Friday, November 4, 2016

PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAT - TAAT KEPADA YANG LAIN DARIPADA ALLAH




Antara perkara yang membatalkan syadadat ialah taat kepada yang lain daripada Allah Ta’ala kecuali kepada sesiapa yang diperintahkannya supaya taat kepadanya, seperti Rasulullah SAW, pemerintah, ibu bapa dan sebagainya. Maka tidak harus bagi seseorang muslim itu taat kepada yang lain daripada Allah Ta’ala tidak dengan izin-Nya. 

Maksudnya antara perkara yang termasuk di dalam dua kalimah syahadat ‘ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH WAASYHADU ANNA MUHAMADAN RASULULLAH’ bukan sahaja kita mengaku ketaatan secara mutlak kepada Allah SWT, dalam masa yang sama kita menolak ketaatan yang lain daripada Allah kecuali diperintah oleh Allah supaya kita taat kepadanya, seperti pemerintah, ibu bapa dan pemimpin.

Taat kepada pemerintah diizin oleh Allah Ta’ala dengan syarat, iaitulah firman Allah Ta’ala maksud, “Wahai oraang-orang yang beriman taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan ulil amri (pemimpin) di kalangan kamu. jika sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah dan Rasul jika sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itulah penyelesaian yang sebaik-baiknya”.

Ulil amri ditafsir oleh para ulamak sebagai orang alim yang berpegang kepada sunah nabi SAW dan kedua pemerintah atau kerajaan. Ketaatan kepada mereka itu adalah tidak mutlak. Kita tidak boleh taat kepada mereka dalam perkara yang maksiat. Tetapi ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak iaitu tidak berbelah bagi.

Sabda nabi SAW, “Tidak harus taat kepada makhluk dalam perkara derhakakan Allah” dan sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Di atas seseorang itu kita dengar dan taat selagi dia tidak menyuruh dalam perkara derhakakan Allah. Jika disuruh dalam perkara derhakakan Allah maka tidak harus taat dan tidak harus patuh”.

Oleh kerana itulah khalifah yang dilantik selepas wafat Rasulullah SAW menyampaikan dalam ucapan mereka sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah;

 Saidina Abu Bakar Assidiq dalam ucapannya, “Taatlah kepada aku selagi aku taat kepada Allah dan jika sekiranya aku tidak taat kepada Allah dan Rasul maka janganlah taat lagi kepada aku”.

Amirul mukminin Omar RA dalam ucapannya menyatakan, “Apabila kamu melihat pada diri aku ini belot, atau terpesong maka perbetullah aku”.

Begitulah ucapan Saidina Othman dan Saidina Ali RA dan pemimpin sahabat.

Kedua; taat kepada ibu bapa adalah perintah Allah Ta’ala walaupun ibu bapa itu kafir, “Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu-bapa kamu”. Tiada taat jika ibu-bapa menyuruh dalam perkara maksiat.

Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Maka jika sekiranya kedua-dua ibu-bapa itu bersungguh-sungguh supaya menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain maka jangan kamu patuh kepadanya dan berbuat baiklah kepada kedua-duanya dan ikutlah jalan yang kembali kepada Aku”. 

Berbuat baik kepada kedua ibu-bapa adalah suruhan Allah tetapi Allah Ta’ala melarang taat dalam perkara yang bertentangan dengan jalan Allah. Jika taat kepada mereka dalam perkara dilarang oleh Allah kiranya ibu-bapa masuk neraka maka kita pun masuk nerakalah bersama ibu-bapa itu.

Firman Allah Ta’ala surah as-Syuara ayat 151-152 bermaksud, “Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melapaui batas yang membuat kerosakan di atas muka bumi ini dan tidak mengadakan pembaikan”

Tidak boleh taat kepada orang yang melampaui batas Allah Ta’ala seperti menghalalkan yang haram, undang-undang Allah Ta’ala tidak dilaksanakan dan lain-lain.

Firman Allah Ta’ala suratul an-Am ayat 116-117 bermaksud, 

“Jika kamu menurut orang-orang yang di muka bumi ini nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah, mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanya berdusta terhadap Allah, sesungguhnya tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang orang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui tentang orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Dalam hal ini Allah Ta’ala memerintah nabi SAW dalam perkara yang menjadi keputusan daripada Allah Ta’ala mestilah dipatuhi khususnya dalam perkara yang ada nas.
Dalam sistem demokrasi keputusan mestilah mengikut suara majoriti. Dalam Islam keputusan majoriti dalam perkara yang tidak ada nas daripada Quran dan hadis.
Dalam perkara yang tidak ada naspun, jika sekiranya ada orang bijak dan berpengalaman memberi pandangan maka pandangannya perlu diikuti walaupun bertentangan dengan suara majoriti. Kita tidak boleh ikut suara ramai yang jahil dan bebal.

Allah Ta’ala melarang nabi Muhamad SAW supaya tidak ikut orang ramai yang sesat daripada jalan Allah walau apapun tindakan yang akan dibuat kepada kamu. Jangan sekali-kali kita menyeleweng daripada jalan Allah.

Ini bermakna ketaatan kepada Allah dan rasul adalah mutlak kerana Allah Ta’ala tuhan yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan. Kita tidak boleh berbelah bahagi ketaatan kita kepada Allah Ta’ala.

Begitu juga ketaatan kita kepada Rasulullah SAW. Nabi adalah maksum. Nabi dipelihara oleh Allah Ta’ala dengan wahi-Nya. Oleh sebab itulah para sahabat apabila Rasulullah memberi pandangan mereka bertanya, “Adakah ini wahyu atau pandangan peribadi Rasulullah, jika bukan wahyu maka ini pandangan kami dan jika wahyu maka kami tetap patuh kepada pendapat itu”.

Kadang-kadang Rasulullah berkeras dalam sesuatu perkara, berpendirian tegas terhadap pendapatnya maka para sahabat menyerah kepada nabi SAW. Dan selepas itu turun ayat membetul kesilapan nabi. Ini adalah hikmat yang dikehendaki oleh Allah kepada nabi dan umatnya. 

Jika tidak ada wahi maka keputusan nabi adalah betul. Jika ada wahi selepas nabi memberi pandangan maka itu adalah pembetulan daripada Allah Ta’ala. Jadi ketaatan kepada nabi SAW adalah mutlak kerana nabi dipelihara oleh Allah Ta’ala.

Ketaatan selain daripada Allah dan rasul-Nya adalah tidak mutlak. Kita mentaati kepada yang lain daripada Allah dan rasul-Nya selagi tidak bercanggah dengan Quran dan hadis. Jika bercanggah dengan Quran dan hadis kita mesti tolak walau siapa sekali pun kerana kita tidak boleh bertolak ansur dalam perkara yang ditetapkan oleh Quran dan hadis nabi SAW.

KULIAH YT
 

No comments:

Post a Comment