Friday, November 4, 2016

KALIMAH ALLAH




Perkataan Allah memberi makna yang sangat hebat yang tidak boleh diterjemahkan ke dalam apa-apa bahasa sekali pun. Semua nama Allah dan sifat-sifat-Nya termasuk di dalam kalimah Allah. Walaupun ada orang kafir menggunakan kalimah Allah, tetapi penggunaannya tidak betul.

Orang Kristian Arab zaman dahulu menggunakan kalimah Allah juga. Bila sembelih binatang mereka menyebut Allah juga. Sebab itulah kita orang Islam dibenarkan memakan sembelihan orang-orang Yahudi dan Kristian. Binatang yang halal disembelih oleh  orang Yahudi dan Kristian boleh dimakan. 

Mazhab apa?. 

Semua mazhab kerana ini adalah nas daripada al-Quranul Karim. Janganlah pula kita mengatakan orang Yahudi dulu lain dan sekarang lain. 

Quran dahulu dan sekarang adalah Quran yang sama. Quran adalah mukjizat hingga hari kiamat. Quran adalah kalamullah iaitu kata-kata Allah. Apa yang disebut dalam Quran tidak boleh dipertikaikan.

Firman Allah Ta’ala maksudnya, “Dan makanan mereka halal kepada kamu”.

Di setengah tempat di negara barat seperti Amerika tidak terdapat kedai-kedai makan orang Islam. Kedai-kedai makan yang ada ialah kedai-kedai orang Yahudi. Orang-orang Islam makan di kedai-kedai orang Yahudi sampai sekarang.

Orang Yahudi lebih bersih daripada orang Kristian. Orang Yahudi tidak makan babi. Orang Kristian meminda agamanya babi boleh makan. Sembelihan mereka boleh dimakan kerana dia menyebut nama Allah. 

Macam mana pula dia sebut nama Allah tidak betul?

Yalah! Memang tidak betul dia menyebut nama Allah. Kalau betul sudah tentu dia masuk Islam. 

Pada masa perjanjian Hudaibiyah hendak dimeterai nabi SAW menyuruh Saidina Ali menulis BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. 

Kata Suhir bin Amar wakil orang kafir Mekah masa itu berkata, “Kami tidak pernah dengar BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, tulis BISMIKALLAHUMMA”

Nabi SAW berkata kepada Saidina Ali, “Tulis BISMIKALLAHUMMA”.

Ini bermakna orang kafir juga menerima kalimah Allah. Namun begitu kefahaman mereka terhadap kalimah Allah salah, kerana mereka mengadakan tuhan-tuhan yang lain daripada Allah.  

Perkataan Allah bermakna tidak ada tuhan yang lain. Walaupun demikian sembelihan orang Yahudi dan Kristian orang Islam boleh makan. Sebab apa? Kerana mereka menggunakan kalimah Allah semasa sembelihannya

Jika mereka menyembelih untuk jin, berhala dan lain maka sembelihan mereka haram dimakan. 

Orang Islam sekalipun seperti zaman dahulu sembelih kerbau untuk dihanyut ke laut bertujuan pemujaan, sembelihan itu tidak boleh dimakan walaupun disembelih oleh tok lebai. Sembelihan bukan kerana Allah walaupun disembelih oleh orang alim sekali pun menyebut nama Allah pada masa sembelihan haram dimakan.

Tetapi jika sembelihan orang Yahudi dan Kristian itu untuk makan biasa orang Islam boleh makan dengan nas al-Quran. Quran adalah mukjizat sehingga hari kiamat. 

Kalau mereka membunuh binatang itu dengan memukul binatang hingga mati, maka kita orang Islam tidak boleh makan kerana perbuatan demikian bukan sembelihan.

Ada orang Yahudi dan Kristian yang menyembelih binatang-binatang mereka, walaupun mereka percaya kepada Allah dan pada masa yang sama mereka percaya juga kepada tuhan-tuhan yang lain daripada Allah.  Itu satu hal yang lain. Kita kena ikut Quran yang mengatakan sembelihan orang Yahudi dan Kristian boleh dimakan.

Perhatikanlah kepada kejadian tumbuh-tumbuhan yang ada di sekeliling kita segala jenis kadang-kadang pada jenis yang sama ditanam pada tanah yang sama, baja yang sama dan disiram dengan air yang sama tiba-tiba mengeluarkan buah yang berbagai rupa dan rasa yang berlainan.

Seterusnya lihatlah kejadian langit dan bumi dengan segala isinya yang dapat dilihat segala-galanya membawa kita percaya dan beriman kepada Allah yang menjadikannya dengan seindah-indah kejadian, yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, dan segala sifat-Nya yang Maha Sempurna.

Tumbuh-tumbuhan dan pohon kayu yang ada di sekeliling kita, kadang-kadang pohonnya, tanahnya dan bajanya pun sama tetapi buahnya ada yang manis dan ada yang masam. Ini menandakan kekuasaan Allah dan menjadi dalil adanya Allah SWT.

Apabila nabi SAW menulis surat kepada raja-raja Kristian, surat ditulis dengan firman Allah Ta’ala bermaksud, “Wahai ahli kitab marilah kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu, kita tidak beribadat memperhambakan diri melainkan kepada Allah Ta’ala sahaja”.
Aku percaya kepada Allah kamu juga percaya kepada Allah, sama-sama percaya kepada Allah tetapi percaya kepada Allah itu mestilah tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Maknanya Allah ini Maha ESA, tiada tuhan yang lain.

“Katakanlah Allah itu Ahad, tempat ditumpukan segala perkara, dia tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada yang sepertinya sekali-kali”, surah al-Ikhlas.

Itulah Allah, tiada tuhan selain daripadanya. Kita tidak boleh menyengutukan Allah dengan yang lain dan melakukan ibadat dan tidak boleh melantik sesama kita tuhan-tuhan yang lain selain daripada Allah.

Bagaimana melantik sesama kita tuhan-tuhan yang lain.

Orang Kristian memberi hak kepada paderi-paderinya untuk mengampunkan dosa-dosa mereka. Ini ialah ARBABAMMINDUNILLAH (melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah). Melantik tuhan-tuhan yang boleh membuat hukum syariat yang tidak diizin oleh Allah; yang halal diharamkan dan yang haram dihalalkan. 

Termasuklah mengadakan undang-undang yang membatalkan undang-undang Allah. Hukum hudud dan hukum qisas yang ada di dalam Quran tidak dipakai tetapi dipakai undang-undang ciptaan manusia, ini juga ARBABAMMINDUNILLAH dan bercanggah dengan Allah. 

Bukan puak Kristian sahaja yang tidak betul. Di kalangan golongan kita pun ada yang mengatakan undang-undang Islam tidak sesuai dan ada pula yang menyokong golongan ini. Ini juga ARBABAMMINDUNILLAH mana dia LAILAHA ILLALLAH.

Bukan sahaja orang kafir tidak betul menggunakan kalimah Allah, tetapi ada orang yang mengaku Islam pun tidak betul menggunakan kalimah Allah. Pemimpin-pemimpin yang dipilih dalam masa pilihan raya membuat undang-undang di parlimen dan dewan negeri, undang-undang itu bercanggah dengan undang-undang Allah Ta’ala, ini juga bercanggah dengan kalimah Allah. Kita mesti faham betul-betul perkara ini.

Apabila pemimpin Bani Syaiban masuk Islam dan berkata, “ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH”, pemimpin Bani Syaiban yang memahami bahasa Arab (kerana mereka orang Arab) terkejut bila nabi SAW berkata “ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH”. 

Mereka berkata, “Ini suatu perkara yang dibenci oleh semua kerajaan yang ada dalam dunia” .

Semua kerajaan yang ada dalam dunia tidak setuju dengan ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH kerana LAILA HAILLALLAH (tiada tuhan lain melainkan Allah) yang sebenar menolak segala undang-undang yang lain; tidak boleh rasuah, tidak boleh zalim dan mesti adil. Bani Syaiban berkata jika ini ajaran yang kamu bawa maka kamu akan diperangi oleh seluruh dunia.

Islam yang dibawa oleh nabi Muhamad SAW ini tidak diterima oleh kuasa-kuasa besar dunia. Amerika, China dan Rusia menolak ajaran ini. Mereka tidak mahu syariat Islam ditegakkan.

Allah bukan sahaja mencipta alam tetapi Dia mentadbir dan mengurus alam ini dengan undang-undang dan peraturan yang disebut dalam Quran. Kita tidak dibenarkan membuat undang-undang dan peraturan sendiri melainkan dengan izin Allah Ta’ala. 

Undang-undang jalan raya menggunakan lampu hijau, merah dan kuning tidak ada dalam Quran. Bangunan berapa tingkat hendak dibina, landscaping dan berapa banyak hendak memasak nasi tidak perlu merujuk Quran. Perkara ini Allah Ta’ala izinkan.

Perkara-perkara yang Allah Ta’ala tetap seperti ini haram dan ini halal, hukum hudud dan qisas hendaklah dipatuh. Jika tidak digunakan undang-undang yang Allah tetapkan maka bercanggah dengan kalimah Allah yang kita ucapkan itu.

Kita marah orang kafir menggunakan kalimah Allah, orang Islam sendiri melanggar penggunaan kalimah Allah itu. Jika kita kenal Allah maka kita kenal seluruh kehidupan kita.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment