Ada satu masalah yang dibincang oleh para ulamak mengenai iman.
Adakah iman itu perkara yang tetap atau boleh bertambah dan berubah.
Sekurang-kurangnya iman itu ialah tasdik jazam yang tidak
ada syak dan subhah. Iman yang sekurang-kurang ialah percaya dengan sungguh-sungguh,
tidak ada syak sedikit pun dan tidak ada keliruan sedikit pun dalam perkara
yang berkait dengan wajib kita percaya dan beriman daripada rukun-rukun iman
dan cabang-cabangnya.
Kalau sekiranya tidak sedemikian maka tidak ada iman. Maknanya
sekiranya iman itu tidak putus kerana ada syak, ada ragu ataupun ada kekeliruan
maka iman itu tidak betul. Iman yang betul mestilah tidak ada syak dan ragu
sedikit pun.
Allah SWT berfirman suratul Hujrat ayat 15 maksudnya, “sesunggunya
orang-orang yang beriman, hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan
Rasul-Nya kemudian mereka tidak
ragu-ragu”.
Ayat ini menjelaskan kepada kita
bahawa iman itu ialah percaya Allah dan Rasul-Nya dan semua perkara yang
dinyatakan oleh Allah dan dibawa oleh Rasul-Nya nabi Muhamad SAW dan tidak
ragu sedikit pun. Sekiranya ada keraguan
dalam perkara yang dinyatakan oleh Allah dan dibawa oleh Rasul-Nya nabi Muhamad
SAW maka iman itu tidak sah.”
Antaranya juga ialah Allah Ta’ala berfirman maksudnya, “Maka tidak
demi tuhanmu mereka tidak beriman sehinggalah mereka menghakimkan engkau wahai
Muhamad SAW dalam apa-apa perkara yang menjadi pertelingkahan, perbalahan,
perselisihan di kalangan mereka kemudian mereka tidak ragu sedikit pun dalam
penyelesaian yang diputuskan oleh nabi Muhamad SAW daripada hukum Allah dan
hukum yang diizin oleh Allah untuk nabi menyampaikannya dan mestilah menyerah
diri dengan sesungguh-sungguhnya.”
Bermakna sekiranya ada ragu terhadap hukum-hukum Allah maka
imannya tidak sah. Jika sekiranya terdapat syak bermakna ini nifak.
Jika ada syak dalam iman seperti percaya atau tidak percaya atau
berbelah bagi, maka itu adalah sifat munafik.
Firman Allah Ta’ala suratul Baqarah ayat 10 maksudnya, “Dalam
hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad
dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula
akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka
berdusta (dan mendustakan kebenaran)”
Ayat menerangkan sifat-sifat orang
munafik. Antara sifat orang munafik itu ialah adanya penyakit dalam hati
mereka. Berhubung dengan penyakit ada ulamak tafsirkan dengan bermakna syak dan
ragu terhadap ajaran Allah dan Rasulullah SAW.
Perlu diterangkan bahawa syak itu
bukannya waswas dan waswas tidak boleh dianggap syak kerana ia dibawa oleh
syaitan dan hati kita menolaknya seperti seseorang diajak menjadi kafir atau
dituduh menjadi kafir sedangkan ia tidak menerima kekufuran itu.
Waswas
berbeza dengan syak. Waswas ialah bisikan syaitan yang datang dalam
fikiran dan hati seseorang. Terlintas dalam hati misalnya “Jadi kaifr, jadi
kafir”. Kemudian dia sedar semula, dia ingat semula lalu dia menolaknya. Ini
bukan syak tetapi waswas yang dibawa oleh syaitan.
Syak ialah keraguan terus menerus yang
ada di dalam hati sepanjang masa, tidak ada penolakan. Sekiranya terlintas dan
terus menolaknya itu adalah waswas, bukannya syak. Waswas tidak membatalkan
iman.
Firman Allah SWT suratul ‘Araf ayat 201
bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh
oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah)
maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).”
Maknanya antara sifat orang bertakwa
itu ialah orang-orang bila ada waswas di dalam hatinya dia sedar semula dan
menolaknya. Orang waswas tidak perlu risau, yang penting melawannya, kena
berjihad menentang waswas itu. Berjihad menentang waswas itu diberi pahala oleh
Allah SWT.
Bila datang perasaan yang tidak baik
dia lawan, datang lagi lawan lagi dan lawan lagi dan sedar semula. Itu adalah
sifat orang betakwa kepada Allah SWT.
Sekiranya datang waswas dia ikut, iku
terus dan tidak menolaknya. Ini merosakkan imannya.
Mengikut para ulamak mengatakan apabila ada waswas, gangguan
syaitan di dalam hati menandakan seseorang itu ada iman. Sekiranya orang itu
tidak ada iman syaitan tidak perlu ganggu. Hanya rumah yang ada harta, banyak
perompak akan mencari jalan untuk masuk ke dalam rumah.
Begitulah hati yang beriman, syaitan sentiasa berusaha untuk
memunahkan iman dan dia melawannya. Ini termasuk dalam jihad di dalam hati,
jihad ruhani yang diberi pahala oleh Allah SWT.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, “Beberapa orang di kalangan
sahabat Rasulullah SAW bertanyakan, sesungguhnya kami dapati di dalam diri apa
yang dianggap perkara yang dikira besar dari segi imannya diucap oleh seseorang
itu, Rasulullah SAW bersabda, adakah kamu dapati iman itu masih ada? Mereka
menjawab “ya“.
Rasulullah SAW bersabda, “itu adalah iman yang nyata”
Dalam satu riwayat lain Rasulullah SAW bersabda, “Segala puji bagi
Allah yang menolak tipu daya syaitan daripada waswas.”
Hadis ini menceritakan beberapa orang sahabat nabi SAW yang
didatangi oleh penyakit waswas. Terlintas di dalam hati perkara yang
bukan-bukan. Lalu mereka mengadap Rasulullah SAW, “Wahai Rasullah terlintas di
dalam hati perkara yang terlintas itu kalau disebut dengan lidah jadi kafir.
Datang dalam hati jadi kafir, jadi kafir, jadi kafir.”
Nabi SAW bertanya, “Adakah kemu sedar atau ingat semula selepas
itu?”
“Ya” kata sahabat.
Jawab nabi SAW, “Itu adalah iman yang nyata dan terang,
menunjukkan iman kamu masih ada”.
Mengikut satu riwayat lain Rasulullah SAW bersabda, “Alhamdulillah
segala puji bagi Allah yang telah mengembalikan imannya dan menolak waswas yang
ada dalam hati kamu “, menandakan waswas tidak merosakkan iman.
Waswas itu ialah gangguan yang ada dalam hati seseorang yang
mewajibkannya melawan waswas itu. Waswas kadang-kadang dalam perkara iman,
kadang-kadang dalam perkara syariat.
Ambil air sembahyang misalnya, membasuh kaki sampai lima enam kali
sedangkan sunat tiga kali basuh sahaja. Basuh lebih daripada tiga kali bermakna
waswas. Waswas daripada syaitan. Jadi jangan ikut syaitan.
Begitu juga takbiratul ihram ketika hendak sembahyang. Lima enam
kali takbir, pada hal sebelum mengangkat takbir sudah ada niat hendak
sembahyang.
Fasal apa?
Fasal waswas dengan niat.
Waswas hendaklah ditolak sama ada dalam perkara iman, dalam
perkara niat dan dalam perkara amalan kerana waswas adalah daripada syaitan.
Kalau iman, tujuan syaitan ialah untuk merosakkan iman kita dan kalau amalan
supaya amalan kita tidak boleh pahala.
Mengikut pendapat salaf bahkan pendapat kebanyakan ulamak bahawa
iman yang disertakan dengan amal yang soleh itu bertambah dan berkurang. Di
kalangan ulamak ada berpendapat bahawa iman itu tidak bertambah dan tidak
berkurang. Ianya dipandang sebagai akidah yang tidak boleh dibelah bagi.
Sesetengah ulamak mengatakan iman itu ialah perkara keyakinan
dalam hati yang tidak bertambah dan tidak berkurang. Pendapat ini daif dan
tidak oleh dipakai.
Menurut pendapat salaf (salaf ialah generasi awal Islam, yang
disebut oleh nabi SAW sebaik-baik orang Islam ialah orang Islam di abad aku,
yakni 100 tahun pertama Hijrah, kemudian mereka yang selepasnya,100 tahun kedua
Hijrah, kemudian mereka yang selepasnya yakni 100 tahun ketiga Hijrah. Itu
dikenali dengan salaf iaitu golongan yang hampir dengan masa nabi SAW).
Pendapat jumhur ulamak (kebanyakan ulamak) bahawa iman yang
disertakan dengan amal yang soleh itu bertambah dan berkurang kerana nas-nas
yang terang menyatakan demikian.
Ada nas daripada al-Quranul Karim yang menyatakan bahawa iman itu
bertambah.
Firman Allah SWT suratul Anfal ayat 2 bermaksud, “Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila
disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan
kepada tuhan mereka jualah mereka berserah”.
Ayat ini menyatakan iman seseorang itu boleh bertambah dengan
zikrullah (berzikir) dan dengan membaca Quran. Contoh Subhanallah,
Alhamdulillah, Allahu Akbar. Bacaan Quran sama ada didengar atau dibaca
sendiri.
Firman Allah Ta’ala suratu Taubah ayat 124 bermaksud, “Dan
apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang
munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu
yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka,
sedang mereka bergembira (dengan turunnya).”
Bagi orang-orang beriman apabila
diturun ayat-ayat Allah di dalam suratu Taubah yang berkait dengan jihad fi
sabilillah maka imannya bertambah bukannya menjadi takut. Berbeza dengan
orang-orang munafik bila turun ayat-ayat jihad jadi gerun, jadi takut. Bagi
orang beriman bila disebut jihad iman mereka bertambah dan bertambah berani
bukannya penakut.
Firman Allah SWT suratul Ahzab ayat 22
bermaksud, “Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera al-Ahzab,
berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya
kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya".
Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan
kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka
bulat-bulat kepada Allah.”
Ayat ini menceritakan berkenaan
peperangan Ahzab yang berlaku di zaman nabi SAW apabila orang-orang Yahudi Madinah
bertemu dengan pemimpin musyrikin Mekah mengajak pemimpin-pemimpin musyrikin
Mekah bermuafakat dengan orang-orang kafir lain bergabung bagi menyerang
Madinah untuk menghapuskan agama Islam, menghapuskan Rasulullah SAW dan
sahabat-sahabatnya. Mereka berjaya menubuhkan kumpulan bernama Ahzab.
Jadi Ahzab ialah kumpulan-kumpulan yang
digabungkan atau pun parti-parti yang digabungkan untuk melawan Islam,
puak-puak yang digabungkan untuk melawan Islam iaitulah musyrikin Quraish, Bani
Bakar dan lain-lain lagi. Mereka dapat mengumpulkan banyak senjata dan tentera
berjumlah sepuluh ribu orang dan bersiap sedia untuk menuju ke Madinah.
Apabila mendapat berita itu nabi
bermesyuarat dengan sahabatnya dan Salman nur Farisi, seorang sahabat yang
berasal daripada Farisi (Iran) yang biasa dengan peperangan yang besar
mencadang kepada nabi SAW supaya menggali parit yang dalam dan luasnya gagal
dilopmat oleh kuda sebagai benteng pertahanan untuk menghadapi musuh yang datang
menyerang Madinah.
Kerja gotong-royong dilakukan untuk
menggali parit itu di kawasan tanah lapang yang jauhnya berbatu-batu. Parit itu
dapat disiapkan dengan segera.
Jumlah tentera yang menyerang sepuluh
ribu, jumlah orang Islam di Madinah tidak mencukupi sepuluh ribu orang.
Orang-orang Yahudi Madinah mengadakan perjanjian dengan nabi SAW. Walaupun
demikian orang Yahudi ini tidak boleh diharap.
Jadi orang Islam menghadapi ujian yang
sangat dahsyat.
Ayat ini menceritakan apabila
orang-orang beriman melihat kedatangan bala tentera musuh untuk menyerang
Madinah, iman mereka bertambah. Ini menunjukkan iman itu bertambah dengan
jihad fi sabilillah, dengan zikir dan dengan membaca Quran.
Orang munafik apabila melihat musuh
datang menyerang iman mereka menjadi lemah.
Dalam kisah yang kita ulangi dalam
tiap-tiap takbir hari raya, WAHAZAMAL AHZAB BAWAHDAH, Allah menghancurkan Ahzab dalam keesaan-Nya.
Allah menguji orang beriman secara
menyeluruh dan secara persendirian.
Mengikut satu riwayat pada malam
tentera Ahzab mengepung Madinah, nabi bersembahyang tahajjud dan melihat sahabat-sahabatnya sedang tidur
dan ada juga yang berjaga-jaga.
Nabi SAW besabda, “Siapa antara kamu
yang sanggup masuk ke dalam musuh dan aku jamin keselamatannya”.
Semua sahabat senyap dan tidak menjawab
apa-apa. Nabi pun bersembahyang pula. Ini ujian. Lepas bersembahyang nabi
berpaling kepada sahabatnya dan bersabda, “Siapa di kalangan kamu yang sanggup
masuk ke dalam musuh dan aku jamin keselamatannya”
Sahabat senyap. Malamnya sejuk, gelap
dan musuh ramai yang lengkap dengan senjata. Nabi bertahajjud lagi dan selesai
sembahyang nabi bersabda, “Siapa di kalangan kamu yang sanggup masuk ke dalam
musuh dan aku jamin keselamatannya”.
Para sahabat senyap. Lalu nabi SAW
bersabda, “Bangun wahai Khuzaipah, aku tugas kamu. Wahai Khuzaifah
pergi, aku jamin keselamatan kamu”.
Khuzaipah menceritakan kisah itu dalam
hadis yang terkenal.
Lalu Khuzaipah merangkak masuk ke dalam
pasukan musuh di tengah malam yang gelap gelita dan menghampiri pemimpinnya, Abu
Sufian yang sedang bermesyuarat. Abu Sufian seorang yang cerdik, dia
menyemak kehadiran mesyuarat dengan menyuruh mereka yang hadir menyebut nama
masing-masing. Khuzaifah tidak menyebut namanya tetapi memakai nama salah
seorang dalam majlis itu. Selepas mesyuarat Khuzaipah balik semula ke kemah
nabi dalam keadaan selamat.
Tiba di kemah keadaan masih gelap
gelita, oleh kerana terlalu letih dia pun tertidur. Bila nabi bangun hendak
sembahyang Subuh dan melihat Khuzaipah masih lagi tidur lalu berkata, “Bangun
wahai penidur, bangun”.
Khuzaipah pun bangun dan diminta
menceritakan apa yang berlaku di kemah musuh.
Ini adalah ujian. Orang beriman imannya
bertambah. Ujian Allah SWT dilakukan secara ramai-ramai dan kadang-kadang
secara individu.
Jadi semua kisah dan ayat-ayat di atas
menunjukkan iman boleh berkurang dan boleh bertambah. Bertambah dengan
berzikir, mendengar atau membaca Quran dan berjihad, berjuang untuk menegakkan
agama Allah.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment