Friday, November 4, 2016

ISLAM PENGHAYATAN SEBENAR




Daripada takrif Islam yang dikemukakan oleh para ulamak ialah Islam adalah  penghayatan yang sebenar bagi manusia. Islam juga cara petunjuk dalam penghidupan. Ia juga ubat yang mujarab bagi memperbaiki masyarakat.

Islam ialah jalan yang benar yang tidak mungkin sesat kepada sesiapa yang melaluinya. Tidak ada ajaran lain yang menunjukkan cara yang sebenar bagi manusia hidup, ajaran yang sempurna dan lengkap yang dengan semua sifat semula jadi manusia melainkan ajaran Islam.
.
Allah Ta’ala menjadikan manusia itu dengan sifat semula jadi. Manusia ada jasad dan ruh. Jasad ialah tubuh badan manusia yang dapat dilihat dan dapat disentuh. Jasad manusia memerlukan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Jasad binatang juga memerlukan makanan, minuman dan sarang.
.
Jasad memerlukan kekuasaan hawa nafsu dalam pasangan hidup dinamakan suami dan isteri. Maka Islam menetapkan ajaran-ajaran yang berkait dengan jasad. Ada makanan yang haram dan ada makanan yang halal. Ada pakaian yang halal dan ada pakaian yang haram. Ada tempat tinggal yang sesuai untuk hidup berkeluarga.
.
Bagi manusia hubungan lelaki dan perempuan mesti ada perkahwinan. Perkahwinan dan cara hidup berkeluarga ada hukum yang ditetapkan oleh hukum syarak. Disuruh hidup dengan damai dan jika ada selisih faham dan tidak boleh lagi berdamai maka ada hukum talaq dan hukum tebus talaq. Ini ialah hukum Islam yang berkait dengan jasad.

Manusia ada ruh. Ruh adalah perkara yang ghaib tetapi dirasakan oleh manusia. Dia boleh rasa ruh dan ada akal fikiran. Ruh juga memerlukan makanan antaranya ialah ilmu pengetahuan untuk diisi dalam akal dan fikiran manusia. Iman dan kepercayaan kepada Allah perlu diisi ke dalam ruh manusia. 

Jadi manusia ada dua perkara iaitu ruh dan jasad. Berbeza dengan, binatang ada ruh tetapi ruhnya tidak sama dengan manusia. Berbeza dengan malaikat. Malaikat makhluk yang ghaib, ada ruh tetapi tidak berhajat dengan makanan jasad seperti manusia. Manusia tidak serupa dengan malaikat dan tidak serupa juga dengan binatang. 

Ada ajaran agama yang hendak menjadikan manusia seperti binatang, yang lahir sebelum nabi Muhamad SAW. Ajaran ini mengatakan manusia bebas tidak perlu kahwin dan boleh membuat apa sahaja, akibatnya menjadi rusak.

Ada ajaran agama menyuruh bertapa, tidak boleh makan. Jika hendak makan, hanya sedikit-sedikit sahaja. Ajaran agama ini tidak boleh kahwin, tetapi senyap-senyap berzina dan berliwat. Ajaran-ajaran ini bercanggah dengan fitrah manusia. 

Allah jadikan manusia hidup bermasyarakat, kena ada keluarga, kena ada jiran dan kena berhubung sesama manusia yang berbagai-bagai bangsa. Manusia membuat pelbagai pekerjaan dan menukarkan hasilnya di antara satu sama lain. Dengan ini berlakunya kerja sama dan tolong menolong antara manusia. 

Oleh kerana manusia ada kelemahan, mungkin berlaku perbalahan dan pergaduhan, mesti ada satu golongan yang mengawal, mentadbir dan mengurus kehidupan ini. Ini dinamakan pemerintah. Pemerintah mengadakan undang-undang, undang-undang di peringkat keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa. 

Tidak ada ajaran yang boleh memenuhi semua perkara ini dengan berkesan, baik dan selamat, melainkan ajaran Islam. Ajaran agama lain tidak dapat memenuhi semua perkara ini. 

Begitu juga ideologi politik dan ekonomi yang dicipta oleh akal manusia tidak dapat memenuhi semua perkara ini.

Hanya ajaran Allah sahaja boleh memenuhi semuanya yang dinamakan Islam. Manusia mesti menghayati dan hidup bersama dengan ajaran Islam ini untuk selamat di dunia dan selamat di akhirat. 

Ajaran lain terlalu jauh dengan alam akhirat. Ajaran Islam mengajar kita bagaimana berbekal untuk alam akhirat yang kekal abadi. Allah Ta’ala jadikan manusia dalam dua masa iaitu masa dunia dan masa akhirat. Ajaran yang menerangkan semua perkara ini ialah ajaran Islam daripada Allah SWT yang menjadikan manusia.

Firman Allah Ta’ala, “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah yang lebih mengetahui”

Jangan hendak tunjuk pandai. Apa yang jadi masalah ialah ada kalangan manusia hendak menunjuk pandai daripada Allah Ta’ala. Mereka mencipta sendiri. Apa yang dilarang atau disuruh oleh agama, mereka tidak ikut, bahkan berkata tidak sesuai zaman sekarang.
Ilmu mereka hanya sedikit. Jadi mereka kena menerima ilmu Allah Ta’ala, adil Allah Ta’ala, pemurah dan penyayang Allah Ta’ala. Ajaran Islam ialah ajaran yang lahir daripada nama dan sifat-sifat Allah Ta’ala yang maha mulia itu.

Islam adalah cahaya petunjuk dalam kehidupan. Cahaya yang menerangi kehidupan manusia. Kalau kita buang Islam samalah dengan kita memadamkan lampu, jadi gelap dan tidak nampak apa-apa. Jika menerima sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain samalah dengan kita mengkelabukan lampu. Ajaran Islam ialah cahaya yang terang menerang.

Ubat yang mujarab (maknanya ubat yang telah dicuba dan berjaya) ialah Islam. Ajaran-ajaran lain baru hendak dicuba dan terbukti tidak betul. Ajaran komunis gagal, ajaran sosialis pun gagal dan ajaran barat sedang menuju ke arah keruntuhan dan kemusnahan. Negara barat hari ini walaupun dilihat maju tetapi sedang menuju keruntuhan.
Oleh kerana itu mereka yang mengkaji Islam dengan jujur, masuk Islam.

Islam ialah ubat yang mujarab yang diamal oleh nabi-nabi dan rasul-rasul  ASTS dan diamalkan oleh nabi Muhamd SAW. Nabi Muhamad bermula dengan mengajak manusia mengikut ajaran Allah, beramal ajaran Allah dalam diri dan keluarga masing-masing.
Kemudian berhijrah ke Madinah untuk mendirikan sebuah masyarakat dan negara yang aman damai, aman daripada jenayah, aman daripada rasuah dan aman daripada kezaliman dan segala kejahatan. 

Keadaan itu dilihat sendiri oleh orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan Islam. Mana-mana negeri yang mengamal Islm sepenuhnya maka orang berduyun-duyun masuk Islam. Dan ranap agama lain. Mereka yang degil dan mahu berpegang dengan agama nenek moyangnya akan berada di bawah naungan pemerintah Islam dengan aman damai.
Ada antara mereka yang degil tidak mahu masuk Islam walaupun mereka tahu Islam ini baik kerana berlawanan dengan hawa nafsu mereka. Dalam Islam tidak boleh minum arak, tidak boleh berjudi, tidak boleh rasuah dan tidak boleh berzina. Mereka rasa tersekat dan hendak mengikut cara binatang. 

Kita tidak boleh ikut manusia yang ikut cara binatang. Islam ialah ubat yang mujarab yang telah diamalkan. Ternyata hari ini banyaknya berlaku jenayah, berlaku keruntuhan akhlak dan keruntuhan keluarga kerana tidak ikut ajaran Islam.

Mengapa hari ini tidak ramai orang bukan Islam masuk Islam?

Puncanya ialah orang Islam tidak beramal dengan Islam. 

Mengapa banyak berlaku rompakan dan kecurian?

Kerana hukuman tidak mengikut hukum Islam. Tuhan kata pencuri kena kerat tangan dan perompak kena kerat tangan dan kerat kaki secara bersilang, atau pun bunuh atau buang daerah mengikut keadaannya. 

Kita kata undang-undang itu tidak boleh dipakai kerana kuno dan ketinggalan zaman. Akibatnya makin hari makin banyak rompakan dan kecurian berlaku. 

Kenapa kes bunuh banyak?  Sedangkan hukum bunuh dahsyat; gantung sampai mati, guna elektrik dan sebagainya.

Sebab undang-undang itu undang-undang ciptaan manusia, bukan undang-undang Allah Ta’ala. Jika memakai undang-undang Allah Ta’ala selamat.

Firman Allah Ta’ala, “Dan bagi kamu dalam melaksanakan hukum Qisas itu membawa kehidupan wahai orang yang ada akal fikiran (ulul albab)”.

 Ulul albab antaranya orang yang menjalankan hukum Qisas. Hukum Qisas ialah hukum jenayah yang berkait dengan pembunuhan di dalam Islam, termasuklah undang-undang jalan raya. Kemalangan sengaja dan tidak sengaja semuanya ada hukum dalam Islam.

Fasal apa banyak berlaku kemalangan jalan raya?

Sebab tidak memakai hukum Qisas. Jika memakai hukum Qisas boleh membawa keselematan dan rahmat kepada manusia. 

Islam adalah ubat yang mujarab. Islam menyuruh memakan makanan halal. Jika makan makanan haram mendatangkan penyakit. Islam menyuruh kita berpuasa, jika tidak puasa menjadi penyakit. Ada masa makan dan ada masa berpuasa. 

Ajaran Islam terbukti mujarab, ajaran lain dicuba dan terbukti tidak mujarab. Tetapi malangnya orang Islam masih memakai ajaran lain.

Kita sudah mengikut Islam, kita sudah sembahyang dan pergi ke Mekah. Islam bukan setakat sembahyang dan pergi ke Mekah sahaja. Islam satu cara hidup yang sempurna. Jadi kena ikut semua. Ubat jika makan separuh sahaja atau tidak mengikut sukatan tidak baik penyakitnya.

Sesiapa yang mengikut Islam ialah jalan yang benar. Jika mengikut jalan lain maka tidak benar. Islam kena ikut semua sekali sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Apa yang menjadi masalah ialah kita ikut separuh jalan sahaja.

Firman Allah Ta’ala, “Wahai orang-orang beriman masuklah kamu ke dalam Islam semuanya, jangan kamu mengikut jijak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang amat nyata kepada kamu”.

Ikutlah Islam semuanya. Jika mengikut separuh sahaja bermakna ikut syaitan.
Sebab turun ayat ini ialah apabila Abdullah bin Salam RA dan rakan-rakannya RA yang berasal daripada agama Yahudi, masuk Islam, minta izin daripada nabi SAW untuk membaca kitab Taurah tiap-tiap malam Sabtu. 

Hari Sabtu adalah hari minggu orang Yahudi. Tiap-tiap malam Sabtu mereka membaca Taurah macam orang kita membaca Yasin dan suratul Kahfi malam Jumaat. 

Kitab Taurah ini ialah kitab Allah Ta’ala juga, kitab yang dibawa oleh nabi Musa AS. Nabi Musa ialah rasul zaman dahulu dan ajarannya telah dinasahkan. Kita wajib beriman kepadanya tetapi hukumnya tidak boleh dipakai lagi. Maka Allah Ta’ala kata “Jangan”. Kena pakai Quran sahaja dan tidak boleh pakai Taurah. 

Ada di kalangan orang kita baru-baru masuk Islam dulu, sembahyang, puasa, pergi ke Mekah tetapi bila pergi ke laut untuk tangkap ikan, tiba-tiba tidak dapat tangkap ikan.
Apa yang dilakukan untuk mengatasi keadaan itu?

Mereka memanggil tok guru untuk menyembelih kerbau dan sembahyang hajat. Kerbau itu dihanyut ke laut untuk memberi kepada jin dan hantu laut. Dengan berbuat demikian sebagai nelayan mereka yakin dapat menangkap ikan dengan banyak.

Tok guru yang tidak cerdik ini ikut sahaja, orang suruh sembelih, dia pun sembelih dan orang suruh sembahyang hajat dia pun sembahyang hajat.

Itu adalah aktiviti pemujaan dan aktiviti syirik. Ikut Islam separuh-separuh, sembahyang hajat kemudian percaya kepada syaitan boleh memberi rezeki pula. Alhamdulillah kepercayaan itu sudah tiada pada hari ini.

Apa yang ada pada hari ini?

Hari ini sembahyang ikut Islam, puasa ikut Islam, pergi Mekah acap kali ikut Islam, tetapi undang-undang memerintah negara memakai undang-undang England, undang-undang Amerika dan undang-undang Peranchis. Tidak memakai undang-undang Islam. 

Ini serupalah dengan sembelih kerbau memberi makan kepada jin laut. Sama sahaja, cuma kita tidak sedar ini cara moden konon, jahiliah cara moden yang mesti kita buang.

Jika kita pakai cara moden ini, nama sahaja moden, maka merosakkan kerana sesat. Mesti kita tinggalkan.

Pada hari kiamat kelak nabi SAW menunggu umatnya meminum  air di kolam Kausar, ada  antara mereka nabi tengak umatnya, kerana ada tanda wuduk, tiba-tiba dihalau oleh malaikat dan tidak benar minum air. 

Nabi kata “ummati, ummati”, umat aku, umat aku, jangan halau.” 

Malaikat berkata, “Wahai Muhamad, kamu tidak mengetahui apa yang mereka laku selepas kamu wafat”, hadis Aukamakhan.

Kamu tidak tahu apa yang mereka buat selepas kamu wafat. Lepas kamu wafat mereka sembahyang sahaja tetapi dalam bab lain ikut syaitan. Dalam bab lain ikut jahiliah, tidak ikut Islam. Akibat dihalau daripada kolam Kausar.

Ada hadis-hadis yang disebut dalam kitab-kitab hadis. Oleh kerana kita tidak belajar hadis itu maka jadi hanyut bersama dengan jahiliah.

Allah menjelaskan dalam surah ash-Shuraa ayat 52 dan 53 

Ash-Shūraá:52 - Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan al-Quran: cahaya yang menerangi, 

Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan al-Quran itu ke jalan yang lurus,

Ash-Shūraá:53 - Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.

Ayat ini menyatakan Quran adalah petunjuk daripada Allah Ta’ala dan menyatakan mereka yang layak mendapat hidayah sahaja yang ikut Quran. Mereka yang tidak layak mendapat hidayah, bacalah macam mana sekali pun, faham sekali pun jika tuhan tidak memberi hidayah tidak jadi apa-apa. Dia baca sahaja, tidak ikhlas maka dia tidak mendapat hidayah.
Dia alim, dia tahu makna Quran seperti Abu Jahal. Abu Jahal ialah orang Arab, tahu makna Quran tetapi tidak mendapat hidayah. Orintalis barat belajar Quran tidak mendapat hidayah kerana tidak menggunakan Quran sebagai penyuluh. Ibarat lampu penyuluh ada padanya tetapi tidak disuluhnya. Mereka ini tidak mendapat hidayat.

Di sinilah setiap rakaat sembahyang kita sebut, “Tunjukkanlah kami jalan yang betul. Wahai tuhan berilah kami hidayah”. Ramai manusia tidak mendapat hidayah kerana lupa kepada Allah Ta’ala, terutama sekali bila dia rasa dia pandai, tidak boleh siapa ajar. Jadilah seperti iblis yang merasakan dia cerdik. Iblis tengak syurga, tengak neraka, tetapi tidak ikut kerana tidak mendapat hidayah. 

Dia ustaz dah, belajar Mekah, belajar di Mesir, iblis lebih ustaz lagi kerana sudah melihat syurga dan neraka. Ustaz-ustaz ini belum tengak lagi syurga dan neraka. Iblis bukan sahaja sudah melihat syurga dan neraka tetapi boleh bercakap dengan tuhan, Quran sebut iblis bercakap dengan tuhan tetapi tidak ikut Islam kerana tidak mendapat hidayah. 

Ini menunjukkan bahawa hanya mereka yang diberi hidayah oleh Allah Ta’ala sahaja yang mendapat petunjuk. Kita kena sedar bahawa Allah Ta’ala yang menurunkan Quran dan Allah Ta’ala yang menjadikan alam ini. Kita duduk di bawah langit dan dalam bumi. Langit dan bumi yang besar itu tuhan jadikan apatah lagi kita yang kecil ini.

Kita diberitahu bahawa kita akan balik kepada Allah Ta’ala. Setelah dimatikan dipanggil balik untuk dibicarakan dengan adil apa yang kita buat atas dunia dulu. Allah Ta’ala tidak hukum dengan ilmunya sahaja walaupun Allah Ta’ala tahu serba serbi. 

Allah Ta’ala hukum dengan saksi, dengan catatan-catatan yang ditulis oleh malaikat, saksi daripada diri manusia sendiri dan saksi daripada makhluk-makhluk. Baharulah dihukum.
Kita perlu ingat kehidupaan kita tidak selesai di atas dunia ini sahaja. Bila mati seseorang itu belum tamat lagi kisahnya. Kita kena faham Islam tidak menamatkan kisah dengan mati.

Allah Ta’ala menerangkan lagi dalam surah al-Israj ayat 82 bermaksud, “ Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua”

Quran ialah penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman. Orang beriman sahaja yang mengambil faedah daripada Quran. Orang tidak beriman tidak mengambil faedah daripada Quran. 

Segala pengertian yang diterangkan sebelum ini merupakan beberap contoh susulan daripada pengertian yang dikemukakan oleh ulamak. Kesemua pengetian itu dapat diterima asalkan merangkumi maksud ajaran yang terkandung dalam Islam. 

Kesemua pengetian itu tidak bercanggah malah seiringan antara satu sama lain. Kepelbagaian pengertian ini menunjukkan kepada kita betapa sempurnanya Islam. Tidak ada perkataan yang dapat kita terjemahkan bagi memberi makna yang sama erti dengan hakikat Islam. 

Perkataan Islam tidak boleh diterjemah dalam bahasa lain kerana maknanya lengkap. Banyaknya takrif yang kita baca tidak bercanggah antara satu sama lain. Ini menunjukkan Islam daripada Allah yang sangat sempurna sehingga ilmunya tidak habis dipelajari.
Ilmunya tidak ada penghujung. Ulamak-ulamak sentiasa dahaga, makin banyak belajar berasa makin kurang ilmu. Jika orang itu berasa penuh ilmu, itu adalah satu pembohongan.
Islam adalah ilmu daripada Allah, cetusan daripada ilmu Allah yang kita perlu sedar.

- KULIAH YT

No comments:

Post a Comment