Thursday, November 3, 2016

KAUM YANG DIMURKA ALLAH – Siri 2/8 Tafsir surah An-Najm ayat 47 – 62



Ayat-ayat ini adalah penutup kepada surutun Najm yang banyak menerangkan perkara-perkara yang mengukuhkan akidah kita dan menambahkan keyakinan kita kepada Islam dan perjuangan untuk menegakkan Islam.

Firman Allah Ta’ala maksudnya, “Dan sesungguhnya terserah kepada Allah Ta’ala untuk melakukan kebangkitan selepas mati”.

Setelah manusia mati dalam kehidupan dunia Allah Ta’ala bangkitkan semula dan itu terserah kepada Allah Ta’ala. Bila Allah Ta’ala kata maka berlaku sungguhlah dan kita mesti beriman kepadanya. Jangan ragu lagi.

Allah Ta’ala berjanji manusia akan dihidupkan semula selepas mati maka berlakulah penghidupan itu.

“Dan sesungguhnya Dialah tuhan yang memberi dan tuhan menambah”. Itu mengikut satu riwayat.

Mengikut riwayat yang lain tuhan yang memberi kekayaan kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan memfakirkan sesiapa yang Ia kehendaki. Itu terpulang kepada Allah Ta’ala.

Rezeki adalah pemberian daripada Allah. Allah Ta’ala memberi rezeki kepada seseorang dengan seluas-luasnya dan Allah Ta’ala memberi rezeki kepada seseorang dengan keadaan yang sedikit, mengikut kadar yang ditetapkan mengandungi hikmat yang besar. 

Kita bersyukur jika mendapat banyak rezeki dan bersabar jika rezeki itu kurang. Semuanya ada kelebihan berlaka kepada orang beriman. Hanya orang yang beriman sahaja yang mendapat kelebihan ini kerana bersyukur bila rezeki banyak dan bersabar apabila rezeki kurang ada pahala belaka.


“Dan sesungguhnya Dialah yang mencipta dan menguasai bintang Assyi’ara”.
Bintang Assyi’ara ialah bintang yang terserlah cahayanya terutamanya ketika berlaku musim panas. Pada musim panas maka kelihatanlah bintang Assyi’ara ini.

Orang-orang jahiliah Arab menyembah bintang ini. Allah Ta’ala mengatakan bintang itu adalah makhluk bukannya tuhan. Bintang Assyi’ara dicipta oleh Allah Ta’ala, tuhan yang memilikinya. Jadi jangan menyembah bintang, sembahlah Allah Ta’ala pencipta bintang itu.
“Dan sesungguhnya Dialah tuhan yang telah membinasakan kaum ‘Ad”. 

Kaum ‘Ad ialah kaum nabi Hud yang mendirikan bandar Iron. Bandar Iron mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi, bangunan pencakar langit.

Dulu sudah ada bangunan-bangunan pencakar langit. Jangan kita fikir sekarang sahaja ada bangunan pencakar langit, jangan kita bermegah mengatakan zaman ini zaman banyak bangunan pencakar langit, dulu sudah ada, sudah ada bandar yang mempunyai bangunan pencakar langit yang dibena oleh kaum ‘Ad.

Kaum ‘Ad pernah mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi. Tiang-tiang bangunan itu ialah batu-batu yang dipahat. Tuhan jadikan kaum ‘Ad ini kaum yang besar tubuh badannya, yang gagah perkasa dan kuat. 

Bila mereka kafir, mereka melawan Allah Ta’ala, Allah Ta’ala utuskan nabi Hud untuk mengajak mereka kepada Islam. Tetapi mereka melawan nabi Hud akhirnya Allah Ta’ala binasakan mereka dengan angin yang kuat.

Angin yang bertiup tersangat kencang meroboh dan menghancurkan bangunan-bangunan pencakar langit itu. Kaum ‘Ad yang besar, yang gagah dan yang berat itu diangkat oleh angin dan dimatikan semua mereka yang kafir itu. Ini ialah kekuasaan Allah Ta’ala.

“Dan kaum Samud”. 

Kaum Samud ialah kaum nabi Saleh iaitu generasi peninggalan keturunan kaum ‘Ad yang beriman, lahir generasi baru. 

Kaum Samud mendirikan bangunan-bangunan yang dipahat daripada bukit-bukit yang pejal. Bukit-bukit yang dipahat dibawa ke lembah dan dijadikan bangunan. 

Ada juga bukit pejal itu sendiri yang ditebuk, dijadikan bilik-bilik dan dijadikan bangunan. Kita mengambil bata, menyusun dan mengikatnya menggunakn simen untuk dijadikan dinding. Tetapi kaum Samud ini bukit yang pejal itu terus dipahat dan dijadikan bangunan. Begitu hebatnya kaum Samud.

Allah Ta’ala mengutus rasul kepada mereka, nabi Saleh untuk mengajak kaumnya beriman kepada Allah Ta’ala. Tetapi mereka engkar, mereka mengerjakan maksiat dan mereka melawan nabi Saleh, mereka menentang ajaran nabi Saleh, lalu Allah Ta’ala binasa mereka dengan ‘Syaihah’, dengan satu tempik yang amat kuat.

Tempik yang kuat yang tidak ditanggung oleh telinga dan jantung mereka, menyebabkan anak telinga pecah, jantung putus serta hancur lebur.

“Maka tidak ada seorang pun yang tinggal”.

Tidak ada seorang pun yang hidup semuanya dibinasakan dan dimatikan Allah Ta’ala.

“Dan kaum Nuh sebelum itu”.

Kaum Nuh ialah kaum yang pertama yang melakukan kufur, menyembah berhala. Ketika nabi Adam AS manusia menyembah Allah Ta’ala walaupun mereka mengerjakan maksiat, mereka berbunuh-bunuh antara satu sama lain tetapi mereka menyembah Allah Ta’ala, tidak menyembah tuhan yang lain daripada Allah Ta’ala.

Selepas seribu tahun nabi Adam AS wafat maka berlakulah penyembahan berhala yang pertama. Allah Ta’ala mengutuskan nabi Nuh AS mengajak mereka beriman kepada Allah Ta’ala.

“Sesungguh mereka itu sangat zalim dan sangat melampaui batas”.

Allah Ta’ala panjangkan umur nabi Nuh sehingga seribu tahun. Umur seribu tahun dan berdakwah sembilan ratus lima puluh tahun. Selama itu berdakwah sedikit sahaja yang mengikutnya.

Satu riwayat mengatakan dua puluh orang dan satu riwayat lagi lapan puluh orang. Lapan puluh orang pun sedikit berbanding dengan sembilan ratus lima tahun dakwah. Secara purata hampir dua belas tahun baru mendapat seorang pengikut.

Sudahlah tidak ramai ikut, setiap orang tua, setiap bapa memberi wasiat kepada anaknya dulu ayah aku beritahu supaya jangan ikut Nuh ini, orang gila. Anak ini bila menjadi tua memesan pula kepada anak-anaknya supaya jangan ikut Nuh. Sebelum mati pesan kepada anak supaya jangan terpengaruh dan jangan ikut Nuh ini.

Sampai begitu sekali. Ini paling zalim, paling melampaui batas. Mereka beberapa generasi bersama nabi Nuh AS, tiap-tiap orang ayah sebelum mati mewasiat kepada anak jangan ikut Nuh ini. Inilah dahsyatnya manusia apabila Allah tidak memberi hidayah kepada mereka.

Kisah ini adalah hiburan kepada nabi Muhamad SAW dan umatnya sepaya bersabar, kenapa sampai tua dah tak sedar lagi. Gelagat kaum Nuh lebih teruk lagi, bukan sahaja tua memesan pula kepada anak-anak supaya jangan ikut nabi Nuh.

“Sesungguhnya adalah mereka itu sangat zalim lagi sangat melampaui batas, bersabarlah wahai Muhamad dan umat Muhamad dalam menghadapi ujian ini”

“Dan negeri yang dilingkupkan, setelah diangkat ke langit dilingkupkan”

Negeri yang dilingkup itu ialah negeri Sadum, negeri kaum Lut AS. Malaikat Jibril menyelup sayapnya di bawah perut bumi, mengangkat tinggi-tinggi ke angkasa, melingkup dan menghempas pula ke bumi.

Hari ini boleh dilihat kesan-kesannya di Laut Mati. Airnya terlalu masin menyebabkan ikan tidak boleh hidup. Ahli Kaji Bumi telah membuat kajian dan mendapati tanah di atas Laut Mati itu adalah tanah yang ada di perut bumi. Ini menunjukkan benarnya Quran ini daripada Allah Ta’ala.

Ada pula yang pergi ke Laut Mati mengambil tanah untuk membuat ubat. Buat ubat apa dengan negeri yang dilaknat oleh Allah Ta’ala.

Kita pergi ke sana dengan sedar dan insaf sebagai pengajaran, bukan mengambil tanah buat ubat.

“Lalu mereka diliputi apa yang diliputinya ialah batu-batu yang menimbus mereka”

Disebut dalam firman Allah Ta’ala maksudnya, “Lalu Kami jadikan atasnya menjadi bawah dan Kami hujani dengan batu-batu yang dibakar”

Tiap-tiap batu yang dibakar hangus itu ada nama, batu ini untuk orang ini dan batu itu untuk orang itu. Ini adalah kekuasaan Allah Ta’ala yang menetapkan tugas tiap-tiap batu itu.

“Maka dengan mana-mana nikmat, nikmat tuhanmu yang kamu ragu, yang kamu kurang yakin, wahai manusia, wahai jin”.

“Ini adalah amaran daripada amaran-amaran yang terdahulu yang pernah diberi oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terdahulu sama ada yang memberi amaran itu Muhamad SAW yang melangsungkan kerja-kerja nabi zaman dahulu atau kitab yang diturunkan iaitu al-Quran dan kitab-kitab yang terdahulu”

“Hampirlah berlakunya kiamat”.

Kiamat itu sudah hampir. Tanda-tanda hampir kiamat ialah kedatangan nabi Muhamad SAW yang diisytiharkan oleh nabi-nabi yang terdahulu sebelum tamatnya dunia akan diutuskan rasul akhir zaman.

Disebut dalam Taurah, disebut dalam Injil, disebut dalam sahaf-sahaf, disebut dalam kitab agama Hindu dan agama Budha tentang kelahiran nabi akhir zaman. Diberi amaran bahkan dimaklumkan kepada ahli-ahli nujum yang berkawan dengan syaitan akan zahir nabi akhir zaman.

Bila datang nabi akhir zaman menandakan dunia hampir kiamat.

Dahulu ahli-ahli sains tidak percaya hari kiamat. Mereka mengatakan akan mengikut pusingan terus menerus. Bila mati orang lain hidup. Hari ini mereka sudah percaya adanya kiamat. Banyak rencana yang ditulis dan film-film yang ditayangkan menandakan pergerakan bumi lari sedikit demi sedikit. Paksinya lari. Negeri sejuk menjadi panas dan negeri panas menjadi sejuk, berlakunya ribut taufan, berlakunya gempa bumi, berlakunya perjalanan bulan dan bintang dan perjalanan mata hari yang tidak mengikut jalan-jalan asal menyebabkan bertembung antara satu sama lain dan hancur lebur.

Mereka sudah percaya cuma imannya tidak ada. Kita orang Islam ada iman, bila ada iman maka kita kena sedia untuk hari kiamat itu.

“Tidak ada baginya selain daripada Allah yang boleh melindung, yang boleh melewat dan boleh mendahulukan”

Bila Allah Ta’ala tetapkan berlakunya kiamat, tidak boleh ditangguh lagi, berlaku mengikut ketetapan daripada Allah Ta’ala. Kita mesti yakin dan beriman.

Sekarang ini orang Yahudi telah berkumpul di Palastin, mereka berkumpul beramai-ramai di situ untuk dikuburkan oleh orang-orang Islam yang menjadi satu tanda akhir zaman.
Yahudi-Yahudi yang bermazhab Orthodox menentang penubuhan negara Israil, mereka berpendapat orang Yahudi balik ke Israil untuk dibinasakan, mereka sudah baca dalam kitab mereka. Ada kalangan yang baca tetapi ramai di kalangan mereka hendak menggali kubur di Palastin.

Walaupun kita tengak mereka kuat tetapi sebenar mereka kuat untuk menggali kubur sendiri. Akan tiba masa mereka dibinasakan dan berlakunya kiamat sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala.

“Adakah daripada al-Quran yang dibacakan kepada kamu, kamu berasa hairan lalu kamu membohonginya dan kamu gelak ketawa”.

Bila dibaca Quran mereka buat suka-suka, buat gelak ketawa, buat main-main
“Dan kamu tidak menangis kerana mengenangkan dosa-dosa yang kamu lakukan. Dalam keadaan kamu lalai dan leka serta berpaling daripadanya, maka sujudlah kamu kepada Allah dan abdikanlah diri kamu kepada Allah SWT”.

Bagi kita orang Islam yang penting ialah sujud kepada Allah dengan ikhlas dan beribadat kerana Allah Ta’ala. HH

KULIAH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment