Wednesday, November 16, 2016

BAI'AH TALAK TIGA DAN LOMPAT PARTI



Sebagai seorang peguam syar'ei dan bekas hakim mahkamah syariah, saya merasa terpanggil untuk menyentuh isu yang amat sensitif ini.
Perkahwinan adalah dibina atas asas kekal selama-lamanya, perceraian hanya dibenarkan bila ada perbalahan rumah-tangga yang tidak dapat diselesaikan atau wujudnya keaiban yang tidak dapat diterima oleh salah satu atau kedua-dua pasangan yang berkahwin.

Tidak ada pihak yang boleh dengan sewenang-wenangnya membuat keputusan sendiri berhubung perceraian tersebut tanpa suatu perintah yang sah daripada mahkamah syariah.

Dalam isu cerai talak tiga melalui bai'ah dan sumpah yg didakwa telah dilakukan oleh wakil-wakil rakyat Pas di Kelantan, dari sudut kehendak politik Pas, maka mereka teringin sangat supaya perkahwinan tersebut dibubarkan kerana suaminya telah melanggar bai'ah, namun dari sudut kekeluargaan Islam dan pasangan tersebut sendiri, adakah mereka juga berkehendak sedemikian?

Jika kita menilai di sudut hukum syarak, masih ada ruang yang terlalu luas untuk pertahankan rumah-tangga tersebut daripada runtuh semata-mata atas kehendak politik pihak tertentu, sedangkan keluarga dan pasangan berkenaan, bahkan masyarakat umum berpandangan sebagai suatu yang tidak wajar melalui alasan-alasan berikut:

1. Sumpah dan Bai'ah tersebut dianggap terbatal dan tidak sah kerana Pas tidak ada hak di segi hukum syarak mensyaratkan calon-calon pilihan rayanya bersumpah sedemikian untuk menjadi calon;

2. Sumpah dan Bai'ah tersebut sudah tidak terpakai kerana situasi dan tujuan sumpah tersebut ketika diambil dulu telah tiada;

3. Bai'ah taklik yang dibuat secara bersumpah dianggap sebagai satu "Yamin" yang boleh ditarik balik dengan membayar kifarah bila ada sesuatu yang lebih baik daripadanya; 

4. Sumpah taklik yang tidak disertakan dengan niat utk menceraikan isteri dianggap tidak jatuh talak di segi hukum syarak;

Jika kita berpandangan Sumpah dan Bai'ah taklik cerai isteri talak tiga itu sebagai sah sekalipun, kita masih ada ruang utk menyelamatkan rumah-tangga tersebut dengan berpegang kepada pendapat talak 3 sekaligus hanya dikira satu talak sahaja, maka suami ada ruang untuk rujuk kembali.

Semua pihak harus rasional dalam isu yang sensitif ini, adakah wajar sebuah keluarga yang bahagia, yang tidak ada apa-apa perbalahan rumah-tangga, lalu kita pisahkan mereka dengan penrceraian yang menghancurkan sebuah rumah-tangga yang dibina puluhan tahun, sedangkan masih ada ruang di segi hukum syarak untuk kita melepaskan mereka dari belenggu yang mereka sendiri tidak redhai, atau kita mahu memuaskan hati demi dendam dan kepentingan politik kita????

Saya yakin bukan sahaja pasangan wakil rakyat dan keluarga berkenaan sahaja tidak dapat menerima realiti ini, namun masyarakat umum secara amnya tidak dapat menerima keputusan tersebut. Jangan kita merusakkan institusi sebuah keluarga yang aman damai, sekali gus mencemarkan syariat Islam itu sendiri demi kepentingan politik puak kita.
Biarlah pasangan tersebut membuat keputusan sendiri kerana mereka juga ada hujah dan alasan untuk berbuat sedemikian sama ada untuk merujuk pertikaian ini ke mahkamah atau terus hidup sebagai pasangan yang bahagia melalui ijtihad sendiri kerana sememangnya ada fatwa dan pendapat ulama untuk mereka pegang dan ikuti. Jangan paksa mereka untuk mengikut kehendak kita sahaja.

CHE IBRAHIM BIN MOHAMED.
PENGARAH HAL EHWAL SYARIAH,
PARTI AMANAH NEGARA,
NEGERI KELANTAN.

2 SEPT 2015

No comments:

Post a Comment