Sunday, November 20, 2016

ISLAM BAYAR PENCEN UNTUK SELURUH RAKYAT


Saidina Umar banyak memperkenalkan corak pentadbiran baru dalam pemerintahan Islam. Walaupun begitu ianya tidak bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAW. Bahkan apa yang dilakukan oleh Saidina Umar termasuk dalam sunnah-sunnah ajaran Islam yang perlu diikuti sebagaimana Hadis:
 

عليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين من بعدي
"Ikuti sunnahku dan sunnah Khulafa Rasyidin sebagai petunjuk selepasku."

Antaranya adalah memperkenalkan skim pencen. Ia diperuntukkan kepada semua isteri Nabi, di mana semua mereka memperolehi peruntukan dari Baitulmal. Yang paling banyak menerimanya adalah Siti Aisyah.

Salah seorang isteri baginda SAW adalah Siti Hafsah, anak kepada Saidina Umar sendiri. Hafsah tidak berpuashati madunya memperoleh lebih dari bahagian isteri lain lalu mengadukan perkara ini kepada bapanya. 

Lalu Saidina Umar menjawab:
"Sekiranya darjat bapa kamu setaraf dengan bapanya, maka barulah kamu berhak aku berikan sama sepertinya."

Saidina Umar mengakui dirinya tidak setaraf dengan Saidina Abu Bakar, bapa kepada Siti Aisyah. Namun Aisyah mengalah, dan meminta Saidina Umar membahagikan sahaja secara samarata.

Wang pencen turut diperuntukkan kepada seluruh rakyat di bawah pemerintahan Islam. Setiap orang tua yang tidak mampu lagi bekerja maka diberikan kepada mereka wang sara diri. Bukan sahaja orang Islam, malah rakyat dari kalangan Yahudi turut menerima bahagian yang sama.

Ini merupakan kesejahteraan yang dibawa sekiranya Islam memerintah. Pemerintahan yang ada hari ini pula, hanya memperuntukkan pencen kepada kakitangan kerajaan sahaja. Sangat berbeza dari apa yang mampu Islam sediakan.

Masjid Rusila
23 Oktober 2015
10 Muharram 1437
(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment