Wednesday, November 2, 2016

KEWAJIPAN HADHANAH (PENJAGAAN ANAK)



“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan susuan”

Ayat ini menyatakan bahawa masa bagi menyusu anak ialah dua tahun. Masa yang sempurna bagi menyusu anak ialah selama umur anak itu dua tahun.

Perkara ini terdapat perbincangan di kalangan ulamak. Berhubung dengan anak-anak susuan jumhurul ulamak (kebanyakan ulamak) mengatakan, yang dikatakan anak-anak susuan itu ialah anak-anak yang disusukan dalam masa dua tahun. Ada pun yang menyusu selepas dua tahun tidak menjadi saudara susuan lagi. Ini mengikut kebanyakan ulamak.

Mengikut Ummu Mukminin Aisyah RA bahawa boleh ditambah lebih daripada dua tahun iaitu sehingga tiga tahun. Anak itu boleh jadi saudara susuan, ibunya ibu susuan dan ayahnya ayah  susuan yang disebut dalam bab perkahwinan. Susuan selepas tiga tahun tidak lagi dikira susuan.

Hadis nabi SAW, “Apa yang diharamkan daripada susuan ialah apa yang diharamkan daripada keturunan, adik beradik susuan, ibu susuan, ayah susuan, bapa saudara susuan, emak saudara susuan sama kedudukannya dengan hubungan darah daging sebenar.

Ulamak berbincang berapa kali atau bilangan susuan. Ada yang mengatakan sebaik-baik sahaja menyusu terus menjadi anak dan ibu susuan. Ada yang mengatakan bahawa mesti tiga kali susuan. Ada mengatakan mesti lima kali.

“Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan minum dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya, tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya menjadi kewajipan kepada suami memberi nafkah kepada isteri dan anak yang disusukan ataupun yang telah bercerai menjadi kewajipan kepada bapa anak itu memberi nafkah kepada ibu dan anak yang sedang disusunya. 

Tidak dibebankan kepada seseorang itu melainkan mengikut apa yang dia mampu dengan maksud orang yang senang mengikut senangnya dan orang yang susah mengikut susahnya. Orang kaya, jangan boros melampau dan jangan kedekut. Orang miskin jangan dibebankan sehingga memberatkannya. Ini bermakna mengikut kadar kemampuan masing-masing.

“Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya dan jangan juga menjadikan seseorang bapa itu menderita kerana anaknya”.

Ini bermakna jangan jadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dirampas anaknya, bila bercerai sebagai contoh diambil anaknya. 

Dalam Islam ada hukum hadhanah (penjagaan anak). Dalam mazhab Syafie sehingga umur anak cukup lapan tahun. Itu adalah hak ibu untuk menjaganya. Bapa tidak boleh rampas. 

Mengikut mazhab Hanafi sehingga anak itu baligh. 

Mengikut mazhab Maliki kalau anak itu perempuan, dibawah jagaan ibunya sehingga dia berkahwin. 

Dalam mazhab Syafie sehingga umur anak mumaiyid. Umur mumaiyid ialah masuk lapan tahun. Selepas lapan tahun anak itu diberi pilihan kepada anak itu sama ada hendak bersama dengan ayah atau bersama dengan ibunya.

Jika terdapat keadaan-keadaan tertentu seperti ibunya menjadi murtad, mengikut Abu Hanifah penjagaan tetap diberi kepada ibunya. Tetapi bagi Syhafie dan imam Malik anak itu mesti diberi kepada yang Islam sama ada ibu yang Islam atau ayah yang Islam. Bermakna dimenangkan kepada yang Islam. Pendapat Syafie dan imam Malik ini adalah pendapat yang paling kuat, kerana tanggungjawab kita ialah untuk mengislamkan orang. 

Jangan pula seorang bapa menderita kerana anaknya. Bila berbalah Ibunya rembas (sengaja menyerahkan) anak yang masih menyusu itu kepada bapanya sehingga anak itu tidak menyusu dengan ibunya. Jangan memberatkan bapa kerana tuhan jadikan orang perempuan yang menyusu anak bukan orang lelaki. 

“Waris juga menaggung kewajipan yang tersebut jika si bapa sudah meninggal dunia”
Jika bapa mati maka waris diberi tanggungjawab menjaga anak yatim itu. Walaupun di dalam Islam ibu boleh menjadi wali kepada anak yatim tetapi di dalam urusan kehidupan bukan wali kahwin. Waris dan adik-beradik lelaki yang bertanggungjawab hendaklah mengambil tanggungjawab

Ini sebabnya adik-beradik lelaki diberi pusaka dua kali ganda daripada adik-beradik perempuan. Orang lelaki diberi tanggungjawab untuk menjaga keluarga, orang perempuan suami yang menjaganya, jika suaminya mati waris menjaganya, jika diceraikan oleh suaminya adik-beradik menjaganya. Oleh sebab itulah maka Allah menetapkan dua kali ganda dalam pusaka. Ini hikmatnya. 

Masalah orang tidak menghirau kepada adik-beradik itu kerana salah pendidikan, kerana mereka tidak mengikut Islam. Ini bukan salah hukum Islam dalam perkara ini. Hukum Islam adalah mata rantai yang berkait antara satu sama lain.
Bila mata rantai dalam masalah pendidikan telah dimusnahkan, bila rusak keluarga jangan menuduh peraturan Islam tidak betul. Menuduh hukum Islam tidak betul bermakna menuduh Allah SWT tidak betul, maka menjadi murtad. Waliyazubillah.

Hukum Allah adalah hukum yang sempurna.

Allah SWT berfirman maksudnya, “Maka jika sekiranya kedua-dua suami-isteri itu mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan yang dicapai oleh mereka sesudah berunding maka tidak menjadi salah kepadanya”

Ayat ini menganjurkan suami isteri bermesyuarat dalam mengendalikan urusan anak semenjak dari kecil lagi. Suami-isteri kena bermesyuarat kerana Allah Ta’ala suruh bermesyuarat. 

“Redha-meredha dan bertimbang rasa antara suami dan isteri”

Jangan ayah berkata, “Anak biar kepada ibu dialah” dan jangan ibu pula bekata, “Serah anak kepada ayahnyalah”. Cara ini tidak dibenarkan, mesti ada mesyuarat antara suami isteri termasuk dalam perkara melepaskan susuan. Belum masuk dua tahun hendak melepas susuan dibolehkan kerana Allah Ta’ala mengizinkan.

“Dan jika sekiranya kamu hendak menyuruh anak kamu itu disusu oleh orang lain, hendak upah perempuan supaya menyusu anak maka tidak menjadi salah jika diberi upah yang sepatutnya”.

Orang Arab zaman dahulu kalau kita membaca sirah nabi SAW apabila nabi dilahirkan setelah menyusu ibunya, datuknya Abdul Muttalib menyerah kepada Halimatus Sa’diah daripada keluarga bani Sa’ad yang tinggal di darat supaya menyusu nabi SAW. 

Ini adalah untuk menjaga kebersihan semula jadi kerana orang darat makan barang asli, barang yang halal daripada titik peluhnya. Zahir barang itu baik dan ruhani barang itu pun baik. Dia mahu anak itu disusu oleh barang yang halal zahir dan batin, maka diberi upah kepada orang supaya menyusu anaknya.

Kalau kita membaca sirah nabi Musa AS bila nabi Musa dihanyutkan oleh ibunya dengan wahi daripada Allah Ta’ala. Ini adalah untuk mengelak daripada buruan tentera Firaun yang akan membunuh setiap anak lelaki bani Israil. Kotak yang berisi nabi Musa itu terlekat di pohon kayu di pengkalan berhadapan istana Firaun.

Nabi Musa dibawa ke istana Firaun dan tidak dibunuhnya kerana atas rayuan Asiah, isteri Firaun. Nabi Musa dibesarkan di istana Firaun sebagai anak angkat. Nabi Musa tidak mahu menyusu dengan orang lain, lalu dibawanya ibu nabi Musa untuk menyusu nabi Musa, anaknya sendiri dengan diberi upah oleh Firaun. Ibu nabi Musa mengambil upah atas kerjanya. 

Oleh itu bila kita menjual barang dan barang kita halal orang hendak membeli dan membayar harga barang itu maka kita tidak wajib usul daripada mana wang itu diperolehi. Kita menerima duit atas apa yang kita jual kepada pembeli. Wang itu halal atau tidak, tidak wajib diusulkan. Ini adalah kemudahan yang diberi oleh syarak.

Dalam masalah menyusu, dibenarkan menyusu anak dan dibenarkan mengambil upahnya.

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Melihat apa-apa yang kamu kerjakan”

Allah Ta’ala maha melihat apa yang kamu kerjakan. Semua yang kamu buat Allah Ta’ala tengak. Jadi hendaklah bertaqwa. Ini menunjukkan taqwa bukan sahaja dalam bab sembahyang, puasa termasuk juga taqwa dalam perkara menjaga anak. Dalam perkara menyusu anak termasuk taqwa juga. 

Taqwa merupakan bidang yang sangat luas. Semua urusan kehidupan, setiap sendi dan denyutan nadi kita jika diamalkan mengikut kerja taat dan meninggalkan maksiat diberi pahala oleh Allah Ta’ala.

- KULIH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment