Firman Allah Taala, “Dan ingatlah
wahai Muhamad SAW ketika engkau keluar pada pagi hari daripada ahlimu di rumah,
dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing
untuk berperang dan ingatlah Allah amat mendengar lagi amat mengetahui”.
Mengikut jumhurul mufasyirin
(kebanyakan ulama tafsir) ayat ini berkait dengan peperangan Uhud yang berlaku
pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah.
Mengikut al-Hasan al-Basri, salah
seorang ulama Tabiin, perkara ini berkait dengan peperangan Ahzab yang berlaku
juga di bulan Syawal pada tahun yang keempat atau tahun kelima Hijrah.
Pendapat yang lebih kuat ialah
perkara ini berlaku dalam peperangan Uhud kerana dibandingkan dengan peperangan
yang berlaku sebelumnya iaitulah peperangan Badar.
Tercetus peperangan Uhud itu kerana
orang-orang kafir Mekah kalah peperangan Badar menyebabkan pemimpin-pemimpin
besar mereka terbunuh. Antaranya ialah Abu Jahal, pemimpin utama negeri Mekah,
dan beberapa pemimpin-pemimpin lain menyebabkan pemimpin-pemimpin, anak-anak,
adik-beradik dan kaum keluarga yang masih hidup ingin membalas dendam.
Mereka meminta harta yang
diselamatkan dalam peperangan Badar yang berlaku apabila Rasulullah SAW
mengarahkan tenteranya supaya memintas pasukan Abu Sofian yang balik berniaga
dari Syam untuk merampas barang-barang kepunyaan Abu Sofian sebagai tindakan
terhadap orang-orang musyrikin Mekah yang bertindak kepada orang-orang Islam di
Mekah termasuk bertindak terhadap harta dan untuk menyekat bekalan musuh yang
berpusat di Mekah.
Antara strategi peperangan ialah
menyekat bekalan musuh. Perkara ini diikut oleh pakar peperangan sehingga hari
ini. Oleh kerana dalam peperangan Badar itu barang-barang dagangan yang
dipimpin oleh Abu Sofian selamat dibawa pulang ke Mekah walaupun mereka tewas
dalam peperangan Badar.
Demi untuk membalas dendam
terhadap nabi SAW dan orang-orang beriman kerana kematian pemimpin Mekah maka
mereka meminta harta yang diselamatka itu hendaklah digunakan bagi perbelanjaan
untuk peperangan membalas dendam. Peperangan membalas dendam ialah peperangan
Uhud.
Puak musyrikin berjaya
menyediakan tiga ribu bala tentera yang lengkap dengan persenjataan yang cukup
di zaman itu, yang lengkap dengan segala persediaan bekalannya dan disertakan
dengan semangat yang tinggi iaitulah untuk membalas dendam kepada
pemimpin-pemimpin mereka yang mati dalam peperangan Badar.
Tentera yang berjumlah besar itu
bergerak menuju ke Madinah. Apabila perisikan nabi SAW mendapat maklumat bahawa
tentera musyrikin sedang bergerak menuju untuk menyerang Madinah lalu nabi SAW
mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Madinah. Apakah tindakan yang
patut diambil dan apakah tektik dan strategi yang perlu dilaku untuk menghadapi
musuh yang datang untuk menyerang Madinah.
Abdullah bin Ubai pemimpin
munafik yang terkenal mencadangkan kepada nabi SAW supaya bertahan di Madinah,
menunggu musuh datang ke Madinah. Kalau menang, baik dan kalau kalah kita boleh
bertahan di rumah-rumah dan boleh melibatkan kaum muslimat dan kanak-kanak
berperang sama melalui jendela-jendela rumah. Pada peringkat awal Rasulullah
cenderung kepada cadangan ini.
Di kalangan mereka yang tidak
sempat pergi ke Badar, berasa rugi kerana terlibatkan diri dalam peperangan
Badar, peperangan yang dipandang tinggi oleh Allah SWT. Merekan ini yang
merupakan suara terbesar ingin mendapat kelebihan dalam peperangan Uhud.
Mereka mencadangkan, musuh mesti
ditentang di luar Madinah iaitulah di Uhud. Hujah mereka ialah sekiranya menang
tidak mengapa, tetapi sekiranya kalah kita boleh mengambil langkah-langkah
seterusnya untuk menentang musuh. Kita boleh berundur dan menyusun langkah baru
untuk menentang musuh.
Kalau berlawan di Madinah dan
jika kalah maka musuh dengan sendirinya dapat menawan Madinah. Kalau bertempur
di luar Madinah dan walaupun tewas musuh tidak dapat menawan lagi Madinah dan
boleh mengambil langkah lain untuk melawan mereka selepas itu.
Strategi ini dipakai oleh Amerika
yang berperang di luar negeri supaya negeri sendiri tidak rosak.
Nabi menerima pandangan majoriti dalam
mesyuarat yang mengatakan bahawa musuh ditentang di luar Madinah.
Nabi balik ke rumah dan memakai
baju rantai. Bila nabi keluar dan bersedia untuk pergi ke Uhud Abdullah bin
Ubai, ketua munafik sangat marah kerana cadangannya ditolak. Cadangan dia
memang tidak ikhlas. Pemimpin munafik ini bertujuan kalau perang berlaku di Madinah
senang dia melarikan diri dan senang hendak melakukan khianat. Beliau bersikap
demikian supaya menarik balik cadangan bertempur di luar Madinah dan menerima
cadangannya.
Tetapi nabi SAW dengan tegas
menyatakan, “Sesungguhnya seorang nabi apabila dia telah memakai baju perang
setelah membuat keputusan dia tidak akan beranjak dengan keputusannya”.
Lalu mereka keluar ke Uhud dan
mengambil langkah untuk berperang di Uhud. Apa yang berlaku jumlah tentera
Islam pada awalnya seribu, Abdullah bin Ubai menarik pengikut-pengikutnya di
tengah jalan dan pulang ke Madinah sebanyak tiga ratus orang. Jadi tinggal
tujuh ratus orang tentera Islam dan ini menjadiakan satu keadaan yang menguji
orang-orang beriman.
Walaupun demikian nabi SAW telah
berjaya mengatur satu strategi yang baik.
Allah berfirman maksudnya, “Dan
ingatlah wahai Muhamad SAW ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah
isterimu di Madinah dengan tujuan menempatkankan orang-orang beriman pada
tempat masing-masing untuk berperang di medan Perang Uhud dan Allah maha
mendengar lagi maha mengetahui”.
Nabi telah menempatkan bala
tentera dengan satu kedudukan yang sangat bijak yang menjadi kajian dan ikutan
pakar tentera pada hari ini. Orang kafir membuat kajian, bukan orang Islam.
Orang kafir mengkaji sejarah Islam, mengkaji setiap strategi yang diambil oleh
nabi SAW.
Nabi telah menempatkan tentera
Islam walaupun Allah Ta’ala telah memberi mukjizat kepada nabi. Allah Ta’ala
telah menjanjikan kemenangan kepada orang Islam, tetapi dalam masa yang sama
orang Islam mestilah berikhtiar, mestilah berfikir, mestilah bermesyuarat,
mestilah berusaha, mestilah mengatur strategi dan tidak boleh menyerah bulat-bulat
kepada Allah Ta’ala.
Jangan tunggu kebal, bila musuh
menembak peluru selisih ke lain. Ini semunya karut. Allah Ta’ala boleh buat
musuh pergi ke tempat lain. Allah Ta’ala boleh buat segala-galanya. Menjadikan
Allah Ta’ala sebagai hamba adalah tidak betul.
Kita mesti berusaha dan berdoa
kepada Allah Ta’ala. Lepas itu baharulah datang pertolongan Allah Ta’ala dengan
berlakunya perkara-perkara luar biasa. Di kalangan orang Islam zaman mutakhir
tidak belajar bab jihad. Orang Islam belajar ilmu mandi minyak dan sebagainya
kemudian tunggu sahaja musuh datang, tidak berikhtiar. Ini sikap sesetengah
orang yang lemah dalam ilmu peperangan.
Dalam peperangan Uhud nabi telah
mengatur satu strategi yang dikaji oleh pakar tentera barat iaitu nabi mengambil
kedudukan di bukit Uhud. Keadaan bukit Uhud itu seperti satu kota kerana di
tengahnya ada kawasan teluk, ada tanah rata dan ada medan. Di belakang bukit
Uhud curam dan sukar untuk naik. Ada bukit kecil yang dekat bukit Uhud.
Nabi meletakkan markas tentera
Islam di antara bukit Uhud dengan bukit kecil. Markas tentera Islam duduk
berhampiran dengan bukit Uhud, di tempat yang musuh tidak dapat menyerang dari
belakang kerana kedudukannya macam kota.
Nabi mengarahkan satu pasukan
yang dipimpin oleh seorang pahlawan yang terkenal namanya Abdullah bersama
dengan lima puluh orang tentera pemanah supaya duduk di bukit kecil. Tentera
pemanah ini akan memanah musuh yang menyerang dari belakang.
Nabi duduk di markas operasi
bersama dengan sejumlah bala tentera dan tentera-tentera lain duduk di hadapan
yang akan berdepan terus dengan musuh. Dengan strategi itu tentera Islam yang
jumlahnya sedikit boleh berdepan dengan musuh yang lebih ramai.
Nabi memberi pesanan kepada
pasukan pemanah yang duduk di bukit kecil, “Jangan tinggal bukit ini
sekali-kali sama ada kita menang atau kita kalah”.
Bukit ini sangat penting untuk
melindungi tentera Islam dan tentera yang sedang berperang supaya tidak
diserang oleh tentera berkuda dari belakang. Tentera berkuda ini macam kapal
terbang jet hari ini, laju untuk melakukan serangan kilat.
Tektik yang nabi susun macam
tektik orang main bola, yakni ada pasukan sayap kanan, pasukan sayap kiri,
pasukan tengah dan pasukan belakang.
Pada permulaan peperangan,
tentera Islam menang dan musuh melarikan diri. Orang kafir bila berperag dia
membawa bersama barang-barang berharga untuk menjadi semangat.
Pasukan hadapan tentera Islam
mengejar musuh dan pasukan tentera yang duduk di belakang mengambil
barang-barang yang ditinggalkan oleh musuh. Pasukan pemanah di atas bukit kecil
tidak tahan melihat keadaan itu lalu turun memugut sama barang-barang yang
ditinggalkan oleh tentera kafir.
Ketuanya, Abdullah berkata,
“Jangan tinggal bukit, Rasulullah arah jangan tinggal”. Akibatnya kawasan
pertahanan strategik terdedah dengan ancaman musuh.
Lalu tentera musuh yang dipimpin
oleh Abu Sofian (mertua nabi dan masih kafir), sayap kanan dipimpin oleh Khalid
al-Walid (masih kafir) dan sayap kirinya Ikrimah bin Abu Jahal (masih kafir)
berpatah balik dan menyerang tentera Islam.
Khalid al-Walid yang memimpin pasukan
berkuda melihat bukit yang strategik ditinggalkan lalu memecutkan kudanya
dengan laju dan menawan bukit yang kosong itu menyebabkan tentera Islam tidak
ada pelindung lagi dari belakang. Kemudian diserang pula oleh tentera Ikrimah.
Nabi SAW dan beberapa sahabatnya bertahan
dalam keadaan berkecamuk. Tujuh puluh orang tentera Islam syahid dan tidak ada
yang selamat, semuanya luka-luka. Nabi SAW patah gigi.
Allah berkuasa menjadikan nabi
kebal tetapi dalam peperangan Uhud ini nabi luka dan pipinya berdarah hingga
darahnya melilih dan mengatakan tidak baik bagi sesuatu kaum yang menghina nabi
yang menyelamatkannya. Nabi yang mengajak dia kepada jalan Allah telah direjam
dengan batu sehingga berdarah.
Seorang sahabat bila melihat
darah nabi melilih lalu menjilat darah nabi kerana dia tidak mahu darah nabi
turun ke tanah dan nabi bersabda, “Orang yang darahnya berkumpul dengan darah
aku tidak akan kena api neraka”. Ini bermakna sahabat itu masuk syurga.
Masa itulah muslimin dan muslimat
mempertahankan nabi dan nabi telah berjaya menyelamatkan tentera Islam dalam
keadaan mereka berundur di teluk bukit Uhud dan pasukan memanah kembali semula
ke atas bukit kecil.
Musuh tidak boleh lagi menyerang
dari belakang. Tentera Islam berjaya mempertahankan diri dan pihak musuh menerima
kegagalan.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment