Friday, November 4, 2016

84 MALIKUL MULK (YANG MEMPUNAYI KERAJAAN)




Firman Allah Ta’ala surah al-Imran ayat 26 bermaksud, “'Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Mengikut Al-Alusi RA, maknanya Ialah yang memiliki pemerintahan yang hakiki yang sungguh-sungguh, yang mengurus menurut apa yang ia kehendaki dan bagaimana ia kehendaki, mengadakan dan meniadakan, menghidupkan dan mematikan, menjatuhkan azab dan memberi pahala tanpa sekutu dan tiada sesiapa pun yang dapat menghalangnya.
Berkata Almandili RA, yang mempunyai kerajaan lagi melakukan ia di dalam kerajaannya akan apa sahaja yang ia pilih, menunjukkan bahawa kerajaan yang sebenar yang kekal selama-lamanya ialah kerajaan Allah SWT.

Semua kerajaan yang ada di atas dunia ialah pemberian daripada Allah sama ada kerajaan yang adil yang dipimpin oleh nabi-nabi dan rasul-rasul seperti kerajaan nabi Daud, kerajaan nabi Sulaiman AS dan kerajaan nabi kita Muhamad SAW. 

Kerajaan yang adil yang dipimpin oleh Zulkurnain yang disebut namanya dalam Quran. Kerajaan Khulafa al-Rasyidin, Umar bin Abdul Aziz dan lain-lain lagi adalah diberi oleh Allah SWT dan Allah jadikan kerajaan-kerajaan ini tidak kekal.

Termasuklah kerajaan yang zalim seperti kerajaan Namruk, kerajaan Firaun dan kerajaan-kerajaan yang tidak mengikut hukum Allah SWT, Allah SWT memberi peluang juga dan Allah SWT memberi tempohnya beberapa lama.

Nabi Sulaiman AS selepas memerintah beberapa lama diturunkan kerajaannya. Ini disebut dalam Quran. Nabi Muhamad SAW memerintah sepuluh tahun sahaja kemudian diwafatkan. Allah SWT tidak mengekal kerajaan nabi Muhamad SAW selama-lamanya.
Kerajaan Saidina Abu Bakar dua tahun sahaja, kerajaan Omar al-Khattab RA berbelas tahun, kerajaan Othman dan Ali beberapa tahun sahaja. Kerajaan Umar Abdul Aziz hanya dua tahun sahaja. Beliau mati kerana diracun.

Mengapa kerajaan yang adil dan baik ini diberi masa begitu pendek. Kerajaan yang kafir dan jahat memerintah sampai ratus tahun. Masa yang lama sehingga nabi-nabi dan rasul-rasul terpaksa berlawan dengan kerajaan-kerajaan ini. Ini adalah ujian daripada Allah SWT kepada manusia dalam kehidupan dunia.

Apabila manusia dibangkitkan pada hari kiamat bukan sahaja dibangkit bersendirian tetapi dibangkit bersama-sama dengan kerajaan yang dia pilih atas dunia, nabi yang dia ikut, ketua dan pemimpin yang dia pilih di atas dunia dan ada yang masuk syurga dengan nabi dan pemimpin yang dia ikut, ada yang masuk neraka dengan raja dan kerajaan yang dia ikut. Semua perkara ini disebut dalam al-Quranul Karim.

Firman Allah SWT bermaksud, “Ingatlah apabila pemimpin yang diikut berlepas diri daripada penyokong-penyokongnya dan putuslah segala sebab hubungan yang dilakukan di atas dunia dulu, di masa itu penyokong-penyokongnya berkata, wahai tuhan sekiranya Engkau hidupkan kami semula di dunia kami tidak akan ikut lagi pemimpin ini”

Demikianlah tuhan jadikan segala amalan mereka di atas dunia membawa penyesalan dan mereka tidak boleh melepaskan diri daripada api neraka”

Firman Allah SWT bermaksud, “Pada hari dibalik-balikkan muka-muka mereka di dalam neraka, mereka berkata mudah-mudahan di atas dunia dulu kami ikut Allah dan ikut Rasul, lalu mereka berkata, wahai tuhan sebab kami jadi begini kerana kami mengikut pemimpin-pemimpin kami dan pembesar-pembesar kami, merekalah yang telah menyesatkan kami”.

Banyak ayat ini dalam Quran tetapi kita tidak tahu maknanya. Baca Quran sekadar mengaji sahaja tidak baca tafsirnya. Rupanya dalam Quran menyebut siapa pemimpin yang kita ikut di atas dunia ini.

Allah SWT jadikan bersama dengan pemimpin, bersama dengan pemerintah yang menegakkan Islam penuh dengan ujian dan kesusahan. Allah SWT jadikan bersama dengan mereka yang zalim dan sesat  penuh dengan kesenangan dan kemewahan.

Melihat pada zahirnya kesenangan dan kemewahan tetapi hati sentiasa tidak puas. Dapat sejuta hendak dua juta. Boleh sepuluh juta hendak seratus juta. Tidak puas-puas sampai bila-bila. Allah SWT jadikan mereka dalam keadaan yang keluh kesah. Banyak mana sekalipun dapat mereka tidak puas. Ini semua adalah ujian.

Menjadi satu hikmah ayat ini diajar oleh nabi SAW supaya menjadi wirid lepas sembahyang, “Ya Allah ya tuhanku Engkaulah yang memiliki kerajaan (Malikul Mulk ialah nama bagi Allah) yang memiliki kerajaan, kerajaan yang sebenar ialah kerajaan Allah SWT, semua kerajaan yang ada di atas dunia diberi oleh Allah SWT untuk menguji dan muncuba manusia”

Ada pemimpin-pemimpin yang sesat yang diuji Allah SWT kepada kita dalam kehidupan dunia, bukan sahaja ujian dalam masalah hawa nafsu, ujian dalam masalah harta-benda termasuklah ujian dalam kerajaan yang memerintah kita.

Salah satu daripada nama Allah ialah Malikul Mulk bermakna yang memiliki kerajaan. Jika kita hendak selamat atas dunia ini ikutlah kerajaan yang mengikut syariat Allah SWT, hukum Allah SWT. Tetapi kalau berasa hendak senang sementara waktu maka ikutlah mana-mana yang kita rasa boleh selesa hidup, mudah naik pangkat dan sebagainya.

- KULIAH YT

No comments:

Post a Comment