Beriman kepada kitab mengandungi semua kitab yang diturunkan
termasuk suhuf Ibrahim, Taurah, Zabur, Injil dan al-Quran.
Al-Quran menasahkan kitab-kitab yang terdahulu. Beriman dengan apa
yang terkandung dalam al-Quran berhubung dengan akidah, syariat, akhlak,
kisah-kisah, perkara-perkara yang ghaib, jin, malaikat, syurga, neraka dan
lain-lain.
Kita beriman kepada kitab, termasuk beriman kepada sahifah-sahifah
yang diturunkan kepada nabi Ibrahim, nabi Musa dan nabi-nabi yang lain. Beriman
dengan kitab Taurah, Zabur dan Injil. Taurah diturunkan kepada nabi Musa, Zabur
diturunkan kepada nabi Daud dan Injil kepada nabi Isa AS. Walaupun kitab-kitab
ini telah diubah tetapi di sana ada kitab-kitab yang asal yang diturunkan oleh
Allah kepada rasul-rasul itu kita wajib beriman kepadanya.
Beriman kepada al-Quran adalah kitab Allah yang diwahikan kepada
nabi Muhamad SAW, bukannya rekaan nabi Muhamad SAW. Barang siapa yang berkata
Quran rekaan nabi Muhamad SAW, menjadi kafir kerana tidak beriman kepada Quran,
tidak beriman kepada Allah SWT dan tidak beriman kepada nabi Muhamad SAW.
Mesti juga beriman dengan isi kandungan al-Quran. Semua perkara
yang ada dalam Quran kita mestilah beriman. Perkara akidah (perkara yang
berkait dengan iman, dengan kepercayaan-kepercayaan kepada Allah, kitab,
rasul, malaikat, hari akhirat dan qoda’ dan kadar, beriman juga kepada adanya
jin dan syaitan, dosa dan pahala, hukum syariat yang berkait dengan rumah-tangga,
berkait dengan diri manusia, berkait dengan politik, berkait dengan ekonomi,
berkait dengan undang-undang antarabangsa, semuanya ada dalam Quran.
Jangan berkata bab politik tidak ada dalam Islam. Politik ada
disebut dalam al-Quran, kita jangan buat main-main. Hal politik Allah Ta’ala
sebut semenjak nabi Adam AS. Nabi-nabi dan rasul-rasul berpolitik.
Disebut dalam hadis nabi SAW riwayat imam Bukhari, “Adalah Bani
Israil yang menjadi pemimpin siasah (pemimpin politik mereka) ialah nabi-nabi
ASTS.”
Jika kita kata politik tidak ada kena mengena dengan Islam bererti
kita menolak apa yang disebut dalam Quran dan hadis.
Begitu juga dengan ekonomi. Bab ekonomi ada dalam Quran yang
berkait dengan muamalat, perdagangan, undang-undang perdagangan, undang-undang
antarabangsa, undang-undang jenayah dan sebagainya. Itulah adalah hukum syariat
yang disebut dalam Quran, maka kita wajib beriman dengannya.
Perkara akhlak seperti ikhlas, benar, jujur, amanah, bersyukur,
redha ada disebut dalam Quran. Itu adalah sifat-sifat yang baik. Sifat-sifat
yang buruk seperti mencuri, berzina, merompak, menyamun, meragut adalah
diharamkan. Kita mesti beriman kepada sifat yang baik dan juga sifat yang
buruk.
Jangan kita kata zina suka sama suka apa salahnya. Cakap yang semacam itu boleh
menyebabkan gugur iman seseorang kerana melawan Quran. Quran mengatakan berzina
haram.
Kisah-kisah atau cerita-cerita yang ada dalam Quran seperti cerita
mengenai umat-umat yang baik, kaum yang baik, orang-orang yang soleh;
cerita-cerita mengenai kaum-kaum yang zalim, yang derhakakan Allah Ta’ala, kaum
yang diberi rahmat oleh Allah Ta’ala dan kaum yang dibinasakan oleh Allah
Ta’ala, disebut dalam Quran.
Ada juga disebut cerita-cerita yang pelik atau luar biasa
seperti kisah Ashabul Kahfi yang disebut pemuda itu tidur lebih daripada 300
tahun. Kita wajib beriman kepada semua kisah-kisah itu. Jangan kita kata cerita
itu dogeng, tidak logik dan sebagainya. Kalau bercakap begitu maka seseorang
itu boleh menjadi kafir. Ini adalah cerita yang benar daripada Allah SWT.
Kisah Zulkurnain, kisah yakjuj ya wama’juj disebut dalam
Quran. Zulkurnain adalah seorang raja yang beriman dan adil disebut dalam
suratul Kahfi. Semua kisah yang Quran sebut adalah cerita benar dan kita
mesti beriman dengannya.
Kisah nabi Musa dengan nabi Khadir disebut dalam Quran. Kisah
Ashabul Ukhdud disebut dalam Quran. Semua kisah-kisah itu hendaklah kita
beriman walaupun Allah Ta’ala tidak menyebut tarikh berlakunya kisah-kisah itu.
Quran bukan buku sejarah tetapi kitab petunjuk, yang penting ialah pengajaran
dan petunjuk yang perlu diambil daripadanya.
Perkara yang kita tidak nampak (ghaib) seperti dosa dan pahala,
jin, malaikat, iblis dan syaitan, syurga dan neraka dan lain-lain, kita
hendaklah beriman kepadanya walaupun kita tidak nampak.
Kita mesti beriman dengan semua perkara yang disebut dalam Quran.
Itu maknanya beriman kepada kitab.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment