Friday, November 4, 2016

ISLAM IALAH PERATURAN YANG LENGKAP



Takrif Islam yang kedua dikemukakan oleh ulamak ialah peraturan dan perundangan yang lengkap bagi mengatur kehidupan manusia. Ia menjadi dasar akhlak yang mulia yang dibawa oleh nabi Muhamad SAW dan daripada Allah Ta’ala.
Islam juga menjelaskan mengenai dosa dan pahala. 

Allah Ta’ala menerangkan dalam surah al-Imran ayat 85 bermaksud, “Barang siapa yang mencari selain daripada Islam maka dia tidak akan diterima daripadanya dan di akhirat nanti dia termasuk di dalam kalangan orang-orang yang rugi”.

Ada di kalangan ulamak yang mentakrif Islam itu sebagai peraturan dan perundangan yang lengkap yang mengatur kehidupan manusia yang berkait dengan semua perkara mengikut asal kejadian manusia dan fitrahnya.

Allah Ta’ala menjadikan manusia daripada tanah dan kemudian dimasukkan ruh. Jadi Allah Ta’ala menjadikan dalam diri manusia itu ada jasad dan ada ruh. Dalam masa yang sama manusia hidup bermasyarakat, berkeluarga dan berjiran. Manusia berhajat kepada beberapa perkara dalam kehidupan bagi makanan ruh dan jasad. 

Manusia mesti menyembah tuhannya dan mesti berlaku adil kepada dirinya, kepada keluarga dan masyarakatnya. Manusia mesti betul menggunakan segala bahan-bahan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan perhubungan daripada benda-benda yang dijadikan oleh Allah Ta’ala di muka bumi.

Manusia menghadapi suasana dan persekitaran yang dipengaruhi oleh hububngan langit dan bumi serta makhluk-makhlunya. Dengan itu Allah Ta’ala menetapkan peraturan dan perundangan kepada makhluk-makhluk itu termasuklah manusia. 

Ayat yang kita baca ini berkait dengan Islam. Barang siapa yang menerima lain daripada Islam maka dia tidak diterima dan di akhirat kelak dia termasuk di dalam kalangan orang-orang yang rugi.

Islam dengan makna menerima semua peraturan Allah Ta’ala. 

Ayat ini didahulukan dengan firman Allah Ta’ala bermaksud, “Adakah mereka itu mahu yang lain daripada peraturan-peraturan Allah Ta’ala untuk menyerah diri, pada hal tunduk kepada Allah segala yang ada di langit dan di bumi secara taat dan secara paksa dan mengaku mereka adalah muslimun dan menyerah diri kepada Allah. 

Katakanlah kami beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami melalui nabi Muhamad SAW, yang diturunkan kepada nabi Ibrahim, nabi Ismail, nabi Ishak dan anak cucu nabi-nabi tersebut yang menjadi nabi dan rasul dan semua nabi dalam keadaan kami muslimun, menyerah diri kepada Allah. Adakah mereka mahu yang lain daripada Islam untuk dijadikan ajaran. 

Barang siapa yang menerima lain daripada Islam maka dia tidak diterima dan di akhirat kelak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi”.

Ini bermakna perkara-perkara hukum yang dinyatakan oleh Allah itu akan dihisab pada hari kiamat kelak sejauh mana manusia itu menerima dan menolak ajaran Allah SWT dalam kehidupannya.

Di sinilah wujud perbezaan antara Islam dan bukan Islam kerana undang-undang dan peraturan-peraturan yang lain daripada Islam hanya sekadar zahir sahaja, sekadar atas dunia sahaja dan tidak ada di dalamnya kaitan dengan iman dan hari akhirat.

Oleh kerana peraturan-peraturan Islam itu berkait dengan iman dan hari akhirat menyebabkan seseorang itu menyerah diri kepada Allah SWT. Bagi mereka yang tidak mahu menyerah diri maka mereka diperintah di bawah naungan kerajaan Islam supaya mereka tunduk di bawah peraturan-peraturan itu.

Sejarah manusia melihat sendiri dalam perjalanan kehidupan mereka semenjak nabi Adam AS sehingga hari ini kejayaan peraturan dan perundangan Islam dan kegagalan peraturan dan perundangan lain daripada Islam.

Oleh kerana itu bagi orang Islam yang sebenar menerima dengan hati yang ikhlas kepada peraturan Islam, bukan sahaja mengucap dua kalimah syahadat bahkan menerima peraturan dan perundangan. 

Inilah sebabnya kita melapazkan doa iftitah ketika bersembahyang; 

INNASOLATI WANUSUKI WAMAHYAYA WAMAMATI LILLAHI RABBIL ‘ALAMIN. LASYARI KALAHU WABIZA LIKAUMIR TUWAANA MINAL MUSLIMIN

Sesungguhnya sembahyang aku, ibadat aku, hidup aku dan mati aku segala-galanya adalah bagi Allah tuhan semesta alam; dalam keadaan aku menolak segala yang lain daripadanya, dengan tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain, dalam keadaan aku menjadi orang Islam. 

Islam bermakna menyerah diri kepada Allah dalam perkara kehidupan, bukan sahaja dalam perkara kematian. Pada masa hidup mestilah menyerah diri dalam makna yang menyeluruh.

Allah SWT menugas para malaikat untuk menulis amalan manusia. Malaikat yang bertugas menulis amalan ini bukan sahaja menulis pada masa kita pergi ke masjid sahaja, tetapi bertugas sepanjag masa dan menulis apa sahaja. Makan minum, pakaian, gerak-geri dan tindak-tanduk kita semuanya dicatat oleh malaikat.

Kebanyakan kita merasakan bahawa malaikat menulis amal ibadat sahaja. Adakah bab politik, bab memerintah negara, mentadbir negara, memilih pemimpin, menyokong pemimpin, memimpin, melaksanakan peraturan, malaikat buat tidak kisah sahaja. 

Oleh kerana kita memikirkan malaikat buat tidak kisah maka kita pun buat tidak kisah juga dengan Islam dalam perkara-perkara ini. Lalu kita pun menerima pandangan dan ideologi  yang lain daripada Islam. Peraturan ciptaan manusia dari timur dan barat diterim pakai walaupun peraturan itu sudah ada dalam Islam. 

Quran menyebut bukan sahaja perkara ibadat bahkan hukum hudud, hukum Qisas, hukum yang berkait dengan halal dan haram dalam kehidupan kita. Berkait dengan ibadat; wajib sembahyang, wajib puasa, wajib tunai zakat, wajib taat kepada ibu bapa, haram minum arak, haram berzina, haram memutuskan silaturrahim, haram makan riba, haram rasuah dan lain-lain; termasuk juga hukum berkait dengan pembunuhan, rompakan, kecurian dan seumpamanya. Semua dicatat dalam Quran yang dibaca dan diwajibkan kita melaksanakannya.

Di sini menunjukkan perkara Islam itu terkandung di dalamnya peraturan dan perundangan yang lengkap dan mengatur kehidupan yang menjadikan manusia itu mestilah Islam.
Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah SWT secara menyeluruh dan dalam masa yang sama Allah memberi amaran dengan firman-Nya bermaksud, “Kalau mengikut yang lain daripada Islam tidak akan diterima oleh Allah Ta’ala, di akhirat kelak termasuk di dalam kalangan orang-orang yang rugi”.

Rugi pada hari akhirat tidak dapat dibayar dengan duit, tidak boleh dibayar dengan hartanah, dengan saham dan sebagainya kerana Allah Ta’ala tidak menerima lagi semua perkara itu di akhirat kelak.

Inilah Islam yang ditakrifkan oleh ulamak dengan takrif yang kedua yang kita bincangkan.

- KULIAH YT

No comments:

Post a Comment