Thursday, November 3, 2016

IMAN, ISLAM DAN DUA KALIMAH SYAHADAT




Iman dan Islam tersimpul juga di dalam dua kalimah syahadat dan sesungguhnya semua amalan iman dan Islam itu adalah untuk mentahqikkan, untuk menyatakan dengan nyata dan jelas dua kalimah syahadat di dalam hati seseorang muslim dan menjadi permulaan dan penyudahnya sebagai pernyataan Islam dan iman itu ialah dengan mengucap dua kalimah syahadat iaitulah

ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH WAASYHADU ANNA MUHMADAN RASULULLAH

Dengan maksud; aku naik saksi (aku berikrar) bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhamad itu Rasulullah. Hendaklah diikuti dengan amalan dan perbuatan yang terkandung dalam rukun-rukun Islam dan cabang-cabangnya yang disebut ulamak; percaya dengan hati, ikrar dengan lidah dan beramal dengan rukun-rukun, yang dimaksud ialah iman, Islam dan ikrar dua kalimah syahadat. Tiga perkara ini berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan.

Walaupun tidak boleh menyebutnya secara sekali gus tetapi pada hakikatnya hendaklah dicantum ketiga-tiga perkara ini. Kita menyebut manis dengan gula, pedas dengan lada dan masin dengan garam. Begitulah juga cantuman iman, Islam dan dua kalimah syahadat.

Sabda Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabar yang menjadi utusan Rasulullah SAW ke negeri Yaman. Apabila negeri Yaman masuk Islam dengan aman nabi SAW menghantar Abu Musa Assyaari RA menjadi gabenor di negri Yaman (Abu Musa seorang pemimpin kabilah yang terkenal di negeri Yaman) dan nabi menyebut Yaman ialah negeri yang lembut hati, yang kuat imannya dan banyak kebijaksanaannya.

Saidina Ali RA dihantar ke Yaman untuk membantu Abu Musa Asysaari. Saidina Ali dilantik menjadi hakim. Nabi bersabda kepada Saidina Ali dengan menepuk dadanya, “Ya Allah ya tuhanku tunjukkanlah hatinya dan perbetulkan lidahnya”.

Nabi bersabda wahai Ali bila kamu menjadi hakim kamu jangan jatuhkan hukuman melainkan setelah kamu mendengar hujah orang yang dituduh sebagaimana hujah orang yang menuduh, kamu mendengar hujah orang yang kedua sama dengar hujah orang pertama, jangan dengar sebelah pihak, dengar hujah kedua-dua belah pihak dengan jelas dan nyata baharulah menjatuhkan hukuman.
.
Saidina Ali ialah sepupu dan menantu nabi dan nabi kenal sejauh mana kebijaksanaannya, berbeza dengan Muaz bin Jabar yang masuk Islam kemudian daripada Saidina Ali. Nabi menemu duga Muaz bin Jabar.

Nabi bertanya, “Wahai Muaz jika sekiranya datang apa-apa masalah bagaimana kamu hendak menyelesaikan masalah itu?”

Jawab Muaz, “Saya akan hukum dengan kitab Allah”

Nabi SAW bertanya lagi, “Bagaimana jika tidak ada dalam kitab Allah”

“Saya akan hukum dengan sunnah Rasulullah”, kata Muaz.

“Kalau tidak ada dalam sunnah Rasulullah, bagaimana?”, nabi bertanya lagi.

Jawab Muaz, “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan menyeleweng daripada ijtihad itu”

Ijtihad bermakna mengkaji dan menyelidik dengan mendalam berpandukan dasar-dasar yang umum yang ada dalam Quran dan hadis nabi SAW dan menggunakan kebijaksanaan akal yang berpandukan kepada syarak dan iman yang ada dalam hati.

Lalu nabi menepuk Muaz dan berkata, “Segala puji bagi Allah tuhan yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah dengan apa yang diredha oleh Rasulullah”

Apa yang menakjubkan ialah apabila Saidina Ali dihantar ke Yaman Rasulullah menyebut kepada Saidina Ali apabila membina masjid kiblatnya mesti diarah ke arah bukit yang disebut sebuah bukit di Yaman iaitu di Sonaat. Itu adalah arah kiblat dan memang kiblat itu betul sebagaimana kompas. Ini ialah mukjizat nabi SAW. Nabi belum pernah pergi ke Yaman dan tidak ada alat seperti kompas masa itu.

Muaz bin Jabbar lulus ujian, lulus dalam temu duga. Dalam istilah hari ini temu duga ini salah satu cara memilih pagawai.

Bila tiba masa Muaz hendak dihantar ke Yaman nabi berkata, “Sesungguhnya kamu akan didatangi oleh  golongan ahli kitab, yakni orang alim di kalangan orang Yahudi dan Kristian, kerana di Yaman ada orang Yahudi dan orang Kristian. Di kalangan mereka ada paderi-paderi yang alim berkenaan kitab Taurah dan Injil. Ajaklah mereka kepada pengakuan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku adalah Rasulullah”.

Mula-mula suruh mereka mengucap dua kalimah syahadat mengaku bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhamad itu Rasulullah. Bukan sekadar mengucap, mereka percaya dengan dua kalimah syahadat, percaya bahawa Allah adalah tuhan dan tidak ada tuhan yang lain dan percaya bahawa Muhamad adalah Rasulullah. Mereka sudah percaya Musa Rasulullah dan Isa Rasulullah. Tetapi orang Yahudi tidak percaya nabi Isa dan orang Kristian tidak mengiktiraf nabi Musa. Mereka berlawan antara satu sama lain.
Setelah menerima dua kalimah syahadat, beritahu mereka bahawa Allah mewajibkan lima sembahyang setiap hari dan malam. 

Jika mereka patuh beritahu bahawa Allah mewajibkan harta diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang yang memerlukan harta itu. Maknanya setelah menerima sembahyang beritahu mereka bahawa Allah mewajibkan zakat.
Kalau mereka patuh maka jauhilah daripada mencerobohi harta benda mereka dan takutlah kamu doa orang yang terkena zalim sesungguhnya tidak ada hijab (dinding) antaranya dengan Allah SWT”. Riwayat Iman Bukhari dan Muslim.

Setelah mereka membayar zakat jangan membuat zalim kepadanya. Jangan mengambil lebih daripada apa yang patut. Antaranya cukai yang tidak mustahak. Orang kafir dikenakan jiziah dan kharaj. Zakat lebih afdal memberi harta yang terbaik sekali atau sekurang-kurangnya harta yang pertengahan. Jika diberi harta yang dia benci, zakatnya tertunai tetapi fadilatnya kurang.

Namun begitu kita jangan paksa mereka mengeluarkan yang terbaik. Itu terserah kepadanya. 

Hadis ini menunjukkan bahawa seseorang menganut Islam dan beriman itu mestilah mengucap dua kalimah syahadat. Kita tidak mengetahui apa yang ada di dalam hatinya, iman sah apabila dia mengucap dua kalimah syahadat. Ini perkara yang sangat penting untuk menghukum dia sebagai seorang yang beriman. Dan hendaklah disertakan dengan amalan-amalan yang terkandung dalam rukun-rukun Islam. 

Di sini disebut sembahyang lima waktu dan zakat, tidak disebut haji. Haji disebut dalam hadis-hadis lain. Apa yang penting ialah beramal dengan amalan-amalan Islam. Ini menunjukkan iman itu percaya dengan hati, ikrar dengan lidah dan beramal dengan rukun-rukun Islam.

Hadis ini juga mengajar kita uslub atau pun cara berdakwah. Hendaklah berdakwah secara berperingkat-peringkat dan hendaklah mengutamakan rukun-rukun di dalam dakwah.

Rukun-rukun di dalam dakwah ialah ajak dia mengucap dua kalimah syahadat, beritahu wajib sembahyang dan kemudian beritahu wajib zakat. Jangan selepas mengucap menyuruh sembahyang tahjud selalu. Atau pun hendak masuk Islam kena sunat dulu. Itu bukan uslub yang diajar oleh nabi SAW. 

Selepas mengucap dua kalimah syahadat suruh dia sembahyang selalu. Tidak pandai sembahyang, bagaimana? Ikut dulu orang sembahyang. Tidak tahu bacaan pun ikut dulu imam. Dalam kitab fekah ada menyatakan Fatihah cukup dibaca oleh imam. Sambil-sambil belajar sambil sembahyang, walaupun baca Fatihah tidak betul, tidak kamil

Ada pula di kalangan orang kita, tidak pergi sembahyang Jumaat kerana tidak kamil, mengatakan orang tidak kamil. Ini semua pengajian yang tidak betul. Bila belajar sesuatu perkara, hendaklah belajar secara menyeluruh, jangan berpegang kepada satu perkara sahaja. 

Kalau berpegang kepada satu perkara sahaja, tidak belajar secara menyeluruh samalah dengan kisah yang terkenal iaitu kisah orang buta dengan gajah.

Setelah dia sembahyang beritahu pula mengenai zakat. Zakat tidak menghalang orang untuk mencari harta sebanyak-banyaknya. Islam berbeza dengan komunis. Islam menggalakkan umatnya mencari harta sebanyak mungkin tetapi kena belanja banyak-banyak. 

Kena keluar zakat, banyak sedekah, membuat haji dan umrah, menolong para miskin, menginfak ke jalan Allah banyak-banyak dan lain-lain. Bila harta banyak maka banyak boleh membuat kebajikan. 

Malangnya tidak banyak orang kaya bersikap demikian. Bila sudah kaya kebanyakannya lupa segala-galanya. Zakat pun lupa juga dan nafkah anak isteri pun lupa juga.
Islam menggalakkan pengikutnya membuat kebajikan termasuklah kebajikan harta benda yang pahalanya sangat besar.

Kesimpulan hadis ini ialah menunjukkan bahawa iman itu hendaklah digabung dengan Islam dan dua kalimah syahadat walaupun sebutannya tidak sekali gus.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW telah bersabda, “Tatkala Abu Talib hampir mati datang kepadanya Rasulullah SAW, tiba-tiba didapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyah berada di sisi Abu Talib lalu Rasulullah bersabda, “Wahai bapa saudara ku, katalah bahawa tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah iaitu kalimah yang membolehkan aku menjadi saksi untuk mu di sisi Allah. Maka berkata pula Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyah, wahai Abu Talib adakah kamu meninggalkan agama Abdul Muttalib?. 

Rasulullah SAW terus mengemukakan syahadat kepadanya, dan kedua-dua orang itu mengulangi juga cakapnya sehingga akhirnya Abu Talib mengaku tetap berpegang dengan agama Abdul Muttalib dan dia tidak mahu berkata yakni dua kalimah syahadat”, riwayat imam Bukhari dan Muslim.

Hadis ini menceritakan apabila Abu Talib (bapa saudara yang menjaga dan mendidik nabi SAW setelah datuknya Abdul Muttalib meninggal dunia. Abu Talib sentiasa mempertahankan nabi SAW, mengumpulkan keluarga untuk mempertahankan nabi SAW) dalam keadaan nazak, nabi tidak putus-putus menyuruh Abu Talib mengucap dua kalimah syahadat. 

Dalam masa yang sama Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyah, dua pemimpin musyrikin ini menyuruh Abu Talib berpegang kepada agama datuk nenek dan jangan ikut anak saudaranya. 

Nabi berlawan dengan Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyah. Akhirnya Abu Talib tidak mengucap dua kalimah syahadat dan berpegang dengan agama nenek moyang. Ini mengikut riwayat Bukhari dan Muslim.

Mengikut satu riwayat yang lain yang disebut oleh Syiekh Ahmad Abu Zuhrah di dalam kitab karangan bernama Sirah Nabi SAW. Dalam kitab ini Syiekh Muhamad Abu Zuhrah menyebut hadis riwayat daripada Abas bin Abdul Muttalib RA, Abas menyatakan bahawa Abu Talib juga menunjukkan isyarat bahawa dia menerima Islam yang ditawarkan oleh nabi SAW.

Tetapi ulamak hadis menganggap hadis ini hadis daif kerana Abas masa itu belum lagi masuk Islam. Itu anggapan di sisi ulamak hadis. Maka menjadi khilaf di kalangan ulamak berhubung dengan Abu Talib ini.

Kebanyakan ulamak ahli sunnah menyatakan Abu Talib mati dalam keadaan kafir. Sebahagian ulamak ahli sunnah dan ulamak syiah mengatakan Abu Talib mati dalam keadaan Islam.

Dalam hal ini kita harapkan Abu Talib mati dalam keadaan Islam kerana Abu Talib bermati-matian mempertahankan nabi SAW. Mengumpulkan kaum keluarga dan sanggup berperang mempertahankan nabi SAW dan tidak bersedia untuk menyerah anak saudaranya kepada Abu Jahal dan pemimpin-pemimpin musyrikin Mekah. Kita mengharapkan riwayat yang kedua ini riwayat yang benar.

Kita mengharapkan begitu walaupun dari segi ilmu hadis mengatakan hadis ini ialah hadis daif kerana Abas masa itu belum masuk Islam lagi. Tidak semestinya masa dia kafir dan bila masuk Islam riwayat itu tidak sahih. Tidak semestinya.

Apa yang disebut dalam buku ini berdasarkan kepada ilmu hadis. Kita mengharapkan pendapat yang kedua adalah pendapat yang betul kerana pengorbanan Abu Talib terhadap nabi Muhamad SAW tersangat besar.

- KULIAH YT

No comments:

Post a Comment