Thursday, November 3, 2016

IMAN WAJIB DIPELIHARA



Iman dan Islam sahajalah menjamin kebahgiaan manusia di dunia dan di akhirat, segala kepentingan lain ialah tempelan semata-mata maka ia hendaklah diletakkan di tempat yang lebih penting daripada yang lain-lain dan wajib dipertahankan bersungguh-sungguh.

Rasulullah SAW dan sahabatnya telah meletakkan kepentingan iman itu mengatasi kepentingan nyawa, keluarga, tanah air, bangsa, harta dan lain-lain. Walaupun tidak dinafikan bahawa kepentingan tersebut juga mesti dipertahankan tetapi iman dan Islamlah yang menyelamatkan itu semua.

Sesungguhnya sirah Rasulullah SAW membawa peristiwa pengajaran betapa mulianya iman itu kepada hidup dan matinya manusia. Iman adalah perkara yang paling penting sekali bagi seseorang manusia kerana imanlah yang menentukan selamat dan sahnya amalan itu. 

Segala amalan yang baik walau banyak mana sekali pun dan belanja besar mana sekali pun tidak sah, dan tidak diterima oleh Allah SWT sekiranya tidak ada iman.

Begitu juga perkara yang berkait dengan kehidupan kita; nyawa kita, keluarga kita, bangsa kita, tanah air kita dan harta kita kalau tidak dibina di atas iman maka sia-sia sahaja. Tidak dinafikan memelihara nyawa adalah wajib, membunuh diri haram, betapa wajibnya memelihara nyawa ini sehingga orang yang lapar, jika tiada makanan yang halal, yang ada hanya makanan haram, maka yang haram itu dihalalkan kerana hendak memelihara nyawa yang wajib dijaga dan dipertahankan.

Walaupun demikian kita mesti faham kalau nyawa sahaja dijaga, imannya tidak dijaga, rosak imannya nyawa tidak memberi faedah apa-apa, hidup tidak manfaat. Oleh kerana itu iman dan Islam mesti dipelihara.

Begitu juga keluarga kita. Kita wajib mengadakan hubungan silaturrahim. Hubungan sialturrahim adalah wajib dan memutuskan hubungan silaturrahim adalah haram. Sekiranya silaturrahim tidak memperdulikan iman, maka iman hendaklah diutamakan.
Sebab itulah nabi Ibrahim AS memutuskan silaturrahim dengan ayahnya sendiri. Nabi kita Muhamad SAW memutuskan silaturrahim dengan Abu Lahab, bapa saudaranya. Saidina Abu Bakar memutuskan silaturrahim dengan anaknya Abdur Rahman hinggalah anaknya menerima Islam.

Iman yang menjadi kepercayaan kepada Islam itu adalah perkara pertama mesti dijaga.
Begitu juga bangsa. Mempertahankan bangsa adalah mulia sehingga Allah Ta’ala menyuruh nabi kita Muhamad SAW menyelamatkan bangsa dia. Begitulah juga mempertahankan tanah air dan mempertahankan harta.

Tanah air dan harta adalah rukun hidup, tetapi iman adalah rukun hidup yang pertama. Imanlah yang menyelamatkan bangsa, yang menyelamatkan harta dan menyelamatkan tanah air. Kalau harta banyak tetapi iman tidak ada maka rusak. Jika tanah air diselamatkan tetapi iman tidak ada maka rusak juga.

Maka iman hendaklah diutamakan. Semua perkara yang lain dibina di atas iman itu.

Firman Allah Ta’ala surah al-Imran ayat 102, maksudnya, “'Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”.

Ayat ini menyatakan supaya kita bertakwa. Takwa ialah perhiasan kepada iman. Tanda iman itu ialah sifat takwa yang ada di dalam diri. Kita mesti berusaha supaya takwa itu ada dalam diri kita menandakan suburnya iman kita sehingga kita mati. Jangan kita mati melainkan dalam keadaan menjadi orang Islam. 

Ayat ini disebut dengan tauhid, dengan menguatkan iaitu jangan kamu mati sekali-kali melainkan dalam keadaan kamu sungguh-sungguh menjadi orang Islam iaitu Islam yang dibina di atas imannya. Mati dalam keadaan selamat. Kalau mati dalam munafik, mati dalam keadaan yang tiada iman maka Islamnya tidak diterima oleh Allah Ta’ala.
Islam yang sungguh-sungguh ialah Islam yang dibina di atas iman.

Firman Allah Ta’ala suratun Nisa ayat 136 bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad SAW), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

Ayat ini menyebut rukun-rukun iman. Kita mestilah berpegang dengan rukun-rukun iman yang penting itu. Beriman kepada Allah, beriman kepada Rasulullah SAW, beriman kepada kitab al-Quranul Karim, beriman kepada kitab yang diturunkan kepada rasul-rasul yang terdahulu,  bermakna beriman kepada rasul-rasul yang terdahulu, dan beriman kepada malaikat yang membawa kitab itu daripada Allah SWT dan mewahikannya kepada rasul-rasul yang dilantik oleh Allah SWT, dan beriman kepada hari akhirat. 

Mestilah beriman dengan sepenuhnya, bukan separuh-separuh. Jika beriman dengan sebahagian sahaja maka ia berada dalam kesesatan yang sejauh-jauhnya. Iman ialah jalan yang betul, jalan yang benar. Tidak beriman maknanya tidak betul, maknanya sesat sejauh-jauhnya. Jadi iman hendaklah dipelihara dengan bersungguh-sungguh.

Hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim telah bertanya Sufian bin Abdullah RA kepada Rasulullah SA, “Wahai Rasulullah ajarlah kepada saya mengenai agama Islam akan pengajaran yang saya tidak perlu bertanyakan orang lain”

Satu soalan yang sangat penting, satu soalan yang menjadi bekalan kepada umat Muhamad SAW dan besarnya pahala kepada orang yang bertanya soalan ini.
Sufian bin Abdullah RA bertanyakan Rasulullah SAW bahawa apa dia ajaran Islam dan tolong ajar kepada saya apa dia ajaran Islam itu yang jelas supaya faham betul-betul dan tidak payah lagi saya bertanya orang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian istiqamah”

Mengaku beriman kepada Allah dan mengikut jalan yang betul di atas iman kepada Allah itu. Seluruh kehidupan kita betul, iaitu beriman dan beristiqamah. Di sinilah penting kita diajar oleh Allah SWT supaya berdoa pada tiap-tiap raka’at sembahyang; akan Engkau kami sembah dan Engkau sahaja wahai tuhan kami, kami minta pertolongan.

Apa dia pertolongan itu? “Tunjukkanlah kami jalan yang betul”

Doa ini dibaca pada tiap-tiap raka’at sembahyang, diulangi beberapa kali sehari. Ini menunjukkan bahawa beriman dengan betul, dengan hidayat, dengan ilmu yang benar dan istiqamah adalah perkara yang penting.

Kalau beriman dengan cara tidak betul, cara main-main maka iman tidak sah. Orang kafir juga percaya kepada Allah, tetapi iman mereka tidak betul kerana mereka ialah “almaghdu bi’alaihim” atau pun “Addalin”.

“Almaghdu bi’alaihim”, mengaku beriman kepada Allah tetapi lawan Allah Ta’ala dalam keadaan ilmu dan tahunya atau pun beriman kepada Allah kemudian melantik sendiri tuhan-tuhan selain daripada Allah. Membuat sendiri hukum dan undang-undang lain daripada Allah. Ini bermakna tidak istiqamah. Mestilah beriman kepada Allah dan beristiqamah.

Inilah ajaran nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS, ajaran yang menyelamatkan kita dalam kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. 

Istiqamah itu bukan sahaja iman kita mesti betul, dalam masa yang sama kita tidak menyeleweng, kita menjaga diri daripada perkara-perkara yang merosakkan iman, yang membatalkan iman kita.

Ramai di kalangan kita belajar hanya perkara yang membatalkan sembahyang, yang membatalkan puasa, yang membatalkan haji, dan tidak dinafikan itu adalah penting. Tetapi perkara yang lebih penting lagi iaitulah kita kena tahu perkara-perkara yang membatalkan iman. 

Apabila iman batal, dengan sendirinya batal sembahyang, batal puasa dan batal haji, batal zakat, batal pahala semuanya. Pahala ditolak oleh Allah Ta’ala jika iman batal. Oleh itu kita kena jaga diri daripada perkara-perkara yang membatalkan iman sama ada berlaku dalam hati kita, atau berlaku dalam ucapan kita, atau pun berlaku dalam perbuatan kita.
Menjaga diri daripada perkara-perkara yang membatalkan iman mestilah dijadikan sebati dalam diri kita sebelum kita balik bertemu dengan Allah SWT. Islam dan iman yang betul inilah modal dan untung sebenar yang kekal abadi.

Oleh itu jagalah dan pertahankanlah iman kita bersungguh-sungguh dengan segala jiwa raga kita lebih daripada nikmat yang lain kerana nikmat iman ialah nikmat yang paling besar sekali diberi oleh Allah hanya diberi dan dipilih di kalangan hamba-hamba-Nya. 

Kita mesti bersyukur atas nikmat iman ini dan mudah-mudahan Allah SWT menjauhkan kita daripada apa jua yang merusakkan iman di hati, perkataan dan perbuatan. 

Wahai tuhan kami, janganlah Engkau gelincir hati-hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurnialah kepada kami dari sisi-Mu Rahmat Kasihan Belas sesunggunya Engkau tuhan yang memberi kurnia kepada hamba-hamba-Nya.

- KULIAH YT

No comments:

Post a Comment