Thursday, November 3, 2016

IMAN DAN CIRI-CIRINYA



Iman dengan makna tasdik, percaya dan membenarkan adalah dinamakan juga sebagai aqidah kerana rahsianya tidak diketahui oleh sesiapa pun melainka Allah SWT.
Walaubagaimanapun manusia itu mempunyai sifat-sifat lahiriah yang dapat dijadi ukuran kepada kita. Sifat-sifat yang dapat dilihat melalui tindak-tanduk manusia sama ada perkataan atau perbuatan menjadi tanda iman yang menjadi ukuran kita. Ada pun segala yang tersirat di dalam hatinya terserah kepada Allah SWT.

Walaupun iman itu letak dalam hati manusia kerana kepercayaan atau pun tasdik di dalam hati dinamakan dengan aqidah.

Aqidah ialah perkataan Arab yang bermakna simpulan sebagaimana kita menyimpul tali supaya pegangan kita menjadi kukuh. Timba yang kita ikat tidak terlucut, binatang yang kita tambat tidak terlepas kerana disimpul hujungnya, itulah akidah.

Kita simpulkan kepercayaan yang ada dalam hati kita dengan menolak segala yang lain daripada Allah, hanya percaya kepada Allah sahaja. Walaupun perkara ini perkara hati tetapi di sana ada tanda-tanda melalui amalan-amalan yang zahir dan kata-kata yang diucapkan. Kita boleh mengukur seseorng itu beriman atau tidak dengan amalan dan tindak-tanduk serta perangainya.

Dengan kata-kata dan ucapannya  walaupun seseorang itu boleh berpura-pura menipu dan berbagai-bagai cara untuk berbohong tetapi Allah SWT maha mengetahui apa yang ada dalam hati manusia.
  
Seseorang itu tidak boleh menipu imannya di hadapan Allah SWT. Iman itu melahirkan penyerahan diri kepada Allah SWT dinamakan Islam. Bermaksud bahawa seseorang itu hendaklah menyerah diri kepada Allah SWT dan menerima segala hukum-hukum-Nya walaupun tidak mengetahui hikmat-hikmatnya.

Sesungguhnya penyerahan dan penerimaan itu berlaku dengan dua perkara, iaitu dengan kepercayaan dan pegangan hati yang dinamakan iman atau aqidah dan juga dengan sifat-sifat lahiriah melalui perkataan dan amalan yang dinamakan Islam.

Seseorang yang beriman itu hendaklah Islam. Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud, “Adakah mereka mahu kepada yang lain daripada Allah sedangkan semua yang ada di langit dan yang ada di bumi menyerah diri kepada Allah SWT”.

Semuanya menyerah diri kepada Allah SWT sama ada secara taat atau secara paksa dan semua mereka akan dipanggil semula oleh Allah SWT.

Secara paksa ialah peraturan-peraturan tabi’ iaitu kita bernafas, kita bernyawa, sakit bila dipukul dan sebagainya. Peraturan-peraturan tabi’ ini tidak boleh dielak oleh manusia dan juga makhluk lain.

Peraturan taklifi ialah perintah daripada Allah SWT mengikut akal dan kemampuan manusia. Manusia mestilah menyerah diri kepada Allah SWT dengan pilihannya. Penyerahan diri secara pilihan menjadi ukuran hukum syarak yang akan dikira oleh Allah SWT pada hari kiamat.

Orang tidur yang mengigau hilang ingatan, orang gila, kanak-kanak yang tidak mukallaf, tidak diambil kira oleh Allah SWT. Apa yang diambil kira ialah penyerahan diri dalam perkara ikhtiari, perkara yang ada pilihan bagi manusia. Penyerahan diri secara hati dan secara zahir ini dinamakan Islam.

Iman dan Islam adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Jelas tempat iman adalah hati yang berlaku padanya tasdik jazim kerana firman Allah SWT suratul Hujurat ayat 14 bermaksud, “Kerana iman itu belum masuk ke dalam hati mereka”.

Firman Allah SWT suratut Taubah ayat 45 bermaksud, “Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu untuk tidak pergi berjihad hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya”

Ayat ini mendedahkan keadaan orang munafik. Dalam ayat 14 Suratul Hujurat itu berkaitan dengan orang Badawi. Mereka datang  menemui nabi SAW mengaku sebagai orang beriman dengan tujuan untuk mendapat zakat, untuk mendapat ranimah, untuk mendapat unta, kambing , lembu dan sebagainya daripad nabi SAW. Mereka datang berpura-pura sedangkan hati mereka tidak percaya,

Lalu Allah SWT berfirman maksudnya, “Dan berkatalah orang-orang ‘Arabi (Badawi) yang datang menemui nabi SAW, “kami telah beriman”, Allah kata, “Tidak, sepatutnya kamu berkata kami Islam sahaja” kerana iman tidak masuk dalam hati-kamu”

Hadis ini mendedahkan iman itu ialah di dalam hati. Orang yang hatinya tidak percaya maka tidak ada iman. Walaupun kita nama dia orang beriman kerana kita melihat pada zahirnya sahaja, kita tidak mengetahui apa yang ada dalam hati. Ini menunjukkan Allah SWT mengambil kira apa yang ada di dalam hati manusia.

Ayat kedua apabila nabi SAW mengajak para sahabat bersedia untuk pergi ke Tabut berperang dengan Rome, kuasa besar dunia dan mengumpulkan bala tenteranya. Tabut yang jaraknya melebihi seribu kilometer daripada Madinah. 

Oeh kerana terlalu jauh, perjalanannya diisytiharkan. Biasanya nabi merahsiakan perjalanan tentera, diarah supaya keluar dan nabi tidak memberitahu ke mana-mana hendak pergi, tidak memberitahu mana negeri hendak diserang. Tetapi bila hendak berperang di Tabut nabi memberitahu kepada orang ramai.

Perjalanan ke Tabut itu berlaku dalam musim panas. Ini menjadi ujian. Hanya mereka yang benar imannya di dalam hati yang sanggup meninggalkan kebun, sanggup menghadapi jauh perjalanan dan sanggup menghadapi musim panas.

Orang-orang munafik datang mengadap nabi SAW memohon izin kerana uzur, menipu berbagai-bagai alasan. Allah SWT mendedahkan, “Sesungguhnya mereka yang meminta izin kepada kamu wahai Muhamad SAW, tidak mahu pergi berjihad ialah mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat, hati mereka ragu-ragu terhadap pahala yang dijanjikan oleh Allah untuk orang yang berjihad. Mereka ragu-ragu dengan syak yang ada dalam hati mereka”

Oleh kerana itu Allah SWT berfirman dalam ayat yang lain, “Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman kepada kamu wahai Muhamad SAW ialah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu sedikit pun lalu mereka berjihad mengorbankan harta benda dan jiwa raga mereka untuk memenang dan meninggikan agama Allah dan merekalah orang-orang yang benar”

Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa iman itu di dalam hati dan Allah SWT mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia.
  
Ayat-ayat ini dijelaskan oleh hadis-hadis nabi SAW.

Sabda Rasulullah SAW, “Allah memasukkan ahli syurga ke dalam syurga, Ia memasukkan-Nya sesiap yang Ia kehendaki dengan rahmat-Nya dan memasukkan ahli neraka ke dalam neraka; kemudian Allah SWT berfirman “lihatlah akan sesiapa kamu dapati di dalam hatinya iman walaupun sebesar biji yang halus maka keluarlah ia yakni daripada neraka”, hadis riwayat Muslim.

Hadis ini menceritakan peristiwa yang berlaku pada hari kiamat kelak. Di hari kiamat kelak Allah SWT memasukkan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal yang salih ke dalam syurga dengan kurnia dan rahmat-Nya, bukan dengan pahala sahaja.

Allah SWT memasukkan ahli neraka ke dalam neraka dengan adilnya. Dibicarakan terlebih dahulu walaupun Allah SWT mengetahui yang zahir dan yang batin. Allah SWT bicara dengan adil dan bijaksana, bukannya menyumbat terus ke dalam neraka.

Catatan-catatan melaikat dikemukakan dan dibawa saksi-saksi malaikat dan makhluk-makhluk dan saksi daripada dirinya sendiri iaitu kulitnya bercakap memberitahu apa yang dia buat. Setelah nyata dengan bukti dan tiada harapan untuk dimaafkan maka dimasukkan ke dalam neraka.
  
Setelah dimasukkan ahli neraka ke dalam neraka Allah SWT berfirman kepada malaikat-Nya, sila kamu lihat sesiapa yang ada di dalam hatinya iman sebesar habut yang halus. Jika ada iman sebesar habut yang halus di dalam dirinya, keluarkan dia daripada neraka dan masukkannya ke dalam syurga.

Hadis ini menunjukkan iman di dalam hati dan menggambarkan betapa pentingnya iman itu. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai amalan baik sedikit pun, yang ada iman sahaja akhirnya ia dimasukkan ke dalam syurga. Jika ada amalan tetapi imannya tidak ada, amalannya ditolak oleh Allah SWT

Jadi iman merupakan perkara yang sangat penting.

- KULIAH YT


No comments:

Post a Comment