Friday, November 4, 2016

SYARIAT ISLAM BERBEZA ANTARA NABI-NABI




Syariat Islam yang dibawa oleh nabi Muhamad SAW adalah lebih luas daripada syariat rasul-rasul ASTS yang sebelumnya. Nabi Muhamad SAW diutuskan buat manusia dan jin sehingga hari kiamat. Rasul-rasul sebelumnya diutus hanya bagi kaum mereka sahaja.
 
Maksudnya ajaran Islam yang dibawa oleh nabi-nabi ASTS bermula daripada nabi Adam, nabi yang pertama sehinggalah nabi akhir zaman, nabi Muhamad SAW, dasarnya satu sahaja iaitulah LAILAHA ILLALLAH, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah. 

Antaranya ialah yang disebut, “Dan sesungguhnya kami bangkitkan kepada tiap-tiap umat itu akan rasul dan rasul itu menyeru manusia kepada WA’ BUDULLAH, abdikan diri kepada Allah WAJTANIBUT TAUGHUT, dan jauhkan diri daripada taughut yakni setiap yang melampaui batas Allah SWT iaitulah  LAILAHA ILLALLAH, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah

Menafikan tuhan-tuhan yang lain daripada Allah hanya mengisbatkan Allah Ta’ala sahaja tuhan dari segi ibadat, amalan dan akhlak dan segala-galanya.
Itu dasar yang dibawa oleh semua rasul ASTS. Atas dasar ini agama yang dibawa oleh semua rasul adalah Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah SWT.

Dasarnya sama, yang berbeza ialah syariat. Terdapat hukum syariat yang berbeza terutamanya dalam masalah muamalat dan masalah kehidupan kerana keadaan masyarakat berbeza, masa berbeza dan kaum juga berbeza.  

Rasul-rasul sebelum nabi Muhamad diutuskan untuk kaum-kaum dia sahaja dan untuk zamannya sahaja maka syariatnya terhad dengan keperluan zaman itu.
Di akhir zaman ini kita melihat manusia dapat mereka berbagai-bagai alat yang canggih yang boleh menghubungkan mereka antara satu sama lain dalam masa yang cepat sehingga peristiwa yang berlaku beribu-ribu batu boleh diketahui dalam masa beberapa saat sahaja. Ini keadaan zaman yang sudah berubah. 

Allah Ta’ala menurunkan syariat yang terkandung dalam Quran kepada nabi Muhamad SAW yang sesuai untuk seluruh manusia, untuk sepanjang zaman dan semua tempat. Inilah perbezaan antara syariat nabi Muhamad SAW dengan syariat rasul-rasul sebelumnya.

Nabi kita Muhamad SAW disempurnakan dengan risalah dan kenabian serta disempurnakan agama dengan selengkapnya kerana selepas ini dunia akan kiamat. Kemudian Allah Ta’ala akan memanggil balik manusia untuk dibicarakan. Semua yang dibuat di atas dunia akan dikira di hadapan Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala menerangkan dalam surah al-Maidah ayat 3 maksudnya, “Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa untuk mengalahkan agama kamu oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada Aku; pada hari ini Aku sempurnakan agama kamu dan Aku cukupkan bagi kamu akan nikmat-Ku dan Aku redha Islam itu menjadi agama kamu”.

Ayat ini diturunkn ketika nabi SAW mengerjakan Hajjatul Wada’  (Haji selamat tinggal) untuk menyatakan kesempurnaan agama Islam. 

Ini bukan ayat yang paling akhir diturunkan walaupun setengah kitab menyebut ayat ini ayat yang paling akhir.
Ayat yang paling akhir ialah ayat dalam surah al-Baqarah ayat 281 bermaksud, “Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun”.

Ayat ini (ayat 3 surah al-Maidah) menyatakan kesempurnaan agama Islam dan Allah Ta’ala menyuruh kita berpegang dengan Islam sekuat-kuatnya dan jangan takut. Agama Islam tidak akan dapat dikalahkan sehingga Allah Ta’ala melakukan kiamat.
Walaupun negara-negara Islam dijatuhkan, diperintahkan dan digunakan kekerasan senjata tetapi cahaya agama Islam tidak boleh dipadamkan. Hujahnya tidak boleh dikalahkan. Semua ajaran lain yang dibuat untuk menyelesaikan masalah manusia, gagal.

Ini menunjukkan benarnya agama Islam kerana hujah Quran tidak boleh sekali-kali dipatahkan oleh musuh. Agama Islam tidak boleh dihapuskan. 

Musuh-musuh Islam menjajah negeri-negeri orang Islam di Asia Tengah, Asia Tenggara, di negeri Arab, di Afrika, dipecah-pecah dan dibahagi-bahagi sesama mereka, huruf Quran dihapuskan, tetapi Quran tidak boleh dihapuskan. Di Turkey dihapuskan tulisan Quran tetapi Quran tidak boleh dihapuskan di Turkey.

Agama Islam tetap berkembang bukan sahaja dalam negeri-negeri orang Islam tetapi cahaya Islam masuk juga ke negara-negara orang kafir. Ini menepati sebagaimana yang disebut dalam ayat ini.

Jadi kita kena yakin kepada agama Islam, bukan sahaja agama yang diredhai Allah tetapi juga nikmat Allah yang Allah Ta’ala beri kepada kita di dunia dan akhirat. Barang siapa berpegang kepada Islam selamat di dunia dan di akhirat. Sebaliknya jika tidak berpegang kepada Islam tidak selamat.

Usaha untuk menipu Islam dengan menyebut Islam liberal, Islam plural, Islam Hadari dan sebagainya tidak akan berjaya kerana Islam dikawal dan disempurnakan oleh Allah SWT. Islam tetap teguh dan kuat, manusia yang cuba mempermain-mainkan Islam akan rebah. Ini adalah jaminan daripada Allah Ta’ala.

Kitab-kitab zaman dahulu, Taurah, Zabur dan Injil boleh diedit dan diubah. Quran tidak boleh dipinda dan diubah sekali-kali kerana akan dipelihara oleh Allah Ta’ala kecuali di akhir zaman bila dunia hendak ditamatkan riwayatnya. 

Di akhir zaman Allah Ta’ala matikan ulamak-ulamak dan Allah Ta’ala cabutkan segala huruf Quran dan tidak boleh dibaca lagi. 

Bila berlaku demikian dunia akan dimusnahkan dan berlakulah kiamat yang besar. Itu adalah antara tanda-tanda akhir zaman yang kita perlu faham dan beriman.

Abu Hurairah RA meriwayatkan nabi Muhamad SAW pernah bersabda maksudnya, “Bandingan antara saya dan nabi-nabi sebelum saya ibarat seorang yang membina rumah, beliau membina dengan baik dan cantik tetapi ada sekeping batu bata yang belum diletakkan di satu sudut kemudian orang ramai mengeliling rumah itu dengan kagum melihatnya lalu mereka berkata mengapakah tidak diletakkan batu bata ini”.
Nabi Muhamad bersabda lagi maksudnya, “Akulah batu bata itu dan akulah penutup segala nabi”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Dibandingkan nabi Muhamad dengan nabi-nabi lain seperti batu bata yang digunakan untuk membina rumah, membina bangunan dan bangunan itu ialah agama Islam. Semua batu bata telah siap diikat, cuma tinggal sekeping sahaja lagi belum diikat. Batu-bata yang sekeping itu ialah nabi Muhamad SAW. 

Apabila nabi Muhamad SAW dilantik menjadi rasul bermakna batu-bata itu sudah disempurnakan dan dunia sudah berada di akhir zaman. 

Allah Ta’ala menyebut dalam Quran supaya nabi-nabi bani Israil mengadakan bai’ah (janji) dengan pengikut-pengikut mereka sebagaimana yang disebut dalam hadis bermaksud, “Dan ingatlah apabila nabi-nabi membuat janji dengan pengikut-pengikut mereka, Allah Ta’ala telah mengurniakan kitab dan kebijaksanaan yang kamu mesti percaya kepadanya dan akan datang kepada kamu seorang rasul yakni rasul akhir zaman apabila rasul itu datang kamu hendaklaha berjanji dan berikrar untuk beriman dan berjuang bersamanya”

Berjanji untuk beriman dan berjuang dua-dua sekali. Bukan beriman sahaja dan kemudian senyap duduk di rumah. Permintaan nabi-nabi zaman dahulu beriman dan berjuang dengan rasul itu. 

Lalu pengikut-pengikut mereka berjanji jika berjumpa dengan rasul itu akan beriman dan berjuang dengannya. Rasul-rasul mereka berkata bahawa aku akan menjadi saksi dan kamu semua menjadi saksi dan seterusnya disaksi oleh Allah Ta’ala

Ayat ini sangat ditakuti oleh orang Yahudi jika dibaca kepada mereka kerana mereka tahu wajib beriman dengan nabi Muhamad SAW kerana mereka adalah golongan ahli kitab. 
Ada kalangan orang Yahudi yang insaf masuk Islam. Bahkan bukan sahaja masuk Islam tetapi berjuang untuk menegak Islam itu. Jika masuk Islam tetapi tidak berjuang maka tidak sempurna sebagaimana yang dituntut oleh Allah dalam Quran. 

Islam yang dibawa oleh rasul-rasul yang terdahulu sudah dilupai, dipinda dan diselewengkan. Ini menyebabkan berlaku penyelewengan dalam aqidah, ibadat dan akhlak. Keadaan ini berterusan sehinggalah nabi Muhamad SAW dibangkitkan, nabi yang diwahyukan dengan al-Quran dan mengemukakan sunah yang teguh, matang dan tidak mungkin lagi dikelirukan.

Al-Quran dan sunah nabi Muhamad SAW menjelaskan segala masalah kehidupan manusia. Ia berkaitan dengan akidah, ibadat, ekonomi, politik, sosial, perdamaian dan peperangan. Al-Quran dan sunah juga menerangkan segala hukum yang perlu dalam kehidupan manusia tanpa mengira bangsa, tempat dan masa.

Di zaman dahulu bila rasul mati pengikut-pengikutnya menyeleweng dalam masalah ibadat dan akhlak. Selepas sekian lama rasul mati, pengikut-pengikut mereka meletak benda di hadapan apabila bersembahyang. Maka berlakulah kerja-kerja syirik. Ini menyeleweng daripada ajaran nabi dan rasul. Tetapi ajaran Islam tetap dipelihara oleh Allah Ta’ala.

Disebut dalam hadis bermaksud, “Tiada seseorang nabi yang dibangkit oleh Allah sebelum aku (yakni nabi Muhamad SAW) melainkan Allah akan mengadakan di keliling nabi itu sahabat-sahabat yang setia dan pengikut-pengikut yang patuh kepada ajaran nabi. Kemudian berlalu lama masa maka berlakulah penyelewengan dengan membuat apa yang tidak disuruh oleh nabi dan menyuruh apa yang tidak disuruh oleh nabi serta membuat apa yang nabi tidak amal. 

Bila berlaku penyelewengan ini sesiapa yang berjuang menentang dengan tangannya dia beriman, sesiapa yang berjihad dengan lidahnya dia beriman dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya dia beriman, dan tidak ada iman lagi selepas itu walaupun sebesar biji yang halus”
Jika benci di dalam hati pun tidak ada, bermakna tiada iman bila melihat kekufuran itu berlaku. Bila tiada kebencian terhadap kekufuran bermakna setuju, bermakna menyokong. Sekurang-kurang iman ialah benci dalam hati terhadap kemungkaran yang berlaku.

Sebelum nabi Muhamad SAW, berlaku penyelewengan selepas kematian rasul mereka maka Allah Ta’ala melantik rasul yang lain pula. Selepas nabi Muhamad SAW tiada rasul lagi. Bila berlaku penyelewengan Allah Ta’ala melahirkan ulamak-ulamak yang menentangnya. Jika ulamak tidak memadai maka jemaah, kumpulan atau parti.
Orang Arab mengatakan jemaah dan orang barat mengatakan parti yakni kumpulan yang berjuang untuk meneruskan ajaran nabi. Ini akan zahir di kalangan umat Muhamad SAW yang meneruskan ajaran nabi yang sifat-sifatnya disebut dalam Quran. Kumpulan ini berpegang dengan Quran dan hadis nabi SAW. 

Sekiranya kumpulan itu mengaku kumpulan Islam tetapi bila kita mengajak buka Quran mereka tidak mahu maka mereka bukan kumpulan Islam. Kumpulan Islam yang sebenar mesti ikut Quran dan hadis nabi SAW. 

Ini adalah cara Allah Ta’ala hendak menyelamatkan agama Islam sehingga hari kiamat.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment