Friday, November 4, 2016

IMAN DAN ISLAM



Sabda Rasulullah SAW kepada rombongan Abdul Kes maksudnya, “Aku menyuruh kamu beriman dengan Allah yang maha Esa: Adakah kamu mengerti yang dikatakan beriman dengan Allah yang Esa?, iaitulah penyaksian bahawa tiada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah yang maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, dan menunaikan 1/5 daripada harta rampasan perang”, hadis muttafakun alaih.

Hadis ini menceritakan satu rombongan daripada kabilah Arab Badawi datang mengadap Rasulullah SAW dan meminta Rasulullah SAW mengajarnya berkenaan dengan agama Islam, kerana kata pemimpin mereka terlalu sukar kami hendak bertemu dengan nabi SAW sebab di tengah jalan ramai musuh yang masih musyrikin yang menentang Islam. Kami terpaksa berperang dengan mereka.

Oleh kerana itu kami minta dengan Rasulullah SAW supaya mengajar kami mengenai agama Islam.

Lalu nabi SAW menyebut hadis di atas iaitulah nabi menyuruh mereka supaya beriman kepada Allah yang Maha Esa dan menegas kepada mereka beriman kepada Allah yang Maha Esa itu ialah mengaku dengan lidah dan percaya dengan hati bahawa tidak ada tuhan sebenar melainkan Allah yang Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan menunaikan 1/5 daripada harta rampasan perang.

Mengapa hadis ini tidak menyebut rukun iman, tetapi menyebut rukun Islam dan rukun Islam yang disebut tidak cukup kerana tidak ada di dalamnya puasa Ramadan, tidak ada di dalamnya mengerjakan Haji dan ditambah supaya menunaikan 1/5 daripada harta rampasan perang.

Hadis menunjukkan ucapan nabi SAW kepada mereka yang khusus yang telah beriman dengan rukun iman sepenuhnya sehingga sanggup berjihad dan berjuang untuk menegakkan agama Islam dengan harta benda dan jiwa raga mereka.

Mengikut satu riwayat yang lain disebut berpuasa bulan Ramadan.

Ulamak mengatakan mengapa tidak disebutkan Haji di dalam hadis ini kerana mereka datang menemui nabi SAW ketika nabi belum lagi menerima perintah Haji diwajibkan.

Hadis ini memberi faham kepada kita bahawa adanya hubungan yang cukup erat di antara iman dan Islam. Islam itu merupakan salah satu daripada prinsip iman dan iman itu pula dilahirkan secara amali iaitu secara amalan dengan ikrar syahadat mengerjakan ibadat dan melaksanakan hukum syariat dalam semua perkara.
  
Berimannya seseorang itu ialah dengan kepercayaan yang menjadi aqidah tanpa syak dan waham dengan rukun-rukun iman dan Islamnya seseorang itu ialah dengan pengakuan dan amalan yang menjadi tanda kepada kita namun begitu sekiranya berlaku ikrar syahadat dan menunaikan fardu sedangkan hatinya tidak ada kepercayaan atau ragu-ragu atau tidak memperakui akan hukum-hukum Allah maka seseorang itu dihukum tidak beriman walaupun masih dinamakan Islam sebagaimana berlaku kepada sesetengah orang Badawi di zaman Rasulullah SAW.

Walaupun rukun iman dan Islam disebut secara berasingan tetapi iman dan Islam tidak boleh dipisahkan. Barangsiapa yang menolak rukun iman bermakna dia tidak Islam, barang siapa yang menolak rukun Islam bermakna dia tidak Islam kerana tiap-tiap satu rukun Islam itu berkait dengan iman.

Seseorang yang berucap dengan dua kalimah syahadat berikrar dengan lidah sahaja tetapi hatinya tidak percaya dengan dua kalimah syahadat maka dia tidak beriman. Atau pun bercakap dengan cakap-cakap menunjukkan dia syak dan ragu kepada dua kalimah syahadat maka dia tidak beriman dan tidak Islam.

Dalam hadis ini menyatakan mendirikan sembahyang, barangsiapa mengatakan sembahyang tidak wajib bermakna dia tidak Islam dan tidak beriman dengan sebenar, atau pun dia menafikan mana-mana rukun sembahyang yang diwajibkan oleh Allah SWT atau sembahyang memakai niat dalam hati sahaja maka kafir kerana imannya tidak sah.

Mereka yang memakai ilmu batin sembahyang memakai niat sahaja. Ilmu batin bercanggah dengan ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhamad SAW.
  
Walaupun iman itu dalam hati, hendaklah dinyatakan oleh amalan dan perbuatan. Sekiranya amalan dan perbuatan itu tidak ada menunjukkan tidak ada iman di dalam dirinya sebagaimana mereka yang mengatakan sembahyang tidak wajib atau pun sembahyang dengan cara yang lain daripada yang diajar oleh nabi SAW.

Begitu juga zakat, bila seseorang itu mengatakan zakat tidak wajib bermakna tidak Islam. Oleh kerana itu Saidina Abu Bakar al-Siddiq memerangi mereka yang mengatakan zakat tidak wajib kerana mereka sudah murtad.

Bila mereka mengatakan zakat tidak wajib bukan sahaja Islamnya batal bahkan imannya juga batal.

Ini menunjukkan iman dan Islam tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.
Begitu juga mereka yang mengatakan jihad tidak wajib kerana hadis ini menyebut: kamu hendaklah menunaikan 1/5 daripada harta rampasan perang. Harta rampasan perang yang diambil daripada orang kafir melalui peperangan tidak boleh diambil begitu sahaja, hedaklah mengikut hukum syarak, mengikut hukum fikah.
  
Semua amalan Islam ada hukum fekah. Bukan sahaja sembahyang ada fekah, sembahyang ada fekah ibadat, bernikah kahwin ada fekah munakahat, berniaga dan bercucuk tanam ada fekah muamalat, undang-undang ada fekah jenayah dan fekah jihad juga ada. Berjihad mesti mengikut hukum fekah, tidak boleh berjihad mengikut sesuka hati sahaja.

Antara hukum fekah yang ada dalam jihad itu ialah harta rampasan perang yang boleh alih diambil daripada orang bukan Islam hendaklah dibahagi lima mengikut ayat Quran. Quran mengatakan harta rampasan hendaklah dibahagi lima. 1/5 daripadanya dikendalikan oleh ketua pasukan atau dikendalikan oleh kerajaan Islam.

Mengikut hadis ini nabi SAW memerintah ketua kabilah Abdul Kes supaya menunaikan 1/5 daripada harta rampasan perang. Menunjukkan 1/5 daripada harta rampasan perang itu adalah wajib sebagaimana wajibnya zakat.

Begitulah juga jihad, adalah wajib. Barangsiapa mengatakan jihad tidak ada samalah dengan mengatakan sembahyang tidak ada, puasa tidak ada maka hilang Islamnya dan hilang imannya.

Sabda nabi SAW bermaksud, “Kewajipan jihad itu berterusan sehingga hari kiamat”.
Oleh kerana itu dalam hadis ini nabi SAW menyebut 1/5 daripada harta rampasan perang adalah rukun Islam, adalah rukun iman yang disebut dengan tegas.

Ini menunjukkan bahawa iman dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Walaupun ianya tidak disebut dalam rukun iman yang terkenal 6 perkara, tetapi termasuk di dalam mana-mana rukun iman. Barang siapa yang menolak Islam bermakna dia tidak percaya kepada Allah, tidak percaya kepada rasul termasuk Rasulullah SAW, tidak percaya kepada kitab Allah, tidak percaya kepada malaikat yang membawa kitab dan tidak percaya kepada balasan hari akhirat.

Menunjukkan iman dan Islam berkait rapat antara satu sama lain, sebagaimana hubungan ruh dengan jasad, kepala dengan badan, bila dipotong kepala maka matilah jasad, bila dibuang ruh maka matilah jasad. Itulah hubungan antara iman dan Islam. 

Walaupun ianya disebut dengan cara yang berbeza tetapi iman dan Islam tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.

 - KULIAH YT


No comments:

Post a Comment