Tuesday, November 15, 2016

MALAIKAT YANG MENANGGUNG ARASY



Firman Allah Ta’ala surah al-Mukmin ayat 7: 

“Malaikat-malaikat yang memikul arasy dan malaikat yang berada disekelilingnya bertasbih memuji tuhan mereka dan mereka beriman kepadanya iaitu kepada Allah serta meminta ampun bagi orang-orang beriman. 

Ya tuhan kami rahmat dan ilmu engkau meliputi segala sesuatu maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan engkau dan peliharakanlah mereka dari seksa neraka yang bernyala-nyala.”

Malaikat adalah makhluk yang ghaib kita hendaklah beriman dengan berita yang diberitahu kepada kita oleh Allah di dalam al-Quranul Karim dan diberitahu kepada kita oleh Rasulullah SAW.
Malaikat ada hubungan dengan makhluk-makhluk yang kita tahu dan kita nampak dan sesetengah malaikat juga ada hubungan dengan makhluk yang kita tidak tahu dan kita tidak hampak. 

Apa sahaja yang diberitahu dalam Quran yang diberitahu oleh Rasulullah SAW kita hendaklah beriman dan percaya.
Antaranya ialah malaikat yang ditugaskan untuk menanggung arasy. 

Arasy ialah singgahsana Allah SWT yang kita tidak tahu hakikatnya, termasuk dalam makhluk dan perkara yang ghaib diberitahu kepada kita oleh Allah SWT dan menjadi tanda kebesaran Allah SWT.

Ada malaikat-malaikat yang menanggunrg arasy dan berada dikeliling arasy. 

Mereka beriman kepada Allah, mereka beristighfar kepada orang-orang beriman, orang-orang yang berjuang dan berdakwah serta beramal dengan ajaran Islam. 

Mereka berdoa kepada orang-orang berdosa dan bertaubat. Malaikat tidak berdosa, mereka sayang kepada orang-orang yang beriman dan beristighfar.

Firman Allah Ta’ala suratul Haq ayat 17: 

“Dan pada hari kiamat lapan malaikat menjunjung arasy tuhan kamu di atas kepala mereka pada hari berlakunya tiup sangkakala memusnahkan segala langit dan bumi, dihancur leburkan bumi, bulan, bintang dan matahari.”

 Pada hari yang sangat huruhara itu Allah Ta’ala melantik lapan malaikat untuk menanggung arasy yang tidak hancur dengan berlakunya hari kiamat.

Antara malaikat yang ditugaskan oleh Allah Ta’ala supaya menjaga bukit dan gunung. 

Perkara ini diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah AS yang bertanya Rasulullah SAW: 

“Adakah pernah berlaku kepada Rasulullah SAW suatu hari yang lebih dahsyat daripada hari peperangan Uhud.”

Dalam peperangan Uhud nabi SAW mendapat luka dan patah giginya. Tujuh puluh orang sahabat mati syahid dan tujuh puluh orang sahabat mendapat luka-luka dan ada yang luka parah.
Nabi sendiri pun mendapat luka.

Ini menjadi ujian yang datang daripada Allah SWT.

Aisyah, ummul mukminin RA bertanyakan Rasulullah SAW:
“Adakah peristiwa yang lebih dahsyat daripada peperangan Uhud.”

Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya aku telah bertemu pada suatu hari di dalam menghadapi kaum mu yakni kaum Quraisy apa yang belum pernah aku menemuinya di mana ianya lebih hebat dari peristiwa Uhud iaitu di hari aku berada di al-Aqobah.” 

Al-Aqobah ialah tempat di tempat para jamaah haji melontar dan orang-orang Arab menunaikan haji sejak zaman jahiliah. Mereka towaf, mereka berhimpun di Mena dan mereka berhimpun di Arafat tetapi dengan cara syirik. 

Mereka mengerjakan haji kerana menghidupkan syiar nabi Ibrahim AS pada nabi Ibrahim mengesakan Allah. Haji setiap tahun tetapi syirik, berzina, membunuh orang. Ini perangai orang jahiliah zaman dahulu.

Nabi SAW mengambil peluang berdakwah mengajak jamaah haji masuk Islam. Nabi bertemu dengan kabilah-kabilah Arab yang kafir dan berdepan dengan Ibni Abdialil bin Kulal, salah seorang pemimpin jahiliah. 

Dia tidak menyahut seruan aku lalu aku beredar dengan muka yang muram. Aku tidak hilang daripada perasaan itu sehinggalah aku berada di Ibnu Sa’alih iaiatulah satu kawasan berhampiran dengan Mekah lalu mengangkat kepala. 

Tiba-tiba aku melihat awan sedang menaungi aku. Apabila aku melihat kepada awan itu aku dapati malaikat Jibril memanggil aku dan menegaskan sesungguhnya Allah telah mendengar apa yang diucapkan oleh kaum kamu terhadap kamu dan tindak balas mereka terhadap kamu. 

Sesungguhnya Allah telah memutuskan kepada kamu malaikat yang menjaga bukit supaya kamu memerintah malaikat itu apa yang kamu kehendaki dia melakukannya terhadap kaum kamu itu.

Lalu malaikat yang menjaga bukit itu memanggil dan memberi salam kepada aku kemudian berkata aku:
“Hai Muhammad katakanlah apa yang kamu mahu kalau aku cantumkan kedua bukit ini kepada mereka bukit Mekah dan bukit Mena.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Bahkan aku mengharapkan supaya keluar dari sulbi mereka keturunan yang mengabdikan diri kepada Allah yang tidak mensyirikkannya.”

Di sini menunjukkan ketika nabi berdakwah mengajak penduduk Mekah masuk Islam, ramai yang degil dan tidak masuk Islam. 

Lalu nabi SAW berdakwah mengajak Bani Syakih, penduduk Taif masuk Islam. Malangnya nabi dilontar dengan batu sehingga Zahid bin Harisah yang mengiringi nabi SAW berdarah kerana pecah kepalanya. 

Kemudian nabi berdakwah kepada orang-orang haji yang berhimpun di Mena mengajak mereka masuk Islam. Nabi bertemu pemimpin mereka iaitulah Ibni Abdialil bin Kulal, pemimpin yang berpengaruh tetapi tidak mendapat layanan. 

Nabi balik dalam keadaan yang sangat sedih dan bila nabi terpandang ke langit melihat awan sedang menaunginya dan nampak malaikat Jibril. 

Jibril berkata:
“Wahai Muhamad malaikat yang ditugaskan menjaga bukit mahu bertemu dengan kamu diutus oleh Allah Ta’ala.”
Malaikat itu pun datang memberi salam dan nabi SAW menjawab salam dan malaikat itu minta izin kepada nabi SAW untuk merapatkan bukit Mena dan bukit Mekah bagi mematikan semua mereka yang kafir itu. 

Tetapi nabi tidak izinkan. 

Nabi berkata:
“Walaupun mereka yang ada pada hari ini tidak masuk Islam, boleh jadi zuriat mereka yang akan datang akan masuk Islam.”
Memanglah berlaku selepasnya, zuriatnya menjadi pejuang-pejuang Islam dan lahirnya ulamak-ulamak, lahirnya pendakwah-pendakwah dan lahirnya orang-orang yang berjasa kepada Islam. Jika nabi menerima tawaran malaikat habis binasa dan hilanglah zuriatnya. 

Selepas itu Allah Ta’ala jadikan kalangan pemimpin Arab masuk Islam. 

Nabi mengambil peluang di musim haji kerana musim haji ramai orang berhimpun. Mereka datang membuat haji biasanya pemimpin-pemimpin kabilah Arab. Sekiranya pemimpin ini masuk Islam sudah pastilah ramai pengikut-pengikut masuk Islam.
Allah Ta’ala mengutuskan nabi kita Muhamad SAW kepada seluruh manusia bukan kepada orang Arab sahaja. Oleh itu nabi SAW bertemu dengan orang yang datang ke Mekah dikalangan penganut berbagai-bagai jahiliah.

Dalam sirahnya selepas berjumpa dengan Ibni Abi Kalam nabi berjumpa dengan Bani Amir dan mengajak pemimpinnya masuk Islam, tetapi dia menolak pelawaan nabi SAW.

Kemudian nabi SAW bertemu dengan Bani Syaiban dan mengajak pemimpinnya masuk Islam. Dia bersetuju dengan ajaran Islam yang nabi bawa tetapi tidak sanggup berdepan dengan Rome dan Farsi, dua kuasa besar zaman itu. Ada juga kabilah Arab yang fikrahnya (sifat semula jadinya) baik.

Akhirnya Allah Ta’ala menemukan nabi kita SAW dengan kabilah Aus dan Khajraj, dua kabilah Arab yang datang dari Madinah. Kabilah ini bergaul dengan orang-orang Yahudi di Madinah yang berkumpul kerana mereka mencari-cari zahirnya nabi akhir zaman yang disebut di dalam Taurah dan disebut oleh nabi-nabi Bani Israil dan ulamak-ulamak Bani Israil. 

Mereka berhijrah ke Madinah kerana di situ ada tanda-tanda keberkatan, bumi yang sangat subur di tengah padang pasir yang kering dan panas. Orang Yahudi Bani Khuraizah, Bani Nathir, Bani Khainukah dan kabilah-kabilah Yahudi yang lain berhimpun dan mengajar di Madinah.

Orang Aus dan Khajraj yang menerima berita nabi Muhamad SAW daripada ulamak-ulamak Yuhudi masuk Islam dengan mudah bila diajak oleh nabi SAW. Mereka menjadi golongan ansar yang menolong nabi SAW Berjaya menegak negara Islam di Madinah selepas itu. 

Pertemuannya ialah di musim haji di Mena. Musim haji banyak hikmatnya diberi oleh Allah Ta’ala kepada umat Islam.
Banyak lagi para malaikat yang ditugaskan mengawasi pergerakan alam ini. 

Firman Allah Ta’ala surat Najiat ayat 5: 

“Dan malaikat yang mengatur urusan dunia.”
Ada malaikat yang ditugaskan oleh Allah Ta’ala untuk mengatur urusan rezeki dan sebagainya. 

Firman Allah Ta’ala surah az-Zariat ayat 4:
“Malaikat yang membahagikan berbagai-bagai urusan.”

Firman Allah Ta’ala suratul Mursalat 1-5:
“Demi malaikat yang diutuskan untuk membawa kebaikan dan malaikat yang terbang dengan kencangnya dan malaikat yang menyebarkan rahmat dengan seluas-luasnya dan malaikat yang membezakan di antara hak dan batil dengan sejelas-jelasnya dan malaikat yang menyampaikan wahi.”

Ayat ini menyatakan tugas-tugas malaikat.

Firman Allah Ta’ala surah an-Nazi’at ayat 1-5:
“Dan demi malaikat yang mencabut nyawa dengan keras dan malaikat yang mencabut nyawa dengan lemah lembut dan malaikat-malaikat yang turun dari langit dengan cepat dan malaikat-malaikat yang mendahului dengan kencang dan malaikat-malaikat yang mengatur urusan.”

Ayat ini menyatakan malaikat-malaikat yang bertugas dengan tugas yang lain daripada yang disebut di atas. Antaranya yang mencabut nyawa dengan keras dan dengan lembut.

Ayat tersebut menyatakan tentang malaikat yang menjalankan urusan langit dan bumi menurut tugas masing-masing seperti yang diperintah oleh Allah SWT.

Demikianlah beberapa perkara yang berhubung dengan malaikat menurut nas dan dalil yang dapat dikumpulkan sekadar ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT.  

Mudah-mudahan diletakkan di dalam hati kita keimanan yang sebenar, antaranya beriman kepada malaikat. 

Walaupun kita tidak dapat melihat mereka sekarang ini dengan mata dan merasainya dengan panca indera yang ada pada kita, tetapi cukuplah ayat-ayat Allah dan sabda-sabda Rasulullah SAW menjadi kenyataan lebih sebenar dari pandangan mata dan apa yang dirasa melalui alam yang dapat dilihat pada lahirnya sahaja. 

Kita percaya dengan apa yang diberitahu oleh Quran walaupun kita tidak nampak kerana Quran adalah benar. Banyak bukti pada hari ini perkara-perkara disebut oleh Quran adalah benar berlaku kerana dapat dikesan dengan alat-alat yang direka oleh manusia.
Quran mengatakan babi itu haram dan hari ini ternyata mendatangkan penyakit. Arak itu haram mendatangkan penyakit.

Sesungguhnya peranan para malaikat dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat memerlukan bahkan mewajibkan kita memberi perhatian yang sungguh-sungguh sepenuh keimanan dan kepercayaan dengan harapan wujudnya iman yang sebenar di dalam hati kita kerana iman yang palsu termasuk juga iman kepada malaikat jika palsu menyebabkan amal seseorang itu menjadi sia-sia. 

Jika seseorang itu tidak percaya kepada malaikat seseorang itu menjadi kafir walaupun dia sembahyang. 

Sesungguhnya beriman kepada malaikat ini menjadi suatu ujian kepada manusia kerana ia termasuk di kalangan yang ghaib, tetapi kesemua yang dinyatakan oleh Allah dan rasul-Nya SAW tetap  dipercayai dan diyakini oleh orang yang beriman sama ada ianya  perkara yang nyata atau perkara yang ghaib.

Firman Allah Ta’ala surah al-Imran ayat 193:
“Wahai tuhan kami sesungguhnya kami telah mendengar orang yang menyeru supaya kami beriman dengan tuhan kamu lalu kami pun beriman. Wahai tuhan kami ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskan darpada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang baik.” 

Doa yang diajar dalam Quran.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment