini
cerdik sangat”. Katanya, “Saya didik anak saya semenjak empat puluh tahun
sebelum dilahirkan”. Ertinya dia memilih bakal isterinya yang akan melahirkan
anaknya. Umumnya isteri yang baik akan melahirkan anak yang baik. Sebagaimana
kuih mengikut acuannya. Dalam masa hamil sudah boleh didik anak dengan
amalan-amalan keruhanian seperti membaca Quran yang memberi kesan kepada anak
dalam kandungan.
Orang bertanya kepada imam Shafie bagaimana boleh hafal
Quran sejak umur tujuh tahun. Kata imam Shafie, “Setiap kali hendak menghafal
Quran saya rasa pernah tengak surah itu”.
Ibu imam Shafie sepanjang mengandung anaknya membaca Quran.
Ini memberi kesan kepada anaknya dalam kandungan. Itulah sebabnya setiap kali
imam Shafie hendak menghafal Quran seolah-olah dia dah tengak surah itu. Imam
Shafie antara tokoh yang hebat dalam Islam.
Apabila anak dilahirkan disunatkan azan dan ikomat. Ini juga
bentuk pendidikan. Dinamakan dengan nama yang baik dan ditahnik. Ini juga
bentuk pendidikan.
Kata Saidina Ali dalam hal mendidik anak, tujuh tahun pertama hendaklah mendidik anak
kita dengan cara bermain. Bermain dalam
bentuk mendidik, mengajar mereka mengaji al-Quran, mengajar mereka mengenal
Allah SWT dalam bentuk santai.
Tujuh tahun kedua (umur 7 tahun sampai 13 tahun) hendaklah
didik anak dengan disiplin. Tujuh tahun ketiga kata Saidina Ali hendaklah kita
berkawan dengan anak-anak. Janga dikasar-kasarkan dia. Kalau berkasar dengannya
dia akan lari meninggalkan rumah kerana sudah menjadi remaja.
4. Mengajar anak memanah dan berenang.
Ini adalah untuk mengseimbangkan hidup mereka. Kita duduk
ditepi sungai tetapi anak tidak pandai berenang. Malu kita musim banjir anak
kita lemas.
5. Anak-anak hendaklah diberi makan makanan yang halal dan
baik-baik. Memberi makanan yang berkhasiat seperti sayur-sayuran yang hijau.
Makanan yang halal mestilah datang dari duit yang halal. Makanan yang
diperolehi dari duit yang tidak halal dari segi Islam akan menjadi umpan api
neraka di akhirat nanti.
6. Hendaklah engkau kahwinkan dia apabila sampai masanya.
Selepas daripada itu kata anak muda ini, “Wahai Omar
sebenarnya daripada enam perkara yang tuan sebut itu, tiada satu pun yang bapa
saya berikan kepada saya”.
Kata Saidina Omar, “Dalam hal ini bukan anak kamu yang
derahka kepada kamu tetapi kamulah yang derhaka kepada anak kamu”
Jadi sayangkan anak perlu dihati-hati. Jangan tidak sayang
langsung. Kalau sayang jangan pula sayang berlebih-lebihan. Berilah ilmu
terbaik untuk mereka dan jangan lupa fardu ain.
Amat malang sekali anak berpangkat besar dan bergaji besar
tetapi bila ibu bapa mati orang lain sembahyang jenazah. Sudahlah tidak tahu
sembahyang jenazah, bersembang pula di ruang-ruang tamu.
Perlu diingatkan bahawa anak-anak bukan sahaja sebagai
penghibur di dunia tetapi kita hendak membawa dia ke tempat yang penuh nikmat
di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment