Friday, November 4, 2016

MASALAH BERHUBUNG DENGAN KALIMAH SYAHADAT




Menurut risalah al-Imlak terdapat empat jenis manusia yang mempunyai masalah ketika mengucap dua kalimah syahadat.

Kita mengetahui bahawa mengucap dua kalimah syahadat adalah syarat bagi seseorang itu disahkan menjadi seorang Islam.

Empat jenis manusia yang mempunyai masalah setelah mengucap dua kalimah syahadat:

1. Orang yang berucap dengan kalimah tauhid dan menyaksikan kerasulan nabi Muhamad SAW kemudian dia tidak beriktikad yakni percaya dengan apa yang diucapkan tanpa pengetahuan dan tidak tergambar di fikirannya dari segi sah atau tidak ucapannya itu, benar atau dusta, betul atau salah kerana dia tidak mengambil berat untuk mengkajinya. 

Tidak mahu membebankan diri dengan tanggungjawab kalau dia mengetahuinya. Kalau tidak iltizam dengan dua kalimah syahadat itu rehatlah badannya. Lalu bergelomanglah hidupnya dengan kelazatan tanpa batas. 

Kalau ditanya apakah maksud mu. Dia akan berkata, “Saya seperti orang lain juga yakni mereka yang mengucap dua kalimah syahadat dalam keadaan hatinya tidak percaya dengan dua kalimah syahadat”. 

Dia mengucap dua kalimah syahadat kerana ikutan semata-mata, tanpa mengambil kira benar atau slah, betul atau tidak. Dia merasakan sekiranya menunaikan tuntutan dua kalimah syahadat menjadi susah kehidupan, maka lebih baik dengan tidak mengambil tahu apa-apa. Cukup dengan tidak ada iman dan dia berasa selesa dengan begitu rupa.

Inilah barang kali yang disabdakan oleh Rasulullah SAW , riwayat Muslim, Bukhari, Tarmizi dan Abu Daud. Hadis ini menceritakan tentang fitnah kubur.
Apabila seseorang itu menghadapi fitnah kubur di soal oleh malaikat Mungkar dan Nakir lalu lahirnya orang seperti disebut dalam hadis ini. Jika si mati itu seorang munafik, seorang yang berpura-pura Islam, mengaku dengan lidah sahaja Islam sedangkan hatinya tidak Islam. 

Ia menjawab soalan malaikat di dalam kuburnya dengan berkata, “Aku mendengar orang ramai berkata begitu maka aku pun berkatalah seperti mereka. Aku tidak tahu sama ada benar atau tidak. Lalu kedua-dua malaikat itu berkata; memang kami tahu engkau berkata demikian. 

Menurut riwayat Abi Daud lalu diseru oleh penyeru dari langit sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hantaran dari neraka dan pakaikanlah pakaian dari neraka serta bukakan untuknya pintu neraka”.

Inilah akibat yang akan diterima oleh orang yang mengucap dua kalimah syahadat dengan lidahnya sahaja pada hal hatinya tidak percaya.

2. Orang yang berucap dengan dua kalimah syahadat tetapi disertai dengan perkara-perkara yang tidak menghasilkan iman atau perkara-perkara yang membatalkan dua kalimah syahadatnya dengan ucapannya tidak bermakna iman dan tauhid seperti golongan Sabaiyah yang bertuhankan Saidina Ali RA.

Bahkan terdapat di kalangan orang-orang yang murtad selepas wafatnya Rasulullah SAW, mereka yang mengucap dua kalimah syahadat di samping itu mempercayai juga kepada Musailamatul Khazzab dan Tulaihah sebagai nabi. 

Sesungguhnya mereka itu diperangi oleh para sahabat RA walaupun mereka mengucap dua kalimah syahadat.

Demikian juga orang yang menganut idiologi moden di zaman kita ini. Di sana ada orang yang mengucap dua kalimah syahadat tetapi cakap-cakap dan amalannya adalah cakap-cakap yang menunjukkan bahawa dia tidak percaya kepada ajaran Islam. Ataupun dia melakukan perkara-perkara yang membatalkan dua kalimah syahadat. 

Antara contohnya ialah di kalangan orang-orang murtad selepas wafatnya nabi SAW, ada sesetengah mereka mengikut Musailamatul Khazzab dan Tulaihah yang mengaku menjadi nabi dan dalam masa yang sama mereka mengucap dua kalimah syahadat. Mereka percaya Muhamad rasul dan Musailamatul Khazzab juga rasul, Muhamad juga rasul Tulaihah juga rasul. Ini melakukan perkara membatalkan dua kalimah syahadat.

Begitu juga seperti yang diriwayatkan oleh Attobari di dalam Tarikhnya apabila tentera Islam hendak memerangi golongan yang murtad ini tiba-tiba mereka mendengar suara azan waktu Subuh, mereka hendak sembahyang Subuh. Tentera Islam menjadi lemah semangat lalu berpusing balik ke Madinah mengadap sahabat-sahabat nabi RH. Akhirnya mereka berjumpa dengan Saidina Abu Bakar RH.

Saidina Abu Bakar mengatakan mereka telah mengatakan zakat tidak wajib. Bila berkata zakat tidak wajib bermakna batallah kalimah syahadat mereka, batal Islam mereka. 

Saidina Abu Bakar berucap, “Demi Allah kiranya mereka membatalkan apa yang telah diwajibkan oleh nabi SAW walaupun sebanyak harga tali unta nescaya aku perangi mereka”. Lalu para sahabat memerangi golongan ini dengan penuh yakin.

Ada pula golongan Sabaiyah, iaitu mereka yang mengikut ajaran Abdullah bin Sabaq yang memuja Saidina Ali yang menganggap Saidina Ali adalah jelmaan tuhan.  Saidina Ali memanggil pengikut-pengikut mereka tetapi mereka degil. Abdullah bin Sabaq ialah seorang Yahudi yang berpura-pura masuk Islam, yang merosakkan Islam dari dalam.
Saidina Ali memerintah ketua keselamatannya, Kombar supaya membakar pengikut-pengikut Sabaiyah. Bila dihukum bunuh mereka mengejek. Mereka tidak takut hukuman mati cara bunuh. 

Oleh itu Saidina Ali memerintah dengan sye’irnya yang terkenal, “Sesungguhnya aku telah melihat suatu perkara yang sangat mungkar lalu aku perintah Kombar supaya menyalakan api dan membakar mereka yang berani mengatakan tuhan jelma dalam diri Saidina Ali”.
Hukuman mati dengan bakar adalah haram pada syarak. Pembunuhan hendaklah dibuat dengan cara yang baik, bukan dibakar.  

Mengapa Saidina Ali menjatuhkan hukuman bakar?

Kerana siasah syariyah.  Siasah syariyah dikenakan kepada orang yang melakukan mungkar yang sangat jahat. Mereka persendakan mungkar itu. Bila dijatuhkan hukuman bunuh mereka mempersendakan. Oleh itu Saidina Ali menjatuhkan hukuman bakar walaupun bercanggah dengan syarak.

Bagitu juga tindakan Sultan Mahmud Zanki membakar mayat dua orang penjenayah yang hendak mencuri jenazah nabi SAW. Dalam kisah yang terkenal ketika berlakunya perang solib ketika orang Islam dalam keadaan lemah.
Dua orang daripada golongan solibiah telah berpura-pura memakai jubah mengerjakan haji datang ke Madinah untuk mencuri jenazah nabi SAW tetapi Allah Ta’ala telah menyelamatkan jenazah nabi SAW apabila Sultan Mahmud Danki iaitu bapa saudara Solahuddin al-Ayubi yang mengalahkan solib.

Mahmud Zanki telah bermimpi berjumpa dengan nabi SAW. 

Bermimpi menemui nabi dalam mimpi adalah benar kerana sabda nabi SAW, “Barang siapa yang  berjumpa aku dalam mimpinya maka dia melihat aku sebenarnya kerana syaitan tidak boleh menyerupai aku”, Ini hadis sahih.

Mahmud Zanki tidak tahu hendak membuat apa-apa. Lalu dia bangun bertahjud, tidur dan bermimpi lagi Rasulullah mengatakan, “Ya Mahmud, selamatkan aku. Lalu ditunjukkan dua orang, dua wajah di dalam mimpinya”.

Dia tidak tahu hendak membuat apa-apa. Lalu tidur bermimpi lagi dan bangun bertahjud lagi hingga beberapa kali. Akhirnya dia memanggil Perdana Menteri supaya bersedia untuk bertolak ke Madinah malam itu juga dengan pasukan berkuda tanpa memberitahu kepada sesiapa. 

Mereka tiba di Madinah setelah berjalan selama hampir lima belas hari dari Syria. Di Madinah mereka beriktikaf di Raudah dengan tidak ada siapa yang tahu kedatangan sultan di Madinah. Madinah masa itu di bawah perintah Sultan Mahmud Zanki. 

Sultan Mahmud tidak tahu hendak membuat apa-apa. Akhirnya Perdana Menterinya memanggil governor Madinah supaya mengumpul rakyatnya untuk dibahagi hadiah oleh Sultan Mahmud Zanki. 

Bila menyebut hendak beri hadiah mereka pun datang beramai-ramai dan mendaftar namanya. Setiap orang yang datang dicam seorang demi seorang tetapi tiada satu wajah pun yang menyerupai wajah dalam mimpinya. Lalu sultan bertanya, “Ada atau tidak lagi rakyat yang tidak datang”.

Jawab governor, “Ada dua orang lagi. Tetapi mereka orang luar, bukan rakyat tempatan”.

Sultan mengarah supaya mereka berdua dipanggil. Bila dipanggil didapati itulah dua wajah yang menyerupai wajah dalam mimpinya. Mereka berdua dibawa ke rumah tempat mereka tinggal dan didapati di rumahnya ada lubang yang digali menuju kubur nabi.
Mereka ditanya, “Mengapa kamu membuat demikian?”

Mereka menjawab, “Kami hendak curi jenazah untuk dibawa ke sana supaya dikunjungi oleh orang Islam”. Itu kata mereka.

Lalu Sultan Mahmud Zanki mengarahkan kedua-dua orang itu dipancung dan dibakar jenazahnya. Ini juga siasah syariyah untuk melakukan tindakan kepada mereka yang melakukan kejahatan yang melampaui batas. 

Golongan-golongan ini fasih mengucap dua kalimah syahadat tetapi dalam masa yang sama mereka membatalkan dua kalimah syahadatnya.

Zaman sekarang golongan yang menganut ideologi moden, mereka mengucap dua kalimah syahadat dan mengaku sebagai orang Islam tetapi dalam masa yang sama mereka mengatakan syariat Islam tidak sesuai, hukum Islam tidak boleh dilaksanakan. Jika dilaksanakan hukum Islam negeri akan menjadi huru-hara. Ini bermakna mereka telah membatalkan dua kalimah syahadatnya. Dua kalimah syahadat yang diucapkan itu batal kerana mereka menafikannya. 

Al-marhum Dr Hamka, seorang ulamak yang terkenal di Indonesia menulis dalam tafsir al-Azhar, tafsir suratul al-An’am, Hamka mengatakan ada golongan-golongan yang mengaku sebagai orang Islam, tetapi mengatakan ekonomi Islam tidak sesuai, sistem Islam tidak sesuai, ajaran Islam tidak sesuai, Hamka mengatakan mereka ini terkeluar daripada agama Islam walaupun mereka mengucap dua kalimah syahadat, walaupun mereka sembahyang, walaupun mereka berpuasa dan walaupun mereka mengerjakan haji.

Golongan-golongan ini fasih dua kalimah syahadat tetapi dalam masa yang sama mereka membatalkan dua kalimah syahadat.

3. Orang yang mengucap dua kalimah syahadat tetapi beriktikad lain daripada itu dengan cara berpura-pura, apabila bertemu dengan orang beriman bersyahadatlah ia tetapi apabila bersama-sama dengan orang kafir berucap pula dengan kalimah-kalimah kufur dan mempersendakan Islam  dan penganutnya, mereka itulah orang-orang munafik yang difirmankan oleh Allah di dalam al-Quran suratul Baqarah maksudnya:

“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang beriman mereka mengatakan kami telah beriman dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolak-olak sahaja, Allah akan membalas olak-olak mereka dan membiarkan mereka terumbang-abing di dalam kesesatan”.

Golongan munafik yang berpura-pura di hadapan orang beriman sebagaimana Abdullah bin Ubai dan rakan-rakannya di zaman nabi SAW datang ke masjid nabi SAW dan sembahyang dengan nabi, berjumpa dengan nabi mengaku beriman, tetapi bila berjumpa dengan orang Yahudi mengaku tidak beriman. Ini adalah orang yang berpura-pura. Dua kalimah syahadatnya tidak sah.

4. Golongan yang tidak mengerti makna tauhid dan tidak mengenali orang-orang yang ahli di dalam bidangnya dan tidak mendampingi mereka tetapi apabila mereka datang menemui ahlinya dan diberitahu tentang syahadat itu dan tuntutannya mereka mengaku dan mengucap, mereka redha dengan ucapan itu tetapi masih jahil dan bebal tentang syahadat itu. 

Orang-orang yang seperti ini kita mengharapkan Allah memberi rahmat kepada mereka dan tidak harus bagi kita menghukum mereka dengan kafir dan neraka kerana terdapat orang-orang yang diberi syafaat pada hari kiamat itu orang-orang yang masih mempunyai syahadat walaupun bergelomang dengan dosa.

Terdapat orang-orang yang jahil, yang tidak tahu apa, dia mengucap dua kalimah syahadat dan benar-benar percaya dengan dua kalimah syahadat tetapi dia jahil. Oleh kerana dia jahil, dia membuat maksiat dan bercakap dengan yang bukan-bukan tetapi dia yakin tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhamad itu Rasulullah. Orang ini diharap mendapat keampunan daripad Allah SWT.

Barang kali orang inilah yang dimaksud dalam hadis Rasulullah SAW

Rasulullah SAW telah menceritakan satu peristiwa yang berlaku di padang mahsyar maksudnya, “Sesungguhnya Allah akan membawa keistimewaan kepada seseorang daripada kalangan umatku dengan memanggilnya di hadapan khalayak ramai pada hari kiamat serta membentangkan kepadanya sembilan puluh sembilan gulung suratan amalnya dan setiap satu gulung panjangnya sejauh mata memandang”. Hadis riwayat Iman Ahmad, Tarmizi dan Ibni Majah

Ada seorang hamba Allah di kalangan umat Muhamad SAW dibawa untuk dibicarakan pada hari kiamat. Dibawa kepadanya sembilan puluh sembilan gulung suratan amal, setiap satu suratan itu sayup mata memandang penuh dengan amal yang jahat, penuh dengan dosa, kemudian tuhan bertanya kepada orang itu, “Adakah engkau hendak menafikan dari apa yang ada dalam suratan ini, adakah penulis-penulis-Ku yang Aku tugaskan menjaga amal mu itu telah menzalimimu”.

Tuhan tanya dia sama ada betul atau tidak amal jahat yang banyak sangat dia buat, atau adakah malaikat tersalah tulis.

Orang itu menjawab, “Tidak wahai tuhanku, tidak wahai tuhanku, betul saya membuat dosa sungguh”. Dia mengaku membuat semua dosa itu.

Kemudian tuhan bertanya lagi, “jika demikian adakah engkau mempunyai alasan atau kebaikan untuk engkau melepaskan diri”. Tuhan tanya sama ada dia mempunyai hujah atau dalil untuk melepaskan diri mu

Dia menjawab, “Tidak ada juga wahai tuhanku”.

Tuhan bertanya lagi, “Kalau demikian adakah engkau mempunyai alasan atau kebaikan untuk melepaskan diri”. Tidak adakah amalan baik yang kamu buat 

Dia menjawab, “Tidak ada juga wahai tuhanku”.

Tuhan berfirman, “Ya ada”. Tuhan kata ada, mungkin kamu lupa. “Ada, ada. Sebenarnya kamu mempunyai satu kebaikan yang tersimpan pada Kami, dan sesungguhnya engkau tidak akan menanggung sebarang kezaliman pada hari ini”.

Lalu dikeluarkan untuknya satu kertas kecil yang bertulis padanya ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH WAASYHADU ANNA MUHAMADAN RASULULLAH (Aku mengaku, percaya bahawa tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan aku mengaku Muhamad itu adalah hambanya dan Rasul Allah”.

Maka tuhan berfirman kepadanya, “Pergilah hadir melihat timbangan amalmu, bawa surat ini dan timbang amalmu”.

Lalu dia berkata, “Ya tuhanku apakah nilainya kertas yang secebis ini berbanding dengan suratan amal jahatku yang bergulung-gulung itu”.

Maka tuhan berfirman kepadanya, “Walau bagaimanapun engkau tidak akan dizalimi sekali-kali pada hari ini”

Nabi saw bersabda lagi, “Kemudian suratan amal yang bergulung-gulung itu diletakkan pada sebelah daun neraca dan kertas kecilnya diletakkan pada daun neraca yang sebelah lagi lalu suratan amal buruknya itu terangkat ringan dan kertas kecil yang secebis itu berat menurun kerana tidak ada suatu benda pun boleh menjadi berat berbanding dengan apa yang mengandungi nama Allah. Lalu tuhan menerima dua kalimah syahadat”
.
Di sinilah pentingnya dua kalimah syahadat seseorang jangan dinafikan, jangan dibatalkan, jaga baik-baik kerana dua kalimah syahadat inilah yang menyaksikan seseorang itu pada hari kiamat kelak. 

Kadang-kadang Allah Ta’ala mengampunkan dosa yang sebanyak-banyaknya dengan sebab itu orang itu jahil, duduk tempat yang jauh dan tidak ada tempat belajar. Ibu bapa pula tidak berpelajaran yang tidak mengetahui apa-apa maka lahirlah dia dalam keadaan jahil. Tetapi dia sangat yakin kepada dua kalimah syahadat.

Diriwayatkan dalam satu hadis kursi (Hadis kursi ialah lafaznya daripada nabi SAW maknanya daripada Allah SWT), nabi SAW menceritakan daripada tuhannya yang berlaku pada umat terdahulu satu peristiwa seorang yang berasa dirinya baik, ujud, kagum kerana dia berasa dirinya baik. Dia melihat seorang kawannya membuat jahat lalu dia berkata, “Hih mu ini ahli neraka”. 

Dia berkata kepada kawannya ahli neraka. Di akhirat kedua-dua orang dipanggil oleh Allah
Tuhan bertanya kepadanya, “Apa urusan kamu yang kamu menghukum kawan kamu menjadi ahli neraka”.

Urusan syurga neraka ini bukanlah urusan kita tetapi urusan Allah SWT. 

Lalu kawan (yang baik itu) yang menuduh masuk neraka diheret ke neraka dan yang kena tuduh dimasukkan ke dalam syurga. Ini disebut di dalam hadis kursi.

Oleh itu kita jangan mudah-mudah hendak menghukum orang. Jika kawan kita itu membuat maksiat nasihatlah dia dengan cara yang baik. Jika dia murtad suruhlah dia mengucap semula.

Jangan sekali-kali mengatakan kamu ini ahli neraka kerana urusan syurga neraka adalah urusan Allah SWT. Kita perlu beringat-ingat jangan terlajak bercakap kerana tidak boleh masuk campur urusan Allah SWT.

Dua kalimah syahadat ini mempunyai kedudukan yang sangat mahal di sisi Allah SWT. Oleh itu kita kena pelihara sungguh-sungguh dan jangan membuat perkara-perkara yang membatalkan dua kalimah syahadat. 

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment