Thursday, November 3, 2016

ISLAM, IMAN DAN IHSAN




Seorang lelaki tiba-tiba muncul di depan nabi SAW lalu bertanya,”Apa dia Islam?”
Rasulullah SAW menjawab, “Islam ialah mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan sembahyang, berpuasa bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan Haji bagi yang mampu”.

Lalu lelaki itu berkata, “Betul, betul”.

Saidina Omar berkata kami hairan dia bertanya seolah-olah dia tidak tahu. Kemudian dia berkata betul, seolah-olah dia sudah tahu dan kalau sudah tahu mengapa bertanya.

Dia bertanya lagi, “Apa dia iman”.

Rasulullah SAW menjawab, “Iman itu ialah percaya kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada malaikat-Nya, kepada hari akhirat dan kepada qadar takdir baik dan jahat adalah di bawah kuasa dan pengetahuan Allah SWT”.

Lalu lelaki itu berkata, “Betul, betul, betul”.

Kemudian bertanya pula, “Apa dia ihsan”

Jawab nabi SAW, “Ihsan ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya atau engkau merasakan seolah-olah Allah melihat akan engkau”.

Lalu dia berkata, “Betul, betul” dan lelaki itu bertanya lagi, “Bila berlakunya kiamat”.
Jawab Rasulullah SAW, “Bukankah orang yang bertanya lebih tahu daripada orang yang ditanya’.

Akhirnya dia bertanya, “Apakah dia tanda-tanda hampirnya kiamat”.

Rasulullah SAW menjawab, “Apabila hamba perempuan memperanakkan tuannya, apabila engkau melihat orang-orang miskin, yang papa kedana, yang berkaki ayam, tiba-tiba menjadi kaya raya berlomba-lomba membuat bangunan-bangunan yang tinggi”.
kemudia dia keluar dan meninggalkan majlis”.

Saidina Omar berkata, “Kami tercengang”

Lalu Rasulullah berkata, “Wahai Omar engkau tahu siapa yang bertanya tadi”
Saidina Omar menjawab, “Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui”
Lalu Rasulullah berkata, “Itulah malaikat Jibril yang datang mengajar kamu mengenai agama kamu”.

Jadi hadis ini mengajar Islam itu tiga perkara iaitu Islam, iman dan ihsan.
Islam ialah amalan-amalan zahir; mengucap dua kalimah syahadat, dapat didengar oleh orang, mendirikan sembahyang, berpuasa Ramadan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji bagi yang mampu. 

Mengapa tidak disebut berniaga, bernikah kahwin, bab aurat, ekonomi, politik  dan sebagainya di dalam hukum Islam?

Kerana semua pekara itu termasuk dalam ikrar dua kalimah syahadat. Mengucap dua kalimah syahadat bermakna aku percaya tiada tuhan yang layak, ditunduk, disembah dan diabdikan melainkan Allah. Ini bermakna semua peraturan Allah aku terima  dan aku percaya.

Kemudian dinyatakan sembahyang, puasa, zakat dan haji. Apa yang tidak disebut maka termasuk di dalam LAILAHA ILLALLAH MUHAMADAN RASULULLAH, iaitu perkara yang dinyatakan oleh Allah dan diajar oleh nabi Muhamad SAW.

Nabi Muhamad menerima daripada Allah, mengaku dengan lidahnya bahawa Allah itu tuhan dan kemudian nabi Muhamad mengajar pula kepada umatnya bagaimana taat kepada Allah SWT seperti menutup aurat, bernikah kahwin, memberi nafkah kepada anak isteri, makan makanan halal, berhijrah ke Madinah untuk mendiri negara Islam, berpolitik, berperang, berdamai, mengadakan hubungan dengan bangsa-bangsa lain dan sebagainya. Semua hukum itu disebut dalam kitab-kitab fikah. 

Perkara berkait dengan iman,  percaya dengan hati; percaya kepada Allah, kitab, rasul, malaikat, hari akhirat dan kadar baik dan jahat daripada Allah. Ini disebut dalam kitab akidah atau kitab tauhid atau usuludin.

Ihsan bermakna mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas, dengan khusuk, tawadak, tidak ada riak dan tidak ada ujud. Perkara ini dibahas dalam ilmu akhlak atau pun tasawuf.
Islam, iman dan ihsan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Ada kalangan ulamak tasawuf menyebut makrifat, hakikat dan tarikat. Semua perkara ini tidak boleh dipisah-pisahkan. Islam mestilah merangkumi semua sekali baru sempurna. 

Semua imam mazhab dalam ilmu tesawuf, mereka juga adalah imam-imam dan ahli tesawuf, Imam Ghazali seorang ahli tesawuf mengarang juga kitab usul fiq (kitab politik) dan mengaji semua ilmu yang ada dalam ajaran Islam.

Nabi mengatakan tidak tahu kepada soalan malaikat mengenai tarikh berlakunya kiamat.
Nabi menjawab soalan mengenai tanda-tanda hari kiamat. Tanda-tanda kiamat bila orang memperhambakan ibunya, harta benda digunakan untuk bermewah, berlomba-lomba mendirikan bangunan yang tinggi sedangkan tidak ada penghuni. 

Negara-negara teluk berlomba-lomba membuat bangunan-bangunan mencakar langit dan banyak bilik tiada penghuni. Mereka membazirkan duit, sedangkan terdapat ramai orang yang susah yang perlu bantuan. Ini tanda dunia akan musnah bila manusia tidak mengikut lagi ajaran Islam dengan menyeluruh. 

Bila berlaku maksiat kita jangan ganggu, kita membawa diri kita sudahlah. Akhirnya negeri penuh dengan maksiat, penuh dengan kemungkaran. 

Orang yang mengerjakan ibadat perlu memakai baju. Baju diusahakan dengan sistem riba. Bank-bank riba tidak boleh dihapuskan melainkan ada pemerintahan Islam. Jadi berlaku kait mengait antara satu sama lain.

Oleh yang demikian orang Islam yang berbagai latar belakang, berbagai peringkat umur dan kelainan pekerjaan disuruh tubuh Jemaah. Dengan tertubuhnya Jemaah berbagai aktiviti boleh dilakukan untuk berjuang meninggikan agama Islam.

Fudil bin Ziyad, seorang ulamak tasawuf yang terkenal, yang alim dan mengajar di masjid Mekah. Dia adalah seguru dengan Abdullah bin Mubarak. Abdullah bin Mubarak ialah seorang ahli tesawuf, alim hadis, alim dalam ilmu fikah dan seorang yang berjihad fi sabilillah. 

Suatu hari, Abdullah bin Mubarak menulis surat kepada Fudil bin Ziyad dan diserah surat itu kepada seorang pembawa berbunyi:

“Wahai saudaraku yang sedang beribadat di dua tanah haram, Mekah dan Madinah. Sekiranya saudara sedar dan faham apa yang dialami orang Islam hari ini nescaya saudara akan sedar bahawa saudara sedang bermain-main sahaja dengan ibadat. 

Sekiranya pipi saudara bermegah dengan lumaran air mata kerana beribadat maka leher-leher kami berlumaran dengan darah kerana berjihad fi sabilillah. Sekiranya kuda-kuda tunggangan saudara waktu pagi lagi penat berjalan ke sana ke mari maka kuda-kuda dan kenderaan kami ke sana ke mari kerana penat berjihad ke jalan Allah”
Bila membaca surat itu, Fudil menangis dan selepas itu Fudil berkata, “Betul, betul, betul!”. Lalu dia bertanya kepada pembawa surat itu, “Adakah kamu seorang yang suka belajar ilmu hadis?”.

Katanya, “Ya”

Sekarang tulis hadis yang aku terima daripada guru aku, “Nabi bersabda, sesungguhnya seseorang itu tidak akan mencapai kelebihan yang dicapai oleh mereka yang berjihad fi sabilillah kecuali dalam keadaan dia beribadat selama-lamanya, berjaga selama-lamanya beribadat, tidak tidur dan dia berpuasa selama-lamanya tidak makan langsung dalam tempoh orang itu keluar untuk menegakkan agama Allah”.

Fudil tidak melenting bila membaca surat itu, sebaliknya membenarkan kandungan surat itu. Mereka ahli tasawuf dan sentiasa nasihat menasihati antara satu sama lain.

- KULIAH YT

No comments:

Post a Comment